• Dari Sahal R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Aku dan orang yang memelihara anak-anak yatim akan berada didalam syurga adalah seumpama dua anak jari ini." Disini Rasulullah S.A.W mengisyaratkan jari telunjuk dan jari tengahnya dimana terdapat hanya sedikit ruang diantara keduanya. (HR Bukhari)
  • Dari Amr bin Malik Al-Qusyairi R.A berkata, bahawa aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara anak yatim, yang mana kedua ibubapanya seorang muslim, dengan memberi makanan dan minuman sehinggalah Allah S.W.T mengkayakannya yakni dia dapat memenuhi keperluannya sendiri, wajib baginya syurga." (HR Musnad Ahmad, Tabrani dan Majma uz Zawaid)
  • Dari Abdullah bin Umar R.Huma meriwayatkan bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W; "Ya Rasulullah, apakah satu amal yang paling baik di dalam Islam?" Baginda S.A.W menjawab "Memberi makan dan memberi salam samada kamu mengenalinya atau tidak." (HR Bukhari)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mukmin yang sempurna dikalangan orang yang beriman ialah orang yang baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kamu ialah orang yang berlaku baik terhadap isterinya." (HR Ahmad)
  • Dari Aishah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Sesungguhnya orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang terbaik akhlaknya dan berlemah lembut terhadap ahli keluarganya." (HR Tirmizi)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Diantara kamu orang yang paling aku cintai dan orang yang paling hampir kepadaku pada hari kiamat ialah orang yang baik akhlaknya." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mahukah daku khabarkan kepadamu siapakah orang yang diharamkan dari api neraka? Dan api neraka tidak akan menyentuhnya. Mereka adalah orang yang menghampiri orang lain dengan lemah lembut, berlebih kurang dan baik hati." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memiliki sebahagian yang kecil sombong di dalam hatinya, maka dia tidak dapat memasuki syurga." (HR Muslim)
  • Dari Abu Qatadah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Jikalau seseorang suka Allah S.W.T menyelamatkannya dari huru hara pada hari kiamat, maka hendaklah dia memberi kelonggaran (dalam membayar kembali pinjaman) kepada seseorang yang berada dalam keadaan terdesak, atau mengurangkan hutangnya (semuanya atau sebahagian)." (HR Muslim)
  • Dari Abu Zar R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Senyuman kepada saudara (muslim) mu adalah sedekah, menyeru kepada ma'ruf dan melarang dari mungkar adalah sedekah, menunjukkan jalan kepada seseoarng yang tersesat jalan adalah sedekah, menolong seorang yang penglihatannya kabur adalah sedekah, menyingkirkan batu-batu, duri dan tulang (dari jalan) adalah sedekah dan menuangkan air dari timbamu kepada timba saudaramu adalah sedekah. " (HR Tirmizi)
  • Dari Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan, dia akan mendapat pahala yang sama sebagaimana orang yang melakukan satu kebaikan, dan Allah menyukai orang yang menolong seorang dalam kesukaran." (HR Bazzar dan Targhib)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Seorang mukmin mencintai dan dicintai. Tidak ada kebaikan dalam diri seseorang yang tidak mencintai atau tidak berkasih sayang. Orang yang terbaik diantara manusia adalah orang yang paling banyak memberi manafaat kepada orang lain." (HR Dar Qutni dan Targhib)
  • Dari Qais bin Said R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Kalaulah aku diperintahkan bersujud kepada seseorang, nescaya aku akan perintahkan wanita-wanita bersujud keatas suami mereka, kerana haknya yang Allah SWT telah berikan kepada suami-suami." (HR Abu Daud)
  • Dari Ummu Salamah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mana-mana wanita yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya redha kepadanya, nescaya dia akan masuk kedalam syurga." (HR Tirmizi)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menjalin silaturrahim yakni berbuat baik kepada saudara-mara dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik ataupun diam." (HR Bukhari)
  • Dari Asma bin Yazid R.Ha berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara kehormatan saudaranya yang muslim ketika dia tidak ada (dimajlis itu, contohnya seseorang telah mengumpatnya, kemudian dia telah mencegah orang itu dari terus mengumpatnya), maka Allah SWT akan menjamin untuknya daripada pembebasan api neraka jahanam." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Perbanyakkan selawat kepadaku pada hari Jumaat, kerana baru sebentar tadi malaikat Jibrail A.S diutus oleh Allah SWT datang kepadaku lalu berkata : 'Barangsiapa dikalangan umat mu berselawat kepadamu (Muhammad) sekali, Aku (Allah) dan para malaikatKu akan berselawat (memohon pengampunan dan rahmat) untuknya sepuluh kali'." (HR Tabrani)
  • Hazrat Bara' R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Tidaklah kedua orang muslim bertemu dan bermusafaha (berjabat tangan) melainkan dosa-dosa kedua belah pihak diampuni sebelum mereka berpisah." (HR Abu Daud)
  • Hazrat Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Orang yang muda hendaklah memberi salam kepada orang yang tua. Orang yang berjalan hendaklah memberi salam kepada orang yang duduk. Orang yang sedikit memberi salam kepada orang yang lebih ramai." (HR Bukhari)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Bantulah saudaramu yang muslim dalam segala keadaan, bahkan apabila dia seorang yang zalim atau yang dizalimi" Seorang bertanya, "Ya Rasulullah, aku akan menolongnya apabila dia dizalimi, tetapi bagaimana aku dapat menolongnya apabila dia seorang penzalim?" Baginda S.A.W menjawab, "Engkau mencegah dia dari melakukan kezaliman kerana mencegahnya dari perbuatan zalimnya, itulah bantuanmu kepadanya." (HR Bukhari)
  • Hazrat Ibnu Abbas R.Huma meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa berjalan untuk menunaikan satu hajat seorang saudara adalah lebih baik daripada sepuluh tahun iktikaf. Barangsiapa yang beriktikaf sehari kerana Allah S.W.T akan dijauhkan daripada api neraka sejauh tiga parit, dan setiap parit luasnya diantara bumi dan langit." (HR Tabrani dan Majma uz Zawaid)

Maqasid Syariah Dalam Kewangan Islam

Oleh WAN JEMIZAN WAN DERAMAN

MAQASID syariah ialah matlamat-matlamat yang ingin dicapai oleh syariat Islam demi kepentingan umat manusia. Ibn Rusyd menyifatkan maqasid sebagai hikmah di sebalik pensyariatan sesuatu hukum.

Pada pandangan al-Syatibi, Allah menetapkan syariat-Nya untuk memberikan kebaikan (maslahah) kepada manusia dan mengelakkan kerosakan (mafsadah) daripada menimpa.

Ia terangkum dalam tiga kategori berikut:

lKepentingan dharuriyyat, iaitu segala yang paling penting dalam kehidupan manusia dimana kehidupan manusia akan menjadi rosak samada di dunia atau di akhirat jika kepentingan asas ini tidak ada atau tidak dipenuhi.

lKeperluan hajiyat iaitu keperluan hidup untuk memudahkan kehidupan di dunia dan akhirat yang mana manusia akan menghadapi kesempitan tanpa asas ini dipenuhi.

lKeperluan tahsiniyat iaitu keperluan yang berbentuk keselesaan dan kecantikan.

Menjaga dan memelihara harta adalah salah satu dari tujuan pensyariatan (maqasid syariah). Ini jelas dihuraikan oleh Ibn Nujaim dalam kitabnya yang terkenal dalam membahaskan tentang ilmu maqasid iaitu Al-Asybah Wal- Nazair.

Justeru, tulisan pada kali ini cuba untuk merungkaikan objektif dan matlamat syariah dalam sistem kewangan Islam, iaitu untuk memelihara harta.

Kewangan Islam adalah sebuah rangkaian sistem yang lengkap dan sempurna kerana bersumberkan wahyu Allah SWT dalam al-Quran dan hadis Nabi SAW.

Maka sistem ini lebih baik dari sistem kewangan ciptaan manusia yang berasaskan pemikiran cetek dan pengalaman terhad.

Kepercayaan dan keyakinan seperti ini berkait rapat dengan akidah dan iman bahawa Allah SWT lebih memahami situasi dan keadaan manusia, kerana Dialah yang menjadikan dan mencipta manusia.

Oleh kerana itu, tiada pilihan kepada manusia melainkan wajib melaksanakan seluruh perintah dan arahan Allah SWT termasuk dalam persoalan menggerakkan ekonomi dan membangunkan sistem kewangan.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Maka demi Tuhanmu (wahai Muhammad)! Mereka tidak disifatkan beriman sehingga mereka menjadikan Engkau hakim dalam mana-mana perselisihan yang timbul di antara mereka, kemudian mereka pula tidak merasa di hati mereka sesuatu keberatan dari apa yang telah engkau hukumkan dan mereka menerima keputusan itu dengan sepenuhnya. (an-Nisa': 65)

Maka kenapa kita selalu mencipta alasan dalam mengikuti perintah Allah SWT? Kenapa kita sanggup melanggar hukum-hakam Allah SWT demi mencari keuntungan duniawi? Sedangkan setiap inci syariat Allah SWT sebenarnya bertujuan membuka pintu-pintu kemaslahatan dan untuk menutup ruang yang boleh mencetuskan keburukan kepada manusia.

Sekiranya manusia mengenepikan ketetapan Allah SWT, ia tidak langsung merumitkan dan mengurangkan kekuasaan Allah SWT walaupun sekelumit. Ia adalah mustahil! Bahkan manusia yang ingkar itu sendirilah yang akan mendapat kerugian dan kecelakaan.

Begitu juga sebarang kebaikan dan amal ibadah kepada Allah. Firman Allah SWT: Jika kamu berbuat kebaikan, (maka faedah) kebaikan yang kamu lakukan adalah untuk diri kamu; dan jika kamu berbuat kejahatan, maka (kesannya yang buruk) berbalik kepada diri kamu juga. (al-Israk: 7)

Kita dapat melihat bahawa sistem kewangan Islam menyemai prinsip keadilan kepada semua pihak, tidak mengira bangsa atau agama. Di dalamnya tiada unsur kezaliman terhadap mana-mana pihak termasuk orang yang bukan Islam. Semua mendapat hak yang saksama.

Jika diperhatikan kepada akad-akad yang ada dalam sistem kewangan Islam, semuanya mempunyai rukun-rukun serta syarat-syarat yang perlu dipatuhi.

Kesemua rukun dan syarat ini sebenarnya ditetapkan oleh Islam demi menjaga kepentingan semua pihak yang terlibat dalam kontrak berkenaan.

Sekali gus dapat mengelakkan berlakunya kezaliman dan penganiayaan kepada sesiapa pun. Jika segala rukun dan syarat ini dipenuhi, maka tentunya keadilan dapat ditegakkan dan menghalang dari berlaku pencerobohan terhadap hak pihak lain.

Firman Allah SWT: Dan janganlah kamu makan harta-harta sesama kamu dengan jalan yang batil dan janganlah kamu membawa (urusan) harta itu kepada hakim-hakim dengan tujuan supaya kamu dapat memakan sebahagian dari harta orang lain dengan cara yang berdosa, sedangkan kamu mengetahui. (al-Baqarah: 188)

Sebagai contoh, akad wadi'ah mensyaratkan sekiranya seseorang itu menggunakan barang yang dijaganya, maka dia perlu membayar ganti rugi sekiranya berlaku apa-apa kerosakan terhadap barangan tersebut.

Sebaliknya, jika dia hanya menyimpan atau menjaganya tanpa menggunakannya, maka tidak perlu membayar ganti rugi sekiranya berlaku kerosakan kepada barangan tersebut.

Peraturan ini ditetapkan untuk menjaga kepentingan kedua-dua pihak yang berakad (muwaddi' dan mustawda')

Sistem kewangan Islam juga menggagaskan konsep pengagihan kekayaan. Dr. Abdul Karim Zaidan dalam bukunya, Sunanul Ilahiyah menyatakan telah menjadi sunnah Allah SWT memberikan ujian kepada manusia berdasarkan kualiti iman yang ada dalam diri mereka.

Antara ujian yang diberikan oleh Allah SWT adalah ujian kesenangan dan kesusahan. Allah SWT menjadikan seseorang itu miskin untuk mengujinya adakah dia mampu bersyukur dan reda di atas ketentuan Allah SWT.

Allah SWT menjadikan seseorang itu kaya untuk menguji sejauh mana dia dapat bersyukur dan membantu golongan yang memerlukan.

Justeru, Allah SWT mewajibkan golongan yang berkemampuan untuk membayar zakat setelah cukup haul dan nisab sebagai ukuran kemampuan itu.

Zakat yang diwajibkan termasuklah sumbangan-sumbangan sunat yang lain seperti sedekah, derma, infak dan wakaf adalah bertujuan untuk mendekatkan jurang antara golongan miskin dan kaya.

Maka wujudlah perasaan kasih dan sayang dalam diri golongan kaya terhadap golongan miskin, dan ia sekali gus dapat menghapus perasaan dengki dalam diri golongan miskin.

Harta adalah pemberian Allah SWT. Maka wajib bagi golongan yang mendapat rezeki yang lebih berbanding dengan orang lain untuk berkongsi dan memastikan harta tersebut dapat juga dinikmati oleh golongan yang tidak bernasib baik.

Firman Allah SWT: …Supaya harta itu tidak hanya beredar di antara orang-orang kaya dari kalangan kamu. (al-Hasyr: 7)

Di samping itu, sifat jujur dan telus amat dituntut dalam kehidupan terutamanya ketika manusia berurusan sesama mereka dalam kegiatan ekonomi. Tanpa sifat ini, manusia akan hidup dalam keadaan permusuhan, dendam dan api kebencian.

Justeru, Islam menuntut seorang peniaga yang ingin menjual barangannya agar menjelaskan kesemua ciri-ciri barang tersebut agar pelanggan dapat menilainya dengan baik sebelum membuat pembelian.

Segala kelebihan serta kekurangan barangan terbabit perlu dijelaskan sebaik mungkin untuk mengelakkan sebarang pertelingkahan pada masa hadapan. Berikan masa yang mencukupi kepada pelanggan untuk berfikir dan jangan memberikannya tekanan untuk membeli.

Dokumen-dokumen perjanjian perlu mempunyai segala maklumat secara lengkap. Pihak syarikat perlu memberikan penerangan sejelas-jelasnya tentang produk yang dijual dan kesan selepas pelanggan menandatangani sesuatu kontrak.

Sabda Nabi SAW: "Peniaga yang benar dan beramanah akan ditempatkan bersama-sama para Nabi, golongan orang-orang yang benar dan para Syuhada". (riwayat Tirmidzi)

Sistem kewangan Islam juga mempunyai objektif untuk mempertahankan individu dan masyarakat dari sebarang elemen yang dapat membuka pintu kemudaratan serta keburukan. Kemudaratan itu dielakkan dengan menutup pintu-pintu yang mungkin boleh membuka ruang kepadanya.

unsur gharar

Islam melarang umat Islam terlibat dalam sebarang perniagaan yang mengandungi unsur gharar (kesamaran). Contohnya, Islam melarang menjual burung di udara atau ikan di dalam air.

Tujuannya, mengelakkan barang yang diperolehi tidak setimpal dengan harga yang dibayar. Mungkin nilainya lebih rendah atau lebih tinggi. Kemungkinan juga pelanggan tidak memperolehinya. Maka timbul pula elemen judi.

Daripada Abu Hurairah r.a. berkata: Rasulullah SAW telah melarang daripada terjerumus dalam perniagaan lontaran dan perniagaan yang tidak pasti. (riwayat Muslim)

Sistem kewangan Islam turut menekankan hubungan persaudaraan dan kasih-sayang. Sebab itu, sekiranya seseorang datang menemui saudaranya untuk membuat pinjaman, maka adalah haram untuk saudaranya itu mengenakan syarat supaya peminjam membayar balik dengan jumlah yang melebihi pinjaman.

Islam menganggapnya sebagai riba berdasarkan hadis Rasulullah SAW: "Setiap pinjaman yang membawa kepada manfaat bagi pemberi pinjam maka ia adalah riba".

Namun, Islam menggalakkan sekiranya si peminjam itu dengan sendirinya membayar hutang tersebut dengan melebihkannya sedikit dari jumlah sebenar tanpa disyaratkan atas dasar menghargai pinjaman yang diberikan.

Sabda Nabi SAW: Sesungguhnya orang yang paling baik di kalangan kamu adalah orang yang paling baik menjelaskan hutangnya. (riwayat oleh Ahmad, Muslim dan Ashab al-Sunan al-Arba'ah)

Kesimpulanya, banyak kelebihan dan kebaikan yang boleh didapati dari sistem kewangan Islam sama ada secara langsung atau sebaliknya. Ada yang dapat ditanggapi oleh akal manusia dan mungkin banyak lagi yang hanya berada dalam ilmu Allah SWT.

Terpulang kepada kita untuk mengakui kelebihan ini atau masih berdegil untuk menafikannya. Tetapi percayalah bahawa sewaktu kita menolak sistem kewangan Islam ini, maka tiada yang akan kita perolehi kecuali kerugian yang amat besar!

Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah kerana sudi membaca artikel diatas. Sila lawati ke halaman utama untuk membaca lebih 2003 artikel yang terdapat disini. Jangan lupa berkongsi artikel diatas bersama anggota keluarga, saudara mara dan rakan taulan anda. Jika anda ingin memberi pendapat atau teguran, sila email kami di admin[at]mukmin.com.my, Insyallah kami berlapang dada untuk membacanya. Semoga kita dapat ambil manafaat bersama dengan Portal Mukmin ini. Insyallah.
Kembali Ke Halaman Utama | Papar Semua Tajuk Dibawah Kategori Yang Sama | Berkongsi Artikel Dengan Rakan Lain | Sertai Facebook Mukmin Portal

 
 

 

© Mukmin (Tiada Notis Copyright)

Paparan sesuai 1280 x 800 pixel (IE 7.0 keatas / Firefox 3.0 keatas)