• Dari Sahal R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Aku dan orang yang memelihara anak-anak yatim akan berada didalam syurga adalah seumpama dua anak jari ini." Disini Rasulullah S.A.W mengisyaratkan jari telunjuk dan jari tengahnya dimana terdapat hanya sedikit ruang diantara keduanya. (HR Bukhari)
  • Dari Amr bin Malik Al-Qusyairi R.A berkata, bahawa aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara anak yatim, yang mana kedua ibubapanya seorang muslim, dengan memberi makanan dan minuman sehinggalah Allah S.W.T mengkayakannya yakni dia dapat memenuhi keperluannya sendiri, wajib baginya syurga." (HR Musnad Ahmad, Tabrani dan Majma uz Zawaid)
  • Dari Abdullah bin Umar R.Huma meriwayatkan bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W; "Ya Rasulullah, apakah satu amal yang paling baik di dalam Islam?" Baginda S.A.W menjawab "Memberi makan dan memberi salam samada kamu mengenalinya atau tidak." (HR Bukhari)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mukmin yang sempurna dikalangan orang yang beriman ialah orang yang baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kamu ialah orang yang berlaku baik terhadap isterinya." (HR Ahmad)
  • Dari Aishah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Sesungguhnya orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang terbaik akhlaknya dan berlemah lembut terhadap ahli keluarganya." (HR Tirmizi)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Diantara kamu orang yang paling aku cintai dan orang yang paling hampir kepadaku pada hari kiamat ialah orang yang baik akhlaknya." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mahukah daku khabarkan kepadamu siapakah orang yang diharamkan dari api neraka? Dan api neraka tidak akan menyentuhnya. Mereka adalah orang yang menghampiri orang lain dengan lemah lembut, berlebih kurang dan baik hati." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memiliki sebahagian yang kecil sombong di dalam hatinya, maka dia tidak dapat memasuki syurga." (HR Muslim)
  • Dari Abu Qatadah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Jikalau seseorang suka Allah S.W.T menyelamatkannya dari huru hara pada hari kiamat, maka hendaklah dia memberi kelonggaran (dalam membayar kembali pinjaman) kepada seseorang yang berada dalam keadaan terdesak, atau mengurangkan hutangnya (semuanya atau sebahagian)." (HR Muslim)
  • Dari Abu Zar R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Senyuman kepada saudara (muslim) mu adalah sedekah, menyeru kepada ma'ruf dan melarang dari mungkar adalah sedekah, menunjukkan jalan kepada seseoarng yang tersesat jalan adalah sedekah, menolong seorang yang penglihatannya kabur adalah sedekah, menyingkirkan batu-batu, duri dan tulang (dari jalan) adalah sedekah dan menuangkan air dari timbamu kepada timba saudaramu adalah sedekah. " (HR Tirmizi)
  • Dari Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan, dia akan mendapat pahala yang sama sebagaimana orang yang melakukan satu kebaikan, dan Allah menyukai orang yang menolong seorang dalam kesukaran." (HR Bazzar dan Targhib)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Seorang mukmin mencintai dan dicintai. Tidak ada kebaikan dalam diri seseorang yang tidak mencintai atau tidak berkasih sayang. Orang yang terbaik diantara manusia adalah orang yang paling banyak memberi manafaat kepada orang lain." (HR Dar Qutni dan Targhib)
  • Dari Qais bin Said R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Kalaulah aku diperintahkan bersujud kepada seseorang, nescaya aku akan perintahkan wanita-wanita bersujud keatas suami mereka, kerana haknya yang Allah SWT telah berikan kepada suami-suami." (HR Abu Daud)
  • Dari Ummu Salamah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mana-mana wanita yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya redha kepadanya, nescaya dia akan masuk kedalam syurga." (HR Tirmizi)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menjalin silaturrahim yakni berbuat baik kepada saudara-mara dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik ataupun diam." (HR Bukhari)
  • Dari Asma bin Yazid R.Ha berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara kehormatan saudaranya yang muslim ketika dia tidak ada (dimajlis itu, contohnya seseorang telah mengumpatnya, kemudian dia telah mencegah orang itu dari terus mengumpatnya), maka Allah SWT akan menjamin untuknya daripada pembebasan api neraka jahanam." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Perbanyakkan selawat kepadaku pada hari Jumaat, kerana baru sebentar tadi malaikat Jibrail A.S diutus oleh Allah SWT datang kepadaku lalu berkata : 'Barangsiapa dikalangan umat mu berselawat kepadamu (Muhammad) sekali, Aku (Allah) dan para malaikatKu akan berselawat (memohon pengampunan dan rahmat) untuknya sepuluh kali'." (HR Tabrani)
  • Hazrat Bara' R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Tidaklah kedua orang muslim bertemu dan bermusafaha (berjabat tangan) melainkan dosa-dosa kedua belah pihak diampuni sebelum mereka berpisah." (HR Abu Daud)
  • Hazrat Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Orang yang muda hendaklah memberi salam kepada orang yang tua. Orang yang berjalan hendaklah memberi salam kepada orang yang duduk. Orang yang sedikit memberi salam kepada orang yang lebih ramai." (HR Bukhari)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Bantulah saudaramu yang muslim dalam segala keadaan, bahkan apabila dia seorang yang zalim atau yang dizalimi" Seorang bertanya, "Ya Rasulullah, aku akan menolongnya apabila dia dizalimi, tetapi bagaimana aku dapat menolongnya apabila dia seorang penzalim?" Baginda S.A.W menjawab, "Engkau mencegah dia dari melakukan kezaliman kerana mencegahnya dari perbuatan zalimnya, itulah bantuanmu kepadanya." (HR Bukhari)
  • Hazrat Ibnu Abbas R.Huma meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa berjalan untuk menunaikan satu hajat seorang saudara adalah lebih baik daripada sepuluh tahun iktikaf. Barangsiapa yang beriktikaf sehari kerana Allah S.W.T akan dijauhkan daripada api neraka sejauh tiga parit, dan setiap parit luasnya diantara bumi dan langit." (HR Tabrani dan Majma uz Zawaid)

Konsep Politik Syura Menyubur Amalan Demokrasi

Tajdid Iman Bersama Dr Juanda Jaya

ISLAM menuntut penganutnya menjadi ahli politik yang handal walaupun tanpa kedudukan, jawatan dan kerusi empuk direbutkan dengan rakus oleh sesetengah pihak yang terseleweng matlamat agamanya. Pembabitan secara langsung atau tidak dalam politik adalah tanggungjawab setiap Muslim sebagai penegak keadilan agama Allah dan Rasul-Nya.

Politik sebahagian daripada agama dan ia tuntutan iman. Keimanan mewajibkan seseorang menegakkan amar makruf nahi munkar. Sesiapa yang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya, dia wajib menjadikan politik sebagai medan dakwah dan ibadah demi menegakkan yang hak dan mencegah yang batil. Politik adalah kerja mulia dan jihad terbaik kerana berkaitan secara langsung dengan pentadbiran urusan makhluk. Kalau ia diurus dalam bentuk yang terbaik, maka akan tertegak kalimah Allah di atas bumi ini.

Hadis Rasulullah SAW diriwayatkan Imam Muslim bermaksud: “Tidak ada seorang Nabi pun yang diutuskan Allah SWT di kalangan umat sebelumku melainkan wujud daripada golongan hawariyun (pembantu) dan sahabat yang mengambil sunnahnya dan mematuhi perintahnya. Kemudian dia meninggalkan selepas pengganti yang berkata apa yang tidak mereka kerjakan dan melakukan apa yang tidak diperintahkan.



“Sesiapa berjihad menentang mereka dengan tangan, dia adalah seorang mukmin. Sesiapa berjihad menentang mereka dengan lidah, dia adalah mukmin, sesiapa yang berjihad menentang mereka dengan hati maka dia adalah mukmin dan tidak ada di sebalik itu iman walaupun sebesar biji sawi.”

Tidak ada iman dalam diri seseorang jika hatinya tidak bersuara dan menentang apabila melihat kezaliman. Seorang mukmin dituntut sentiasa menjadi ahli politik yang sekurang-kurangnya memiliki kemahuan mengubah dengan hati atau jihad dengan hati apabila melihat kezaliman bermaharajalela.

Di samping itu dia perlu sentiasa berhati-hati terhadap kejahatan dirinya mudah terpengaruh dengan mengharap ganjaran dunia yang hina sehingga boleh mencacatkan niat suci dan ikhlas semata-mata kerana Allah SWT.

Sikap mengambil berat terhadap nasib rakyat perlu dijiwai dengan niat ibadah sambil menghadirkan rasa takut melakukan khianat terhadap mereka seperti hadis yang bermaksud: “Sesiapa yang tidak mengambil berat perihal urusan orang mukmin lain, maka dia bukan daripada kalangan mereka. Sesiapa yang tidak menjadi penasihat untuk Allah, Rasul-Nya, pemimpin umatnya dan orang awam, maka dia bukan daripada kalangan mereka. Pemilik kekayaan yang di sisinya ada orang tertidur kelaparan, maka Allah dan Rasul-Nya berlepas diri daripadanya (tidak diakui umat Muhammad).” (Hadis riwayat Al-Tabrani)

Sesiapa yang menjadikan Islam asas pegangan politik tetapi menutup pintu rumahnya daripada keperitan kemiskinan yang dideritai rakyat dan menutup mata daripada ketidakadilan yang dideritai umat, sesungguhnya perjuangan itu bukan berasas roh politik Islam.

Al-Imam Ibnu Al-Qayyim menyatakan ulasannya mengenai politik sebagai sebahagian daripada syarak:

“Sesungguhnya politik adil tidak bertentangan dengan apa yang dinyatakan syarak, bahkan ia selari dengan apa yang dibawanya dan satu juzuk daripadanya. Kami menamakannya sebagai politik seperti yang kamu istilahkan. Sesungguhnya ia keadilan Allah dan Rasul-Nya.” (Al-Turuq al-Hukmiyah Fi al-Siyasah al-Syar’iyyah)

Ramai ahli politik Muslim mengaku hanya diri dan partinya yang membela agama Islam, bangsa dan negara tetapi amalan dan kerja politiknya bertentangan dengan nilai Islam. Apakah mereka mempolitikkan Islam sebagai jenama saja demi mengaut keuntungan dunia dan demi meraih undi semata-mata?

Pada hakikatnya, rakyat mampu menilai sejauh mana khidmat pemimpin politik walaupun tanpa perlu mereka menjual agama dan semangat perkauman jahiliah yang dihembuskan dengan penuh kebencian. Politikus Islam adalah mereka yang dekat di hati rakyat, merasai sendiri nadi yang berdenyutkan penderitaan mereka, berasa kesakitan mereka dan bukan ungkapan retorik basi yang memualkan dan omong kosong saja.

Bagaimana umat boleh menjadi yang terbaik jika hanya disuap dengan kata manis berfalsafah yang tidak praktikal, bahkan kadangkala meminjam ayat al-Quran dan hadis Nabi SAW tanpa hak, tetapi mereka yang petah bercakap itu tak mampu mengurus masalah kemiskinan dan kebodohan rakyat, gejala sosial yang meruncing, hak rakyat yang belum dipenuhi dan pentadbiran tenggelam dalam rasuah.

Mereka menganggap isu itu seperti angin bertiup sepoi bahasa, sedangkan isu sebenar umpama puting beliung yang boleh meranapkan segalanya. Ke manakah masa depan agama, bangsa dan negara mahu dikemudi, jika parti politik yang mengaku berasaskan Islam dan perjuangannya saling bertelingkah sesama sendiri?

Mengapa membiarkan semangat satu agama, bangsa dan negara itu hancur berkecai oleh ego yang melampau? Mengapa tidak ditonjolkan akhlak Islam murni dalam mencari penyelesaian terhadap isu umat Islam, sedangkan Nabi Musa AS dan Nabi Harun AS disuruh bersikap lemah-lembut ketika menasihati Firaun yang sudah dilaknat al-Quran akibat kekejamannya. Seperti firman Allah SWT bermaksud: “Sesungguhnya Firaun berbuat sewenang-wenang di muka bumi dan menjadikan penduduknya berpecah-belah dengan menindas segolongan daripada mereka, menyembelih anak lelaki mereka dan membiarkan hidup -anak perempuan. Sesungguhnya Firaun termasuk orang yang berbuat kerosakan.” (Surah Al-Qasas ayat: 4)

Nabi Musa AS dan Nabi Harun AS menggunakan pendekatan politik bijaksana yang mengutamakan kompromi sebelum menyatakan dakwah ketika menghadapi Firaun seperti dirakamkan dalam al-Quran bermaksud: “Pergilah kamu berdua kepada Firaun, Sesungguhnya dia melampaui batas. Kemudian hendaklah kamu berdua berkata kepadanya dengan lemah lembut, mudah-mudahan dia beringat atau takut.” (Surah Taha ayat: 43-44)

Jika sesama parti politik Islam saling menghentam, berbalah sepanjang jalan tanpa mahu melihat konsep syura dan perundingan yang menjadi pilihan Rasul SAW ketika fasa dakwah pembinaan negara Islam yang termaktub dalam piagam hak asasi manusia pertama di Madinah dan dalam setiap langkah yang diambil baginda SAW, maka dikhuatiri ada pihak membenci Islam menangguk di air keruh. Akhirnya umat Islam juga yang rugi.

Allah berfirman menggesa umat Islam bersatu padu dan berwaspada dengan musuh dalam selimut bermaksud: “Janganlah orang Mukmin mengambil orang kafir menjadi teman rapat dengan meninggalkan orang Mukmin. Siapa berbuat demikian, nescaya lepaslah ia daripada pertolongan Allah kecuali kerana (siasat) memelihara diri daripada sesuatu yang ditakuti daripada mereka (kafir) dan Allah memperingatkan kamu terhadap diri-Nya (seksa) dan hanya kepada Allah kamu kembali.” (Surah Ali Imran ayat: 28)

Konsep syura dalam Islam tidak memandulkan demokrasi, kebebasan bersuara dan hak membangkang dengan hujah dan fakta yang bertanggungjawab, bahkan semua itu menjadi tunjang bagi pelaksanaan syura dalam politik bercirikan Islam. Pemimpin politik Muslim tidak teragak-agak menyatakan bantahan jika sesiapa melakukan kezaliman walaupun dari kalangan ahli parti sendiri.

Begitu juga apabila pihak lawan mengemukakan cadangan dan idea bernas dan benar demi kesejahteraan rakyat dan ia tidak bercanggah dengan syarak, mereka mesti sepakat dalam hal ini tanpa memandang kepada perbezaan parti. Bersatu untuk kebenaran dan sama membanteras kezaliman tanpa pandang bulu, tiada sedikitpun fanatisme parti antara mereka antara sifat politik Islam.

Amalan ini adalah gaya kepemimpinan Khalifah Rasulullah SAW. Abu Bakar ra ketika dilantik sebagai Amirul Mukminin berkata: “Wahai manusia aku dilantik untuk memerintah kamu, sedangkan aku bukan orang paling baik daripada kalangan kamu. Jika kamu melihat aku di atas kebenaran maka sokonglah aku. Jika aku di atas kebatilan, betulkan aku, taati aku selagi aku mentaati Allah dalam urusan kamu. Jika aku menderhakai Allah, maka tiada taat lagi untukku.”

Khalifah selepasnya, Umar al-Khattab ra pula berkata: “Semoga Allah merahmati seseorang yang menunjukkan kepadaku keaiban diriku. Wahai sekalian manusia! Sekiranya kamu melihat aku menyeleweng daripada kebenaran maka perbetulkanlah aku.” Lalu seorang lelaki bingkas berdiri dan berkata: “Wahai Ibnul Khattab. Demi Allah jika kami melihat kamu melakukan penyelewengan maka kami akan perbetulkannya dengan mata pedang kami.” Umar akur dan memuji tindakan lelaki ini.

Sesungguhnya menasihat pemimpin yang tersilap adalah kewajipan rakyat bahkan ia perintah Allah Taala dalam firman-Nya yang bermaksud: “Dan itulah (kisah) kaum Ad yang mengingkari tanda kekuasaan Tuhan mereka, dan menderhakai rasul Allah dan mereka menuruti perintah setiap ketua yang bermaharajalela lagi degil dalam keingkarannya.” (Surah Hud: 59)

Namun kaedah tidak berhikmah boleh menyumbang kepada perpecahan dan persengketaan lebih teruk. Oleh itu, kembali kepada sistem syura dan kasih sayang sesama Muslim untuk memperbetulkan iklim politik yang kini tenat dihentam gempa tsunami dan semakin kelam berjerebu.

Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah kerana sudi membaca artikel diatas. Sila lawati ke halaman utama untuk membaca lebih 2003 artikel yang terdapat disini. Jangan lupa berkongsi artikel diatas bersama anggota keluarga, saudara mara dan rakan taulan anda. Jika anda ingin memberi pendapat atau teguran, sila email kami di admin[at]mukmin.com.my, Insyallah kami berlapang dada untuk membacanya. Semoga kita dapat ambil manafaat bersama dengan Portal Mukmin ini. Insyallah.
Kembali Ke Halaman Utama | Papar Semua Tajuk Dibawah Kategori Yang Sama | Berkongsi Artikel Dengan Rakan Lain | Sertai Facebook Mukmin Portal

 
 

 

© Mukmin (Tiada Notis Copyright)

Paparan sesuai 1280 x 800 pixel (IE 7.0 keatas / Firefox 3.0 keatas)