• Dari Sahal R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Aku dan orang yang memelihara anak-anak yatim akan berada didalam syurga adalah seumpama dua anak jari ini." Disini Rasulullah S.A.W mengisyaratkan jari telunjuk dan jari tengahnya dimana terdapat hanya sedikit ruang diantara keduanya. (HR Bukhari)
  • Dari Amr bin Malik Al-Qusyairi R.A berkata, bahawa aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara anak yatim, yang mana kedua ibubapanya seorang muslim, dengan memberi makanan dan minuman sehinggalah Allah S.W.T mengkayakannya yakni dia dapat memenuhi keperluannya sendiri, wajib baginya syurga." (HR Musnad Ahmad, Tabrani dan Majma uz Zawaid)
  • Dari Abdullah bin Umar R.Huma meriwayatkan bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W; "Ya Rasulullah, apakah satu amal yang paling baik di dalam Islam?" Baginda S.A.W menjawab "Memberi makan dan memberi salam samada kamu mengenalinya atau tidak." (HR Bukhari)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mukmin yang sempurna dikalangan orang yang beriman ialah orang yang baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kamu ialah orang yang berlaku baik terhadap isterinya." (HR Ahmad)
  • Dari Aishah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Sesungguhnya orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang terbaik akhlaknya dan berlemah lembut terhadap ahli keluarganya." (HR Tirmizi)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Diantara kamu orang yang paling aku cintai dan orang yang paling hampir kepadaku pada hari kiamat ialah orang yang baik akhlaknya." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mahukah daku khabarkan kepadamu siapakah orang yang diharamkan dari api neraka? Dan api neraka tidak akan menyentuhnya. Mereka adalah orang yang menghampiri orang lain dengan lemah lembut, berlebih kurang dan baik hati." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memiliki sebahagian yang kecil sombong di dalam hatinya, maka dia tidak dapat memasuki syurga." (HR Muslim)
  • Dari Abu Qatadah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Jikalau seseorang suka Allah S.W.T menyelamatkannya dari huru hara pada hari kiamat, maka hendaklah dia memberi kelonggaran (dalam membayar kembali pinjaman) kepada seseorang yang berada dalam keadaan terdesak, atau mengurangkan hutangnya (semuanya atau sebahagian)." (HR Muslim)
  • Dari Abu Zar R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Senyuman kepada saudara (muslim) mu adalah sedekah, menyeru kepada ma'ruf dan melarang dari mungkar adalah sedekah, menunjukkan jalan kepada seseoarng yang tersesat jalan adalah sedekah, menolong seorang yang penglihatannya kabur adalah sedekah, menyingkirkan batu-batu, duri dan tulang (dari jalan) adalah sedekah dan menuangkan air dari timbamu kepada timba saudaramu adalah sedekah. " (HR Tirmizi)
  • Dari Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan, dia akan mendapat pahala yang sama sebagaimana orang yang melakukan satu kebaikan, dan Allah menyukai orang yang menolong seorang dalam kesukaran." (HR Bazzar dan Targhib)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Seorang mukmin mencintai dan dicintai. Tidak ada kebaikan dalam diri seseorang yang tidak mencintai atau tidak berkasih sayang. Orang yang terbaik diantara manusia adalah orang yang paling banyak memberi manafaat kepada orang lain." (HR Dar Qutni dan Targhib)
  • Dari Qais bin Said R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Kalaulah aku diperintahkan bersujud kepada seseorang, nescaya aku akan perintahkan wanita-wanita bersujud keatas suami mereka, kerana haknya yang Allah SWT telah berikan kepada suami-suami." (HR Abu Daud)
  • Dari Ummu Salamah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mana-mana wanita yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya redha kepadanya, nescaya dia akan masuk kedalam syurga." (HR Tirmizi)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menjalin silaturrahim yakni berbuat baik kepada saudara-mara dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik ataupun diam." (HR Bukhari)
  • Dari Asma bin Yazid R.Ha berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara kehormatan saudaranya yang muslim ketika dia tidak ada (dimajlis itu, contohnya seseorang telah mengumpatnya, kemudian dia telah mencegah orang itu dari terus mengumpatnya), maka Allah SWT akan menjamin untuknya daripada pembebasan api neraka jahanam." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Perbanyakkan selawat kepadaku pada hari Jumaat, kerana baru sebentar tadi malaikat Jibrail A.S diutus oleh Allah SWT datang kepadaku lalu berkata : 'Barangsiapa dikalangan umat mu berselawat kepadamu (Muhammad) sekali, Aku (Allah) dan para malaikatKu akan berselawat (memohon pengampunan dan rahmat) untuknya sepuluh kali'." (HR Tabrani)
  • Hazrat Bara' R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Tidaklah kedua orang muslim bertemu dan bermusafaha (berjabat tangan) melainkan dosa-dosa kedua belah pihak diampuni sebelum mereka berpisah." (HR Abu Daud)
  • Hazrat Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Orang yang muda hendaklah memberi salam kepada orang yang tua. Orang yang berjalan hendaklah memberi salam kepada orang yang duduk. Orang yang sedikit memberi salam kepada orang yang lebih ramai." (HR Bukhari)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Bantulah saudaramu yang muslim dalam segala keadaan, bahkan apabila dia seorang yang zalim atau yang dizalimi" Seorang bertanya, "Ya Rasulullah, aku akan menolongnya apabila dia dizalimi, tetapi bagaimana aku dapat menolongnya apabila dia seorang penzalim?" Baginda S.A.W menjawab, "Engkau mencegah dia dari melakukan kezaliman kerana mencegahnya dari perbuatan zalimnya, itulah bantuanmu kepadanya." (HR Bukhari)
  • Hazrat Ibnu Abbas R.Huma meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa berjalan untuk menunaikan satu hajat seorang saudara adalah lebih baik daripada sepuluh tahun iktikaf. Barangsiapa yang beriktikaf sehari kerana Allah S.W.T akan dijauhkan daripada api neraka sejauh tiga parit, dan setiap parit luasnya diantara bumi dan langit." (HR Tabrani dan Majma uz Zawaid)

Kuliah Tafsir ayat 97-100 surah al-Maidah

Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang

Islam iktiraf bulan yang amat dihormati di zaman jahiliyah

Allah Ta'ala menjadikan Ka'abah sebagai tempat berdiri bagi manusia sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: "Sebagai tempat berdiri bagi manusia." (Surah al-Maidah: 97) Manusia berdiri untuk beribadat dan melakukan perkara berbentuk duniawi dengan cara yang diberkati oleh Allah SWT.

Firman Allah yang bermaksud: "...bulan yang diharamkan berperang padanya." (Surah al-Maidah: 97) iaitulah bulan Zul Qaedah, Zul Hijjah, Muharram dan Rejab. Bulan-bulan ini dihormati sejak zaman jahiliyyah lagi dan diiktiraf oleh Islam kerana Islam mengiktiraf perdamaian. Perkara ini akan dibincang secara panjang lebar dalam Surah Baraah.

Seterusnya Allah Ta'ala berfirman yang bermaksud: "... dan binatang-binatang yang dihadiahkan (ke Baitillahil Haram oleh orang haji)." (Surah al-Maidah: 97) Hadiah ini berlaku dengan penyembelihan qurban atau membayar dam ketika mereka melakukan haji.

Firman Allah yang bermaksud:

"...dan kalong-kalong yang diletakkan pada binatang (ditentukan untuk menyembelih dam)." (Surah al-Maidah: 97).

Binatang itu diikat dengan tali dan seumpamanya untuk dijadikan penanda bagi tujuan tersebut.

Firman Allah yang bermaksud:

"...yang demikian supaya kamu mengetahui bahawa Allah Maha Mengetahui apa yang ada di langit dan di bumi dan sesungguhnya Allah itu Maha Mengetahui tiap-tiap sesuatu." (Surah al-Maidah: 97)

Allah sememangnya Maha Mengetahui tiap-tiap sesuatu dan kamu hendaklah beriman betapa mengetahui-Nya Allah SWT lebih dari makhluk-Nya, kamu tidak boleh menyembunyikan sedikit pun dari ilmu Allah Yang Maha Luas itu.

Firman Allah yang bermaksud:

"Ketahuilah sesungguhnya Allah itu sangat keras balasan-Nya (hukuman-Nya) dan Allah itu Maha Pengampun Lagi Maha Penyayang." (Surah al-Maidah: 98).

Oleh itu kamu hendaklah takut kepada-Nya dan mengharapkan keampunan dan rahmat daripada-Nya dengan memohon maaf dan bertaubat di atas kesalahan yang dilakukan mudah-mudahan Allah Mengampunkan dosa kamu.

Sesungguhnya Allah tidak sekali-kali memungkiri janji, ketika Dia berjanji. Kita mesti yakin dengan janji-janji Allah, keampunan dan rahmat-Nya.

Firman Allah yang bermaksud:

"Tidak ada kewajipan yang ditugaskan kepada Rasulullah selain daripada menyampaikan perintah-perintah Allah sahaja dan Allah sentiasa Mengetahui apa yang kamu lahirkan dan apa yang kamu sembunyikan." (Surah al-Maidah: 99)

Ayat ini menjelaskan bahawa Allah SWT mengumumkan kepada kita bahawa tugas Rasulullah s.a.w. ialah menyampaikan ajaran Allah.

Adapun sama ada manusia menerimanya ataupun tidak, itu terpulang kepada masing-masing. Apabila manusia tidak menerima ajaran yang disampaikan oleh Rasulullah s.a.w. dan mereka tidak beramal dengannya, Allah tidak menyalahkan Rasulullah s.a.w. Yang salah ialah manusia sendiri.

Firman Allah Ta'ala yang bermaksud:

"...tidaklah diperintah kepada Rasul itu (Nabi Muhammad s.a.w.) melainkan menyampaikan ajaran Allah." (Surah al-Maidah: 99)

Adapun taufiq dan hidayah serta pahala yang diperolehi, terpulang kepada amalan masing-masing.

Firman Allah yang bermaksud:

"...Allah Mengetahui apa yang kamu lahirkan dan apa yang kamu sembunyikan." (Surah al-Maidah: 99)

Apa yang kamu lahirkan dengan perangai kamu yang dapat dilihat, semuanya diketahui oleh Allah termasuk apa yang kamu sembunyikan di dalam hati kamu daripada perasaan kufur dan munafiq.

Allah Ta'ala Maha Mengetahuinya walaupun kamu bercakap dengan lidah bahawa kamu juga seorang Islam pada hal hati kamu tidak percaya kepada Islam. Allah Maha Mengetahui apa yang kamu sembunyikan dan Dia juga Maha Mengetahui segala-galanya.

Seterusnya Allah berfirman yang bermaksud:

"Tidak sama sesuatu yang buruk dengan yang baik walaupun mengkagumkan engkau banyaknya yang buruk, maka bertaqwalah kepada Allah, wahai orang yang mempunyai akal fikiran supaya kamu mencapai kejayaan." (Surah al-Maidah : 100)

Al-Hassan berkata yang dimaksudkan dengan buruk dan baik di sini ialah halal dan haram. As-Suddi pula berkata, ia adalah orang beriman dan orang yang kafir.

Setengah ulama lain berkata, maksudnya ialah yang taat dan yang derhaka. Setengah ulama berkata dimaksudkan kedua-dua kalimah itu ialah yang buruk dan yang baik.

Al-Qurtubi berkata (di dalam tafsirnya) ia mengandungi semua perkara tersebut.

Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah kerana sudi membaca artikel diatas. Sila lawati ke halaman utama untuk membaca lebih 2003 artikel yang terdapat disini. Jangan lupa berkongsi artikel diatas bersama anggota keluarga, saudara mara dan rakan taulan anda. Jika anda ingin memberi pendapat atau teguran, sila email kami di admin[at]mukmin.com.my, Insyallah kami berlapang dada untuk membacanya. Semoga kita dapat ambil manafaat bersama dengan Portal Mukmin ini. Insyallah.
Kembali Ke Halaman Utama | Papar Semua Tajuk Dibawah Kategori Yang Sama | Berkongsi Artikel Dengan Rakan Lain | Sertai Facebook Mukmin Portal

 
 

 

© Mukmin (Tiada Notis Copyright)

Paparan sesuai 1280 x 800 pixel (IE 7.0 keatas / Firefox 3.0 keatas)