• Dari Sahal R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Aku dan orang yang memelihara anak-anak yatim akan berada didalam syurga adalah seumpama dua anak jari ini." Disini Rasulullah S.A.W mengisyaratkan jari telunjuk dan jari tengahnya dimana terdapat hanya sedikit ruang diantara keduanya. (HR Bukhari)
  • Dari Amr bin Malik Al-Qusyairi R.A berkata, bahawa aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara anak yatim, yang mana kedua ibubapanya seorang muslim, dengan memberi makanan dan minuman sehinggalah Allah S.W.T mengkayakannya yakni dia dapat memenuhi keperluannya sendiri, wajib baginya syurga." (HR Musnad Ahmad, Tabrani dan Majma uz Zawaid)
  • Dari Abdullah bin Umar R.Huma meriwayatkan bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W; "Ya Rasulullah, apakah satu amal yang paling baik di dalam Islam?" Baginda S.A.W menjawab "Memberi makan dan memberi salam samada kamu mengenalinya atau tidak." (HR Bukhari)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mukmin yang sempurna dikalangan orang yang beriman ialah orang yang baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kamu ialah orang yang berlaku baik terhadap isterinya." (HR Ahmad)
  • Dari Aishah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Sesungguhnya orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang terbaik akhlaknya dan berlemah lembut terhadap ahli keluarganya." (HR Tirmizi)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Diantara kamu orang yang paling aku cintai dan orang yang paling hampir kepadaku pada hari kiamat ialah orang yang baik akhlaknya." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mahukah daku khabarkan kepadamu siapakah orang yang diharamkan dari api neraka? Dan api neraka tidak akan menyentuhnya. Mereka adalah orang yang menghampiri orang lain dengan lemah lembut, berlebih kurang dan baik hati." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memiliki sebahagian yang kecil sombong di dalam hatinya, maka dia tidak dapat memasuki syurga." (HR Muslim)
  • Dari Abu Qatadah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Jikalau seseorang suka Allah S.W.T menyelamatkannya dari huru hara pada hari kiamat, maka hendaklah dia memberi kelonggaran (dalam membayar kembali pinjaman) kepada seseorang yang berada dalam keadaan terdesak, atau mengurangkan hutangnya (semuanya atau sebahagian)." (HR Muslim)
  • Dari Abu Zar R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Senyuman kepada saudara (muslim) mu adalah sedekah, menyeru kepada ma'ruf dan melarang dari mungkar adalah sedekah, menunjukkan jalan kepada seseoarng yang tersesat jalan adalah sedekah, menolong seorang yang penglihatannya kabur adalah sedekah, menyingkirkan batu-batu, duri dan tulang (dari jalan) adalah sedekah dan menuangkan air dari timbamu kepada timba saudaramu adalah sedekah. " (HR Tirmizi)
  • Dari Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan, dia akan mendapat pahala yang sama sebagaimana orang yang melakukan satu kebaikan, dan Allah menyukai orang yang menolong seorang dalam kesukaran." (HR Bazzar dan Targhib)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Seorang mukmin mencintai dan dicintai. Tidak ada kebaikan dalam diri seseorang yang tidak mencintai atau tidak berkasih sayang. Orang yang terbaik diantara manusia adalah orang yang paling banyak memberi manafaat kepada orang lain." (HR Dar Qutni dan Targhib)
  • Dari Qais bin Said R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Kalaulah aku diperintahkan bersujud kepada seseorang, nescaya aku akan perintahkan wanita-wanita bersujud keatas suami mereka, kerana haknya yang Allah SWT telah berikan kepada suami-suami." (HR Abu Daud)
  • Dari Ummu Salamah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mana-mana wanita yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya redha kepadanya, nescaya dia akan masuk kedalam syurga." (HR Tirmizi)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menjalin silaturrahim yakni berbuat baik kepada saudara-mara dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik ataupun diam." (HR Bukhari)
  • Dari Asma bin Yazid R.Ha berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara kehormatan saudaranya yang muslim ketika dia tidak ada (dimajlis itu, contohnya seseorang telah mengumpatnya, kemudian dia telah mencegah orang itu dari terus mengumpatnya), maka Allah SWT akan menjamin untuknya daripada pembebasan api neraka jahanam." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Perbanyakkan selawat kepadaku pada hari Jumaat, kerana baru sebentar tadi malaikat Jibrail A.S diutus oleh Allah SWT datang kepadaku lalu berkata : 'Barangsiapa dikalangan umat mu berselawat kepadamu (Muhammad) sekali, Aku (Allah) dan para malaikatKu akan berselawat (memohon pengampunan dan rahmat) untuknya sepuluh kali'." (HR Tabrani)
  • Hazrat Bara' R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Tidaklah kedua orang muslim bertemu dan bermusafaha (berjabat tangan) melainkan dosa-dosa kedua belah pihak diampuni sebelum mereka berpisah." (HR Abu Daud)
  • Hazrat Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Orang yang muda hendaklah memberi salam kepada orang yang tua. Orang yang berjalan hendaklah memberi salam kepada orang yang duduk. Orang yang sedikit memberi salam kepada orang yang lebih ramai." (HR Bukhari)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Bantulah saudaramu yang muslim dalam segala keadaan, bahkan apabila dia seorang yang zalim atau yang dizalimi" Seorang bertanya, "Ya Rasulullah, aku akan menolongnya apabila dia dizalimi, tetapi bagaimana aku dapat menolongnya apabila dia seorang penzalim?" Baginda S.A.W menjawab, "Engkau mencegah dia dari melakukan kezaliman kerana mencegahnya dari perbuatan zalimnya, itulah bantuanmu kepadanya." (HR Bukhari)
  • Hazrat Ibnu Abbas R.Huma meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa berjalan untuk menunaikan satu hajat seorang saudara adalah lebih baik daripada sepuluh tahun iktikaf. Barangsiapa yang beriktikaf sehari kerana Allah S.W.T akan dijauhkan daripada api neraka sejauh tiga parit, dan setiap parit luasnya diantara bumi dan langit." (HR Tabrani dan Majma uz Zawaid)

Manja Berlebihan Antara Punca Remaja Makin 'liar'

Oleh Prof Madya Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi

JIKA sebelum ini samseng jalanan hanya membahayakan pengguna jalan raya dengan perlumbaan haram, tetapi sejak akhir-akhir ini mereka bertindak lebih ganas hingga berani meragut, memukul, mencederakan dan tergamak membunuh sesiapa yang cuba menghalang kegiatan mereka.

Petanda itu jelas menunjukkan gejala samseng jalanan tidak boleh dibiarkan begitu saja, malah menuntut perhatian serius dan tindakan drastik untuk menghapuskan gejala yang merosakkan remaja itu.

Jika ditinjau secara halus, ada banyak sebab mendorong remaja terbabit dalam gejala samseng jalanan antaranya sebagai satu cara untuk mencari keseronokan dan kepuasan dalam hidup kerana mereka tidak memperoleh ketenangan dan keseronokan bersama keluarga.

Oleh itu, mereka mula mencari alternatif lain untuk berseronok dan akhirnya terjebak dalam gejala samseng jalan raya. Akibatnya, masa muda dihabiskan bukan saja dengan perkara sia-sia, malah boleh membahayakan diri serta orang ramai. Mereka seolah-olah tidak mempunyai matlamat hidup.

Dalam hal ini, ibu bapalah yang sepatutnya dipertanggungjawabkan atas pembabitan remaja dalam gejala samseng jalanan. Ini kerana ibu bapa sudah mengabaikan tanggungjawab untuk mengasuh dan mendidik anak sebagai insan bertakwa serta bermanfaat kepada masyarakat dan negara.

Barangkali ibu bapa begitu sibuk dengan pekerjaan sehingga anak di rumah terbiar tanpa belaian kasih ibu bapa. Pendidikan Islam sepatutnya berupaya membentuk anak yang salih tetapi tidak pula diberikan penekanan ketika membesarkan mereka.

Pendidikan akidah berfungsi sebagai perisai yang memelihara diri anak daripada gejala merosakkan diabaikan. Mereka juga tidak diajar untuk mengenal erti kehidupan dan matlamat sebenar kehidupan mereka di dunia ini.

Tanpa pendidikan agama dan perisai akhlak Islam, muda mudi sudah tentu tidak mampu menepis ancaman budaya luar yang mendominasi masyarakat masa kini seperti pergaulan bebas, dadah, video lucah dan pelbagai perkara negatif lain.

Apa yang berlaku mutakhir ini, anak begitu dimanjakan oleh ibu bapa sehingga sanggup memberikan apa saja yang diminta mereka tanpa sebarang persoalan. Ibu bapa juga tidak lagi menghiraukan keadaan anak, membiarkan ke mana saja mereka pergi dan tidak mengambil tahu dengan siapa mereka berkawan.

Yang penting anak memperoleh apa yang mereka hajatkan. Itulah bentuk kasih sayang material dicurahkan oleh ibu bapa dengan harapan dapat mengisi masa terluang anak akhirnya menjerumuskan anak mereka ke kancah gejala sosial memudaratkan.

Perlu ditegaskan kebanyakan kegiatan dilakukan biasanya pada waktu malam, maka ibu bapa yang berada di rumah pada waktu itu sepatutnya mengawasi dan mengawal segala pergerakan anak supaya tidak terbabit gejala negatif.

Namun tanpa kawalan ketat daripada ibu bapa, sudah tentu anak begitu bebas dan berani melakukan sesuatu bertentangan dengan undang-undang.

Ringkasnya, pengisian yang salah semasa remaja, kecetekan ilmu agama, kekurangan perhatian ibu bapa, pengaruh budaya luar yang mendominasi kehidupan masa kini adalah antara punca masalah dan gejala sosial membabitkan muda mudi di negara ini.

Faktor itu menyebabkan muda mudi kekosongan jiwa yang akhirnya mendorong mereka mencari keseronokan di luar seperti berlumba haram, meragut, merompak, membunuh, bergaul bebas dengan pasangan masing-masing, malahan berzina dengan perempuan taruhan jika menang perlumbaan.

Sehubungan itu, Islam dari awal lagi menggariskan corak pendidikan yang sesuai kepada muda mudi supaya lahir sebagai generasi berkualiti serta bermanfaat kepada agama, bangsa dan negara.

Dengan mempunyai jati diri seumpama itu, anak muda tidak mudah terpengaruh dengan lambakan budaya asing yang jelas bercanggah ajaran Islam kerana mereka memiliki kekebalan diri dengan perisai Islam dan tahu memilih antara yang hak dan batil.

Perlu diinsafi bahawa mendidik dan mengasuh anak termasuk dalam pengertian ibadah kepada Allah. Setiap ibu bapa akan dipertanggungjawabkan terhadap apa dilakukan terhadap anak mereka.

Lebih-lebih lagi anak itu seumpama helaian kertas putih melepak yang belum lagi diwarnai dan dicorakkan. Maka ibu bapalah yang mewarnai dan mencorakkannya berdasarkan kepada cita rasanya masing-masing.

Dalam hal ini, Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud: "Setiap daripada kamu adalah pemimpin dan kamu akan dipertanggungjawabkan terhadap orang yang di bawah pimpinan kamu; seorang pemerintah adalah pemimpin dan akan dipertanggungjawabkan terhadap rakyatnya; seorang lelaki adalah pemimpin kepada anggota keluarganya dan akan dipertanggungjawabkan terhadap anggota keluarganya; seorang wanita adalah pemimpin di rumah suaminya dan akan dipertanggungjawabkan terhadap anak-anaknya dan pimpinannya; dan khadam adalah diamanahkan terhadap harta tuannya dan akan dipertanggungjawabkan terhadap apa yang berada di bawah amanahnya." - (Hadis riwayat Bukhari)

Islam membentuk disiplin umatnya melalui pelaksanaan ibadat yang diwajibkan kepada mereka. Ibadat solat adalah perisai yang kukuh daripada sebarang amalan keji. Puasa pula bertindak sebagai bengkel kerohanian menyucikan jiwa dan raga daripada penyakit hati.

Sementara zakat menyuburkan harta di samping memintal kemas jalinan ukhuwah sesama Muslim dan begitulah seterusnya. Dalam hal ini, Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Hendaklah kamu suruh anak kamu mengerjakan solat apabila sampai usia tujuh tahun dan pukullah mereka apabila sampai usia sepuluh tahun (jika masih belum mengerjakan solat)." - (Hadis riwayat Abu Daud)

Selanjutnya, pendidikan akhlak memainkan peranan penting membentuk peribadi dan sahsiah muda mudi sebagai generasi berkualiti. Pendidikan akhlak perkara pertama diajar Rasulullah SAW kepada Asma’ binti Abu Bakar.

Ketika anak gadis itu akil baligh, Baginda SAW berpesan kepada Asma’ supaya menutup aurat dan memelihara batas pergaulan dengan orang lelaki.

Selain itu, ibu bapa hendaklah membimbing anak cara menguruskan masa dengan baik. Zaman remaja seharusnya dimanfaatkan dengan aktiviti, program dan amalan berfaedah. Anak perlu diinsafkan bahawa zaman remaja adalah antara soalan akan ditanya kepada setiap Muslim apabila menghadap Allah pada hari akhirat kelak.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Tidak akan tergelincir kedua kaki anak Adam pada hari kiamat nanti melainkan dia akan ditanya dengan lima soalan; mengenai umurnya ke mana dihabiskan; masa mudanya bagaimana dipergunakan; hartanya dari mana diperoleh dan ke mana pula dibelanjakannya; dan ilmunya apakah ia diamalkan." - (Hadis riwayat Tirmizi, Tabrani dan Ibnu Asakir)

Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah kerana sudi membaca artikel diatas. Sila lawati ke halaman utama untuk membaca lebih 2003 artikel yang terdapat disini. Jangan lupa berkongsi artikel diatas bersama anggota keluarga, saudara mara dan rakan taulan anda. Jika anda ingin memberi pendapat atau teguran, sila email kami di admin[at]mukmin.com.my, Insyallah kami berlapang dada untuk membacanya. Semoga kita dapat ambil manafaat bersama dengan Portal Mukmin ini. Insyallah.
Kembali Ke Halaman Utama | Papar Semua Tajuk Dibawah Kategori Yang Sama | Berkongsi Artikel Dengan Rakan Lain | Sertai Facebook Mukmin Portal

 
 

 

© Mukmin (Tiada Notis Copyright)

Paparan sesuai 1280 x 800 pixel (IE 7.0 keatas / Firefox 3.0 keatas)