• Dari Sahal R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Aku dan orang yang memelihara anak-anak yatim akan berada didalam syurga adalah seumpama dua anak jari ini." Disini Rasulullah S.A.W mengisyaratkan jari telunjuk dan jari tengahnya dimana terdapat hanya sedikit ruang diantara keduanya. (HR Bukhari)
  • Dari Amr bin Malik Al-Qusyairi R.A berkata, bahawa aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara anak yatim, yang mana kedua ibubapanya seorang muslim, dengan memberi makanan dan minuman sehinggalah Allah S.W.T mengkayakannya yakni dia dapat memenuhi keperluannya sendiri, wajib baginya syurga." (HR Musnad Ahmad, Tabrani dan Majma uz Zawaid)
  • Dari Abdullah bin Umar R.Huma meriwayatkan bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W; "Ya Rasulullah, apakah satu amal yang paling baik di dalam Islam?" Baginda S.A.W menjawab "Memberi makan dan memberi salam samada kamu mengenalinya atau tidak." (HR Bukhari)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mukmin yang sempurna dikalangan orang yang beriman ialah orang yang baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kamu ialah orang yang berlaku baik terhadap isterinya." (HR Ahmad)
  • Dari Aishah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Sesungguhnya orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang terbaik akhlaknya dan berlemah lembut terhadap ahli keluarganya." (HR Tirmizi)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Diantara kamu orang yang paling aku cintai dan orang yang paling hampir kepadaku pada hari kiamat ialah orang yang baik akhlaknya." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mahukah daku khabarkan kepadamu siapakah orang yang diharamkan dari api neraka? Dan api neraka tidak akan menyentuhnya. Mereka adalah orang yang menghampiri orang lain dengan lemah lembut, berlebih kurang dan baik hati." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memiliki sebahagian yang kecil sombong di dalam hatinya, maka dia tidak dapat memasuki syurga." (HR Muslim)
  • Dari Abu Qatadah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Jikalau seseorang suka Allah S.W.T menyelamatkannya dari huru hara pada hari kiamat, maka hendaklah dia memberi kelonggaran (dalam membayar kembali pinjaman) kepada seseorang yang berada dalam keadaan terdesak, atau mengurangkan hutangnya (semuanya atau sebahagian)." (HR Muslim)
  • Dari Abu Zar R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Senyuman kepada saudara (muslim) mu adalah sedekah, menyeru kepada ma'ruf dan melarang dari mungkar adalah sedekah, menunjukkan jalan kepada seseoarng yang tersesat jalan adalah sedekah, menolong seorang yang penglihatannya kabur adalah sedekah, menyingkirkan batu-batu, duri dan tulang (dari jalan) adalah sedekah dan menuangkan air dari timbamu kepada timba saudaramu adalah sedekah. " (HR Tirmizi)
  • Dari Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan, dia akan mendapat pahala yang sama sebagaimana orang yang melakukan satu kebaikan, dan Allah menyukai orang yang menolong seorang dalam kesukaran." (HR Bazzar dan Targhib)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Seorang mukmin mencintai dan dicintai. Tidak ada kebaikan dalam diri seseorang yang tidak mencintai atau tidak berkasih sayang. Orang yang terbaik diantara manusia adalah orang yang paling banyak memberi manafaat kepada orang lain." (HR Dar Qutni dan Targhib)
  • Dari Qais bin Said R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Kalaulah aku diperintahkan bersujud kepada seseorang, nescaya aku akan perintahkan wanita-wanita bersujud keatas suami mereka, kerana haknya yang Allah SWT telah berikan kepada suami-suami." (HR Abu Daud)
  • Dari Ummu Salamah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mana-mana wanita yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya redha kepadanya, nescaya dia akan masuk kedalam syurga." (HR Tirmizi)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menjalin silaturrahim yakni berbuat baik kepada saudara-mara dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik ataupun diam." (HR Bukhari)
  • Dari Asma bin Yazid R.Ha berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara kehormatan saudaranya yang muslim ketika dia tidak ada (dimajlis itu, contohnya seseorang telah mengumpatnya, kemudian dia telah mencegah orang itu dari terus mengumpatnya), maka Allah SWT akan menjamin untuknya daripada pembebasan api neraka jahanam." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Perbanyakkan selawat kepadaku pada hari Jumaat, kerana baru sebentar tadi malaikat Jibrail A.S diutus oleh Allah SWT datang kepadaku lalu berkata : 'Barangsiapa dikalangan umat mu berselawat kepadamu (Muhammad) sekali, Aku (Allah) dan para malaikatKu akan berselawat (memohon pengampunan dan rahmat) untuknya sepuluh kali'." (HR Tabrani)
  • Hazrat Bara' R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Tidaklah kedua orang muslim bertemu dan bermusafaha (berjabat tangan) melainkan dosa-dosa kedua belah pihak diampuni sebelum mereka berpisah." (HR Abu Daud)
  • Hazrat Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Orang yang muda hendaklah memberi salam kepada orang yang tua. Orang yang berjalan hendaklah memberi salam kepada orang yang duduk. Orang yang sedikit memberi salam kepada orang yang lebih ramai." (HR Bukhari)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Bantulah saudaramu yang muslim dalam segala keadaan, bahkan apabila dia seorang yang zalim atau yang dizalimi" Seorang bertanya, "Ya Rasulullah, aku akan menolongnya apabila dia dizalimi, tetapi bagaimana aku dapat menolongnya apabila dia seorang penzalim?" Baginda S.A.W menjawab, "Engkau mencegah dia dari melakukan kezaliman kerana mencegahnya dari perbuatan zalimnya, itulah bantuanmu kepadanya." (HR Bukhari)
  • Hazrat Ibnu Abbas R.Huma meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa berjalan untuk menunaikan satu hajat seorang saudara adalah lebih baik daripada sepuluh tahun iktikaf. Barangsiapa yang beriktikaf sehari kerana Allah S.W.T akan dijauhkan daripada api neraka sejauh tiga parit, dan setiap parit luasnya diantara bumi dan langit." (HR Tabrani dan Majma uz Zawaid)

Kita Ketandusan Kejujuran Ulama dan Keikhlasan Umara

Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin ialah Mufti Kerajaan Negeri Perlis

Beberapa buku sejarah menceritakan pada zaman pemerintahan Khalifah Yazid bin ‘Abd al-Malik (meninggal 105H), gabenor Iraq ketika itu ialah ‘Umar bin Hubairah. Gabenor tersebut telah memanggil dua orang tokoh ilmuwan besar umat ketika itu; ‘Amir al-Sya‘bi dan al-Hasan al-Basri.

Beliau bertanya mereka mengenai arahan- arahan Khalifah Yazid bin ‘Abdul Malik yang datang kepadanya. Ada di antaranya yang menyanggahi kebenaran. Kata ‘Umar bin Hubairah: “Jika aku taatkan Khalifah, aku menderhakai Allah, jika aku mentaati Allah aku akan menderhakai Khalifah. Apa pendapat kamu?”

Jawab al-Sya‘bi: “Engkau hanya menjalankan tugas, dosa ditanggung oleh Khalifah.” Tanya ‘Umar bin Hubairah kepada al- Hasan al-Basri: “Apa pendapatmu pula?” Jawab al-Hasan: “Wahai Gabenor! Engkau telah pun mendengar pendapat al-Sya‘bi tadi.” “Aku mahu pendapatmu,” tegas gabenor itu.

Kata al-Hasan al-Basri: “Wahai ‘Umar bin Hubairah, akan datang kepadamu malaikat Allah yang bengis lagi tidak menderhakai perintah Allah, dia akan mengeluarkan engkau dari istanamu yang luas ke kuburmu yang sempit. Jika engkau bertakwa kepada Allah, Dia boleh melindungimu daripada tindakan Yazid bin ‘Abdul Malik, adapun Yazid bin ‘Abdul Malik tidak dapat melindungimu daripada tindakan Allah. Tidak ada ketaatan kepada makhluk dalam menderhakai Pencipta (Allah). Wahai ‘Umar bin Hubairah! Engkau jika bersama Allah dalam ketaatan kepada-Nya, Dia memeliharamu daripada bahaya Yazid bin ‘Abdul Malik. Namun jika engkau bersama Yazid dalam menderhakai Allah maka Dia serahkan engkau kepada Yazid.” Lalu menangislah ‘Umar bin Hubairah.

Lalu ditanya al-Hasan mengapakah beliau melakukan demikian? Jawabnya: “Kerana perjanjian yang Allah meterai untuk para ulama berkaitan ilmu mereka – seperti firman Allah dalam surah Ali ‘Imran 187-: (maksudnya): Dan (ingatlah) ketika Allah mengambil perjanjian dari mereka yang telah diberikan Kitab (iaitu): Demi sesungguhnya! hendaklah kamu menerangkan isi Kitab itu kepada umat manusia, dan jangan sekali-kali kamu menyembunyikannya. (al-Mizzi, Tahzib al-Kamal, 6/113, al- Zahabi, Tarikh al-Islam, 2/333, Ibn Manzur, Mukhtasar Tarikh Dimasyq, 6/97).

Kita sebenarnya merindui kisah-kisah yang seperti ini. Sejarah umat ini bukan sedikit dahulunya dipenuhi kisah-kisah agung yang sebegini. Kisah para ulama yang sentiasa berpegang kepada prinsip dan jujur. Sementara umarak pula menerima nasihat dan bicara ulama dengan jiwa yang ikhlas dan inginkan kebenaran. Saya selalu bertanya mengapakah para pemerintah dahulu, setegas mana pun dia, sering menangis apabila mendengar nasihat para ulama? Mengapakah hari ini, kisah-kisah seperti itu hampir pudar? Jawapannya, adalah keikhlasan jiwa yang ada pada kedua-dua pihak. Pihak yang menasihati melakukan nasihat dan peringatan hanya kerana Allah, semata-mata untuk-Nya. Tidak kerana inginkan kerusi politik, atau memenangkan parti yang dipimpin, atau kerusi yang dia bertanding, atau jawatan yang dia pegang. Jika adapun jawatan, itu tidak pernah membawa mereka merubah hakikat agama Allah. Mereka hidup dalam kezuhudan iaitu jiwa tidak bergantung harap kepada habuan pemerintah. Bebas lagi merdeka jiwa mereka.

Nasihat

Namun benar-benar berjiwa hamba di hadapan kebesaran kerajaan Allah Yang Memerintah langit dan bumi. Dari keikhlasan jiwa pemberi nasihat, Allah anugerahkan penerimaan di pihak yang dinasihati, jika yang dinasihati itu masih wujud keikhlasan dan keinginan untuk kembali kepada Allah. Kita tidak pernah mendengar dalam sejarah tokoh-tokoh ulama terbilang umat ini kempen ‘maki hamun’ yang dilancar terhadap pemerintah. Padahal bukan sedikit jua kejahatan pemerintah dalam sejarah yang lepas. Tetapi kita sering mendengar nasihat yang ikhlas dan tegas. Bebas dari kepentingan dan keinginan kepada dunia. Maka, sepanjang sejarah lepas – walaupun banyak juga kecacatan dan kelemahan-kekuatan umat ini terus dapat dipelihara.

Namun apabila masa berubah, para pemerintah ramai yang sudah tidak ada masa untuk mendengar nasihat dan bicara ulama atau berdamping dengan mereka. Sekalipun ramai yang masih ada masa menghadiri bicara dan dendangan artis. Sementara ada golongan yang cuba memakai gelaran agama, cuba bergaya artis apabila muncul di hadapan pemerintah. Bicara atau ceramah mereka sama ada untuk melucukan hati pemerintah atau mengampu mereka. Ramai pemerintah gagal melihat kewibawaan ilmu dan ketelusan prinsip golongan yang berlabel agama di zaman kini. Lalu mereka tidak berasa hebatnya ilmu dan lazat menikmati keindahan Islam. Ini mungkin berpunca dari sebahagian para penceramah agama adalah insan-insan kontang dari ilmu Islam yang sebenar dan hanya mengutip buku-buku jalanan untuk dijadi bahan semasa ceramah atau forum. Dicampur pula dengan kesingkatan akal dan kerendahan lojik sesetengah penceramah sehingga Islam digambarkan bagaikan cerita kartun atau ‘gelanggang raja lawak’ yang memperbodohkan orang ramai. Hadis-hadis palsu dan cerita-cerita dongeng yang dikaitkan dengan wali atau individu itu dan ini pun dijadikan bahan ceramah agama.

Maka ada pemerintah yang hati kecil mereka mula menganggap bicara agama itu hanya boleh didengar jika ada masa lapang. Ceramah agama bagi golongan agama yang seperti ini bukan bertunjang untuk mengangkat imej umat ke arah kefahaman yang betul dan Islam yang tulen. Tetapi tidak lebih sekadar kegiatan seni atau sumber pendapatan sampingan, bahkan ada yang menjadikannya sumber pendapatan utama. Sehingga ada yang sanggup menjadi bahan iklan barangan tertentu. Kelompok agama yang seperti inilah yang menghilang wibawa agama ini di hadapan mata pemerintah. Kata Salamah bin Dinar di hadapan Khalifah Sulaiman bin ‘Abdul Malik: “Telah berlaku di mana para umarak mencari ulama, lalu mengambil manfaat daripada mereka. Maka yang sedemikian kebaikan untuk kedua-dua pihak. Namun hari ini, ulama pula yang mencari umarak, lalu cenderung kepada umarak dan inginkan apa yang dimiliki oleh mereka. Lalu umara menganggap: tentu apa yang ulama cari yang ada di tangan kita lebih baik daripada apa yang ada di tangan mereka.” (Ibn, ‘Asakir, Tarikh Dimasyq, 22/29).

Justeru itu, Allah tidak pernah menyamakan mana-mana golongan dengan anjing melainkan golongan ulama yang menjual ilmunya untuk mendapat habuan dunia. Firman Allah: (maksudnya) Dan bacakanlah kepada mereka (Wahai Muhammad), khabar berita seorang yang Kami beri kepadanya (pengetahuan mengenai) ayat-ayat Kami. Kemudian dia menjadikan dirinya terkeluar dari mematuhinya, lalu dia diikuti oleh syaitan, maka dia dari kalangan yang sesat. Dan kalau Kami kehendaki nescaya Kami angkat kedudukannya (sebab mengamalkan) ayat-ayat itu, tetapi dia bermati- mati cenderung kepada dunia dan menurut hawa nafsunya; maka bandingannya adalah seperti anjing, jika engkau menghalaunya, ia menghulurkan lidahnya, dan jika engkau membiarkannya, ia juga menghulurkan lidahnya. Demikianlah bandingan orang- orang yang mendustakan ayat-ayat kami. Maka ceritakanlah kisah-kisah itu supaya mereka berfikir (surah al-‘Araf: 175-176).

Ulama yang gilakan dunia bukan hanya mengampu pemerintah, tetapi mungkin mengampu orang ramai atau kelompok tertentu supaya mendapat nama atau jawatan di kalangan puak tersebut. Maka wujud kelompok pemaki hamun pemerintah atau sesiapa yang tidak disukai mereka dengan menyalahgunakan nas-nas agama. Mungkin mereka ikhlas ingin membetulkan, tapi tersalah cara. Atau tujuannya, untuk menggembirakan perasaan penyokong dan menunjukkan kejaguhan. Ceramah ala sebegini sebenarnya mempunyai pasarannya yang tersendiri di kalangan pengikut aliran tersebut. Bukan sedikit jua wang yang boleh dihasil dengan ceramah ‘gaya kuak maki hamun’ ini. Namun, di manakah wajah keindahan Islam hendak dicari di celahan pencemaran yang seperti ini? Di manakah pula ruang kesedaran yang hendak buka apabila kalimat-kalimat kesat mengambil tempat?

Para ulama yang zuhud dahulu, mereka hadir dengan keikhlasan jiwa bertemu dengan pemerintah dan memberikan pandangan dan nasihat yang berfaedah. Kata- kata mereka bagaikan mutiara yang berharga. Ungkapan mereka indah dan bermakna. Mereka hidangkannya di atas dulang keikhlasan jiwa ilmuwan yang mengharapkan reda Tuhan. Namun para pemerintah pun banyak yang berubah. Sesetengah mereka hanya inginkan ulama bagaikan patung tanpa fungsi. Hadir sekadar untuk menghiasi majlis. Kemudian pandangan dan pendapat mereka tidak ditanya. Ulama pula ada yang memang seronok dengan majlis-majlis kebesaran, lalu memandulkan peranan kewujudan diri mereka yang sepatutnya. Ada pula yang dilantik sekadar untuk membaca doa dalam majlis. Apa yang dia fikirkan hanyalah skrip doanya yang diubah-ubah sedikit sebanyak berdasarkan majlis. Barangkali majlis berlangsung berjam-jam, doanya sekadar lima minit. Selebihnya dia menjadi penonton setia. Jika dia hanya berfungsi demikian, maka doa hanya upacara yang dibaca tanpa makna dan baki hayatnya banyak yang sia-sia. Tiada hasil ilmiah yang dikeluarkan, tiada pemikiran kebaikan yang dilontarkan dan tiada umat yang dipimpinnya.

Peranan

Peranan ulama tentu lebih dari itu semua. Saya amat dukacita apabila ada yang cuba membataskan peranan saya dengan berkata mufti tidak patut menulis dalam akhbar, atau berbicara tentang politik, ekonomi, kebajikan awam, hak bukan muslim, seni, artis dan pelbagai lagi. Demikian pemikiran menyempitkan agama menguasai kelompok agama itu sendiri. Saya ingin beritahu orang sebegini bahawa saya tidak memiliki jubah khas seperti yang dimiliki oleh orang lain. Mungkin kerana saya kurang berkemampuan memilikinya, atau saya belum pandai memakainya. Jika anda ingin merampasnya daripada saya, maaf ianya tiada pada saya. Namun jika anda ingin mematahkan pena saya, atau menghalang saya berfikir dan merumuskan ilmu berdasarkan kadar pengetahuan yang Allah rezekikan kepada saya, saya akan mempertahankan hak saya. Jika saya gagal, demi sesungguhnya saya akan meninggalkan jawatan ini tanpa sebarang kekesalan. Ketahuilah kemerdekaan minda yang berpaksikan hujah dan dalil lebih berharga dari segalanya.

Saya adalah orang yang tidak percaya bahawa umarak itu semestinya terdiri daripada golongan ulama. Dalam bahasa semasa, saya tidak berpegang kepada pandangan pemerintah mesti berserban dan berjubah. Tetapi saya berpegang bahawa pemerintah mesti berwibawa memimpin dan amanah. Tiada nas yang mewajibkan hanya ulama yang boleh menjadi umarak. Walaupun ada buku-buku siasah karangan tokoh-tokoh Islam yang menyebut demikian. Bahkan mereka mensyaratkan seorang pemerintah mestilah mujtahid (ahli ijtihad). Namun itu hanya satu pandangan atau ijtihad. Nas-nas Islam secara jelas hanya mewajibkan keadilan dan keharmonian hubungan antara tindakan umarak dengan ajaran Allah dan rasul-Nya. Kebanyakan umarak dalam sejarah umat ini juga bukan ulama. Jika umarak itu bukan ulama pun, keadilan yang dikehendaki oleh Islam dapat dicapai dengan ikatan yang mesra antara dua golongan tersebut.

Tetapi pasti si jahil totok tentang agama tidak boleh memimpin umat. Seperti jika seorang yang dianggap ulama sekalipun tetapi jahil atau tidak berwibawa memimpin maka dia tidak layak dilantik menjadi pemimpin. Lihatlah apa yang berlaku kepada Indonesia apabila ‘Pak Kiai Gusdur’ memerintah negara tersebut.

Di samping golongan ulama tidak boleh jumud dalam melontarkan pandangan- pandangan berhubung politik islami. Siasah atau politik dalam Islam lebuh rayanya amat luas. Jangan dijadikan ianya lorong kampung yang sempit. Maka selalulah mengingati apa yang disebut oleh sarjana besar Islam al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah (meninggal 751H): “Sesungguhnya syariah Islam itu binaan dan asasnya adalah atas segala hikmah dan kebaikan untuk manusia di dunia dan akhirat. Syariah Islam itu segalanya keadilan, kebaikan dan hikmat. Maka setiap perkara yang terkeluar dari keadilan kepada kezaliman, dari rahmat kepada yang berlawanan dengannya, dari kebaikan kepada kerosakan, dari hikmat kepada sia-sia maka ianya bukan syariah Islam sekalipun diberikan takwilan untuknya.” (Ibn Qayyim al-Jauziyyah, I’lam al-Muwaqqi‘in, 3/3, Beirut: Dar al-Jail). Maka fungsi ulama tidak semesti berpolitik secara langsung, tetapi menasihati dan mengingatkan umarak agar negara sentiasa berada atas landasan keadilan dan kemaslahatan rakyat. Bukan kerja ulama sekadar memacak slogan-slogan agama tetapi tidak membawa makna kepada hakikat keadilan dan kemaslahatan rakyat seperti yang dituntut oleh roh agama Islam ini.

Atau, tidak salah untuk ilmuwan agama itu sendiri menjadi ahli politik seperti para khalifah al-Rasyidin, ‘Umar bin ‘Abdul ‘Aziz dan beberapa orang yang lain, jika mereka mempunyai karisma kepimpinan yang diperlukan. Bahkan inilah yang lebih afdal. Ini kerana kewibawaan dan kesolehan mampu membawa kedamian, keamanan dan keberkatan. Firman Allah: Sesungguhnya Allah menyuruh kamu memberikan amanah kepada yang berhak menerimanya dan apabila kamu berhukum di kalangan manusia maka hendaklah kamu berhukum dengan adil. Sesungguhnya Allah memberikan pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. (Surah an-Nisa’ ayat 58).

Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah kerana sudi membaca artikel diatas. Sila lawati ke halaman utama untuk membaca lebih 2003 artikel yang terdapat disini. Jangan lupa berkongsi artikel diatas bersama anggota keluarga, saudara mara dan rakan taulan anda. Jika anda ingin memberi pendapat atau teguran, sila email kami di admin[at]mukmin.com.my, Insyallah kami berlapang dada untuk membacanya. Semoga kita dapat ambil manafaat bersama dengan Portal Mukmin ini. Insyallah.
Kembali Ke Halaman Utama | Papar Semua Tajuk Dibawah Kategori Yang Sama | Berkongsi Artikel Dengan Rakan Lain | Sertai Facebook Mukmin Portal

 
 

 

© Mukmin (Tiada Notis Copyright)

Paparan sesuai 1280 x 800 pixel (IE 7.0 keatas / Firefox 3.0 keatas)