• Dari Sahal R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Aku dan orang yang memelihara anak-anak yatim akan berada didalam syurga adalah seumpama dua anak jari ini." Disini Rasulullah S.A.W mengisyaratkan jari telunjuk dan jari tengahnya dimana terdapat hanya sedikit ruang diantara keduanya. (HR Bukhari)
  • Dari Amr bin Malik Al-Qusyairi R.A berkata, bahawa aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara anak yatim, yang mana kedua ibubapanya seorang muslim, dengan memberi makanan dan minuman sehinggalah Allah S.W.T mengkayakannya yakni dia dapat memenuhi keperluannya sendiri, wajib baginya syurga." (HR Musnad Ahmad, Tabrani dan Majma uz Zawaid)
  • Dari Abdullah bin Umar R.Huma meriwayatkan bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W; "Ya Rasulullah, apakah satu amal yang paling baik di dalam Islam?" Baginda S.A.W menjawab "Memberi makan dan memberi salam samada kamu mengenalinya atau tidak." (HR Bukhari)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mukmin yang sempurna dikalangan orang yang beriman ialah orang yang baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kamu ialah orang yang berlaku baik terhadap isterinya." (HR Ahmad)
  • Dari Aishah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Sesungguhnya orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang terbaik akhlaknya dan berlemah lembut terhadap ahli keluarganya." (HR Tirmizi)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Diantara kamu orang yang paling aku cintai dan orang yang paling hampir kepadaku pada hari kiamat ialah orang yang baik akhlaknya." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mahukah daku khabarkan kepadamu siapakah orang yang diharamkan dari api neraka? Dan api neraka tidak akan menyentuhnya. Mereka adalah orang yang menghampiri orang lain dengan lemah lembut, berlebih kurang dan baik hati." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memiliki sebahagian yang kecil sombong di dalam hatinya, maka dia tidak dapat memasuki syurga." (HR Muslim)
  • Dari Abu Qatadah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Jikalau seseorang suka Allah S.W.T menyelamatkannya dari huru hara pada hari kiamat, maka hendaklah dia memberi kelonggaran (dalam membayar kembali pinjaman) kepada seseorang yang berada dalam keadaan terdesak, atau mengurangkan hutangnya (semuanya atau sebahagian)." (HR Muslim)
  • Dari Abu Zar R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Senyuman kepada saudara (muslim) mu adalah sedekah, menyeru kepada ma'ruf dan melarang dari mungkar adalah sedekah, menunjukkan jalan kepada seseoarng yang tersesat jalan adalah sedekah, menolong seorang yang penglihatannya kabur adalah sedekah, menyingkirkan batu-batu, duri dan tulang (dari jalan) adalah sedekah dan menuangkan air dari timbamu kepada timba saudaramu adalah sedekah. " (HR Tirmizi)
  • Dari Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan, dia akan mendapat pahala yang sama sebagaimana orang yang melakukan satu kebaikan, dan Allah menyukai orang yang menolong seorang dalam kesukaran." (HR Bazzar dan Targhib)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Seorang mukmin mencintai dan dicintai. Tidak ada kebaikan dalam diri seseorang yang tidak mencintai atau tidak berkasih sayang. Orang yang terbaik diantara manusia adalah orang yang paling banyak memberi manafaat kepada orang lain." (HR Dar Qutni dan Targhib)
  • Dari Qais bin Said R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Kalaulah aku diperintahkan bersujud kepada seseorang, nescaya aku akan perintahkan wanita-wanita bersujud keatas suami mereka, kerana haknya yang Allah SWT telah berikan kepada suami-suami." (HR Abu Daud)
  • Dari Ummu Salamah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mana-mana wanita yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya redha kepadanya, nescaya dia akan masuk kedalam syurga." (HR Tirmizi)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menjalin silaturrahim yakni berbuat baik kepada saudara-mara dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik ataupun diam." (HR Bukhari)
  • Dari Asma bin Yazid R.Ha berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara kehormatan saudaranya yang muslim ketika dia tidak ada (dimajlis itu, contohnya seseorang telah mengumpatnya, kemudian dia telah mencegah orang itu dari terus mengumpatnya), maka Allah SWT akan menjamin untuknya daripada pembebasan api neraka jahanam." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Perbanyakkan selawat kepadaku pada hari Jumaat, kerana baru sebentar tadi malaikat Jibrail A.S diutus oleh Allah SWT datang kepadaku lalu berkata : 'Barangsiapa dikalangan umat mu berselawat kepadamu (Muhammad) sekali, Aku (Allah) dan para malaikatKu akan berselawat (memohon pengampunan dan rahmat) untuknya sepuluh kali'." (HR Tabrani)
  • Hazrat Bara' R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Tidaklah kedua orang muslim bertemu dan bermusafaha (berjabat tangan) melainkan dosa-dosa kedua belah pihak diampuni sebelum mereka berpisah." (HR Abu Daud)
  • Hazrat Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Orang yang muda hendaklah memberi salam kepada orang yang tua. Orang yang berjalan hendaklah memberi salam kepada orang yang duduk. Orang yang sedikit memberi salam kepada orang yang lebih ramai." (HR Bukhari)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Bantulah saudaramu yang muslim dalam segala keadaan, bahkan apabila dia seorang yang zalim atau yang dizalimi" Seorang bertanya, "Ya Rasulullah, aku akan menolongnya apabila dia dizalimi, tetapi bagaimana aku dapat menolongnya apabila dia seorang penzalim?" Baginda S.A.W menjawab, "Engkau mencegah dia dari melakukan kezaliman kerana mencegahnya dari perbuatan zalimnya, itulah bantuanmu kepadanya." (HR Bukhari)
  • Hazrat Ibnu Abbas R.Huma meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa berjalan untuk menunaikan satu hajat seorang saudara adalah lebih baik daripada sepuluh tahun iktikaf. Barangsiapa yang beriktikaf sehari kerana Allah S.W.T akan dijauhkan daripada api neraka sejauh tiga parit, dan setiap parit luasnya diantara bumi dan langit." (HR Tabrani dan Majma uz Zawaid)

Ketaatan Uwais Kepada Ibu Teladan Buat Ummah

Oleh Ibrahim Abdullah

2010/05/20
Pemuda miskin Yaman disebut Nabi sebagai penghuni langit kerana taatkan Allah, bonda

UWAIS al-Qarni hidup pada zaman Rasulullah. Beliau seorang pemuda miskin yang tinggal di Yaman bersama ibunya yang sudah tua, lumpuh dan buta. Uwais tinggal dengan ibunya kerana beliau tidak mempunyai ahli keluarga lain.

Kerjanya mengambil upah mengembala qibas dan unta. Upah diterimanya cukup untuk nafkah beliau bersama ibunya. Apabila ada rezeki lebih, digunakan untuk membantu jiran yang serba kekurangan. Beliau terkenal seorang anak yang taat kepada ibunya dan Allah. Beliau selalu berpuasa dan pada malam hari bermunajat kepada Allah memohon petunjuk. Hatinya sedih setiap kali jirannya pulang dari Madinah menceritakan pertemuan dengan Nabi Muhammad kerana beliau sendiri belum berpeluang berjumpa Baginda. Hari berganti hari kerinduan Uwais untuk berjumpa Nabi Muhamad semakin mendalam. Hatinya selalu bertanya bila beliau dapat bertemu Baginda untuk memandang wajahnya dari dekat. Beliau rindu mendengar suara Nabi dan kerinduannya kerana iman sedangkan beliau mempunyai seorang ibu yang tua, buta dan lumpuh. Bagaimana harus meninggalkannya untuk menemui Nabi. Akhirnya kerinduan selama itu dipendamkan. Suatu hari Uwais mendekati ibunya dan meluahkan isi hati untuk memohon izin menemui Nabi di Madinah. Mendengar permohonan anaknya itu, ibunya berkata: “Pergilah wahai Uwais, anakku, temuilah Nabi di rumahnya, selepas berjumpa segeralah engkau pulang.”

Betapa gembiranya hati Uwais mendengar ucapan ibunya. Beliau segera berkemas dan tidak lupa menyiapkan keperluan ibu yang akan ditinggalkan serta berpesan kepada jiran supaya menemani ibunya selama beliau ke Madinah.

Selepas merentasi perjalanan jauh, akhirnya Uwais sampai di Madinah. Beliau segera mencari rumah Nabi lalu diketuk pintu rumah itu sambil mengucapkan salam. Maka keluarlah seorang seraya membalas salamnya.

Uwais menanyakan Nabi yang ingin ditemui tetapi Nabi tidak berada di rumahnya kerana sedang berada di medan perang. Uwais hanya dapat bertemu Siti Aisyah. Betapa kecewanya hati Uwais datang dari jauh tetapi tidak dapat menemui Nabi.
Uwais ingin menunggu kepulangan Nabi dari medan perang tetapi telinganya masih terngiang pesan ibunya yang sudah tua dan sakit supaya segera pulang ke Yaman. Dia melupakan keinginan hatinya dan berjumpa Siti Aisyah sambil berpesan menitipkan salam kepada Nabi Muhammad.

Selepas itu, beliau segera berangkat ke Yaman dengan perasaan amat terharu. Peperangan selesai, Nabi Muhammad kembali ke Madinah. Setibanya di rumah, Nabi menanyakan Siti Aisyah mengenai orang yang mencarinya.

Seterusnya Nabi mengatakan bahawa Uwais anak yang taat kepada ibunya, adalah penghuni langit.

Mendengar perkataan Nabi, Siti Aisyah dan sahabat terpegun. Menurut keterangan Siti Aisyah, memang benar Uwais mencari Nabi dan bersegera pulang ke Yaman kerana tidak dapat meninggalkan ibunya terlalu lama.

Nabi meneruskan keterangannya mengenai Uwais, penghuni langit kepada sahabatnya dan berkata: “Jika kamu ingin berjumpa dengan dia, perhatikanlah dia mempunyai tanda putih di tengah tapak tangannya.”

Setelah itu Nabi memandang kepada Ali dan Umar seraya berkata: “Suatu ketika apabila kamu bertemu dengan dia, mohonlah doa dan istighfarnya, dia adalah penghuni langit, bukan orang bumi.”

Selepas Nabi Muhammad wafat dan diganti Abu Bakar, kemudian Umar. Suatu ketika Khalifah Umar teringat akan sabda Nabi mengenai Uwais. Beliau segera mengingatkan juga kepada sahabatnya Ali bin Abi Talib.

Rombongan khafilah dari Yaman datang ke Madinah. Umar dan Ali selalu menanyakan Uwais. Rombongan itu memberitahu Uwais ada bersama mereka dan sedang menjaga unta di perbatasan kota. Mendengar jawapan itu, Khalifah Umar dan Ali segera bertemu Uwais.

Setibanya di khemah tempat Uwais berada, Khalifah Umar dan Ali memberi salam. Tetapi Uwais sedang solat, selepas mengakhiri solatnya dengan salam, Uwais menjawab salam Khalifah Umar dan Ali sambil mendekati kedua-dua sahabat Nabi itu dan menghulurkan tangannya untuk bersalaman.

Sewaktu berjabat tangan, Khalifah Umar membalikkan tangan Uwais untuk membuktikan kebenaran tanda putih yang berada di tapak tangan Uwais, seperti pernah dikatakan Nabi. Memang benar, nampaklah tanda putih di tapak tangan Uwais.

Wajah Uwais nampak bercahaya. Benarlah seperti sabda Nabi dia adalah penghuni langit. Khalifah Umar dan Ali menanyakan namanya dan dijawab: “Abdullah.”

Mendengar jawapan Uwais, mereka tertawa dan mengatakan: “Kami juga Abdullah iaitu hamba Allah. Tapi siapakah namamu yang sebenarnya?” Uwais kemudian berkata: “Nama saya Uwais al-Qarni.”

Khalifah Umar dan Ali memohon doa dan istghfar daripada Uwais dan selepas itu Khalifah Umar berjanji untuk menyumbangkan wang dari Baitulmal kepada Uwais tetapi Uwais berkata: “Hamba mohon supaya hari ini saja hamba diketahui orang. Untuk hari seterusnya, biarlah hamba yang fakir ini tidak diketahui orang lagi.”

Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah kerana sudi membaca artikel diatas. Sila lawati ke halaman utama untuk membaca lebih 2003 artikel yang terdapat disini. Jangan lupa berkongsi artikel diatas bersama anggota keluarga, saudara mara dan rakan taulan anda. Jika anda ingin memberi pendapat atau teguran, sila email kami di admin[at]mukmin.com.my, Insyallah kami berlapang dada untuk membacanya. Semoga kita dapat ambil manafaat bersama dengan Portal Mukmin ini. Insyallah.
Kembali Ke Halaman Utama | Papar Semua Tajuk Dibawah Kategori Yang Sama | Berkongsi Artikel Dengan Rakan Lain | Sertai Facebook Mukmin Portal

 
 

 

© Mukmin (Tiada Notis Copyright)

Paparan sesuai 1280 x 800 pixel (IE 7.0 keatas / Firefox 3.0 keatas)