• Dari Sahal R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Aku dan orang yang memelihara anak-anak yatim akan berada didalam syurga adalah seumpama dua anak jari ini." Disini Rasulullah S.A.W mengisyaratkan jari telunjuk dan jari tengahnya dimana terdapat hanya sedikit ruang diantara keduanya. (HR Bukhari)
  • Dari Amr bin Malik Al-Qusyairi R.A berkata, bahawa aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara anak yatim, yang mana kedua ibubapanya seorang muslim, dengan memberi makanan dan minuman sehinggalah Allah S.W.T mengkayakannya yakni dia dapat memenuhi keperluannya sendiri, wajib baginya syurga." (HR Musnad Ahmad, Tabrani dan Majma uz Zawaid)
  • Dari Abdullah bin Umar R.Huma meriwayatkan bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W; "Ya Rasulullah, apakah satu amal yang paling baik di dalam Islam?" Baginda S.A.W menjawab "Memberi makan dan memberi salam samada kamu mengenalinya atau tidak." (HR Bukhari)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mukmin yang sempurna dikalangan orang yang beriman ialah orang yang baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kamu ialah orang yang berlaku baik terhadap isterinya." (HR Ahmad)
  • Dari Aishah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Sesungguhnya orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang terbaik akhlaknya dan berlemah lembut terhadap ahli keluarganya." (HR Tirmizi)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Diantara kamu orang yang paling aku cintai dan orang yang paling hampir kepadaku pada hari kiamat ialah orang yang baik akhlaknya." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mahukah daku khabarkan kepadamu siapakah orang yang diharamkan dari api neraka? Dan api neraka tidak akan menyentuhnya. Mereka adalah orang yang menghampiri orang lain dengan lemah lembut, berlebih kurang dan baik hati." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memiliki sebahagian yang kecil sombong di dalam hatinya, maka dia tidak dapat memasuki syurga." (HR Muslim)
  • Dari Abu Qatadah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Jikalau seseorang suka Allah S.W.T menyelamatkannya dari huru hara pada hari kiamat, maka hendaklah dia memberi kelonggaran (dalam membayar kembali pinjaman) kepada seseorang yang berada dalam keadaan terdesak, atau mengurangkan hutangnya (semuanya atau sebahagian)." (HR Muslim)
  • Dari Abu Zar R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Senyuman kepada saudara (muslim) mu adalah sedekah, menyeru kepada ma'ruf dan melarang dari mungkar adalah sedekah, menunjukkan jalan kepada seseoarng yang tersesat jalan adalah sedekah, menolong seorang yang penglihatannya kabur adalah sedekah, menyingkirkan batu-batu, duri dan tulang (dari jalan) adalah sedekah dan menuangkan air dari timbamu kepada timba saudaramu adalah sedekah. " (HR Tirmizi)
  • Dari Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan, dia akan mendapat pahala yang sama sebagaimana orang yang melakukan satu kebaikan, dan Allah menyukai orang yang menolong seorang dalam kesukaran." (HR Bazzar dan Targhib)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Seorang mukmin mencintai dan dicintai. Tidak ada kebaikan dalam diri seseorang yang tidak mencintai atau tidak berkasih sayang. Orang yang terbaik diantara manusia adalah orang yang paling banyak memberi manafaat kepada orang lain." (HR Dar Qutni dan Targhib)
  • Dari Qais bin Said R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Kalaulah aku diperintahkan bersujud kepada seseorang, nescaya aku akan perintahkan wanita-wanita bersujud keatas suami mereka, kerana haknya yang Allah SWT telah berikan kepada suami-suami." (HR Abu Daud)
  • Dari Ummu Salamah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mana-mana wanita yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya redha kepadanya, nescaya dia akan masuk kedalam syurga." (HR Tirmizi)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menjalin silaturrahim yakni berbuat baik kepada saudara-mara dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik ataupun diam." (HR Bukhari)
  • Dari Asma bin Yazid R.Ha berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara kehormatan saudaranya yang muslim ketika dia tidak ada (dimajlis itu, contohnya seseorang telah mengumpatnya, kemudian dia telah mencegah orang itu dari terus mengumpatnya), maka Allah SWT akan menjamin untuknya daripada pembebasan api neraka jahanam." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Perbanyakkan selawat kepadaku pada hari Jumaat, kerana baru sebentar tadi malaikat Jibrail A.S diutus oleh Allah SWT datang kepadaku lalu berkata : 'Barangsiapa dikalangan umat mu berselawat kepadamu (Muhammad) sekali, Aku (Allah) dan para malaikatKu akan berselawat (memohon pengampunan dan rahmat) untuknya sepuluh kali'." (HR Tabrani)
  • Hazrat Bara' R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Tidaklah kedua orang muslim bertemu dan bermusafaha (berjabat tangan) melainkan dosa-dosa kedua belah pihak diampuni sebelum mereka berpisah." (HR Abu Daud)
  • Hazrat Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Orang yang muda hendaklah memberi salam kepada orang yang tua. Orang yang berjalan hendaklah memberi salam kepada orang yang duduk. Orang yang sedikit memberi salam kepada orang yang lebih ramai." (HR Bukhari)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Bantulah saudaramu yang muslim dalam segala keadaan, bahkan apabila dia seorang yang zalim atau yang dizalimi" Seorang bertanya, "Ya Rasulullah, aku akan menolongnya apabila dia dizalimi, tetapi bagaimana aku dapat menolongnya apabila dia seorang penzalim?" Baginda S.A.W menjawab, "Engkau mencegah dia dari melakukan kezaliman kerana mencegahnya dari perbuatan zalimnya, itulah bantuanmu kepadanya." (HR Bukhari)
  • Hazrat Ibnu Abbas R.Huma meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa berjalan untuk menunaikan satu hajat seorang saudara adalah lebih baik daripada sepuluh tahun iktikaf. Barangsiapa yang beriktikaf sehari kerana Allah S.W.T akan dijauhkan daripada api neraka sejauh tiga parit, dan setiap parit luasnya diantara bumi dan langit." (HR Tabrani dan Majma uz Zawaid)

Manfaat Teknologi Komunikasi Canggih Perluaskan Dakwah

Oleh Masmawi Abdullah

LEDAKAN teknologi maklumat pastinya menjadi suatu rahmat, peluang dan cabaran baru kepada umat Islam, khususnya di negara ini. Dunia yang terbentang luas kini menjadi semakin sesak dengan maklumat dan sistem perhubungan canggih.

Pada zaman mutakhir ini orang yang bermaklumat dikatakan sebagai orang mempunyai masa depan. Dengan maklumat kita memperoleh pengetahuan dan inilah yang menjadi asas membuat sebarang keputusan atau tindakan.

Persoalan sekarang bagaimana kita harus merebut peluang itu dan memanfaatkannya sebagai sistem perhubungan ummah sejagat? Bagaimana kita boleh menggunakan teknologi maklumat sebagai media pendidikan?

Mubaligh Kristian sudah lama menggunakan media ini sebagai alat penyebaran dakyah mereka. Jika masyarakat Islam tidak bersedia memanfaatkan teknologi maklumat, mereka mungkin akan terperangkap dan lemas di tengah-tengah kesesakan maklumat yang berkembang pesat.

Justeru, umat Islam tidak ada jalan lain melainkan menguasai bidang sains dan teknologi khususnya bidang penyebaran maklumat. Kita harus bangkit daripada kelesuan minda dan kebekuan ilmu yang selama ini membelenggu. Kita harus menjadi umat yang bertanggungjawab bukan saja mengamal malah menyebar dan mengembangkan ajaran Islam.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sampaikanlah apa yang (kamu ketahui) daripadaku, walaupun satu ayat." Cabaran ini harus dipikul bersama bukan saja oleh pendakwah, tetapi di kalangan individu Muslim sama ada guru, doktor, jurutera mahupun ahli korporat.

Masing-masing mempunyai kelebihan dan peranan untuk sama-sama menyebar dan mempergiat usaha dakwah. Allah mengiktiraf kedudukan umat Islam sebagai umat terbaik yang menjadi contoh, mengajak manusia berbuat kebajikan dan mencegah daripada melakukan kejahatan.

Kedudukan itu harus dijaga dengan mempertingkatkan usaha menyebarkan dakwah kepada kaum keluarga masyarakat sekeliling hinggalah ke peringkat antarabangsa. Antara dakwah paling mudah dan berkesan, adalah dengan memberi contoh teladan baik.

Dalam usaha memperluas penyebaran dakwah, masjid dan surau hendaklah melipat gandakan usaha menyebarkan maklumat kepada masyarakat. Segala kegiatan berbentuk berita dan ilmu pengetahuan hendaklah diutamakan.

Maklumat seperti kegiatan masjid, perancangan tahunan, keratan akhbar dan lain-lain aktiviti masyarakat yang berfaedah hendaklah dikumpul dan disebarkan di masjid. Bagi memudahkan proses ini pengurusan masjid harus menyediakan kemudahan teknologi maklumat seperti telefon, faksimili dan komputer.

Teknologi itu perlu dimiliki supaya masjid dapat berfungsi sebagai penyebaran dakwah sejagat dan penggerak masyarakat bermaklumat. Dengan cara itu masyarakat bukan saja dapat membabitkan diri secara aktif, malah turut berpeluang menambah pengetahuan.

Firman Allah yang bermaksud: "Dan hendaklah ada di kalangan kamu satu golongan yang menyeru manusia kepada kebajikan (mengembangkan Islam) dan menyuruh berbuat baik serta melarang berbuat jahat. Mereka itu adalah orang yang berjaya." – (Surah Ali-Imran, ayat 104)

Sejarah membuktikan hanya bangsa yang dapat menyesuaikan diri dengan arus perubahan zaman dan sanggup menghadapi cabaran mendatang akan terus maju dan berada di hadapan, sekali gus menguasai zaman berkenaan.

Justeru, kita perlu menghadapi perubahan dan salah satu caranya dengan mewujudkan rangkaian maklumat sejagat yang canggih serta bersesuaian dengan perkembangan zaman. Jika dulu kita banyak berdakwah melalu syarahan dan kuliah agama saja, kini masanya untuk memperkembangkan dakwah Islamiah menggunakan teknologi komunikasi yang canggih.

Dakwah kita harus merata, meluas bukan sekadar di masjid tetapi hingga ke peringkat antarabangsa. Dakwah 'bil hal' pula menjadi semakin penting kerana masyarakat hari ini mahu melihat realiti bukan sekadar hujah yang bersifat retorik.

Minda masyarakat Islam terutama bangsa Melayu pada dekad mendatang harus diisi dengan maklumat berfaedah berkait soal pengurusan hal ehwal Islam dan internet adalah antara saluran komunikasi berkesan.

Nilai murni sejagat dan dakwah Islamiah harus dikembangkan secara giat dan terancang. Kita bukan saja perlu menghantar mesej dakwah secara lisan tetapi memaparkan program dan aktiviti dakwah yang sedang dijalankan bagi membolehkan orang ramai berminat mengambil bahagian.

Sebagai rangkaian komputer yang disambungkan pada peringkat antarabangsa, internet mempunyai potensi besar dijadikan saluran menyebar nilai murni. Masyarakat harus digerakkan dengan motivasi melalui pencernaan ilmu yang mantap supaya maklumat itu dapat merubah sikap merealisasikan kemajuan.

Sebagai umat pilihan yang mempunyai peranan khalifah Allah, kita mempunyai tanggungjawab yang berat dan mencabar. Usaha mempertahankan akidah, mengukuhkan akhlak dan sahsiah adalah agenda penting yang harus menjadi keutamaan.

Seperti mana yang kita maklum, limpahan pembangunan pesat berkembang turut membawa bersama impak negatif yang boleh mencacatkan natijah kemajuan. Gejala keruntuhan akhlak, penagihan dadah dan isu sosial perlu ditangani.

Umat yang kuat yang mempunyai keupayaan daya saing dan berada di hadapan sentiasa mahu menambah ilmu pengetahuannya. Inilah cabaran yang ada kerana kita perlu menguasai ilmu dan kemahiran untuk diamalkan.

Sebagai pendakwah pula, perlu melakukan reformasi supaya kaedah menyeru umat kepada kebaikan tidak terbatas di kalangan kelompok atau jemaah tertentu sebaliknya perlu melepasi sempadan dunia yang kini tiada sempadan.

Peranan pendakwah dengan teknologi yang ada membolehkan syiar Islam tersebar luas serta mencapai bilangan lebih ramai dan pada masa sama, kemudahan yang ada digunakan untuk meningkatkan pengetahuan dalam pelbagai bidang.

Firman Allah yang bermaksud: "Serulah ke jalan Tuhanmu dengan penuh bijaksana dan nasihat pengajaran yang baik-baik dan bertukar fikiranlah kamu dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu lebih mengetahui siapa yang sesat dari jalan-Nya dan siapa yang terpimpin." – (Surah an-Nahl, ayat 125)

Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah kerana sudi membaca artikel diatas. Sila lawati ke halaman utama untuk membaca lebih 2003 artikel yang terdapat disini. Jangan lupa berkongsi artikel diatas bersama anggota keluarga, saudara mara dan rakan taulan anda. Jika anda ingin memberi pendapat atau teguran, sila email kami di admin[at]mukmin.com.my, Insyallah kami berlapang dada untuk membacanya. Semoga kita dapat ambil manafaat bersama dengan Portal Mukmin ini. Insyallah.
Kembali Ke Halaman Utama | Papar Semua Tajuk Dibawah Kategori Yang Sama | Berkongsi Artikel Dengan Rakan Lain | Sertai Facebook Mukmin Portal

 
 

 

© Mukmin (Tiada Notis Copyright)

Paparan sesuai 1280 x 800 pixel (IE 7.0 keatas / Firefox 3.0 keatas)