• Dari Sahal R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Aku dan orang yang memelihara anak-anak yatim akan berada didalam syurga adalah seumpama dua anak jari ini." Disini Rasulullah S.A.W mengisyaratkan jari telunjuk dan jari tengahnya dimana terdapat hanya sedikit ruang diantara keduanya. (HR Bukhari)
  • Dari Amr bin Malik Al-Qusyairi R.A berkata, bahawa aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara anak yatim, yang mana kedua ibubapanya seorang muslim, dengan memberi makanan dan minuman sehinggalah Allah S.W.T mengkayakannya yakni dia dapat memenuhi keperluannya sendiri, wajib baginya syurga." (HR Musnad Ahmad, Tabrani dan Majma uz Zawaid)
  • Dari Abdullah bin Umar R.Huma meriwayatkan bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W; "Ya Rasulullah, apakah satu amal yang paling baik di dalam Islam?" Baginda S.A.W menjawab "Memberi makan dan memberi salam samada kamu mengenalinya atau tidak." (HR Bukhari)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mukmin yang sempurna dikalangan orang yang beriman ialah orang yang baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kamu ialah orang yang berlaku baik terhadap isterinya." (HR Ahmad)
  • Dari Aishah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Sesungguhnya orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang terbaik akhlaknya dan berlemah lembut terhadap ahli keluarganya." (HR Tirmizi)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Diantara kamu orang yang paling aku cintai dan orang yang paling hampir kepadaku pada hari kiamat ialah orang yang baik akhlaknya." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mahukah daku khabarkan kepadamu siapakah orang yang diharamkan dari api neraka? Dan api neraka tidak akan menyentuhnya. Mereka adalah orang yang menghampiri orang lain dengan lemah lembut, berlebih kurang dan baik hati." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memiliki sebahagian yang kecil sombong di dalam hatinya, maka dia tidak dapat memasuki syurga." (HR Muslim)
  • Dari Abu Qatadah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Jikalau seseorang suka Allah S.W.T menyelamatkannya dari huru hara pada hari kiamat, maka hendaklah dia memberi kelonggaran (dalam membayar kembali pinjaman) kepada seseorang yang berada dalam keadaan terdesak, atau mengurangkan hutangnya (semuanya atau sebahagian)." (HR Muslim)
  • Dari Abu Zar R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Senyuman kepada saudara (muslim) mu adalah sedekah, menyeru kepada ma'ruf dan melarang dari mungkar adalah sedekah, menunjukkan jalan kepada seseoarng yang tersesat jalan adalah sedekah, menolong seorang yang penglihatannya kabur adalah sedekah, menyingkirkan batu-batu, duri dan tulang (dari jalan) adalah sedekah dan menuangkan air dari timbamu kepada timba saudaramu adalah sedekah. " (HR Tirmizi)
  • Dari Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan, dia akan mendapat pahala yang sama sebagaimana orang yang melakukan satu kebaikan, dan Allah menyukai orang yang menolong seorang dalam kesukaran." (HR Bazzar dan Targhib)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Seorang mukmin mencintai dan dicintai. Tidak ada kebaikan dalam diri seseorang yang tidak mencintai atau tidak berkasih sayang. Orang yang terbaik diantara manusia adalah orang yang paling banyak memberi manafaat kepada orang lain." (HR Dar Qutni dan Targhib)
  • Dari Qais bin Said R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Kalaulah aku diperintahkan bersujud kepada seseorang, nescaya aku akan perintahkan wanita-wanita bersujud keatas suami mereka, kerana haknya yang Allah SWT telah berikan kepada suami-suami." (HR Abu Daud)
  • Dari Ummu Salamah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mana-mana wanita yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya redha kepadanya, nescaya dia akan masuk kedalam syurga." (HR Tirmizi)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menjalin silaturrahim yakni berbuat baik kepada saudara-mara dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik ataupun diam." (HR Bukhari)
  • Dari Asma bin Yazid R.Ha berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara kehormatan saudaranya yang muslim ketika dia tidak ada (dimajlis itu, contohnya seseorang telah mengumpatnya, kemudian dia telah mencegah orang itu dari terus mengumpatnya), maka Allah SWT akan menjamin untuknya daripada pembebasan api neraka jahanam." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Perbanyakkan selawat kepadaku pada hari Jumaat, kerana baru sebentar tadi malaikat Jibrail A.S diutus oleh Allah SWT datang kepadaku lalu berkata : 'Barangsiapa dikalangan umat mu berselawat kepadamu (Muhammad) sekali, Aku (Allah) dan para malaikatKu akan berselawat (memohon pengampunan dan rahmat) untuknya sepuluh kali'." (HR Tabrani)
  • Hazrat Bara' R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Tidaklah kedua orang muslim bertemu dan bermusafaha (berjabat tangan) melainkan dosa-dosa kedua belah pihak diampuni sebelum mereka berpisah." (HR Abu Daud)
  • Hazrat Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Orang yang muda hendaklah memberi salam kepada orang yang tua. Orang yang berjalan hendaklah memberi salam kepada orang yang duduk. Orang yang sedikit memberi salam kepada orang yang lebih ramai." (HR Bukhari)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Bantulah saudaramu yang muslim dalam segala keadaan, bahkan apabila dia seorang yang zalim atau yang dizalimi" Seorang bertanya, "Ya Rasulullah, aku akan menolongnya apabila dia dizalimi, tetapi bagaimana aku dapat menolongnya apabila dia seorang penzalim?" Baginda S.A.W menjawab, "Engkau mencegah dia dari melakukan kezaliman kerana mencegahnya dari perbuatan zalimnya, itulah bantuanmu kepadanya." (HR Bukhari)
  • Hazrat Ibnu Abbas R.Huma meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa berjalan untuk menunaikan satu hajat seorang saudara adalah lebih baik daripada sepuluh tahun iktikaf. Barangsiapa yang beriktikaf sehari kerana Allah S.W.T akan dijauhkan daripada api neraka sejauh tiga parit, dan setiap parit luasnya diantara bumi dan langit." (HR Tabrani dan Majma uz Zawaid)

Masa Diharamkan Syarak Puasa Sunat

Soal Jawab Agama Bersama Ustaz Zamanuddin Jusoh

BAGI yang sering berpuasa akan bertembung dengan hari-hari yang diharamkan berpuasa dan hari yang dimakruhkan. Bolehkah kita teruskan berpuasa atau bagaimana? Ada juga yang mengatakan berpuasa pada hari Jumaat saja adalah haram. Boleh ustaz jelaskan.

Airil,

JB.






Puasa yang diharamkan syarak ialah:

l Dua hari raya iaitu Aidilfitri dan Aidiladha.

Sebuah hadis daripada Abu Ubaid bahawa beliau pernah berhari raya bersama Saidina Umar di mana Umar berselawat ke atas Nabi SAW sebelum berkhutbah lalu berkata: Sesungguhnya Rasulullah SAW melarang berpuasa pada dua hari raya iaitu Aidilfitri dan Aidiladha. Adapun Aidilfitri kamu berbuka kerana selesai Ramadan, manakala Aidiladha kamu memakan sembelihan korban yang kamu lakukan. (HR Abu Daud).

l Tiga hari selepas Aidiladha atau hari Tashrik (11,12 dan 13 Zulhijjah).

Daripada Abi Murrah maula Ummu Hani’ ketika dia bersama Abdullah Bin Amr RA bertemu bapanya Amr Bin Al-As lalu dihidangkan kepada kami makanan dan Abdulah berkata: Sesungguhnya saya berpuasa. Lalu jawab Amr: Makanlah, sesungguhnya Nabi SAW menyuruh kami berbuka pada beberapa hari ini dan melarang kami berpuasa padanya. Imam Malik berkata: Hari-hari itu ialah hari Tashrik.

l Berpuasa sehari atau dua hari sebelum Ramadan.

Sabda Rasulullah SAW: Jangan kamu mendahului puasa Ramadan sehari atau dua hari melainkan bagi mereka yang sudah biasa berpuasa sunat. Namun ulama mempunyai pelbagai pendapat dalam hal demikian. Berikut adalah pendapat ulama muktabar sebagai maklumat tambahan pembaca.

Menurut Imam Syafie haram berpuasa pada tiga hari selepas Aidiladha termasuk jemaah haji pada tahun berkenaan.

Imam Malik tidak mengharamkan berpuasa pada hari ketiga. Beliau juga berpendapat, jemaah haji yang mengerjakan Haji Tamattu’ dan Qiran boleh berpuasa pada hari raya kedua dan ketiga.

Imam Hambali mengharamkan kita berpuasa tiga hari selepas Aidiladha kecuali jemaah Haji Tamattu’ dan Qiran.

Imam Hanafi berpendapat berpuasa pada dua hari raya dan tiga hari selepas Aidiladha adalah haram kecuali bagi jemaah haji saja.

l Puasa sunat seorang wanita tanpa izin suaminya.

Dari abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: Tidak halal bagi wanita bersuami ketika suami di sisinya sehinggalah mendapat keizinan suaminya. Janganlah seorang isteri mengizinkan seseorang masuk ke rumah melainkan dengan izin suaminya. (HR Bukhari dan Muslim). Imam Ahmad dalam musnadnya menambah perkataan: Melainkan pada Ramadan.

Di dalam hadis lain Rasul SAW bersabda: Seorang isteri tidak boleh berpuasa ketika suaminya hadir, selain puasa Ramadan kecuali dengan izin suaminya. (HR Tarmizi).

Oleh yang demikian ulama Syafie, Maliki dan Hambali mengharamkan puasa seorang wanita yang bersuami, berpuasa tanpa izin suaminya kecuali suami tidak memerlukan hubungan jima’ dengannya atau suaminya bermusafir atau sedang ihram atau beriktikaf atau sakit. Imam Hanafi berpendapat hukumnya makruh.

Puasa yang makruh pula antaranya ialah:

l Berpuasa pada hari Jumaat saja tanpa disusuli puasa sehari selepas atau sebelumnya. Begitu juga berpuasa pada hari Sabtu atau Ahad saja kecuali bersebab seperti nazar dan sebagainya mengikut Imam Syafie’ RA.

Jumaat adalah hari raya kaum Muslimin. Ia adalah hari yang patut diperbanyakkan ibadat. Maka sesetengah daripada ibadat yang afdal ialah puasa tetapi hendaklah didahului satu hari sebelum atau selepasnya iaitu Khamis atau Sabtu.





Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah kerana sudi membaca artikel diatas. Sila lawati ke halaman utama untuk membaca lebih 2003 artikel yang terdapat disini. Jangan lupa berkongsi artikel diatas bersama anggota keluarga, saudara mara dan rakan taulan anda. Jika anda ingin memberi pendapat atau teguran, sila email kami di admin[at]mukmin.com.my, Insyallah kami berlapang dada untuk membacanya. Semoga kita dapat ambil manafaat bersama dengan Portal Mukmin ini. Insyallah.
Kembali Ke Halaman Utama | Papar Semua Tajuk Dibawah Kategori Yang Sama | Berkongsi Artikel Dengan Rakan Lain | Sertai Facebook Mukmin Portal

 
 

 

© Mukmin (Tiada Notis Copyright)

Paparan sesuai 1280 x 800 pixel (IE 7.0 keatas / Firefox 3.0 keatas)