• Dari Sahal R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Aku dan orang yang memelihara anak-anak yatim akan berada didalam syurga adalah seumpama dua anak jari ini." Disini Rasulullah S.A.W mengisyaratkan jari telunjuk dan jari tengahnya dimana terdapat hanya sedikit ruang diantara keduanya. (HR Bukhari)
  • Dari Amr bin Malik Al-Qusyairi R.A berkata, bahawa aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara anak yatim, yang mana kedua ibubapanya seorang muslim, dengan memberi makanan dan minuman sehinggalah Allah S.W.T mengkayakannya yakni dia dapat memenuhi keperluannya sendiri, wajib baginya syurga." (HR Musnad Ahmad, Tabrani dan Majma uz Zawaid)
  • Dari Abdullah bin Umar R.Huma meriwayatkan bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W; "Ya Rasulullah, apakah satu amal yang paling baik di dalam Islam?" Baginda S.A.W menjawab "Memberi makan dan memberi salam samada kamu mengenalinya atau tidak." (HR Bukhari)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mukmin yang sempurna dikalangan orang yang beriman ialah orang yang baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kamu ialah orang yang berlaku baik terhadap isterinya." (HR Ahmad)
  • Dari Aishah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Sesungguhnya orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang terbaik akhlaknya dan berlemah lembut terhadap ahli keluarganya." (HR Tirmizi)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Diantara kamu orang yang paling aku cintai dan orang yang paling hampir kepadaku pada hari kiamat ialah orang yang baik akhlaknya." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mahukah daku khabarkan kepadamu siapakah orang yang diharamkan dari api neraka? Dan api neraka tidak akan menyentuhnya. Mereka adalah orang yang menghampiri orang lain dengan lemah lembut, berlebih kurang dan baik hati." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memiliki sebahagian yang kecil sombong di dalam hatinya, maka dia tidak dapat memasuki syurga." (HR Muslim)
  • Dari Abu Qatadah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Jikalau seseorang suka Allah S.W.T menyelamatkannya dari huru hara pada hari kiamat, maka hendaklah dia memberi kelonggaran (dalam membayar kembali pinjaman) kepada seseorang yang berada dalam keadaan terdesak, atau mengurangkan hutangnya (semuanya atau sebahagian)." (HR Muslim)
  • Dari Abu Zar R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Senyuman kepada saudara (muslim) mu adalah sedekah, menyeru kepada ma'ruf dan melarang dari mungkar adalah sedekah, menunjukkan jalan kepada seseoarng yang tersesat jalan adalah sedekah, menolong seorang yang penglihatannya kabur adalah sedekah, menyingkirkan batu-batu, duri dan tulang (dari jalan) adalah sedekah dan menuangkan air dari timbamu kepada timba saudaramu adalah sedekah. " (HR Tirmizi)
  • Dari Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan, dia akan mendapat pahala yang sama sebagaimana orang yang melakukan satu kebaikan, dan Allah menyukai orang yang menolong seorang dalam kesukaran." (HR Bazzar dan Targhib)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Seorang mukmin mencintai dan dicintai. Tidak ada kebaikan dalam diri seseorang yang tidak mencintai atau tidak berkasih sayang. Orang yang terbaik diantara manusia adalah orang yang paling banyak memberi manafaat kepada orang lain." (HR Dar Qutni dan Targhib)
  • Dari Qais bin Said R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Kalaulah aku diperintahkan bersujud kepada seseorang, nescaya aku akan perintahkan wanita-wanita bersujud keatas suami mereka, kerana haknya yang Allah SWT telah berikan kepada suami-suami." (HR Abu Daud)
  • Dari Ummu Salamah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mana-mana wanita yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya redha kepadanya, nescaya dia akan masuk kedalam syurga." (HR Tirmizi)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menjalin silaturrahim yakni berbuat baik kepada saudara-mara dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik ataupun diam." (HR Bukhari)
  • Dari Asma bin Yazid R.Ha berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara kehormatan saudaranya yang muslim ketika dia tidak ada (dimajlis itu, contohnya seseorang telah mengumpatnya, kemudian dia telah mencegah orang itu dari terus mengumpatnya), maka Allah SWT akan menjamin untuknya daripada pembebasan api neraka jahanam." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Perbanyakkan selawat kepadaku pada hari Jumaat, kerana baru sebentar tadi malaikat Jibrail A.S diutus oleh Allah SWT datang kepadaku lalu berkata : 'Barangsiapa dikalangan umat mu berselawat kepadamu (Muhammad) sekali, Aku (Allah) dan para malaikatKu akan berselawat (memohon pengampunan dan rahmat) untuknya sepuluh kali'." (HR Tabrani)
  • Hazrat Bara' R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Tidaklah kedua orang muslim bertemu dan bermusafaha (berjabat tangan) melainkan dosa-dosa kedua belah pihak diampuni sebelum mereka berpisah." (HR Abu Daud)
  • Hazrat Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Orang yang muda hendaklah memberi salam kepada orang yang tua. Orang yang berjalan hendaklah memberi salam kepada orang yang duduk. Orang yang sedikit memberi salam kepada orang yang lebih ramai." (HR Bukhari)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Bantulah saudaramu yang muslim dalam segala keadaan, bahkan apabila dia seorang yang zalim atau yang dizalimi" Seorang bertanya, "Ya Rasulullah, aku akan menolongnya apabila dia dizalimi, tetapi bagaimana aku dapat menolongnya apabila dia seorang penzalim?" Baginda S.A.W menjawab, "Engkau mencegah dia dari melakukan kezaliman kerana mencegahnya dari perbuatan zalimnya, itulah bantuanmu kepadanya." (HR Bukhari)
  • Hazrat Ibnu Abbas R.Huma meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa berjalan untuk menunaikan satu hajat seorang saudara adalah lebih baik daripada sepuluh tahun iktikaf. Barangsiapa yang beriktikaf sehari kerana Allah S.W.T akan dijauhkan daripada api neraka sejauh tiga parit, dan setiap parit luasnya diantara bumi dan langit." (HR Tabrani dan Majma uz Zawaid)

Kpi Ramadan: Di Mana Kita?

Oleh Idris Musa
idris@hmetro.com.my


HARI ini sudah 21 hari umat Islam menunaikan ibadat puasa Ramadan. Sembilan hari lagi, seluruh Muslim akan menyambut hari kemenangan, Aidilfitri.


HARI ini sudah 21 hari umat Islam menunaikan ibadat puasa Ramadan. Sembilan hari lagi, seluruh Muslim akan menyambut hari kemenangan, Aidilfitri.

Pada penghujung Ramadan ini, apabila kedudukan kita sebagai umat Islam dalam menjalani ibadat berpuasa, adakah semakin bersemangat atau sudah lembik?


Jika mengikut Indek Prestasi Kerja (KPI), adakah kita sudah mencapai standard yang ditetapkan Allah atau masih jauh dari sasaran?

Jika kita teguh dengan kata-kata, pada awal Ramadan rahmat, dipertengahannya mendapat keampunan dan hujungnya dijauhkan daripada api neraka, Alhamdulillah kita di jalan yang betul.

Bagaimanapun, jika pada awalnya saja bersemangat, tetapi di pertengahan lemah dan di hujungnya terkulai, rugilah ibadat puasa yang dijalankan sepanjang Ramadan.

Melihat tabiat umat Islam di negara ini setiap kali kehadiran Ramadan, kadangkala kita tertanya-tanya, apakah mereka faham tujuan berpuasa Ramadan.

Jika meninjau kebanyakan masjid, pada awal Ramadan, jemaah penuh menunaikan solat Tarawih, tetapi pada pertengahan dan hujungnya, jumlah mereka tinggal separuh daripada kapisiti jemaah.

Mengapa perkara itu boleh berlaku? Jika pada awal Ramadan, masjid penuh dengan jemaah yang menunaikan solat Tarawih, sepatutnya di pertengahan dan hujungnya, keadaan adalah sama.

Tetapi, sayangnya tidak begitu. Kebanyakan masjid suram di hujung Ramadan. Ramai umat Islam sibuk membuat persiapan Aidilfitri, membuat kuih raya, bermain mercun atau berpusu-pusu ke pusat beli-belah.

Justeru, di mana KPI berpuasa mereka sepanjang Ramadan ini?

Perunding Motivasi Human-Touch Consultant, Mohd Zawawi Yusoh, berkata sebahagian umat Islam semakin hilang stamina beribadat dan jumlah jemaah menunaikan solat tarawih merudum pada hujung Ramadan.

"Malah, jemaah makin maju ke depan, sebabnya di belakang sudah kosong dan makin kurang jemaah.

"Sepatutnya makin ke hujung Ramadan makin seronok dengan janji fadilat Ramadan," katanya.

Persoalannya, mengapa fenomena begini berlaku dan tidak serupa semaraknya ketika awal dahulu?

Ibadat yang dilakukan bukan saja berkurang kuantitinya malah kualitinya boleh dipersoalkan. Mengapa umat Islam di negara ini tidak mahu mencari fadilat pada 10 malam terakhir Ramadan yang terkandung satu malam yang sangat berkat, iaitu Lailatul Qadar?

Daripada Aisyah r.a katanya: "Rasulullah s.a.w memperbanyakkan amalan apabila sampai hari yang ke-10 terakhir Ramadan, Baginda juga membangunkan isterinya agar beribadat (solat sunat, membaca al-Quran, berzikir dan lainnya). Baginda juga menjauhkan diri daripada bergaul serta bermesra dengan isterinya." (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Menurut ulama, Lailatul Qadar kemuncak Ramadan kerana kemuliaannya yang diterangkan di dalam al-Quran dan hadis Nabi s.a.w, malah malam berkenaan dirakamkan khusus dalam satu surah dalam al-Quran.

Orang yang tekun beribadat pada 10 malam yang berkenaan akan mendapat rahmat dijanjikan kerana sudah sabit dalam hadis yang sahih, Lailatul Qadar wujud pada satu daripada 10 malam itu.

Justeru, orang yang tekun beribadat pada 10 malam terbabit akan mendapat rahmat yang dijanjikan itu, sama ada dia menemuinya atau tidak. Jika bertemunya, berdoa untuk kebaikan, kesejahteraan dan keampunan.

Mohd Zawawi berkata, generasi salafussoleh dahulu makin tidak senang duduk apabila Ramadan makin memasuki penghujung kerana bersemangat hingga bergilir tidur, bangun dan saling mengejutkan yang lain untuk qiamullail.

"Boleh jadi juga tanggapan tak betul dalam menghayati ibadat Ramadan. Kalau beribadat hanya ikutan sahaja, dorongan memang tak kuat. Bukan sahaja tak kuat, tetapi tak dapat bertahan, hanya main ikut 'mood'.

"Hari ada 'mood', beribadat bukan main manakala hari tak ada 'mood' main-main pula beribadat," katanya, sambil menegaskan: "Beribadat bukannya boleh dibuat main-main sebab ibadat hendak masuk syurga."

Hadis Nabi s.a.w bermaksud: "Jalan ke syurga penuh dengan duri manakala jalan ke neraka penuh dengan seronok dan lalai."

Solat katanya, memang duri bagi mereka yang tidak bersungguh-sungguh, manakala Tarawih beratnya dirasa seperti ditusuk duri.

"Duduk lama sedikit ketika bertadarus tidak tahan, sebab terasa macam duri," katanya.

Beliau berkata, dek salah faham antara makna Ramadan dan bulan puasa juga menjadi sebab kenapa ramai cepat sangat malas menggandakan ibadat?

"Kalau difahami ini bulan puasa, seolah-olah bulan ini hanya untuk puasa. Orang ajak buat kerja lebih sedikit, dia kata ini bulan puasalah.

"Apabila diajak bergotong-royong, dijawab ini bulan puasalah dan bila hendak buat kursus ketika bulan puasa, terus disanggahnya, 'ini bulan puasa', seolah-olah bulan ini bulan rehat saja.

"Berbeza dengan kefahaman Ramadan, sebab apabila difahami ini Ramadan bermakna bulan ini bukan hanya untuk berpuasa.

"Malah, bulan ini menjadi penghulu segala bulan kerana sangat banyak ibadat yang perlu dilakukan sebagai pakej," katanya.

Menurutnya, bulan ini juga adalah bulan mencipta prestasi kerana dalam sejarah Islam, perang pertama berlaku dalam keadaan lapar kerana berpuasa.

"Boleh jadi juga semakin tidak bersemangat sebab jahil mengenai ganjaran dan nilai yang terkandung dalam ibadat pada Ramadan.

"Inilah akibatnya tak bersedia dengan ilmu ketika menyambut kedatangan Ramadan. Tak baca dan menelaah kembali hakikat tawaran Allah.

"Sehingga yang terpikat bukannya tawaran Allah, tetapi lebih kepada jualan murah 'beli dan belah'. Membeli bukan main sakan, tetapi bab ibadat asyik belah saja," katanya.

Kekurangan stamina sebelum Ramadan lagi, katanya, menjadi satu lagi punca yang menyebabkan momentum beribadat ketika Ramadan tidak begitu stabil.

"Benarlah doa Nabi s.a.w yang bermaksud: "Ya Allah berkatkan Rejab dan Sya'ban serta panjangkan umur sehingga Ramadan."

"Rupanya kerajinan beribadat sepatutnya sudah bermula persiapannya sejak Rejab lagi dan kalau ikut sepatutnya memang sejak baligh lagi sudah kena rajin beribadat.

"Kalau sudah mula berazam nutuk bersungguh ketika Rejab lagi taklah terkejut melayani dan menangani jadual ibadat Ramadan.

"Bayangkan kalau jarang ke masjid, tetapi bila saja tiba puasa hendak berterusan 30 hari ke masjid.

"Rasanya, mungkin tak larat. Begitu juga dengan membaca al-Quran, berbulan-bulan tak ada jadual membaca al-Quran, tiba-tiba hendak khatam 30 juzuk, memang berat sangatlah," katanya.

Tanggapan sesetengah pihak yang berasakan usianya masih panjang dan muda juga menyebabkan ibadat Ramadan tidak dilakukan bersungguh-sungguh sehingga ke akhir bulan.

"Sekarang masa bersuka ria, masih bujang lagi, nanti apabila sudah kahwin atau bila tua barulah ibadat betul-betul dan ini pun satu punca tidak bersungguh dalam beribadat.

"Kalau yang muda terasa masih awal serta banyak lagi peluang dan ruang, kerenah yang tua pula mula pasang angan-angan walaupun ramai teman taulan sudah jalan.

"Mati bukan ikut usia dan penyakit, tetapi rahsia Allah. Marilah pada kesempatan Ramadan yang masih berbaki kita bersungguh-sungguh menggandakan ibadat.

"Ini supaya kita berasakan kehangatan pesta ibadat menjadi hiburan dan pengisian rohani agar bersiap dengan bekal mencukupi di alam selepas dibangkitkan semula," katanya.


Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah kerana sudi membaca artikel diatas. Sila lawati ke halaman utama untuk membaca lebih 2003 artikel yang terdapat disini. Jangan lupa berkongsi artikel diatas bersama anggota keluarga, saudara mara dan rakan taulan anda. Jika anda ingin memberi pendapat atau teguran, sila email kami di admin[at]mukmin.com.my, Insyallah kami berlapang dada untuk membacanya. Semoga kita dapat ambil manafaat bersama dengan Portal Mukmin ini. Insyallah.
Kembali Ke Halaman Utama | Papar Semua Tajuk Dibawah Kategori Yang Sama | Berkongsi Artikel Dengan Rakan Lain | Sertai Facebook Mukmin Portal

 
 

 

© Mukmin (Tiada Notis Copyright)

Paparan sesuai 1280 x 800 pixel (IE 7.0 keatas / Firefox 3.0 keatas)