• Dari Sahal R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Aku dan orang yang memelihara anak-anak yatim akan berada didalam syurga adalah seumpama dua anak jari ini." Disini Rasulullah S.A.W mengisyaratkan jari telunjuk dan jari tengahnya dimana terdapat hanya sedikit ruang diantara keduanya. (HR Bukhari)
  • Dari Amr bin Malik Al-Qusyairi R.A berkata, bahawa aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara anak yatim, yang mana kedua ibubapanya seorang muslim, dengan memberi makanan dan minuman sehinggalah Allah S.W.T mengkayakannya yakni dia dapat memenuhi keperluannya sendiri, wajib baginya syurga." (HR Musnad Ahmad, Tabrani dan Majma uz Zawaid)
  • Dari Abdullah bin Umar R.Huma meriwayatkan bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W; "Ya Rasulullah, apakah satu amal yang paling baik di dalam Islam?" Baginda S.A.W menjawab "Memberi makan dan memberi salam samada kamu mengenalinya atau tidak." (HR Bukhari)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mukmin yang sempurna dikalangan orang yang beriman ialah orang yang baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kamu ialah orang yang berlaku baik terhadap isterinya." (HR Ahmad)
  • Dari Aishah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Sesungguhnya orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang terbaik akhlaknya dan berlemah lembut terhadap ahli keluarganya." (HR Tirmizi)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Diantara kamu orang yang paling aku cintai dan orang yang paling hampir kepadaku pada hari kiamat ialah orang yang baik akhlaknya." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mahukah daku khabarkan kepadamu siapakah orang yang diharamkan dari api neraka? Dan api neraka tidak akan menyentuhnya. Mereka adalah orang yang menghampiri orang lain dengan lemah lembut, berlebih kurang dan baik hati." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memiliki sebahagian yang kecil sombong di dalam hatinya, maka dia tidak dapat memasuki syurga." (HR Muslim)
  • Dari Abu Qatadah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Jikalau seseorang suka Allah S.W.T menyelamatkannya dari huru hara pada hari kiamat, maka hendaklah dia memberi kelonggaran (dalam membayar kembali pinjaman) kepada seseorang yang berada dalam keadaan terdesak, atau mengurangkan hutangnya (semuanya atau sebahagian)." (HR Muslim)
  • Dari Abu Zar R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Senyuman kepada saudara (muslim) mu adalah sedekah, menyeru kepada ma'ruf dan melarang dari mungkar adalah sedekah, menunjukkan jalan kepada seseoarng yang tersesat jalan adalah sedekah, menolong seorang yang penglihatannya kabur adalah sedekah, menyingkirkan batu-batu, duri dan tulang (dari jalan) adalah sedekah dan menuangkan air dari timbamu kepada timba saudaramu adalah sedekah. " (HR Tirmizi)
  • Dari Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan, dia akan mendapat pahala yang sama sebagaimana orang yang melakukan satu kebaikan, dan Allah menyukai orang yang menolong seorang dalam kesukaran." (HR Bazzar dan Targhib)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Seorang mukmin mencintai dan dicintai. Tidak ada kebaikan dalam diri seseorang yang tidak mencintai atau tidak berkasih sayang. Orang yang terbaik diantara manusia adalah orang yang paling banyak memberi manafaat kepada orang lain." (HR Dar Qutni dan Targhib)
  • Dari Qais bin Said R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Kalaulah aku diperintahkan bersujud kepada seseorang, nescaya aku akan perintahkan wanita-wanita bersujud keatas suami mereka, kerana haknya yang Allah SWT telah berikan kepada suami-suami." (HR Abu Daud)
  • Dari Ummu Salamah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mana-mana wanita yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya redha kepadanya, nescaya dia akan masuk kedalam syurga." (HR Tirmizi)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menjalin silaturrahim yakni berbuat baik kepada saudara-mara dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik ataupun diam." (HR Bukhari)
  • Dari Asma bin Yazid R.Ha berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara kehormatan saudaranya yang muslim ketika dia tidak ada (dimajlis itu, contohnya seseorang telah mengumpatnya, kemudian dia telah mencegah orang itu dari terus mengumpatnya), maka Allah SWT akan menjamin untuknya daripada pembebasan api neraka jahanam." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Perbanyakkan selawat kepadaku pada hari Jumaat, kerana baru sebentar tadi malaikat Jibrail A.S diutus oleh Allah SWT datang kepadaku lalu berkata : 'Barangsiapa dikalangan umat mu berselawat kepadamu (Muhammad) sekali, Aku (Allah) dan para malaikatKu akan berselawat (memohon pengampunan dan rahmat) untuknya sepuluh kali'." (HR Tabrani)
  • Hazrat Bara' R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Tidaklah kedua orang muslim bertemu dan bermusafaha (berjabat tangan) melainkan dosa-dosa kedua belah pihak diampuni sebelum mereka berpisah." (HR Abu Daud)
  • Hazrat Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Orang yang muda hendaklah memberi salam kepada orang yang tua. Orang yang berjalan hendaklah memberi salam kepada orang yang duduk. Orang yang sedikit memberi salam kepada orang yang lebih ramai." (HR Bukhari)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Bantulah saudaramu yang muslim dalam segala keadaan, bahkan apabila dia seorang yang zalim atau yang dizalimi" Seorang bertanya, "Ya Rasulullah, aku akan menolongnya apabila dia dizalimi, tetapi bagaimana aku dapat menolongnya apabila dia seorang penzalim?" Baginda S.A.W menjawab, "Engkau mencegah dia dari melakukan kezaliman kerana mencegahnya dari perbuatan zalimnya, itulah bantuanmu kepadanya." (HR Bukhari)
  • Hazrat Ibnu Abbas R.Huma meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa berjalan untuk menunaikan satu hajat seorang saudara adalah lebih baik daripada sepuluh tahun iktikaf. Barangsiapa yang beriktikaf sehari kerana Allah S.W.T akan dijauhkan daripada api neraka sejauh tiga parit, dan setiap parit luasnya diantara bumi dan langit." (HR Tabrani dan Majma uz Zawaid)

Memahami erti jihad

DALAM kamus Islam, jihad bermaksud perang pada jalan Allah. Tetapi, sejauh mana ia difahami, khususnya oleh masyarakat antarabangsa?

Salah faham itu menyebabkan orang Islam sering dikaitkan dengan 'keganasan' (terrorism) sedangkan jihad dan keganasan jauh berbeza.


Jihad bermaksud berjuang sedaya upaya pada jalan Allah seperti dijelaskan dalam al-Quran: "Dan Berjihadlah kamu pada jalan Allah dengan jihad yang sebenar-benarnya." (al-Haj:78)

Nabi Muhammad s.a.w ada bersabda maksudnya: "Sesiapa mati padahal dia tidak berperang dan tidak pun pernah berniat hendak berperang, maka matilah dia seperti mati jahiliyah."

Tetapi di Barat, jihad kerap disalah erti sebagai perang suci yang dianggap sama dengan perang suci orang bukan Islam seperti Kristian dan Yahudi sedangkan dalam terminologi Islam pengertiannya lebih luas.

Jihad berasal dari perkataan juhd yang bermaksud kuasa dan upaya (at-taaqah) serta kesukaran (al-masyaqqah), membabitkan dua pengertian iaitu secara umum dan khusus.

Pengertian umum jihad ialah segala daya usaha dan segenap kekuatan yang dicurahkan untuk menegakkan hukum dan perintah Allah di atas muka bumi ini dan membersihkan segala taghut yang menjadi penghalang kepada jalan dakwah.

Jihad umum ini merangkumi jihad harta, pembelajaran, politik, penyampaian dakwah dan peperangan.

Jihad dengan pengertian yang khusus merujuk kepada perang pada jalan Allah.

Sayyid Abul 'Ala al-Maududi berkata: "Setiap orang yang berusaha untuk meninggikan kalimah Islam dengan menggunakan segala yang ada padanya daripada harta benda, jiwa raga, pena dan lidah, maka ia tanpa ragu lagi tergolong dalam orang yang berjihad di jalan Allah dengan pengertian jihad umum.

"Tetapi kalimah jihad ini juga diungkapkan untuk pengertian jihad yang khusus iaitu peperangan dilakukan oleh kaum Muslimin untuk menentang musuh Islam kerana mengharapkan keredaan Allah, bukan duniawi."

Menurut Syeikh Sayyid Sabiq, jihad ialah menggunakan sepenuhnya kekuatan, kuasa dan upaya yang ada dan menanggung kepayahan dan kesukaran untuk memerangi musuh dan menangkis serangannya.

Di kalangan sarjana, ada yang memberikan pengertian lebih umum kepada jihad dengan turut memasukkan mujahadah iaitu jihad melawan hawa nafsu dan syaitan.

Ibnu Qayyim al-Jauzi meletakkan jihad dalam empat peringkat iaitu jihad terhadap hawa nafsu, syaitan, orang kafir dan munafik, orang zalim serta pelaku bidaah dan kemungkaran.

Jihad adalah sesuatu tidak asing dari lembaran sirah perjuangan nabi.

Menurut kiraan ahli sejarah, sepanjang 10 tahun nabi di Madinah, kira-kira 70 angkatan perang diutuskan untuk menghadapi peperangan dengan musuh Islam dan 28 angkatan itu dipimpin baginda sendiri.

Dalam jihad ini baginda menggunakan beberapa jenis pedang seperti Ma'thur, pedang terawal dimiliki baginda sebagai harta pusaka dari bapanya, al-'Adhab dan Zulfiqar iaitu pedang yang tidak pernah berpisah dengan baginda yang dihiasi dengan perak.

Justeru, orientalis melemparkan kritikan dan mengadakan dakwaan kononnya Islam berkembang dengan mata pedang.

Sebenarnya matlamat peperangan dalam Islam ialah untuk meruntuhkan sistem kekufuran, menegakkan ubudiyah hanya untuk Allah serta menzahirkan keagungan, ketinggian dan kemuliaan Islam di atas muka bumi ini.

"Dan, perangilah mereka itu sehingga tidak ada fitnah lagi dan agama itu hanya semata-mata untuk Allah." (al-Baqarah:193)

Maksud fitnah dalam ayat itu ialah kufur dan syirik, sebagaimana pendapat Ibnu Abbas, Qatadah, Mujahid dan Rabi'.

Islam tidak sekali-kali bermaksud untuk memaksa manusia menganut Islam melalui peperangan.

Mustafa al-Syiba'iy ada menegaskan, peradaban Islam adalah untuk mengajak manusia supaya saling kenal mengenal dan tolong menolong dalam keadaan damai.

Prinsip peradaban Islam, katanya, mengharamkan peperangan, tidak boleh menyerang, merampas harta benda dan menghina kehormatan sesuatu bangsa.

"Dalam Islam perang yang sah hanyalah bertujuan membela akidah dan moral umat dan kebebasan, kemerdekaan dan keselamatan umat," katanya, dipetik daripada buku 10 Tokoh Sarjana Islam Paling Berpengaruh.

Jihad perang disyariatkan untuk tujuan membalas serangan musuh, tetapi tidak secara melampaui batas seperti ditegaskan pada ayat 190 surah al-Baqarah, bermaksud: "Dan perangilah di jalan Allah orang yang memerangi kamu, (tetapi) janganlah kamu melampaui batas kerana sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas."

Ia juga diharuskan untuk membantu orang Islam yang lemah dan dizalimi orang kafir seperti dijelaskan pada ayat 75 surah an-Nisa' serta menghukum perosak agama dan masyarakat Islam termasuk golongan murtad, pemberontak, perompak dan lanun.

Jihad bukanlah suatu peperangan secara agresif, yang menghalalkan semua perkara bagi mencapai kepuasan dan kepentingan diri termasuk merosakkan rumah ibadat, kanak-kanak dan wanita, haiwan dan tumbuhan.

Ia tertakluk kepada garis panduan yang sudah ditetapkan dan jika tidak ia tidaklah dikatakan jihad.

Wasiat Saidina Abu Bakar kepada tentera Usamah jelas menggambarkan mengenai jihad dan garis panduannya, iaitu: "Jangan menyeksa, jangan membunuh anak kecil, orang tua dan kaum wanita. Jangan menyembelih kambing, lembu atau unta kecuali untuk dimakan. Kamu akan melalui orang yang sedang bertapa di kuil, maka biarkan mereka dengan apa yang mereka lakukan."

Dalam perang Uhud, yang mana Rasulullah cedera dan kalangan sahabat meminta baginda mengutuk kaum musyrikin lalu baginda menjawab: "Aku diutuskan bukan untuk membawa laknat, tetapi diutuskan untuk menyeru dan pembawa rahmat."

Kemudian baginda berdoa: "Ya Allah, tunjuki kaumku kerana sesungguhnya mereka tidak mengetahui."

Ungkapan Rasulullah itu jelas menunjukkan baginda berperang bukan kerana hausnya pada pertumpahan darah seperti pemimpin empayar besar lain, tetapi kerana ingin menunjukkan jalan kebenaran.

Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah kerana sudi membaca artikel diatas. Sila lawati ke halaman utama untuk membaca lebih 2003 artikel yang terdapat disini. Jangan lupa berkongsi artikel diatas bersama anggota keluarga, saudara mara dan rakan taulan anda. Jika anda ingin memberi pendapat atau teguran, sila email kami di admin[at]mukmin.com.my, Insyallah kami berlapang dada untuk membacanya. Semoga kita dapat ambil manafaat bersama dengan Portal Mukmin ini. Insyallah.
Kembali Ke Halaman Utama | Papar Semua Tajuk Dibawah Kategori Yang Sama | Berkongsi Artikel Dengan Rakan Lain | Sertai Facebook Mukmin Portal

 
 

 

© Mukmin (Tiada Notis Copyright)

Paparan sesuai 1280 x 800 pixel (IE 7.0 keatas / Firefox 3.0 keatas)