• Dari Sahal R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Aku dan orang yang memelihara anak-anak yatim akan berada didalam syurga adalah seumpama dua anak jari ini." Disini Rasulullah S.A.W mengisyaratkan jari telunjuk dan jari tengahnya dimana terdapat hanya sedikit ruang diantara keduanya. (HR Bukhari)
  • Dari Amr bin Malik Al-Qusyairi R.A berkata, bahawa aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara anak yatim, yang mana kedua ibubapanya seorang muslim, dengan memberi makanan dan minuman sehinggalah Allah S.W.T mengkayakannya yakni dia dapat memenuhi keperluannya sendiri, wajib baginya syurga." (HR Musnad Ahmad, Tabrani dan Majma uz Zawaid)
  • Dari Abdullah bin Umar R.Huma meriwayatkan bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W; "Ya Rasulullah, apakah satu amal yang paling baik di dalam Islam?" Baginda S.A.W menjawab "Memberi makan dan memberi salam samada kamu mengenalinya atau tidak." (HR Bukhari)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mukmin yang sempurna dikalangan orang yang beriman ialah orang yang baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kamu ialah orang yang berlaku baik terhadap isterinya." (HR Ahmad)
  • Dari Aishah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Sesungguhnya orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang terbaik akhlaknya dan berlemah lembut terhadap ahli keluarganya." (HR Tirmizi)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Diantara kamu orang yang paling aku cintai dan orang yang paling hampir kepadaku pada hari kiamat ialah orang yang baik akhlaknya." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mahukah daku khabarkan kepadamu siapakah orang yang diharamkan dari api neraka? Dan api neraka tidak akan menyentuhnya. Mereka adalah orang yang menghampiri orang lain dengan lemah lembut, berlebih kurang dan baik hati." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memiliki sebahagian yang kecil sombong di dalam hatinya, maka dia tidak dapat memasuki syurga." (HR Muslim)
  • Dari Abu Qatadah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Jikalau seseorang suka Allah S.W.T menyelamatkannya dari huru hara pada hari kiamat, maka hendaklah dia memberi kelonggaran (dalam membayar kembali pinjaman) kepada seseorang yang berada dalam keadaan terdesak, atau mengurangkan hutangnya (semuanya atau sebahagian)." (HR Muslim)
  • Dari Abu Zar R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Senyuman kepada saudara (muslim) mu adalah sedekah, menyeru kepada ma'ruf dan melarang dari mungkar adalah sedekah, menunjukkan jalan kepada seseoarng yang tersesat jalan adalah sedekah, menolong seorang yang penglihatannya kabur adalah sedekah, menyingkirkan batu-batu, duri dan tulang (dari jalan) adalah sedekah dan menuangkan air dari timbamu kepada timba saudaramu adalah sedekah. " (HR Tirmizi)
  • Dari Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan, dia akan mendapat pahala yang sama sebagaimana orang yang melakukan satu kebaikan, dan Allah menyukai orang yang menolong seorang dalam kesukaran." (HR Bazzar dan Targhib)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Seorang mukmin mencintai dan dicintai. Tidak ada kebaikan dalam diri seseorang yang tidak mencintai atau tidak berkasih sayang. Orang yang terbaik diantara manusia adalah orang yang paling banyak memberi manafaat kepada orang lain." (HR Dar Qutni dan Targhib)
  • Dari Qais bin Said R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Kalaulah aku diperintahkan bersujud kepada seseorang, nescaya aku akan perintahkan wanita-wanita bersujud keatas suami mereka, kerana haknya yang Allah SWT telah berikan kepada suami-suami." (HR Abu Daud)
  • Dari Ummu Salamah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mana-mana wanita yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya redha kepadanya, nescaya dia akan masuk kedalam syurga." (HR Tirmizi)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menjalin silaturrahim yakni berbuat baik kepada saudara-mara dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik ataupun diam." (HR Bukhari)
  • Dari Asma bin Yazid R.Ha berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara kehormatan saudaranya yang muslim ketika dia tidak ada (dimajlis itu, contohnya seseorang telah mengumpatnya, kemudian dia telah mencegah orang itu dari terus mengumpatnya), maka Allah SWT akan menjamin untuknya daripada pembebasan api neraka jahanam." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Perbanyakkan selawat kepadaku pada hari Jumaat, kerana baru sebentar tadi malaikat Jibrail A.S diutus oleh Allah SWT datang kepadaku lalu berkata : 'Barangsiapa dikalangan umat mu berselawat kepadamu (Muhammad) sekali, Aku (Allah) dan para malaikatKu akan berselawat (memohon pengampunan dan rahmat) untuknya sepuluh kali'." (HR Tabrani)
  • Hazrat Bara' R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Tidaklah kedua orang muslim bertemu dan bermusafaha (berjabat tangan) melainkan dosa-dosa kedua belah pihak diampuni sebelum mereka berpisah." (HR Abu Daud)
  • Hazrat Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Orang yang muda hendaklah memberi salam kepada orang yang tua. Orang yang berjalan hendaklah memberi salam kepada orang yang duduk. Orang yang sedikit memberi salam kepada orang yang lebih ramai." (HR Bukhari)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Bantulah saudaramu yang muslim dalam segala keadaan, bahkan apabila dia seorang yang zalim atau yang dizalimi" Seorang bertanya, "Ya Rasulullah, aku akan menolongnya apabila dia dizalimi, tetapi bagaimana aku dapat menolongnya apabila dia seorang penzalim?" Baginda S.A.W menjawab, "Engkau mencegah dia dari melakukan kezaliman kerana mencegahnya dari perbuatan zalimnya, itulah bantuanmu kepadanya." (HR Bukhari)
  • Hazrat Ibnu Abbas R.Huma meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa berjalan untuk menunaikan satu hajat seorang saudara adalah lebih baik daripada sepuluh tahun iktikaf. Barangsiapa yang beriktikaf sehari kerana Allah S.W.T akan dijauhkan daripada api neraka sejauh tiga parit, dan setiap parit luasnya diantara bumi dan langit." (HR Tabrani dan Majma uz Zawaid)

Memahami Perbezaan Lafaz Cerai Baiah, Taklik

Peguam Syarie Menulis: Memahami perbezaan lafaz cerai baiah, taklik
Oleh Musa Awang

Kedua-dua talak bergantung sejauh mana janji dan syarat ke atas suami dipatuhi

SEBELUM ini timbul polemik mengenai parti politik yang mengadakan baiah secara taklik talak tiga bagi menghalang wakil rakyat melompat parti selepas pilihan raya. Saya tidak mahu mengupas isu ini dari sudut politik namun menilainya melalui perspektif perundangan. Baiah adalah suatu sumpah atau janji yang dibuat seseorang untuk memberi sepenuh ketaatan dan kesetiaan, kepada amir atau ketuanya.

Berbaiah sifatnya harus selama sumpah dan janji didalamnya tidak melanggar hukum syarak. Sejarah baiah pertama berlaku sebelum hijrah Nabi SAW iaitu pada tahun ke-12 selepas kerasulan Nabi (621M).




Satu rombongan dari Yathrib (Madinah) yang terdiri dari 12 penduduk, 10 orang dari kabilah Aus dan dua dari kabilah Khazraj bertemu Rasulullah di lembah Aqabah, Mina. Mereka berbaiah dengan Rasulullah yang dikenali Bai'ah al-Aqabah.

Imam al-Bukhari, dari Ubadah bin al-Samit bahawa Rasulullah bersabda kepada kami ketika ia dikelilingi oleh beberapa sahabatnya, "Berbaiahlah (berjanji setia) kepadaku bahawa kamu tidak sekutu Allah dengan sesuatu yang lain, tidak mencuri, tidak berzina, tidak membunuh anak kamu, tidak berbohong yang sengaja diadakan sama ada pada dirimu atau orang lain dan jangan kamu derhaka dalam perkara baik. Maka sesiapa yang setia di kalangan kamu maka ganjarannya di sisi Allah, dan sesiapa yang terkena kepadanya amalan buruk lalu ia menerima tindakan hukuman di dunia maka menjadi kifarah baginya. Sesiapa yang terkena kepadanya dengan mengerjakan perkara itu kemudian Allah melindunginya dari diketahui orang di dunia ini maka terserahlah kepada Allah. Jika Ia kehendaki nescaya diampun-Nya dan jika Ia kehendaki nescaya dihukum-Nya lalu kamu pun berbaiah di atas perkara ini."

Rombongan berkenaan bukan saja melafazkan ikrar dua kalimah syahadah, malah beraku janji menerima segala hukum Islam yang menjadi asas penting bagi pembinaan individu dan masyarakat Islam, dari aspek aqidah, akhlak dan pelaksanaan Islam di dalam semua bidang, menolak segala perlakuan di zaman Jahiliah.

Taklik bermaksud 'gantung' atau 'sangkut'. Dalam konteks hukum fiqh, taklik ialah 'mengaitkan berlakunya sesuatu hal dengan sesuatu syarat yang ditetapkan'. Taklik talak pula ialah 'mengaitkan berlakunya talak atau perceraian apabila terjadi atau berlaku sesuatu syarat yang dilafazkan. Hukum membuat lafaz taklik talak adalah harus.

Asas bagi talak taklik yang menjadi amalan di negara ini ialah janji yang dibuat suami selepas majlis akad nikah, yang mana suami membuat janji tidak akan melanggar syarat yang dipersetujui pihak dalam perjanjian selepas perkahwinan itu. Berdasarkan Seksyen 50, Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor 2003, Mahkamah Syariah berkuasa mengesahkan suatu lafaz taklik yang dibuat suami selepas majlis akad nikah.

Isteri perlu memulakan prosiding dengan membuat aduan kepada mahkamah, selepas mahkamah mensabitkan aduan itu, maka gugurlah talak seperti dalam perjanjian mereka itu. Namun terdapat juga keadaan, lafaz taklik talak dibuat selain dari sighah (formula kontrak perkahwinan) yang dilafazkan selepas akad nikah itu. Ia diklasifikasikan sebagai cerai luar mahkamah, menurut peruntukan Seksyen 57 Enakmen yang sama.

Lafaz baiah secara taklik talak ini adalah termasuk dalam kategori ini. Mahkamah syariah yang berbidang kuasa mengesahkan sama ada berlaku perlanggaran terhadap syarat dalam lafaz taklik itu atau tidak. Prosiding cerai luar mahkamah ini boleh dimulakan sama ada oleh isteri atau suami. Namun beban pembuktian cerai luar mahkamah secara taklik talak terletak ke atas bahu isteri, yang perlu membuktikan dua elemen berikut:


Kewujudan lafaz talak secara bertaklik oleh suami.


Bahawa suaminya sudah melanggar syarat dalam lafaz taklik itu dengan mengemukakan saksi atau dokumen atau dengan pengakuan suami itu sendiri.

Sama ada sesuatu talak itu gugur atau tidak tertakluk kepada penyempurnaan rukun talak dan syarat setiap rukun berkenaan. Dalam mazhab Shafie, rukun talak ada lima iaitu pentalak; sighah; mahl (isteri); wilayah (ada kekuasaan) dan qasad.


Pentalak disyaratkan seorang yang mukallaf (baligh dan berakal) serta tidak dipaksa. Syarat sighah ialah kehendak melafazkan dengan talak walaupun tanpa niat.


Mahl (isteri) disyaratkan isteri yang sah kepada suami yang mana sekali gus suami mempunyai wilayah (kekuasaan) untuk menjatuhkan talak ke atasnya.


Qasad iaitu niat, bagi lafaz soreh (jelas) tidak berkehendakkan kepada niat. Menurut kitab Kifayah al-Akhyar, mengenai talak menyebutkan bahawa, "talak itu ada dua jenis iaitu, talak soreh (jelas) dan talak kinayah (sindiran). Talak soreh itu ada tiga lafaz iaitu talak, firaaq (cerai) dan saraah (lepas). Talak dengan lafaz soreh tidak memerlukan niat (untuk menjadikannya gugur)."

Perkataan talak atau cerai adalah perkataan yang tidak boleh diperlakukan sesuka hati. Jika dilakukan dalam keadaan bergurau sekalipun jatuh talak, apatah lagi dalam keadaan sedar dan waras. Rasulullah bersabda: "Tiga perkara yang sungguh-sungguh jadi sungguh-sungguh dan main-main dikira sungguh-sungguh iaitu nikah, talak dan rujuk."

Dalam bab berhubungan lafaz talak tiga sekali gus, menurut pendapat Syiah dan Zaidiyah, sesetengah ulama Zahiriyah dan Ibn Ishak, Ibn Taimiyyah dan Ibn Qayyim, jatuh satu talak saja dan lafaz tidak memberi kesan. Menurut majalah al Buhuth al Islamiyyah, Jilid 1 Bilangan 3 Tahun 1397H, pada asalnya undang-undang Mesir dan Syria mengambil pendapat ini.

Kemudian Lujnah Fatwa yang bersidang di Riyadh mengubah pendapat ini dan memilih majoriti pendapat yang mengatakan jatuh tiga talak dengan lafaz talak tiga sekali gus. Pendapat ketiga menurut Syiah Imamiyyah, menceraikan isteri dengan tiga talak sekali gus sama sekali tidak menjatuhkan talak. Pendapat jumhur imam mazhab yang empat dan al-Zahiriyah, menyatakan jatuh tiga talak. Pendapat jumhur berdalilkan al-Quran, al-Sunnah, al-ijma' perkataan sahabat dan qias.

Jelaslah bahawa baiah dan talak taklik adalah dua perkara berbeza. Menggabungkan kedua-dua elemen ini adalah harus selagi mana ia tidak berlawanan dengan hukum syarak. Namun sekiranya berlaku perlanggaran terhadap sumpah baiah, maka pembuat baiah akan menghadapi dua risiko. Pertama ia perlu membayar kaffarah terhadap sumpah yang dimungkiri. Kedua dia akan menghadapi risiko perceraian dengan isteri tercinta, berdasarkan jumlah talak yang dilafazkan. Jika sekiranya suami berbaiah dengan talak tiga, maka akan jatuhlah talak tiga sekali gus seperti pandangan ulama jumhur.

Dari satu segi, sumpah bai'ah talak tiga ini dilihat akan menganiayai isteri kerana isteri tiada pilihan untuk mengatakan tidak kepada lafaz talak bertaklik yang sudah dilafazkan itu kerana talak adalah hak suami. Ia juga dilihat seolah-olah politik lebih diutamakan daripada institusi kekeluargaan. Namun jika dilihat satu perspektif lain, lafaz baiah sedemikian meletakkan kedudukan isteri setaraf dengan ketua atau pemimpin kepada si pembuat baiah. Natijahnya, suami akan berada dalam keadaan terpaksa membuat pilihan yang sukar, sama ada memilih mengkhianati pemimpinnya dan kehilangan isteri tercinta, atau terus istiqamah dalam meneruskan perjuangan kepemimpinannya.

Penulis ialah Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia, boleh dihubungi melalui emel :sekretariatpgsm@yahoo.com atau layari http: //www.peguamsyarie.org



Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah kerana sudi membaca artikel diatas. Sila lawati ke halaman utama untuk membaca lebih 2003 artikel yang terdapat disini. Jangan lupa berkongsi artikel diatas bersama anggota keluarga, saudara mara dan rakan taulan anda. Jika anda ingin memberi pendapat atau teguran, sila email kami di admin[at]mukmin.com.my, Insyallah kami berlapang dada untuk membacanya. Semoga kita dapat ambil manafaat bersama dengan Portal Mukmin ini. Insyallah.
Kembali Ke Halaman Utama | Papar Semua Tajuk Dibawah Kategori Yang Sama | Berkongsi Artikel Dengan Rakan Lain | Sertai Facebook Mukmin Portal

 
 

 

© Mukmin (Tiada Notis Copyright)

Paparan sesuai 1280 x 800 pixel (IE 7.0 keatas / Firefox 3.0 keatas)