• Dari Sahal R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Aku dan orang yang memelihara anak-anak yatim akan berada didalam syurga adalah seumpama dua anak jari ini." Disini Rasulullah S.A.W mengisyaratkan jari telunjuk dan jari tengahnya dimana terdapat hanya sedikit ruang diantara keduanya. (HR Bukhari)
  • Dari Amr bin Malik Al-Qusyairi R.A berkata, bahawa aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara anak yatim, yang mana kedua ibubapanya seorang muslim, dengan memberi makanan dan minuman sehinggalah Allah S.W.T mengkayakannya yakni dia dapat memenuhi keperluannya sendiri, wajib baginya syurga." (HR Musnad Ahmad, Tabrani dan Majma uz Zawaid)
  • Dari Abdullah bin Umar R.Huma meriwayatkan bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W; "Ya Rasulullah, apakah satu amal yang paling baik di dalam Islam?" Baginda S.A.W menjawab "Memberi makan dan memberi salam samada kamu mengenalinya atau tidak." (HR Bukhari)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mukmin yang sempurna dikalangan orang yang beriman ialah orang yang baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kamu ialah orang yang berlaku baik terhadap isterinya." (HR Ahmad)
  • Dari Aishah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Sesungguhnya orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang terbaik akhlaknya dan berlemah lembut terhadap ahli keluarganya." (HR Tirmizi)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Diantara kamu orang yang paling aku cintai dan orang yang paling hampir kepadaku pada hari kiamat ialah orang yang baik akhlaknya." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mahukah daku khabarkan kepadamu siapakah orang yang diharamkan dari api neraka? Dan api neraka tidak akan menyentuhnya. Mereka adalah orang yang menghampiri orang lain dengan lemah lembut, berlebih kurang dan baik hati." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memiliki sebahagian yang kecil sombong di dalam hatinya, maka dia tidak dapat memasuki syurga." (HR Muslim)
  • Dari Abu Qatadah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Jikalau seseorang suka Allah S.W.T menyelamatkannya dari huru hara pada hari kiamat, maka hendaklah dia memberi kelonggaran (dalam membayar kembali pinjaman) kepada seseorang yang berada dalam keadaan terdesak, atau mengurangkan hutangnya (semuanya atau sebahagian)." (HR Muslim)
  • Dari Abu Zar R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Senyuman kepada saudara (muslim) mu adalah sedekah, menyeru kepada ma'ruf dan melarang dari mungkar adalah sedekah, menunjukkan jalan kepada seseoarng yang tersesat jalan adalah sedekah, menolong seorang yang penglihatannya kabur adalah sedekah, menyingkirkan batu-batu, duri dan tulang (dari jalan) adalah sedekah dan menuangkan air dari timbamu kepada timba saudaramu adalah sedekah. " (HR Tirmizi)
  • Dari Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan, dia akan mendapat pahala yang sama sebagaimana orang yang melakukan satu kebaikan, dan Allah menyukai orang yang menolong seorang dalam kesukaran." (HR Bazzar dan Targhib)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Seorang mukmin mencintai dan dicintai. Tidak ada kebaikan dalam diri seseorang yang tidak mencintai atau tidak berkasih sayang. Orang yang terbaik diantara manusia adalah orang yang paling banyak memberi manafaat kepada orang lain." (HR Dar Qutni dan Targhib)
  • Dari Qais bin Said R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Kalaulah aku diperintahkan bersujud kepada seseorang, nescaya aku akan perintahkan wanita-wanita bersujud keatas suami mereka, kerana haknya yang Allah SWT telah berikan kepada suami-suami." (HR Abu Daud)
  • Dari Ummu Salamah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mana-mana wanita yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya redha kepadanya, nescaya dia akan masuk kedalam syurga." (HR Tirmizi)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menjalin silaturrahim yakni berbuat baik kepada saudara-mara dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik ataupun diam." (HR Bukhari)
  • Dari Asma bin Yazid R.Ha berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara kehormatan saudaranya yang muslim ketika dia tidak ada (dimajlis itu, contohnya seseorang telah mengumpatnya, kemudian dia telah mencegah orang itu dari terus mengumpatnya), maka Allah SWT akan menjamin untuknya daripada pembebasan api neraka jahanam." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Perbanyakkan selawat kepadaku pada hari Jumaat, kerana baru sebentar tadi malaikat Jibrail A.S diutus oleh Allah SWT datang kepadaku lalu berkata : 'Barangsiapa dikalangan umat mu berselawat kepadamu (Muhammad) sekali, Aku (Allah) dan para malaikatKu akan berselawat (memohon pengampunan dan rahmat) untuknya sepuluh kali'." (HR Tabrani)
  • Hazrat Bara' R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Tidaklah kedua orang muslim bertemu dan bermusafaha (berjabat tangan) melainkan dosa-dosa kedua belah pihak diampuni sebelum mereka berpisah." (HR Abu Daud)
  • Hazrat Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Orang yang muda hendaklah memberi salam kepada orang yang tua. Orang yang berjalan hendaklah memberi salam kepada orang yang duduk. Orang yang sedikit memberi salam kepada orang yang lebih ramai." (HR Bukhari)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Bantulah saudaramu yang muslim dalam segala keadaan, bahkan apabila dia seorang yang zalim atau yang dizalimi" Seorang bertanya, "Ya Rasulullah, aku akan menolongnya apabila dia dizalimi, tetapi bagaimana aku dapat menolongnya apabila dia seorang penzalim?" Baginda S.A.W menjawab, "Engkau mencegah dia dari melakukan kezaliman kerana mencegahnya dari perbuatan zalimnya, itulah bantuanmu kepadanya." (HR Bukhari)
  • Hazrat Ibnu Abbas R.Huma meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa berjalan untuk menunaikan satu hajat seorang saudara adalah lebih baik daripada sepuluh tahun iktikaf. Barangsiapa yang beriktikaf sehari kerana Allah S.W.T akan dijauhkan daripada api neraka sejauh tiga parit, dan setiap parit luasnya diantara bumi dan langit." (HR Tabrani dan Majma uz Zawaid)

Kikis Stigma Derma Organ

Oleh SITI AINIZA KAMSARI

JIKA merujuk pada zaman Rasulullah SAW berlakukah apa yang dipanggil rawatan secara pemindahan organ? Dikatakan apa yang berlaku pada masa itu lebih berbentuk kepada peletakan semula (replantation) organ yang tercabut ke tempat asalnya.

Ini apabila Rasulullah pernah meletakkan semula organ mata seorang sahabat bernama Qatadah bin Nu'man ke tempat asalnya. Iaitu setelah tercabut ketika bertempur dalam Perang Badar dan berikutan itu mata Qatadah mampu berfungsi lebih baik daripada sebelumnya.

Begitu juga apabila baginda pernah meletakkan semula tangan seorang lagi sahabat, Miwaz bin Afra ke tempat asalnya setelah dipotong oleh musuh daripada bahagian bahu dan juga tangan Habab bin Yusuf yang terputus dalam peperangan Badar. Peristiwa-peristiwa ini tentu tidak syak lagi adalah sebahagian mukjizat Rasulullah.

Namun peristiwa-peristiwa ini dikira boleh menjadi satu asas perundangan hukum yang kuat apabila kita membicarakan rawatan pemindahan organ sebagai satu prosedur atau alternatif terakhir dan terbaik bagi menyelamatkan nyawa.

Wajarkah ia masih menjadi polemik mahupun ikhtilaf di kalangan umat Islam terutama di kalangan para ulama hanya kerana prosedur ini tidak pernah berlaku pada zaman-zaman lampau.

Ini apabila dikatakan peletakan semula organ seperti yang dilakukan oleh Rasulullah itu tidak dijadikan sandaran oleh para ulama yang mengharuskan pendermaan dan pemindahan organ.

Begitupun apabila dalam banyak perkembangan perundangan hukum yang akhirnya mengharuskan prosedur mendermakan organ ini boleh dilakukan oleh umat Islam, namun ia masih tidak memberi kesan yang banyak kepada 'kemampuan' umat Islam untuk melakukan pendermaan organ ini!

Sejak fatwa mengharuskan pendermaan ini dibuat 30 tahun lalu, data Pusat Sumber Transplan Nasional (PSTN) menunjukkan 15 peratus daripada 134,569 pengikrar derma adalah Melayu. Ia angka yang jauh ketinggalan dibanding kaum Cina (59 peratus) dan India (24 peratus).

Malah di kalangan penderma itu sendiri, kalangan Melayu Islam hanya 15 orang (enam peratus) yang melakukan pendermaan organ iaitu sejak PSTN ditubuhkan pada tahun 1997.

Sedangkan kalangan kaum India seramai 68 orang (26 peratus) telah mendermakan pelbagai organ mereka dan kaum Cina adalah lebih terkehadapan apabila 146 (56 peratus) orang melakukan amalan yang mulia ini.

Data ini merupakan antara yang didedahkan oleh Pengarah Perkembangan Perubatan Kementerian Kesihatan, Datuk Dr. Azmi Shapie semasa berucap pada Perasmian Seminar Pendidikan Fatwa Peringkat Kebangsaan 2009 'Pendermaan Organ Dari Perspektif Islam' di Masjid Wilayah Jalan Duta, baru-baru ini.

Seminar yang dirasmikan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Perdana (JPM), Senator Datuk Dr. Mashitah Ibrahim turut dihadiri oleh Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan Prof Datuk Abdul Shukor dan ramai tokoh-tokoh agama.

Ini termasuklah mantan Mufti Johor, Datuk Nooh Gadut, Tan Sri Kadir Talib, Dr. Uthman el Muhammady dan seramai hampir 300 para peserta yang mewakili pelbagai agensi kerajaan, swasta serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Namun elok kita menoleh kembali kisah yang amat menyentuh perasaan. Penderma organ misteri seorang pelajar tahfiz dari Perak yang meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya beberapa tahun lalu.

Tahukah anda betapa besarnya jasa yang ditinggalkan oleh Allahyarham? Walaupun organ jantung yang didermakannya gagal membantu pesakit jantung kronik, remaja Cina, Tee Hui Yee namun dua buah pinggang yang arwah dermakan berjaya memberi 'kehidupan' kepada dua pesakit buah pinggang yang sangat-sangat memerlukan organ tersebut bagi menyelamatkan nyawa mereka.

Organ paru-paru Allahyarham pula memberi kehidupan yang sihat dan normal kepada pemuda dari Sarawak. Bayangkan betapa besarnya jasa yang ditinggalkan oleh remaja itu.

Demikian juga kepada pihak keluarga yang membenarkan agar jasad yang Allah pinjamkan kepada anak mereka itu dapat dimanfaatkan sehinggakan memberikan nyawa dan kehidupan kepada orang lain.

Satu amaran bahaya

Masih sukarkah lagi umat Islam meneladani apa yang ditinggalkan oleh remaja itu? Apabila di saat ini untuk kes kegagalan buah pinggang sahaja, hampir setiap tahun negara menerima seramai 5,000 pesakit baru.

Satu angka yang begitu memberikan satu amaran bahaya dengan jumlah mereka yang melalui rawatan dialisis sahaja kini adalah seramai 10,000 pesakit.

Daripada jumlah itu, 75 peratus boleh menerima pemindahan organ dan sehingga kini seramai 6,000 pesakit sedang menunggu untuk menerima pemindahan organ.

"Bagaimana pula dengan masalah pesakit-pesakit yang memerlukan pemindahan organ dan tisu lain seperti injap jantung, jantung, hati, pankreas dan kornea," tanya Dr. Azmi.

Sementara itu, Ahli Dilantik Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia, Prof. Madya Datin Dr. Paizah Ismail menjelaskan keharusan menderma organ termasuk kornea mata di kalangan umat Islam telah berkuatkuasa sejak tahun 1970. Ia hasil keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan.

"Malah kita tidak ada masalah juga jika membabitkan pendermaan organ dari individu yang mati otak, yang dihukum oleh Islam sebagai mati.

"Asalkan pemindahan penderma atau pihak keluarga reda, keadaan darurat bagi menyelamatkan nyawa orang lain dan tidak dijadikan sebagai bahan dagangan atau jual beli," jelasnya yang juga Pensyarah Kuliyyah Undang-undang Ahmad Ibrahim Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Sehubungan itu, kata Paizah, umat Islam hari ini tidak sepatutnya mempersoalkan aspek hukum mengenai soal pendermaan organ, tisu dan tulang ini.

"Persoalan sama ada pemindahan atau pendermaan organ itu harus atau sebaliknya tidak begitu berbangkit lagi sekarang.

"Apa yang menjadi isunya sekarang penerimaan secara meluas yang memungkinkan berlakunya amalan yang selaras dengan hukum yang difatwakan itu," katanya.

Menjawab pertanyaan mengenai pendermaan organ membabitkan haiwan dalam keadaan darurat, Paizah berkata, tidak ada istilah darurat bagi membolehkan manusia menerima organ daripada haiwan.

Kenyataan itu disokong oleh seorang peserta yang juga seorang doktor, bahawa dari aspek etika, teknik xenograft (pemindahan organ dari haiwan) adalah tidak dibenarkan.

Ada juga peserta yang musykil mengenai soal dosa pahala yang kononnya akan ditanggung oleh penerima organ daripada penderma yang melakukan banyak dosa dan kesalahan semasa hayatnya.

Namun kita mungkin boleh mengambil kira cadangan mantan Mufti Wilayah Persekutuan, Tan Sri Abdul Kadir Talib yang menyarankan agar anggota-anggota pasukan keselamatan terutamanya polis dan tentera 'diwajibkan' mengikrarkan organ badan mereka untuk tujuan derma.

"Ini kerana tugas-tugas mereka yang berhadapan dengan risiko bahaya termasuk nyawa," katanya.

Namun, tidak dinafikan soal dosa pahala penderma yang kononnya akan ditanggung oleh penerima menyebabkan umat Islam dan penerima ragu-ragu untuk menjayakan proses pemindahan organ termasuk derma darah, turut membelenggu mereka terutama di luar bandar.

Perkara ini didedahkan oleh Pengarah Bahagian Pendidikan Kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia, Abdul Jabar Ahmad.

"Ini berdasarkan kajian di sebuah kampung, didapati hanya 23.3 peratus yang percaya bahawa penerima organ tidak akan menanggung dosa si penderma tetapi apabila persepsi mereka itu diperjelaskan, peratus itu meningkat kepada 68.3 peratus," katanya.

Kajian juga mendapati hanya 48.32 peratus umat Islam yang mengetahui bahawa hukum pemindahan organ itu adalah harus. Bagaimanapun, apabila diberi penjelasan mengenainya, peratusan itu naik sehingga 100 peratus. Begitu juga bahawa menderma kepada yang bukan Islam naik dari 33.3 peratus sehingga 85 peratus apabila diberikan penjelasan mengenainya.

Kata Abdul Jabar, ini menunjukkan persepsi negatif terhadap pendermaan organ di kalangan umat Islam boleh diubah dan diperbetulkan.

"Malah usaha ini tidak boleh bermusim malah perlu dilipat gandakan sepanjang masa lebih-lebih lagi bagi umat Islam mendermakan organ ini merupakan satu amalan yang paling mulia kerana tidak timbul soal jenazah akan terseksa atau menjadi masalah di akhirat kelak.

"Segala perundangan hukum adalah jelas dan tidak ada apa yang boleh kita ragukan lagi mengenainya," katanya.

Antara individu yang komited memberi kesedaran menderma organ di kalangan masyarakat ialah Datin Dr. Fadhilah Zowyah Lela Yasmin Mansor.

Penglibatannya bukan sahaja kerana tugas beliau sebagai Ketua Penyelaras Pusat Sumber Transplan Nasional Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Sebagai seorang yang terlibat secara langsung dalam prosedur pemindahan organ-organ di negara ini, katanya, beliau tidak menemui sebarang alasan dan keadaan di mana umat Islam tidak boleh mendermakan organ mereka.

Menurutnya, seseorang itu hanya terhalang untuk mendermakan organ-organnya apabila didapati mengidap penyakit berjangkit seperti HiV, Hepatitis B dan C.

"Ini termasuk juga mengamalkan cara hidup yang berisiko, mengidap penyakit kanser (kecuali barah otak), mengidap penyakit-penyakit kronik yang lain termasuk jantung, darah tinggi, kencing manis dan sebagainya tetapi jika terkawal, pesakit diabetes dan darah tinggi masih boleh menderma," katanya.

Institut Jantung Negara (IJN) contohnya terkenal dengan kepakaran mereka melakukan prosedur pemindahan organ jantung dan paru-paru.

Apabila mendapat sahaja organ dari penderma, mereka mampu menjalankan pembedahan dengan jayanya walaupun suasananya begitu tertekan dan cemas.

Namun malangnya, kata Dr. Lela Yasmin sehingga kini seramai 37 pesakit jantung kronik meninggal dunia kerana tidak sampai hajat mereka menerima organ jantung yang baru.

Sedangkan kata beliau, negara ini mempunyai kadar kematian terutama akibat kemalangan jalan raya yang agak tinggi iaitu 6,000 - 7,000 kematian setahun.

"Kebanyakan mangsa terdiri dari golongan muda yang mana organ mereka masih lagi dalam keadaan baik dan sempurna.

"Sekurang-kurangnya jika hanya 10 peratus daripada kes-kes mangsa kemalangan ini, keluarga membenarkan pendermaan organ, pesakit yang memerlukan tentunya tidak payah menunggu begitu lama untuk mendapatkan transplan organ bagi menyelamatkan nyawa mereka," tambah beliau.

Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah kerana sudi membaca artikel diatas. Sila lawati ke halaman utama untuk membaca lebih 2003 artikel yang terdapat disini. Jangan lupa berkongsi artikel diatas bersama anggota keluarga, saudara mara dan rakan taulan anda. Jika anda ingin memberi pendapat atau teguran, sila email kami di admin[at]mukmin.com.my, Insyallah kami berlapang dada untuk membacanya. Semoga kita dapat ambil manafaat bersama dengan Portal Mukmin ini. Insyallah.
Kembali Ke Halaman Utama | Papar Semua Tajuk Dibawah Kategori Yang Sama | Berkongsi Artikel Dengan Rakan Lain | Sertai Facebook Mukmin Portal

 
 

 

© Mukmin (Tiada Notis Copyright)

Paparan sesuai 1280 x 800 pixel (IE 7.0 keatas / Firefox 3.0 keatas)