• Dari Sahal R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Aku dan orang yang memelihara anak-anak yatim akan berada didalam syurga adalah seumpama dua anak jari ini." Disini Rasulullah S.A.W mengisyaratkan jari telunjuk dan jari tengahnya dimana terdapat hanya sedikit ruang diantara keduanya. (HR Bukhari)
  • Dari Amr bin Malik Al-Qusyairi R.A berkata, bahawa aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara anak yatim, yang mana kedua ibubapanya seorang muslim, dengan memberi makanan dan minuman sehinggalah Allah S.W.T mengkayakannya yakni dia dapat memenuhi keperluannya sendiri, wajib baginya syurga." (HR Musnad Ahmad, Tabrani dan Majma uz Zawaid)
  • Dari Abdullah bin Umar R.Huma meriwayatkan bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W; "Ya Rasulullah, apakah satu amal yang paling baik di dalam Islam?" Baginda S.A.W menjawab "Memberi makan dan memberi salam samada kamu mengenalinya atau tidak." (HR Bukhari)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mukmin yang sempurna dikalangan orang yang beriman ialah orang yang baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kamu ialah orang yang berlaku baik terhadap isterinya." (HR Ahmad)
  • Dari Aishah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Sesungguhnya orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang terbaik akhlaknya dan berlemah lembut terhadap ahli keluarganya." (HR Tirmizi)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Diantara kamu orang yang paling aku cintai dan orang yang paling hampir kepadaku pada hari kiamat ialah orang yang baik akhlaknya." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mahukah daku khabarkan kepadamu siapakah orang yang diharamkan dari api neraka? Dan api neraka tidak akan menyentuhnya. Mereka adalah orang yang menghampiri orang lain dengan lemah lembut, berlebih kurang dan baik hati." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memiliki sebahagian yang kecil sombong di dalam hatinya, maka dia tidak dapat memasuki syurga." (HR Muslim)
  • Dari Abu Qatadah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Jikalau seseorang suka Allah S.W.T menyelamatkannya dari huru hara pada hari kiamat, maka hendaklah dia memberi kelonggaran (dalam membayar kembali pinjaman) kepada seseorang yang berada dalam keadaan terdesak, atau mengurangkan hutangnya (semuanya atau sebahagian)." (HR Muslim)
  • Dari Abu Zar R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Senyuman kepada saudara (muslim) mu adalah sedekah, menyeru kepada ma'ruf dan melarang dari mungkar adalah sedekah, menunjukkan jalan kepada seseoarng yang tersesat jalan adalah sedekah, menolong seorang yang penglihatannya kabur adalah sedekah, menyingkirkan batu-batu, duri dan tulang (dari jalan) adalah sedekah dan menuangkan air dari timbamu kepada timba saudaramu adalah sedekah. " (HR Tirmizi)
  • Dari Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan, dia akan mendapat pahala yang sama sebagaimana orang yang melakukan satu kebaikan, dan Allah menyukai orang yang menolong seorang dalam kesukaran." (HR Bazzar dan Targhib)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Seorang mukmin mencintai dan dicintai. Tidak ada kebaikan dalam diri seseorang yang tidak mencintai atau tidak berkasih sayang. Orang yang terbaik diantara manusia adalah orang yang paling banyak memberi manafaat kepada orang lain." (HR Dar Qutni dan Targhib)
  • Dari Qais bin Said R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Kalaulah aku diperintahkan bersujud kepada seseorang, nescaya aku akan perintahkan wanita-wanita bersujud keatas suami mereka, kerana haknya yang Allah SWT telah berikan kepada suami-suami." (HR Abu Daud)
  • Dari Ummu Salamah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mana-mana wanita yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya redha kepadanya, nescaya dia akan masuk kedalam syurga." (HR Tirmizi)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menjalin silaturrahim yakni berbuat baik kepada saudara-mara dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik ataupun diam." (HR Bukhari)
  • Dari Asma bin Yazid R.Ha berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara kehormatan saudaranya yang muslim ketika dia tidak ada (dimajlis itu, contohnya seseorang telah mengumpatnya, kemudian dia telah mencegah orang itu dari terus mengumpatnya), maka Allah SWT akan menjamin untuknya daripada pembebasan api neraka jahanam." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Perbanyakkan selawat kepadaku pada hari Jumaat, kerana baru sebentar tadi malaikat Jibrail A.S diutus oleh Allah SWT datang kepadaku lalu berkata : 'Barangsiapa dikalangan umat mu berselawat kepadamu (Muhammad) sekali, Aku (Allah) dan para malaikatKu akan berselawat (memohon pengampunan dan rahmat) untuknya sepuluh kali'." (HR Tabrani)
  • Hazrat Bara' R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Tidaklah kedua orang muslim bertemu dan bermusafaha (berjabat tangan) melainkan dosa-dosa kedua belah pihak diampuni sebelum mereka berpisah." (HR Abu Daud)
  • Hazrat Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Orang yang muda hendaklah memberi salam kepada orang yang tua. Orang yang berjalan hendaklah memberi salam kepada orang yang duduk. Orang yang sedikit memberi salam kepada orang yang lebih ramai." (HR Bukhari)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Bantulah saudaramu yang muslim dalam segala keadaan, bahkan apabila dia seorang yang zalim atau yang dizalimi" Seorang bertanya, "Ya Rasulullah, aku akan menolongnya apabila dia dizalimi, tetapi bagaimana aku dapat menolongnya apabila dia seorang penzalim?" Baginda S.A.W menjawab, "Engkau mencegah dia dari melakukan kezaliman kerana mencegahnya dari perbuatan zalimnya, itulah bantuanmu kepadanya." (HR Bukhari)
  • Hazrat Ibnu Abbas R.Huma meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa berjalan untuk menunaikan satu hajat seorang saudara adalah lebih baik daripada sepuluh tahun iktikaf. Barangsiapa yang beriktikaf sehari kerana Allah S.W.T akan dijauhkan daripada api neraka sejauh tiga parit, dan setiap parit luasnya diantara bumi dan langit." (HR Tabrani dan Majma uz Zawaid)

Manfaat membaca

SATU ketika Syeikh Abdul Kadir Jailani mendengar suatu suara mengaku sebagai Tuhan serta menyatakan beliau mencapai taraf kedudukan yang tinggi di sisi Tuhannya.

"Wahai Abdul Kadir, aku adalah Tuhanmu. Engkau sudah mencapai darjat kekasihku. Mulai hari ini, aku halalkan bagimu apa yang aku haramkan atas hamba-hambaku."


Mendengar seruan itu, tahulah Syeikh Abdul Kadir yang ia adalah suara syaitan cuba memperdayakannya. "Celakalah kau syaitan! Sesungguhnya Tuhanku tidak akan menghalalkan apa yang sudah diharamkan-Nya."

Syaitan tidak berputus asa, lalu ia berkata lagi: "Sudah ramai wali Allah yang berjaya aku sesatkan dengan helahku, tetapi engkau sudah selamat dari tipuanku kerana ilmumu tinggi."

Balas Syeikh Abdul Kadir: "Celakalah engkau, bukan ilmuku yang menyelamatkan aku dari sebarang tipu dayamu, tetapi rahmat Allah jualah yang dapat menyelamatkan aku."

Demikianlah secebis kisah orang berilmu, tidak sedikitpun terpedaya dengan umpanan syaitan. Berbeza dengan orang jahil yang mudah tewas dengan pujuk rayu makhluk terkutuk itu.

Wujud perbezaan ketara di antara orang berilmu dan jahil. Orang berilmu lebih mulia peribadi dan kedudukannya, bahkan dalam ibadat tinggi kualitinya, manakala kehidupannya pula lebih berhati-berhati, tetapi tidak pada orang jahil.

Ini sebagaimana ditegaskan dalam firman Allah, ayat 9 surah az-Zumar, antara lain bermaksud: "Katakanlah: Adakah sama orang yang mengetahui dengan orang yang tidak mengetahui?

Setiap orang memiliki potensi untuk meraih ilmu dan mengembangkannya dengan izin Allah. Oleh itu, kita diperintahkan untuk menempuh jalan melalui pelbagai cara untuk memperolehnya khususnya dengan membaca.

Membaca juga perintah pertama yang disampaikan malaikat Jibril kepada Rasulullah.

"Bacalah dengan nama Tuhanmu yang menciptakan. Dia menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah. Tuhanmu adalah Maha Mulia, yang mengajarkan manusia menulis dengan pena. Mengajarkan manusia apa saja yang tidak diketahui." (al-Alaq: 1-5)

Menurut Dr Gamal Zakaria dalam bukunya berjudul Jalan Menuju Kedamaian, membaca adalah perintah yang paling penting dan paling bermakna ditujukan kepada seluruh umat manusia.

"Kenapa perintah pertama mesti membaca? Betapa pentingnya membaca, Allah s.w.t menurunkan perintah terbabit pada wahyu pertama dengan mengulangi kalimah iqra’ sebanyak dua kali," katanya.

Beliau berkata, pada ayat terbabit, Allah s.w.t menjanjikan kepada sesiapa yang membaca kerana Allah akan dikurniakan kepadanya anugerah ilmu, pemahaman dan wawasan baru, walaupun objeknya sama.

"Janji Allah dapat dibuktikan dengan sangat jelas dan pasti, ketika kita membaca ayat al-Quran.

"Semakin banyak dan berulang kali kita membacanya, akan muncul penafsiran baru, pengembangan pendapat terdahulu dan keajaiban walaupun membaca ayat yang sama.

"Begitu juga halnya ketika ahli pengkaji membaca alam jagat raya melalui fenomena dan kejadiannya, akan lahirlah penemuan dan teori baru," katanya.

Kita mendapati orang yang berilmu tabiatnya suka membaca.

Membaca membekalkan ilmu dan keperluan utama untuk membangunkan sebuah peradaban dan bangsa yang maju.

Dr Gamal berkata, semakin mantap dan bermutu bacaan sesuatu bangsa, semakin tinggi peradabannya.

"Hal ini dibuktikan oleh bangsa yang maju dan memiliki peradaban yang tinggi. Mereka adalah bangsa yang rajin membaca buku berkualiti dan menjadikan budaya membaca sebahagian daripada keperluan hidup mereka.

"Bertitik tolak daripada budaya membaca ini lahir karya agung dalam berbagai-bagai bidang.

"Namun ironinya, masyarakat kita pada hari ini adalah masyarakat yang malas membaca termasuk warga kampus.

"Pensyarah dan mahasiswa jarang mengunjungi perpustakaan sehingga masih banyak buku yang belum terjamah.

"Masyarakat kita gemar membaca bahan yang bercorak hiburan, sukan dan hobi berbanding buku ilmiah," katanya.

Bahkan tidak mustahil juga dengan tabiat malas membaca, menyebabkan semakin ramai orang yang jahil lagi bodoh, sehingga orang ini mengambil tempat dalam masyarakat dan negara, mengakibatkan semuanya punah.

Maksud sabda Nabi s.a.w berikut wajar direnungi: "Allah tidak menarik kembali pengetahuan dengan jalan mencabutnya dari hati manusia, tetapi dengan jalan mematikan orang yang berilmu. Apabila orang berpengetahuan sudah punah, masyarakat mengangkat orang bodoh menjadi pemimpin dan tempat bertanya. Orang ini akan berfatwa tanpa ilmu, mereka itu sesat dan menyesatkan."

Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah kerana sudi membaca artikel diatas. Sila lawati ke halaman utama untuk membaca lebih 2003 artikel yang terdapat disini. Jangan lupa berkongsi artikel diatas bersama anggota keluarga, saudara mara dan rakan taulan anda. Jika anda ingin memberi pendapat atau teguran, sila email kami di admin[at]mukmin.com.my, Insyallah kami berlapang dada untuk membacanya. Semoga kita dapat ambil manafaat bersama dengan Portal Mukmin ini. Insyallah.
Kembali Ke Halaman Utama | Papar Semua Tajuk Dibawah Kategori Yang Sama | Berkongsi Artikel Dengan Rakan Lain | Sertai Facebook Mukmin Portal

 
 

 

© Mukmin (Tiada Notis Copyright)

Paparan sesuai 1280 x 800 pixel (IE 7.0 keatas / Firefox 3.0 keatas)