Oleh MOHD. RADZI MOHD. ZIN
Unsur utama bagi persaudaraan ialah kewujudan perasaan kasih sayang. Islam telah meletakkan asas ini sebagai antara yang paling utama perhubungan hablum minannas (hubungan sesama manusia).
Ia sebagaimana dibuktikan dalam peristiwa hijrah Rasulullah SAW dari Mekah ke Madinah yang diperlihatkan melalui kisah persaudaraan kaum Ansar dan Muhajirin.
Di sinilah, letaknya antara keistimewaan Islam. Agama suci yang tidak membezakan keturunan, warna kulit, kedudukan seseorang mahu pun saiz fizikal sesuatu kaum. Waima orang Arab sekali pun, kerana yang lebih penting adalah tingkat keimanan pada diri seseorang.
Ini dijelaskan oleh sabda Rasulullah SAW yang maksud-Nya: Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada tubuh, rupa paras dan luaran kamu sebaliknya melihat kepada hati dan amalan kamu. (riwayat Muslim)
Oleh sebab itu, dalam masyarakat majmuk seperti Malaysia, kita dapat melihat betapa Islam itu bukan hanya dianuti oleh orang Melayu tetapi juga bangsa lain terutama Cina dan India.
Hal ini bukanlah suatu yang luar biasa kerana Islam sebagai agama yang sejahtera tidak membezakan umatnya sama ada yang dilahirkan sudah beragama Islam atau pun bagi mereka yang dilahirkan dalam agama lain tetapi kemudiannya memeluk Islam.
Pada majlis itu, isteri bekas Perdana Menteri, Tun Jeanne Abdullah menerima Anugerah Khas Saudara Muslim 2009 manakala Timbalan Presiden Persatuan Cina Muslim Malaysia (Macma) Ir. Dr. Mohamad Fuad Yeoh Abdullah dan Presiden Pertubuhan Penyebaran Islam Antarabangsa Malaysia (IPSI), Kamaruddin Abdullah dipilih menerima Anugerah Saudara Baru Cemerlang 2009.
Turut diadakan adalah acara kanak-kanak seperti pertandingan Jangan Lupa Ayat (al-Quran), menulis khat, membuat baju kertas (ibu dan anak), Akademi Bilal, ujian hafalan dan origami.
Farid menggariskan sekurang-kurangnya lapan cabaran yang dihadapi oleh saudara Muslim. Antaranya cabaran keluarga, cabaran masyarakat setempat, cabaran di tempat kerja dan cabaran mempelajari Islam.
Namun, tegas beliau, menjadi Muslim itu bukanlah bermula dengan material sebaliknya tahap keimanan yang teguh terhadap agama suci yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW.
"Kalau kita lihat, para sahabat yang mula-mula memeluk Islam semasa hayat Nabi SAW adalah terdiri daripada golongan mustad'afin (lemah) tetapi mereka akhirnya berjaya menjadi orang yang hebat. Contohnya, saidina Bilal bin Rabah dan Umar Abdul Aziz.
"Ia adalah berkat dakwah Rasulullah selama 23 tahun suatu tempoh yang bukan lama tetapi natijahnya dapat kita lihat di mana 1.6 bilion penduduk dunia kini adalah penganut Islam," katanya.
Menurut Farid, ini juga membuktikan bahawa golongan saudara Muslim itu boleh menjadi sebagaimana ditunjukkan oleh Umar yang menjadi khalifah selepas beliau memeluk Islam.
Umat yang hebat
Namun, cabaran kepada golongan yang dulunya disebut sebagai mualaf (kini diganti dengan saudara Muslim) itu lebih hebat berbanding kita yang dilahirkan sebagai Islam.
Persoalan berbaur prejudis seperti "kenapa engkau masuk Islam", "masuk Islam sebab nak kahwin atau hendak dapatkan bantuan" sudah lali kepada saudara Muslim.
Ini tidak termasuk sikap orang Islam yang memberi contoh kurang baik kepada saudara Muslim. Berapa ramai kita yang bukan sahaja tidak solat fardu tetapi cuba memperlekehkan saudara Muslim apabila mereka hendak mendirikan solat.
Demikian antara beberapa rintihan atau cabaran yang dilalui oleh saudara Muslim, kata Pengarah Institut Kajian Hadis, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), Mohd. Farid Ravi Abdullah.
Beliau berkata demikian semasa membentangkan kertas kerja bertajuk Saudara Muslim dan Keharmonian Hidup Beragama: Prospek Cabaran pada Konvensyen Saudara Muslim Peringkat Kebangsaan Tahun 2009 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, Sabtu lalu.
Moderator program ialah Pensyarah Kanan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, Dr. Mohd. Ridhuan Tee Abdullah.
Konvensyen sehari itu dihadiri oleh kira-kira 1,500 peserta dari seluruh negara. Ia dianjurkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan.
Demikian juga dengan keimanan Bilal yang walaupun diseksa dengan dihempap batu besar ke atas badannya dan dijemur di tengah panas gurun pasir, beliau tetap menyebut ahad, ahad (Allah yang Esa, Allah yang Esa).
"Namun, kita bagaimana? Adakah kita berhadapan dengan cabaran dakwah yang lebih hebat daripada kedua-dua contoh tadi sehingga kita tidak mahu memain peranan sebagai daie di muka bumi ini.
"Paling hebat cabaran kita barangkali cuma dicaci atau ditinggalkan oleh kumpulan yang hendak kita dakwahkan," kata beliau yang memeluk Islam pada usia 18 tahun.
Farid memberitahu, antara cabaran getir saudara Muslim adalah ancaman keluarga yang menentang perbuatan individu berkenaan memeluk Islam.
Ini termasuklah dihalau dari rumah, ugutan bunuh, mengganggu ketenteraman hidup sehinggalah ke tahap paling sukar apabila ibu atau ayah mengugut membunuh diri jika anak mereka terus kekal dalam Islam.
Di sinilah, kata beliau, masyarakat Islam harus berperanan membantu dengan menunjuk ajar dan memandu mereka ke jalan yang diredai.
Malangnya, ada segelintir masyarakat Islam yang tidak mengindahkan kehadiran saudara Muslim sehinggakan mereka merasai seolah-olah tersisih.
"Saudara baru perlu dilihat sebagai golongan Muhajirin manakala masyarakat Melayu Muslim sebagai Ansar. Bukan sekadar gelaran Muhajirin dan Ansar tetapi perlu dijelmakan dalam kehidupan seharian," tambah Farid.
Sementara itu, Ann Wan Seng @ Ann Abdullah pula menegaskan pentingnya masyarakat mengubah persepsi tentang saudara Muslim.
Katanya, golongan ini sering dicap sebagai suka meminta-minta dan mengharapkan pertolongan orang lain, faktor perkahwinan, mendapat kemudahan dan sebagai pelarian terhadap masalah yang mereka hadapi.
"Tanggapan dan anggapan ini semuanya tidak betul. Oleh itu menjadi tanggungjawab saudara Muslim membetulkan pandangan sedemikian.
"Apa yang penting perlu ada peningkatan daripada sebelum memeluk Islam dan selepas bergelar muslim, baik dari segi akhlak atau memantapkan lagi penguasaan ilmu agama," jelasnya yang memeluk Islam 13 tahun lalu.
Ann juga menyeru saudara Muslim mengikis perasaan malu untuk belajar mendalami Islam kerana beliau sendiri masih terus mendalami ilmu-ilmu agama.
"Saya tidak malu untuk mengaku yang saya mengambil masa yang agak lama untuk menghafal surah al-Fatihah dan paling sukar adalah mengingat doa qunut.
"Maklumlah, saya masuk Islam ketika dewasa, lidah pun sudah keras untuk menyebut huruf al-Quran, tetapi itu bukan alasan untuk tidak belajar," katanya disambut dengan tepukan gemuruh oleh para hadirin.
Turut hadir ialah Pengarah Bahagian Dakwah Jakim, Khalid Sintol dan Pengerusi Macma, Datuk Mustafa Ma.
Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah kerana sudi membaca artikel diatas. Sila lawati ke halaman utama untuk membaca lebih
2003 artikel yang terdapat disini. Jangan lupa berkongsi artikel diatas bersama anggota keluarga, saudara mara dan rakan taulan anda. Jika anda ingin memberi pendapat atau teguran, sila email kami di admin[at]mukmin.com.my, Insyallah kami berlapang dada untuk membacanya. Semoga kita dapat ambil manafaat bersama dengan Portal Mukmin ini. Insyallah.
Kembali Ke Halaman Utama | Papar Semua Tajuk Dibawah Kategori Yang Sama | Berkongsi Artikel Dengan Rakan Lain | Sertai Facebook Mukmin Portal
© Mukmin (Tiada Notis Copyright)
Paparan sesuai 1280 x 800 pixel (IE 7.0 keatas / Firefox 3.0 keatas)