• Dari Sahal R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Aku dan orang yang memelihara anak-anak yatim akan berada didalam syurga adalah seumpama dua anak jari ini." Disini Rasulullah S.A.W mengisyaratkan jari telunjuk dan jari tengahnya dimana terdapat hanya sedikit ruang diantara keduanya. (HR Bukhari)
  • Dari Amr bin Malik Al-Qusyairi R.A berkata, bahawa aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara anak yatim, yang mana kedua ibubapanya seorang muslim, dengan memberi makanan dan minuman sehinggalah Allah S.W.T mengkayakannya yakni dia dapat memenuhi keperluannya sendiri, wajib baginya syurga." (HR Musnad Ahmad, Tabrani dan Majma uz Zawaid)
  • Dari Abdullah bin Umar R.Huma meriwayatkan bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W; "Ya Rasulullah, apakah satu amal yang paling baik di dalam Islam?" Baginda S.A.W menjawab "Memberi makan dan memberi salam samada kamu mengenalinya atau tidak." (HR Bukhari)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mukmin yang sempurna dikalangan orang yang beriman ialah orang yang baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kamu ialah orang yang berlaku baik terhadap isterinya." (HR Ahmad)
  • Dari Aishah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Sesungguhnya orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang terbaik akhlaknya dan berlemah lembut terhadap ahli keluarganya." (HR Tirmizi)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Diantara kamu orang yang paling aku cintai dan orang yang paling hampir kepadaku pada hari kiamat ialah orang yang baik akhlaknya." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mahukah daku khabarkan kepadamu siapakah orang yang diharamkan dari api neraka? Dan api neraka tidak akan menyentuhnya. Mereka adalah orang yang menghampiri orang lain dengan lemah lembut, berlebih kurang dan baik hati." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memiliki sebahagian yang kecil sombong di dalam hatinya, maka dia tidak dapat memasuki syurga." (HR Muslim)
  • Dari Abu Qatadah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Jikalau seseorang suka Allah S.W.T menyelamatkannya dari huru hara pada hari kiamat, maka hendaklah dia memberi kelonggaran (dalam membayar kembali pinjaman) kepada seseorang yang berada dalam keadaan terdesak, atau mengurangkan hutangnya (semuanya atau sebahagian)." (HR Muslim)
  • Dari Abu Zar R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Senyuman kepada saudara (muslim) mu adalah sedekah, menyeru kepada ma'ruf dan melarang dari mungkar adalah sedekah, menunjukkan jalan kepada seseoarng yang tersesat jalan adalah sedekah, menolong seorang yang penglihatannya kabur adalah sedekah, menyingkirkan batu-batu, duri dan tulang (dari jalan) adalah sedekah dan menuangkan air dari timbamu kepada timba saudaramu adalah sedekah. " (HR Tirmizi)
  • Dari Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan, dia akan mendapat pahala yang sama sebagaimana orang yang melakukan satu kebaikan, dan Allah menyukai orang yang menolong seorang dalam kesukaran." (HR Bazzar dan Targhib)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Seorang mukmin mencintai dan dicintai. Tidak ada kebaikan dalam diri seseorang yang tidak mencintai atau tidak berkasih sayang. Orang yang terbaik diantara manusia adalah orang yang paling banyak memberi manafaat kepada orang lain." (HR Dar Qutni dan Targhib)
  • Dari Qais bin Said R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Kalaulah aku diperintahkan bersujud kepada seseorang, nescaya aku akan perintahkan wanita-wanita bersujud keatas suami mereka, kerana haknya yang Allah SWT telah berikan kepada suami-suami." (HR Abu Daud)
  • Dari Ummu Salamah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mana-mana wanita yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya redha kepadanya, nescaya dia akan masuk kedalam syurga." (HR Tirmizi)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menjalin silaturrahim yakni berbuat baik kepada saudara-mara dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik ataupun diam." (HR Bukhari)
  • Dari Asma bin Yazid R.Ha berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara kehormatan saudaranya yang muslim ketika dia tidak ada (dimajlis itu, contohnya seseorang telah mengumpatnya, kemudian dia telah mencegah orang itu dari terus mengumpatnya), maka Allah SWT akan menjamin untuknya daripada pembebasan api neraka jahanam." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Perbanyakkan selawat kepadaku pada hari Jumaat, kerana baru sebentar tadi malaikat Jibrail A.S diutus oleh Allah SWT datang kepadaku lalu berkata : 'Barangsiapa dikalangan umat mu berselawat kepadamu (Muhammad) sekali, Aku (Allah) dan para malaikatKu akan berselawat (memohon pengampunan dan rahmat) untuknya sepuluh kali'." (HR Tabrani)
  • Hazrat Bara' R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Tidaklah kedua orang muslim bertemu dan bermusafaha (berjabat tangan) melainkan dosa-dosa kedua belah pihak diampuni sebelum mereka berpisah." (HR Abu Daud)
  • Hazrat Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Orang yang muda hendaklah memberi salam kepada orang yang tua. Orang yang berjalan hendaklah memberi salam kepada orang yang duduk. Orang yang sedikit memberi salam kepada orang yang lebih ramai." (HR Bukhari)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Bantulah saudaramu yang muslim dalam segala keadaan, bahkan apabila dia seorang yang zalim atau yang dizalimi" Seorang bertanya, "Ya Rasulullah, aku akan menolongnya apabila dia dizalimi, tetapi bagaimana aku dapat menolongnya apabila dia seorang penzalim?" Baginda S.A.W menjawab, "Engkau mencegah dia dari melakukan kezaliman kerana mencegahnya dari perbuatan zalimnya, itulah bantuanmu kepadanya." (HR Bukhari)
  • Hazrat Ibnu Abbas R.Huma meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa berjalan untuk menunaikan satu hajat seorang saudara adalah lebih baik daripada sepuluh tahun iktikaf. Barangsiapa yang beriktikaf sehari kerana Allah S.W.T akan dijauhkan daripada api neraka sejauh tiga parit, dan setiap parit luasnya diantara bumi dan langit." (HR Tabrani dan Majma uz Zawaid)

Membentuk Belia Mantap Rohani, Jasmani

Oleh Muhamad Razak Idris

Abim lancar program kempen derma, berjariah perkasa generasi muda Islam

KITAB suci al-Quran mengandungi banyak pengajaran dan pesanan. Satu daripadanya, supaya umat Islam bersikap bertanggungjawab terhadap generasi di kemudian hari dengan tidak meninggalkan mereka dalam keadaan yang lemah.

Pesanan ini terkandung dalam al-Quran yang mana Allah mengingatkan dan memesan kepada mereka yang dipertanggungjawabkan membahagikan harta pusaka supaya mengagihkannya secara adil dan saksama.

Ini bagi memastikan pembahagian itu tidak membawa penganiayaan dan kezaliman kepada mereka yang berhak terutama pengagihan membabitkan anak yatim dan golongan daif.



Allah berfirman yang bermaksud: "Dan hendaklah takut (kepada Allah daripada melakukan aniaya kepada anak yatim) oleh orang (yang menjadi penjaganya) yang jika ditakdirkan mereka pula meninggalkan anak yang daif (yatim) di belakang mereka (tentulah) mereka bimbang terhadap masa depan dan keselamatan) anak, oleh itu maka hendaklah mereka bertakwa kepada Allah dan hendaklah mereka mengatakan perkataan yang benar (menepati syarak)." (Surah al-Nisa', ayat 9)

Peringatan dan pesanan itu disampaikan Allah kerana ada sebahagian manusia yang bersikap tamak serta zalim dengan keputusan dalam urusan harta benda hingga membawa penganiayaan terhadap golongan lemah seperti anak yatim.

Dalam hubungan ini, Allah memberi pesanan terutama kepada penjaga harta pusaka dengan gambaran apakah mereka tidak berasa bimbang jika ditakdirkan pewaris itu ialah anak mereka?

Apakah tidak ada rasa bimbang terhadap keselamatan dan masa depan mereka jika generasi yang ditinggalkan dalam keadaan lemah? Pengajaran umum daripada pesanan al-Quran ini amat meluas sekali. Tentunya, pesanan ini tidak merujuk kepada golongan penjaga harta pusaka secara khusus.

Ia juga adalah peringatan kepada seluruh umat Islam supaya bersiap siaga dan memandang ke depan dalam merancang masa depan generasi yang mereka akan tinggalkan nanti. Umat Islam hendaklah sentiasa bertanyakan diri sendiri mengenai nasib anak mereka suatu hari kelak. Apakah anak mereka tergolong daripada kalangan generasi yang lemah atau kuat?

Semangat pengajaran ayat al-Quran itu harus menjadi pegangan seluruh umat Islam sempena sambutan Nuzul al-Quran tahun ini. Untuk itu, kita hendaklah menggolongkan diri di kalangan kelompok yang mengambil berat terhadap keselamatan dan masa depan generasi akan datang.

Bagi tujuan itu, kita semua hendaklah bersama-sama menjayakan usaha pembangunan generasi belia Islam yang memiliki serba kekuatan dalam kehidupan bagi memastikan tidak terjebak dalam perbuatan menganiayai dengan meninggalkan generasi akan datang dalam keadaan yang penuh dengan kelemahan.

Sesungguhnya, usaha itu adalah satu agenda luhur dan murni memandangkan generasi belia Islam adalah kelompok pewaris kepada kepemimpinan negara dan ummah pada masa depan. Ada beberapa faktor yang menuntut usaha pembangunan belia Islam diperhebatkan.

Pertama, golongan belia Islam adalah kelompok teras masyarakat Malaysia hari ini. Bilangan mereka juga adalah yang terbanyak. Belia Islam di negara kita terdiri daripada pelbagai latar belakang kaum dan budaya.

Mereka terdiri daripada kalangan belia Islam berbangsa Melayu, Cina, India, Bumiputera Sabah dan Sarawak serta juga masyarakat Orang Asli. Kepelbagaian latar belakang ini ialah kesan proses pengislaman dan perkembangan ajaran agama Islam yang pesat di negara ini.

Mereka adalah tonggak yang akan mempengaruhi corak perkembangan negara pada masa depan daripada sudut ekonomi, politik dan sosial. Keutuhan mereka asas kesejahteraan negara Malaysia.

Kedua, peranan belia Islam di negara kita penting dan berpengaruh sekali kerana Malaysia secara khusus adalah sebuah negara contoh kepada banyak negara terutama dunia Islam dalam pelbagai aspek kehidupan.

Jaminan kepemimpinan negara yang berkesan di pentas dunia bergantung kepada keupayaan kita membangunkan generasi belia Islam berkualiti dalam segenap aspek kehidupan. Peranan dan tanggungjawab mereka hari ini tidak lagi berkisar dalam ruang dan sempadan negara tetapi kelompok pemimpin di pentas kehidupan dunia yang serba luas.

Ketiga, belia Islam kini sedang berada di era dunia yang mencabar. Salah satu cabaran utama belia Islam ialah globalisasi. Proses keterbukaan dan liberalisasi yang menjadi elemen utama era globalisasi ini menuntut belia Islam bersiap sedia secara sempurna.

Belia Islam yang terbangun secara sepadu daripada aspek jasmani, rohani, akal dan emosi akan berupaya mendepani cabaran tidak menentu ini. Bersandarkan faktor itu, tuntutan membangun belia Islam yang utuh dan kuat begitu mendesak sekali.

Tuntutan itu harus menjadi kewajipan dan tanggungjawab segenap lapisan masyarakat. Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) selaku wadah terbesar bagi belia Islam di negara ini berasa terpanggil untuk memberikan tumpuan khusus kepada Agenda Pembangunan Belia Islam pada masa depan.

Ia sejajar semangat pesanan al-Quran yang meminta kita berasa bimbang mengenai masa depan generasi akan datang supaya tidak ditinggalkan dalam keadaan lemah. Agenda pembangunan belia Islam, rancangannya harus bersifat menyeluruh.

Antara aspek utama yang akan diberi tumpuan Abim ialah bidang pendidikan Islam dan latihan, peningkatan ketrampilan dan kepemimpinan, pembangunan ekonomi dan keusahawanan, pemupukan semangat kesukarelawanan, pengukuhan kebajikan sosial dan kesedaran alam sekitar dan isu antarabangsa di samping pembinaan jiwa patriotik.

Agenda itu menuntut dokongan masyarakat terbanyak. Semua lapisan masyarakat wajar digalakkan terbabit secara serius dalam menjayakan agenda pembangunan Islam. Bagi mendorong pembabitan masyarakat, Abim melancarkan Kempen Menderma dan Berjariah Untuk Tabung Pembangunan Belia Islam.

Ia bertujuan mengumpul dana bagi melancarkan usaha dan rancangan program pembangunan belia Islam secara lebih berkesan untuk tempoh akan datang.

Bersempena sambutan Nuzul al-Quran, saya ingin mengajak seluruh masyarakat bersama Abim menjayakan agenda membangun generasi belia Islam yang kuat dengan menderma dan berjariah menerusi tabung ini. Segala bentuk sumbangan ikhlas adalah bermakna di dalam menjayakan cita-cita murni ini.

Penulis ialah Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim)

Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah kerana sudi membaca artikel diatas. Sila lawati ke halaman utama untuk membaca lebih 2003 artikel yang terdapat disini. Jangan lupa berkongsi artikel diatas bersama anggota keluarga, saudara mara dan rakan taulan anda. Jika anda ingin memberi pendapat atau teguran, sila email kami di admin[at]mukmin.com.my, Insyallah kami berlapang dada untuk membacanya. Semoga kita dapat ambil manafaat bersama dengan Portal Mukmin ini. Insyallah.
Kembali Ke Halaman Utama | Papar Semua Tajuk Dibawah Kategori Yang Sama | Berkongsi Artikel Dengan Rakan Lain | Sertai Facebook Mukmin Portal

 
 

 

© Mukmin (Tiada Notis Copyright)

Paparan sesuai 1280 x 800 pixel (IE 7.0 keatas / Firefox 3.0 keatas)