• Dari Sahal R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Aku dan orang yang memelihara anak-anak yatim akan berada didalam syurga adalah seumpama dua anak jari ini." Disini Rasulullah S.A.W mengisyaratkan jari telunjuk dan jari tengahnya dimana terdapat hanya sedikit ruang diantara keduanya. (HR Bukhari)
  • Dari Amr bin Malik Al-Qusyairi R.A berkata, bahawa aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara anak yatim, yang mana kedua ibubapanya seorang muslim, dengan memberi makanan dan minuman sehinggalah Allah S.W.T mengkayakannya yakni dia dapat memenuhi keperluannya sendiri, wajib baginya syurga." (HR Musnad Ahmad, Tabrani dan Majma uz Zawaid)
  • Dari Abdullah bin Umar R.Huma meriwayatkan bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W; "Ya Rasulullah, apakah satu amal yang paling baik di dalam Islam?" Baginda S.A.W menjawab "Memberi makan dan memberi salam samada kamu mengenalinya atau tidak." (HR Bukhari)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mukmin yang sempurna dikalangan orang yang beriman ialah orang yang baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kamu ialah orang yang berlaku baik terhadap isterinya." (HR Ahmad)
  • Dari Aishah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Sesungguhnya orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang terbaik akhlaknya dan berlemah lembut terhadap ahli keluarganya." (HR Tirmizi)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Diantara kamu orang yang paling aku cintai dan orang yang paling hampir kepadaku pada hari kiamat ialah orang yang baik akhlaknya." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mahukah daku khabarkan kepadamu siapakah orang yang diharamkan dari api neraka? Dan api neraka tidak akan menyentuhnya. Mereka adalah orang yang menghampiri orang lain dengan lemah lembut, berlebih kurang dan baik hati." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memiliki sebahagian yang kecil sombong di dalam hatinya, maka dia tidak dapat memasuki syurga." (HR Muslim)
  • Dari Abu Qatadah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Jikalau seseorang suka Allah S.W.T menyelamatkannya dari huru hara pada hari kiamat, maka hendaklah dia memberi kelonggaran (dalam membayar kembali pinjaman) kepada seseorang yang berada dalam keadaan terdesak, atau mengurangkan hutangnya (semuanya atau sebahagian)." (HR Muslim)
  • Dari Abu Zar R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Senyuman kepada saudara (muslim) mu adalah sedekah, menyeru kepada ma'ruf dan melarang dari mungkar adalah sedekah, menunjukkan jalan kepada seseoarng yang tersesat jalan adalah sedekah, menolong seorang yang penglihatannya kabur adalah sedekah, menyingkirkan batu-batu, duri dan tulang (dari jalan) adalah sedekah dan menuangkan air dari timbamu kepada timba saudaramu adalah sedekah. " (HR Tirmizi)
  • Dari Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan, dia akan mendapat pahala yang sama sebagaimana orang yang melakukan satu kebaikan, dan Allah menyukai orang yang menolong seorang dalam kesukaran." (HR Bazzar dan Targhib)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Seorang mukmin mencintai dan dicintai. Tidak ada kebaikan dalam diri seseorang yang tidak mencintai atau tidak berkasih sayang. Orang yang terbaik diantara manusia adalah orang yang paling banyak memberi manafaat kepada orang lain." (HR Dar Qutni dan Targhib)
  • Dari Qais bin Said R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Kalaulah aku diperintahkan bersujud kepada seseorang, nescaya aku akan perintahkan wanita-wanita bersujud keatas suami mereka, kerana haknya yang Allah SWT telah berikan kepada suami-suami." (HR Abu Daud)
  • Dari Ummu Salamah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mana-mana wanita yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya redha kepadanya, nescaya dia akan masuk kedalam syurga." (HR Tirmizi)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menjalin silaturrahim yakni berbuat baik kepada saudara-mara dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik ataupun diam." (HR Bukhari)
  • Dari Asma bin Yazid R.Ha berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara kehormatan saudaranya yang muslim ketika dia tidak ada (dimajlis itu, contohnya seseorang telah mengumpatnya, kemudian dia telah mencegah orang itu dari terus mengumpatnya), maka Allah SWT akan menjamin untuknya daripada pembebasan api neraka jahanam." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Perbanyakkan selawat kepadaku pada hari Jumaat, kerana baru sebentar tadi malaikat Jibrail A.S diutus oleh Allah SWT datang kepadaku lalu berkata : 'Barangsiapa dikalangan umat mu berselawat kepadamu (Muhammad) sekali, Aku (Allah) dan para malaikatKu akan berselawat (memohon pengampunan dan rahmat) untuknya sepuluh kali'." (HR Tabrani)
  • Hazrat Bara' R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Tidaklah kedua orang muslim bertemu dan bermusafaha (berjabat tangan) melainkan dosa-dosa kedua belah pihak diampuni sebelum mereka berpisah." (HR Abu Daud)
  • Hazrat Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Orang yang muda hendaklah memberi salam kepada orang yang tua. Orang yang berjalan hendaklah memberi salam kepada orang yang duduk. Orang yang sedikit memberi salam kepada orang yang lebih ramai." (HR Bukhari)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Bantulah saudaramu yang muslim dalam segala keadaan, bahkan apabila dia seorang yang zalim atau yang dizalimi" Seorang bertanya, "Ya Rasulullah, aku akan menolongnya apabila dia dizalimi, tetapi bagaimana aku dapat menolongnya apabila dia seorang penzalim?" Baginda S.A.W menjawab, "Engkau mencegah dia dari melakukan kezaliman kerana mencegahnya dari perbuatan zalimnya, itulah bantuanmu kepadanya." (HR Bukhari)
  • Hazrat Ibnu Abbas R.Huma meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa berjalan untuk menunaikan satu hajat seorang saudara adalah lebih baik daripada sepuluh tahun iktikaf. Barangsiapa yang beriktikaf sehari kerana Allah S.W.T akan dijauhkan daripada api neraka sejauh tiga parit, dan setiap parit luasnya diantara bumi dan langit." (HR Tabrani dan Majma uz Zawaid)

Kisah 3 Lelaki Di Majlis Ilmu

Oleh Amran Zakaria
2011/08/15

Tiada batas usia untuk perbaiki kelemahan diri

ADA kala berlabuh juga perasaan malu di hati kerana memaksa diri untuk mendalami ilmu agama pada usia senja. Sebenarnya dalam agama tidak ada istilah malu atau seumpamanya jika kita bertekad untuk mempelajarinya.

Sikap yakin mesti ditanam sepenuhnya dalam diri bahawa inilah masa terbaik untuk melaksanakan niat setelah sekian lama tertangguh. Faktor umur usah dijadikan alasan untuk mengelak diri daripada mempelajari ilmu agama.

Ingatlah bahawa tempoh untuk kita tidak terhad dan terbatas. Islam menetapkan untuk kita bertanyakan sesuatu yang kita tidak tahu dalam hal agama kepada mereka yang lebih tahu.

Firman Allah yang bermaksud: "Bertanyalah kamu kepada orang yang berpengetahuan agama jika kamu tidak mengetahuinya." (Surah An-Nahl, ayat 43).

Apa yang lebih utama ialah perbetulkan niat untuk mempelajari ilmu agama seikhlasnya demi kerana Allah dan Rasul-Nya. Ingat tujuan sebenar kita menuntut ilmu untuk keluar daripada kejahilan demi mencari kebenaran dan berpegang kepadanya.

Kisah tiga lelaki dalam majlis ilmu yang dikendalikan Rasulullah SAW boleh dijadikan pengajaran kepada sesiapa yang berminat mendalami ilmu agama dan khabar dibawa Rasulullah SAW boleh dijadikan panduan dalam proses pencarian ilmu keagamaan.

Daripada Abi Waaqid Allaithy menceritakan, sewaktu Rasulullah SAW berada dalam majlis ilmu di masjid bersama sahabatnya, datang tiga lelaki, lalu dua orang terus menyertai majlis ilmu itu manakala seorang lagi berlalu begitu saja (tanpa menyertainya).

Sewaktu kedua-dua orang itu berada dekat halaqah, salah seorang daripada mereka terlihat ruang kosong lalu dia duduk di situ, manakala seorang lagi duduk jauh di belakang. Lelaki yang ketiga beredar.

Apabila Rasulullah SAW selesai mengendalikan pengajian lalu Baginda bersabda: "Mahukah kalian aku khabarkan mengenai hal orang bertiga itu? Yang pertama itu dia bersungguh-sungguh untuk mencari ilmu, maka Allah melapangkan tempat untuknya, manakala yang kedua itu dia berasa malu (tidak bersungguh-sungguh) maka Allah juga malu daripadanya (yakni tidak memberinya ilmu yang banyak) dan yang ketiga itu dia berpaling dari Allah, maka Allah juga berpaling daripadanya (tidak mengendahkannya)."

Daripada Abi Musa, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Perumpamaan hidayah dan ilmu yang aku bawa daripada Allah adalah bagaikan hujan yang lebat menimpa bumi; maka ada bahagiannya yang subur dan mudah menyerap air, lalu tumbuhlah pokok dan rumput yang banyak, dan ada pula bahagiannya yang keras hanya menakung air tetapi tidak menyerap, lalu manusia dapat mengambil manfaat daripadanya seperti minum, menyirami dan mengairi tanaman, dan ada pula bahagian yang lain iaitu bahagian tanah yang sama sekali tidak menerima air dan tidak pula tumbuh tanaman (diatasnya)."

Itu adalah perumpamaan (untuk) orang yang memahami agama Allah, dia dapat mengambil manfaat daripada apa yang diberikan Allah kepadaku, lalu ia mengetahuinya dan mengajarkannya (kepada orang lain); dan perumpamaan (untuk) orang yang tidak mengangkat kepala dengan itu; dan (perumpamaan untuk orang) yang tidak menerima hidayah yang telah diturunkan oleh Allah SWT kepadaku.” (Hadis sahih, Muttafaq 'Alaihi).

Antara ilmu yang utama ialah ilmu yang diwahyukan kepada Rasul-Nya. Ilmu agama ini diturunkan Allah Taala dengan dua tujuan iaitu mengaturkan hubungan manusia sesama manusia dan hubungan manusia dengan Allah Taala.

Keduanya, dengan ilmu agama ini diajarkan adab dan peraturan yang mesti diamalkan seseorang dalam hubungannya dengan Allah demi mencapai keredaan-Nya. Matlamatnya jelas untuk kebahagiaan di dunia dan mendapat balasan sebaik-baiknya di akhirat kelak.

Letakkan niat yang baik supaya dapat memperbaiki diri dengan menambah pengetahuan dalam ilmu agama bagi memudahkan urusan amal ibadah.

Daripada Ka’ab bin Malik, katanya: "Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: Sesiapa yang menuntut ilmu (agama) bertujuan untuk menyaingi ulama atau berbahas dengan orang jahil atau supaya dengan ilmu itu wajah orang ramai tertumpu kepadanya, maka Allah masukkan dia ke dalam neraka." (Hadis riwayat al-Tirmizi dan Ibn Majah).

Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah kerana sudi membaca artikel diatas. Sila lawati ke halaman utama untuk membaca lebih 2003 artikel yang terdapat disini. Jangan lupa berkongsi artikel diatas bersama anggota keluarga, saudara mara dan rakan taulan anda. Jika anda ingin memberi pendapat atau teguran, sila email kami di admin[at]mukmin.com.my, Insyallah kami berlapang dada untuk membacanya. Semoga kita dapat ambil manafaat bersama dengan Portal Mukmin ini. Insyallah.
Kembali Ke Halaman Utama | Papar Semua Tajuk Dibawah Kategori Yang Sama | Berkongsi Artikel Dengan Rakan Lain | Sertai Facebook Mukmin Portal

 
 

 

© Mukmin (Tiada Notis Copyright)

Paparan sesuai 1280 x 800 pixel (IE 7.0 keatas / Firefox 3.0 keatas)