• Dari Sahal R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Aku dan orang yang memelihara anak-anak yatim akan berada didalam syurga adalah seumpama dua anak jari ini." Disini Rasulullah S.A.W mengisyaratkan jari telunjuk dan jari tengahnya dimana terdapat hanya sedikit ruang diantara keduanya. (HR Bukhari)
  • Dari Amr bin Malik Al-Qusyairi R.A berkata, bahawa aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara anak yatim, yang mana kedua ibubapanya seorang muslim, dengan memberi makanan dan minuman sehinggalah Allah S.W.T mengkayakannya yakni dia dapat memenuhi keperluannya sendiri, wajib baginya syurga." (HR Musnad Ahmad, Tabrani dan Majma uz Zawaid)
  • Dari Abdullah bin Umar R.Huma meriwayatkan bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W; "Ya Rasulullah, apakah satu amal yang paling baik di dalam Islam?" Baginda S.A.W menjawab "Memberi makan dan memberi salam samada kamu mengenalinya atau tidak." (HR Bukhari)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mukmin yang sempurna dikalangan orang yang beriman ialah orang yang baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kamu ialah orang yang berlaku baik terhadap isterinya." (HR Ahmad)
  • Dari Aishah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Sesungguhnya orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang terbaik akhlaknya dan berlemah lembut terhadap ahli keluarganya." (HR Tirmizi)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Diantara kamu orang yang paling aku cintai dan orang yang paling hampir kepadaku pada hari kiamat ialah orang yang baik akhlaknya." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mahukah daku khabarkan kepadamu siapakah orang yang diharamkan dari api neraka? Dan api neraka tidak akan menyentuhnya. Mereka adalah orang yang menghampiri orang lain dengan lemah lembut, berlebih kurang dan baik hati." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memiliki sebahagian yang kecil sombong di dalam hatinya, maka dia tidak dapat memasuki syurga." (HR Muslim)
  • Dari Abu Qatadah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Jikalau seseorang suka Allah S.W.T menyelamatkannya dari huru hara pada hari kiamat, maka hendaklah dia memberi kelonggaran (dalam membayar kembali pinjaman) kepada seseorang yang berada dalam keadaan terdesak, atau mengurangkan hutangnya (semuanya atau sebahagian)." (HR Muslim)
  • Dari Abu Zar R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Senyuman kepada saudara (muslim) mu adalah sedekah, menyeru kepada ma'ruf dan melarang dari mungkar adalah sedekah, menunjukkan jalan kepada seseoarng yang tersesat jalan adalah sedekah, menolong seorang yang penglihatannya kabur adalah sedekah, menyingkirkan batu-batu, duri dan tulang (dari jalan) adalah sedekah dan menuangkan air dari timbamu kepada timba saudaramu adalah sedekah. " (HR Tirmizi)
  • Dari Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan, dia akan mendapat pahala yang sama sebagaimana orang yang melakukan satu kebaikan, dan Allah menyukai orang yang menolong seorang dalam kesukaran." (HR Bazzar dan Targhib)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Seorang mukmin mencintai dan dicintai. Tidak ada kebaikan dalam diri seseorang yang tidak mencintai atau tidak berkasih sayang. Orang yang terbaik diantara manusia adalah orang yang paling banyak memberi manafaat kepada orang lain." (HR Dar Qutni dan Targhib)
  • Dari Qais bin Said R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Kalaulah aku diperintahkan bersujud kepada seseorang, nescaya aku akan perintahkan wanita-wanita bersujud keatas suami mereka, kerana haknya yang Allah SWT telah berikan kepada suami-suami." (HR Abu Daud)
  • Dari Ummu Salamah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mana-mana wanita yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya redha kepadanya, nescaya dia akan masuk kedalam syurga." (HR Tirmizi)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menjalin silaturrahim yakni berbuat baik kepada saudara-mara dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik ataupun diam." (HR Bukhari)
  • Dari Asma bin Yazid R.Ha berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara kehormatan saudaranya yang muslim ketika dia tidak ada (dimajlis itu, contohnya seseorang telah mengumpatnya, kemudian dia telah mencegah orang itu dari terus mengumpatnya), maka Allah SWT akan menjamin untuknya daripada pembebasan api neraka jahanam." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Perbanyakkan selawat kepadaku pada hari Jumaat, kerana baru sebentar tadi malaikat Jibrail A.S diutus oleh Allah SWT datang kepadaku lalu berkata : 'Barangsiapa dikalangan umat mu berselawat kepadamu (Muhammad) sekali, Aku (Allah) dan para malaikatKu akan berselawat (memohon pengampunan dan rahmat) untuknya sepuluh kali'." (HR Tabrani)
  • Hazrat Bara' R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Tidaklah kedua orang muslim bertemu dan bermusafaha (berjabat tangan) melainkan dosa-dosa kedua belah pihak diampuni sebelum mereka berpisah." (HR Abu Daud)
  • Hazrat Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Orang yang muda hendaklah memberi salam kepada orang yang tua. Orang yang berjalan hendaklah memberi salam kepada orang yang duduk. Orang yang sedikit memberi salam kepada orang yang lebih ramai." (HR Bukhari)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Bantulah saudaramu yang muslim dalam segala keadaan, bahkan apabila dia seorang yang zalim atau yang dizalimi" Seorang bertanya, "Ya Rasulullah, aku akan menolongnya apabila dia dizalimi, tetapi bagaimana aku dapat menolongnya apabila dia seorang penzalim?" Baginda S.A.W menjawab, "Engkau mencegah dia dari melakukan kezaliman kerana mencegahnya dari perbuatan zalimnya, itulah bantuanmu kepadanya." (HR Bukhari)
  • Hazrat Ibnu Abbas R.Huma meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa berjalan untuk menunaikan satu hajat seorang saudara adalah lebih baik daripada sepuluh tahun iktikaf. Barangsiapa yang beriktikaf sehari kerana Allah S.W.T akan dijauhkan daripada api neraka sejauh tiga parit, dan setiap parit luasnya diantara bumi dan langit." (HR Tabrani dan Majma uz Zawaid)

Makmum Kena Ganti Imam Terbatal Solat

Soal Jawab Agama: Makmum kena ganti imam terbatal solat
Oleh Ustaz Zamanuddin Jusoh

2010/07/02
Ibadat asas perlu diselesaikan sehingga sempurna, tidak boleh dilakukan sambil lewa

Soalan: SAYA masih keliru dengan perkara menukar imam dalam solat kerana ini adalah perkara yang jarang-jarang terjadi dalam solat. Bagaimana ia terjadi? Bolehkah diterangkan hakikat sebenar perkara itu, cara pelaksanaan dan hukum berkaitan dengannya? Hakimi, Kuching, Sarawak.
Jawapan: Solat adalah ibadat yang mempunyai kehormatannya tersendiri kerana solat ibadat yang utama di dalam syariat Islam. Maka wajarlah kita memelihara solat dari awal hinggalah penghujungnya dengan mengikut semua perbuatan imam dari mula takbiratul ihram, disudahi dengan salam.

Sabda Rasulullah SAW dalam hadis sahih yang bermaksud: “Sesungguhnya dijadikan imam itu adalah untuk diikuti.” (Al-Hadis).

Oleh demikian, ulama sepakat mengatakan bahawa memutuskan solat dengan sengaja adalah haram hukumnya. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Janganlah kamu membatalkan amal ibadat kamu.” (Surah Muhammad, ayat 33).
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Jika kamu melaksanakan solat fardu, maka jangan keluar darinya untuk menuju kepada pekerjaan lain.” (Hadis riwayat Tabrani dari Abdullah Bin Mas’ud).

Bagi yang terlupa atau tertinggal sesuatu perkara sunat dalam solat umpamanya qunut atau tasyahhud awal, maka hendaklah digantikan dengan sujud sahwi. Apabila imam terbatal solatnya, maka dia akan keluar dari solat dan tempatnya digantikan imam yang baru.

Menukar imam dalam solat disebut ‘istikhlaf’. Dalam bahasa ilmiah bermakna melantik seorang pengganti bagi imam yang pertama setelah berlaku perkara membatalkan solat.

Imam yang sudah batal solatnya akan keluar dalam keadaan menutup hidung seolah-olah berlaku suatu kecederaan ke atasnya manakala makmum berada persis di belakang dan berkelayakan akan keluar saf bagi menggantikan imam pertama dan akan meneruskan solat sehingga selesai.

Falsafah atau tujuannya di sini ialah solat perlu diselesaikan sehingga sempurna kerana ia ibadat induk yang tidak boleh dipermudahkan atau dilakukan sambil lewa. Solat juga disifatkan Allah SWT sebagai sesuatu yang berat melainkan bagi mereka yang khusyuk saja.

Ulama mazhab Syafie berpendapat seseorang imam akan keluar setelah mendapati dirinya sudah terbatal dan orang yang diisyaratkan oleh imam untuk menggantikannya adalah orang yang paling layak.

Jika berlaku dua imam yang keluar sebagai pengganti, maka hukum solat adalah sah jika mengikut salah seorang dari mereka. Imam Hanafi berpendapat mereka yang mengikut imam yang tidak diiktiraf oleh imam pertama, maka hukum solatnya adalah terbatal.

Jika tiada pengganti yang tampil sebagai imam, maka jemaah akan menyambung solat mereka secara sendirian.

Ulama juga sepakat jika berlaku sesuatu perkara menyebabkan seorang imam tidak dapat menyempurnakan solatnya seperti sakit dan sebagainya, maka dibolehkan imam itu memutuskan solatnya dan digantikan dengan orang lain.

Begitu juga jika berlaku sesuatu perkara terhadap harta bendanya atau harta orang lain seperti kecurian atau kebinasaan, maka wajib baginya memutuskan solat itu. Jika hanya dikhuatiri saja terhadap harta itu, maka dibolehkan imam memutuskan solatnya dengan dua syarat:


jika waktu solat masih panjang dan memungkinkan dia melakukan semula solat,


jika harta itu dalam nilai yang banyak pada hukum adat dan memudaratkan pemiliknya.

Begitu juga dengan perkara lain yang boleh memudaratkan nyawa dan harta benda seperti orang buta dan kanak-kanak dalam keadaan bahaya.

Imam Hambali membuat tambahan dengan berpendapat jika imam tidak dapat meneruskan bacaannya pada rukun qauli seperti bacaan fatihah atau tasbih pada rukuk dan sujud, maka dibolehkan ia memutuskan solatnya dan digantikan dengan imam baru.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tidak ada solat bagi mereka yang tidak membaca fatihah.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah kerana sudi membaca artikel diatas. Sila lawati ke halaman utama untuk membaca lebih 2003 artikel yang terdapat disini. Jangan lupa berkongsi artikel diatas bersama anggota keluarga, saudara mara dan rakan taulan anda. Jika anda ingin memberi pendapat atau teguran, sila email kami di admin[at]mukmin.com.my, Insyallah kami berlapang dada untuk membacanya. Semoga kita dapat ambil manafaat bersama dengan Portal Mukmin ini. Insyallah.
Kembali Ke Halaman Utama | Papar Semua Tajuk Dibawah Kategori Yang Sama | Berkongsi Artikel Dengan Rakan Lain | Sertai Facebook Mukmin Portal

 
 

 

© Mukmin (Tiada Notis Copyright)

Paparan sesuai 1280 x 800 pixel (IE 7.0 keatas / Firefox 3.0 keatas)