• Dari Sahal R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Aku dan orang yang memelihara anak-anak yatim akan berada didalam syurga adalah seumpama dua anak jari ini." Disini Rasulullah S.A.W mengisyaratkan jari telunjuk dan jari tengahnya dimana terdapat hanya sedikit ruang diantara keduanya. (HR Bukhari)
  • Dari Amr bin Malik Al-Qusyairi R.A berkata, bahawa aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara anak yatim, yang mana kedua ibubapanya seorang muslim, dengan memberi makanan dan minuman sehinggalah Allah S.W.T mengkayakannya yakni dia dapat memenuhi keperluannya sendiri, wajib baginya syurga." (HR Musnad Ahmad, Tabrani dan Majma uz Zawaid)
  • Dari Abdullah bin Umar R.Huma meriwayatkan bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W; "Ya Rasulullah, apakah satu amal yang paling baik di dalam Islam?" Baginda S.A.W menjawab "Memberi makan dan memberi salam samada kamu mengenalinya atau tidak." (HR Bukhari)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mukmin yang sempurna dikalangan orang yang beriman ialah orang yang baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kamu ialah orang yang berlaku baik terhadap isterinya." (HR Ahmad)
  • Dari Aishah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Sesungguhnya orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang terbaik akhlaknya dan berlemah lembut terhadap ahli keluarganya." (HR Tirmizi)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Diantara kamu orang yang paling aku cintai dan orang yang paling hampir kepadaku pada hari kiamat ialah orang yang baik akhlaknya." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mahukah daku khabarkan kepadamu siapakah orang yang diharamkan dari api neraka? Dan api neraka tidak akan menyentuhnya. Mereka adalah orang yang menghampiri orang lain dengan lemah lembut, berlebih kurang dan baik hati." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memiliki sebahagian yang kecil sombong di dalam hatinya, maka dia tidak dapat memasuki syurga." (HR Muslim)
  • Dari Abu Qatadah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Jikalau seseorang suka Allah S.W.T menyelamatkannya dari huru hara pada hari kiamat, maka hendaklah dia memberi kelonggaran (dalam membayar kembali pinjaman) kepada seseorang yang berada dalam keadaan terdesak, atau mengurangkan hutangnya (semuanya atau sebahagian)." (HR Muslim)
  • Dari Abu Zar R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Senyuman kepada saudara (muslim) mu adalah sedekah, menyeru kepada ma'ruf dan melarang dari mungkar adalah sedekah, menunjukkan jalan kepada seseoarng yang tersesat jalan adalah sedekah, menolong seorang yang penglihatannya kabur adalah sedekah, menyingkirkan batu-batu, duri dan tulang (dari jalan) adalah sedekah dan menuangkan air dari timbamu kepada timba saudaramu adalah sedekah. " (HR Tirmizi)
  • Dari Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan, dia akan mendapat pahala yang sama sebagaimana orang yang melakukan satu kebaikan, dan Allah menyukai orang yang menolong seorang dalam kesukaran." (HR Bazzar dan Targhib)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Seorang mukmin mencintai dan dicintai. Tidak ada kebaikan dalam diri seseorang yang tidak mencintai atau tidak berkasih sayang. Orang yang terbaik diantara manusia adalah orang yang paling banyak memberi manafaat kepada orang lain." (HR Dar Qutni dan Targhib)
  • Dari Qais bin Said R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Kalaulah aku diperintahkan bersujud kepada seseorang, nescaya aku akan perintahkan wanita-wanita bersujud keatas suami mereka, kerana haknya yang Allah SWT telah berikan kepada suami-suami." (HR Abu Daud)
  • Dari Ummu Salamah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mana-mana wanita yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya redha kepadanya, nescaya dia akan masuk kedalam syurga." (HR Tirmizi)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menjalin silaturrahim yakni berbuat baik kepada saudara-mara dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik ataupun diam." (HR Bukhari)
  • Dari Asma bin Yazid R.Ha berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara kehormatan saudaranya yang muslim ketika dia tidak ada (dimajlis itu, contohnya seseorang telah mengumpatnya, kemudian dia telah mencegah orang itu dari terus mengumpatnya), maka Allah SWT akan menjamin untuknya daripada pembebasan api neraka jahanam." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Perbanyakkan selawat kepadaku pada hari Jumaat, kerana baru sebentar tadi malaikat Jibrail A.S diutus oleh Allah SWT datang kepadaku lalu berkata : 'Barangsiapa dikalangan umat mu berselawat kepadamu (Muhammad) sekali, Aku (Allah) dan para malaikatKu akan berselawat (memohon pengampunan dan rahmat) untuknya sepuluh kali'." (HR Tabrani)
  • Hazrat Bara' R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Tidaklah kedua orang muslim bertemu dan bermusafaha (berjabat tangan) melainkan dosa-dosa kedua belah pihak diampuni sebelum mereka berpisah." (HR Abu Daud)
  • Hazrat Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Orang yang muda hendaklah memberi salam kepada orang yang tua. Orang yang berjalan hendaklah memberi salam kepada orang yang duduk. Orang yang sedikit memberi salam kepada orang yang lebih ramai." (HR Bukhari)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Bantulah saudaramu yang muslim dalam segala keadaan, bahkan apabila dia seorang yang zalim atau yang dizalimi" Seorang bertanya, "Ya Rasulullah, aku akan menolongnya apabila dia dizalimi, tetapi bagaimana aku dapat menolongnya apabila dia seorang penzalim?" Baginda S.A.W menjawab, "Engkau mencegah dia dari melakukan kezaliman kerana mencegahnya dari perbuatan zalimnya, itulah bantuanmu kepadanya." (HR Bukhari)
  • Hazrat Ibnu Abbas R.Huma meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa berjalan untuk menunaikan satu hajat seorang saudara adalah lebih baik daripada sepuluh tahun iktikaf. Barangsiapa yang beriktikaf sehari kerana Allah S.W.T akan dijauhkan daripada api neraka sejauh tiga parit, dan setiap parit luasnya diantara bumi dan langit." (HR Tabrani dan Majma uz Zawaid)

Malam Al-qadr Rahsia Allah

Oleh Mohd Fadly Samsudin
fadly@hmetro.com.my

RAMADAN adalah bulan keampunan untuk menghapuskan serta menyucikan diri yang selama ini banyak melakukan dosa dan maksiat.

Kita semakin menghampiri puncak Ramadan apabila sudah lebih dua minggu menjalani ibadah puasa. Bermakna kita sudah melepasi fasa pertama iaitu rahmah (kasih sayang Allah) dan fasa kedua, Maghfirah (keampunan Allah).

Fasa ketiga dan terakhir ini ialah umat Islam yang melakukan amalan soleh akan dibebaskan daripada api neraka. Itulah sebabnya bulan Ramadan ini boleh diibaratkan sebagai bulan jihad kerana umat Islam ‘berperang’ melawan hawa nafsu yang menjadikan mereka cekal menjaga tatatertib serta adab dalam bulan Ramadan.

Daripada Abu Hurairah r.a beliau berkata Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: "Sesiapa yang berpuasa Ramadan atas dasar keimanan dan mengharapkan keredaan Allah, maka dosa-dosanya yang lalu akan diampuni. Sesiapa yang melaksanakan qiyam pada bulan Ramadan atas dasar keimanan dan mengharapkan reda Allah, maka dosa-dosanya yang lalu akan diampuni. Sesiapa yang bangun melakukan qiyam lailatulqadar atas dasar keimanan dan mengharapkan reda Allah, maka dosa-dosanya yang lalu akan diampuni." (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim).

Walaupun ada melakukan kesilapan, itulah fitrah kejadian manusia dan sebab itu mereka perlu sentiasa memohon keampunan daripada 'timbunan’ dosa-dosa silam.

Fasa terakhir Ramadan ini juga Allah s.w.t menganugerahkan hamba-Nya malam yang penuh kemuliaan dan keberkatan iaitu lailatulqadar.

Umat Islam yang berusaha mempertingkatkan amalan mereka akan mendapat pahala berlipat kali ganda pada malam yang lebih baik daripada seribu bulan itu.

Malam-malam terakhir Ramadan digunakan dengan perkara-perkara kebaikan seperti berzikir, berdoa, beriktikaf, bertadarus al-Quran beristighfar dan melakukan qiamullail.

Itulah keistimewaan agung yang Allah s.w.t kurniakan kepada umat Islam supaya mereka dapat menjalankan ibadah dengan penuh pengharapan.

Allah s.w.t tidak menerangkan secara terperinci waktu kedatangan lailatulqadar supaya umat Islam sentiasa berusaha mempertingkatkan amalan ibadat mereka.

Tidak bererti 20 malam sebelumnya dibiarkan begitu saja kerana mereka yang dikurniakan lailatulqadar adalah golongan yang menggunakan sepenuhnya sebulan Ramadan dengan amalan soleh berusaha menjauhkan diri mereka daripada melakukan perbuatan maksiat.

Menariknya, lailatulqadar terjadi pada malam ganjil pada sepuluh malam terakhir. Bermakna ia mungkin pada malam 21, 23, 25, 27 atau 29 Ramadan.

Hal ini dijelaskan Rasulullah dalam sabda baginda: "(Iaitu) ada pada Ramadan, oleh itu, hendaklah kamu mencarinya pada 10 hari terakhir. Disebabkan ia terdapat pada hari-hari ganjil, iaitu pada malam 21, atau malam 23 atau malam 25, atau malam 27, atau malam 29 serta pada malam terakhirnya." (Riwayat Ahmad).

Pada malam itu, Allah memberi kesejahteraan kepada hamba-Nya sampai terbitnya fajar. Umat Islam akan memperoleh kemuliaan, keampunan, rahmat serta mendapat balasan syurga daripada Allah s.w.t.

Dalam hadis lain Nabi Muhammad bersabda yang bermaksud: "Apabila tiba malam akhir Ramadan maka menangislah langit dan bumi serta malaikat kerana musibah yang menimpa umat Muhammad". Sahabat bertanya: "Apakah musibah itu?" Rasulullah menjawab: (Musibah) kerana perginya bulan Ramadan yang mana di dalam bulan ini doa dimakbulkan, semua sedekah diterima dan semua kebaikan dilipat gandakan pahalanya serta seksaan ditolak."

Antara amalan lain yang boleh disuburkan pada malam terakhir Ramadan ialah mengejutkan ahli keluarga untuk bersama-sama mengerjakan solat malam seperti dilakukan Rasulullah s.a.w terhadap keluarganya.

Yang pasti, ingatlah tidak semestinya bulan agung dan istimewa ini dapat lagi kita nikmati pada tahun hadapan. Justeru pastikan kita mengambil peluang 'semahu-mahunya' untuk meningkatkan amalan serta memohon keampunan dari-Nya.

Pensyarah Jabatan Bahasa Arab, Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza), Mohd Shahrizal Nasir berkata malam al-Qadr adalah malam yang istimewa dalam bulan Ramadan yang lebih baik daripada seribu bulan.

Allah s.w.t menghamparkan keberkatan dan keampunan kepada umat Islam yang ikhlas beribadah kepada-Nya pada malam itu. Allah s.w.t menjelaskan perihal malam al-Qadr ini menerusi firman-Nya yang bermaksud: "Sesungguhnya Kami telah menurunkan (al-Quran) ini pada malam al-Qadr. Dan, apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran malam al-Qadr itu? Malam al-Qadr lebih baik daripada seribu bulan." (Surah al-Qadr, ayat 1-3)

Timbul persoalan, bagaimana al-Quran diturunkan pada satu malam secara sekali gus, sedangkan Rasulullah menerima wahyu al-Quran secara berperingkat selama 23 tahun.

Yang dimaksudkan dengan al-Quran turun pada malam al-Qadr secara sekali gus adalah penurunan al-Quran dari Luh Mahfuz ke Bait al-'Izzah iaitu yang terletak di Langat dunia. Kemudian al-Quran diturunkan secara berperingkat dari Bait al-’Izzah kepada Rasulullah s.a.w selama 23 tahun,” katanya.

Beliau berkata waktu sebenar berlakunya malam al-Qadr menjadi rahsia daripada rahsia Allah s.w.t kerana Sheikh Yusuf al-Qaradawi menjelaskan antara tujuan malam al-Qadr itu dirahsiakan adalah supaya umat Islam bersungguh-sungguh melakukan ibadah dan berusaha memperolehinya.

Namun, terdapat beberapa hadis yang memberi maklumat mengenai waktu berlakunya malam al-Qadr antaranya, "Carilah malam al-Qadr pada 10 hari terakhir bulan Ramadan." (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Selain itu, "Carilah pada 10 hari terakhir, jika tidak mampu maka janganlah sampai terluput 7 hari yang selebihnya." (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).

"Walaupun terdapat beberapa hadis yang menyatakan perihal malam al-Qadr, semuanya tidak bercanggah antara satu sama lain. Justeru, sebagai langkah bijak, persediaan perlu dilipat gandakan pada 10 malam terakhir bulan Ramadan," katanya.

Mohd Shahrizal berkata Rasulullah s.a.w sendiri berusaha mencari malam al-Qadr dan memenuhi malam-malam terakhir Baginda dengan amal ibadah.

Dalam sebuah hadis, dinyatakan hal ini, yang bermaksud: "Apabila masuk 10 terakhir bulan Ramadan, maka Nabi menghidupkan malam, mengejutkan isterinya, dan mengetatkan kainnya (tidak bersama isteri kerana sibuk dengan amal ibadah)." (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).

"Justeru, sebagai umat Nabi Muhammad s.a.w perlu mempersiapkan diri sebelum tiba 10 malam terakhir Ramadan ini dan berusaha mencari malam al-Qadr," katanya.

Beliau berkata terdapat tanda-tanda yang menunjukkan berlakunya malam al-Qadr seperti maksud hadis Rasulullah s.a.w yang bermaksud: :Pada pagi (setelah) malam al-Qadr, matahari terbit tidak menyilaukan (tanpa sinaran terik), seakan-akan ia bejana, sehinggalah ia meninggi." (Hadis riwayat Muslim).

Jika diteliti hadis ini, ia menggambarkan situasi selepas berlakunya malam al-Qadr. Justeru, hadis ini tidak boleh menjadi panduan bagi umat Islam untuk mencari malam al-Qadr, kerana ia menjelaskan keadaan selepas malam al-Qadr.

Mungkin terdapat segelintir daripada umat Islam yang diperlihatkan tanda-tanda lain pada malam itu. Namun, tanda ini tidak boleh digunakan oleh orang umum sebagai panduan mencari malam al-Qadr.

"Berkemungkinan bagi orang yang melihatnya, Allah s.w.t sedang menyingkap hijab-Nya. Tiada nas yang menjelaskan perkara aneh seperti pokok sujud dan air menjadi beku pada malam al-Qadr dan ia seharusnya tidak disebarkan kepada orang lain," katanya.

Mohd Shahrizal berkata perkara utama yang perlu difokuskan setiap umat Islam pada malam al-Qadr ialah sentiasa memohon keampunan dari-Nya.

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: "Barang siapa yang menghidupkan malam al-Qadr dengan penuh keimanan dan mengharap ganjaran dari Allah, maka diampunkan dosa-dosanya yang lalu." (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Hal ini juga seperti mana yang diajarkan oleh Rasulullah s.a.w ketika Saidatina 'Aisyah bertanya kepada Baginda: "Wahai Rasulullah, apa pandanganmu jika aku mengetahui malam yang mana berlakunya malam Qadr, apakah yang perlu aku ucapkan pada malam itu?" Rasulullah s.a.w menjawab: "Ucapkanlah: Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Pengampun, suka kepada pengampunan, maka ampunilah aku."

"Kedua-dua hadis di atas jelas menyeru kita untuk memohon keampunan daripada Allah s.w.t supaya diberikan kebaikan di dunia dan akhirat," katanya.

Beliau berkata terdapat pendapat sesetengah pihak yang mengatakan waktu berharga untuk memohon keampunan pada malam al-Qadr hanya seketika sahaja iaitu beberapa saat atau minit sahaja.

Pendapat ini harus diperbetulkan kerana secara jelas Allah s.w.t menyatakan bahawa keberkatan malam al-Qadr itu adalah sepanjang malam sehingga terbit fajar keesokannya. Firman Allah s.w.t yang bermaksud: "Sejahteralah malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar." (Surah al-Qadr, ayat 5).

Sewajarnya, umat Islam tidak menyempitkan erti amal ibadah dalam Islam.
Malam al-Qadr tidak semestinya dipenuhi dengan ibadah khusus semata-mata.

"Penuhilah masa 10 malam terakhir Ramadan dengan amal-amal baik seperti bercakap benar, membantu dan menghormati orang tua, bermaaf-maafan, menjamu sahabat makan sahur, malah sekalipun dengan melemparkan senyuman sesama Muslim," katanya.

Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah kerana sudi membaca artikel diatas. Sila lawati ke halaman utama untuk membaca lebih 2003 artikel yang terdapat disini. Jangan lupa berkongsi artikel diatas bersama anggota keluarga, saudara mara dan rakan taulan anda. Jika anda ingin memberi pendapat atau teguran, sila email kami di admin[at]mukmin.com.my, Insyallah kami berlapang dada untuk membacanya. Semoga kita dapat ambil manafaat bersama dengan Portal Mukmin ini. Insyallah.
Kembali Ke Halaman Utama | Papar Semua Tajuk Dibawah Kategori Yang Sama | Berkongsi Artikel Dengan Rakan Lain | Sertai Facebook Mukmin Portal

 
 

 

© Mukmin (Tiada Notis Copyright)

Paparan sesuai 1280 x 800 pixel (IE 7.0 keatas / Firefox 3.0 keatas)