• Dari Sahal R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Aku dan orang yang memelihara anak-anak yatim akan berada didalam syurga adalah seumpama dua anak jari ini." Disini Rasulullah S.A.W mengisyaratkan jari telunjuk dan jari tengahnya dimana terdapat hanya sedikit ruang diantara keduanya. (HR Bukhari)
  • Dari Amr bin Malik Al-Qusyairi R.A berkata, bahawa aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara anak yatim, yang mana kedua ibubapanya seorang muslim, dengan memberi makanan dan minuman sehinggalah Allah S.W.T mengkayakannya yakni dia dapat memenuhi keperluannya sendiri, wajib baginya syurga." (HR Musnad Ahmad, Tabrani dan Majma uz Zawaid)
  • Dari Abdullah bin Umar R.Huma meriwayatkan bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W; "Ya Rasulullah, apakah satu amal yang paling baik di dalam Islam?" Baginda S.A.W menjawab "Memberi makan dan memberi salam samada kamu mengenalinya atau tidak." (HR Bukhari)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mukmin yang sempurna dikalangan orang yang beriman ialah orang yang baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kamu ialah orang yang berlaku baik terhadap isterinya." (HR Ahmad)
  • Dari Aishah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Sesungguhnya orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang terbaik akhlaknya dan berlemah lembut terhadap ahli keluarganya." (HR Tirmizi)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Diantara kamu orang yang paling aku cintai dan orang yang paling hampir kepadaku pada hari kiamat ialah orang yang baik akhlaknya." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mahukah daku khabarkan kepadamu siapakah orang yang diharamkan dari api neraka? Dan api neraka tidak akan menyentuhnya. Mereka adalah orang yang menghampiri orang lain dengan lemah lembut, berlebih kurang dan baik hati." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memiliki sebahagian yang kecil sombong di dalam hatinya, maka dia tidak dapat memasuki syurga." (HR Muslim)
  • Dari Abu Qatadah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Jikalau seseorang suka Allah S.W.T menyelamatkannya dari huru hara pada hari kiamat, maka hendaklah dia memberi kelonggaran (dalam membayar kembali pinjaman) kepada seseorang yang berada dalam keadaan terdesak, atau mengurangkan hutangnya (semuanya atau sebahagian)." (HR Muslim)
  • Dari Abu Zar R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Senyuman kepada saudara (muslim) mu adalah sedekah, menyeru kepada ma'ruf dan melarang dari mungkar adalah sedekah, menunjukkan jalan kepada seseoarng yang tersesat jalan adalah sedekah, menolong seorang yang penglihatannya kabur adalah sedekah, menyingkirkan batu-batu, duri dan tulang (dari jalan) adalah sedekah dan menuangkan air dari timbamu kepada timba saudaramu adalah sedekah. " (HR Tirmizi)
  • Dari Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan, dia akan mendapat pahala yang sama sebagaimana orang yang melakukan satu kebaikan, dan Allah menyukai orang yang menolong seorang dalam kesukaran." (HR Bazzar dan Targhib)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Seorang mukmin mencintai dan dicintai. Tidak ada kebaikan dalam diri seseorang yang tidak mencintai atau tidak berkasih sayang. Orang yang terbaik diantara manusia adalah orang yang paling banyak memberi manafaat kepada orang lain." (HR Dar Qutni dan Targhib)
  • Dari Qais bin Said R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Kalaulah aku diperintahkan bersujud kepada seseorang, nescaya aku akan perintahkan wanita-wanita bersujud keatas suami mereka, kerana haknya yang Allah SWT telah berikan kepada suami-suami." (HR Abu Daud)
  • Dari Ummu Salamah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mana-mana wanita yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya redha kepadanya, nescaya dia akan masuk kedalam syurga." (HR Tirmizi)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menjalin silaturrahim yakni berbuat baik kepada saudara-mara dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik ataupun diam." (HR Bukhari)
  • Dari Asma bin Yazid R.Ha berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara kehormatan saudaranya yang muslim ketika dia tidak ada (dimajlis itu, contohnya seseorang telah mengumpatnya, kemudian dia telah mencegah orang itu dari terus mengumpatnya), maka Allah SWT akan menjamin untuknya daripada pembebasan api neraka jahanam." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Perbanyakkan selawat kepadaku pada hari Jumaat, kerana baru sebentar tadi malaikat Jibrail A.S diutus oleh Allah SWT datang kepadaku lalu berkata : 'Barangsiapa dikalangan umat mu berselawat kepadamu (Muhammad) sekali, Aku (Allah) dan para malaikatKu akan berselawat (memohon pengampunan dan rahmat) untuknya sepuluh kali'." (HR Tabrani)
  • Hazrat Bara' R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Tidaklah kedua orang muslim bertemu dan bermusafaha (berjabat tangan) melainkan dosa-dosa kedua belah pihak diampuni sebelum mereka berpisah." (HR Abu Daud)
  • Hazrat Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Orang yang muda hendaklah memberi salam kepada orang yang tua. Orang yang berjalan hendaklah memberi salam kepada orang yang duduk. Orang yang sedikit memberi salam kepada orang yang lebih ramai." (HR Bukhari)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Bantulah saudaramu yang muslim dalam segala keadaan, bahkan apabila dia seorang yang zalim atau yang dizalimi" Seorang bertanya, "Ya Rasulullah, aku akan menolongnya apabila dia dizalimi, tetapi bagaimana aku dapat menolongnya apabila dia seorang penzalim?" Baginda S.A.W menjawab, "Engkau mencegah dia dari melakukan kezaliman kerana mencegahnya dari perbuatan zalimnya, itulah bantuanmu kepadanya." (HR Bukhari)
  • Hazrat Ibnu Abbas R.Huma meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa berjalan untuk menunaikan satu hajat seorang saudara adalah lebih baik daripada sepuluh tahun iktikaf. Barangsiapa yang beriktikaf sehari kerana Allah S.W.T akan dijauhkan daripada api neraka sejauh tiga parit, dan setiap parit luasnya diantara bumi dan langit." (HR Tabrani dan Majma uz Zawaid)

Memberi, Terima Nasihat Perkukuh Ikatan Ukhwah

Oleh Penulis Khas YaPEIM

Cara berkesan elak rakan, saudara terlalai

PERMINTAAN seorang pelajar supaya Imam al-Ghazali memberi nasihat dalam bentuk tulisan untuk dijadikan panduan hidup, diberi maklum balas dalam bukunya Ayyuha al-Walad bahawa memberi nasihat itu mudah. Namun, timbul kesulitan daripada sudut orang yang mahu menerima nasihat itu.

Kenyataan Imam al-Ghazali menunjukkan tradisi dan budaya nasihat menasihati antara sesama manusia sesuatu yang mudah dipraktikkan. Setiap orang berhak menasihati orang lain dalam konteks memberi ajaran, petunjuk dan pengajaran yang baik.


Malah, apabila seseorang mengesyorkan atau mengusulkan sesuatu yang baik juga boleh dikira sebagai agenda nasihat menasihati. Islam meletakkan aktiviti nasihat menasihati sebagai lambang persaudaraan dan persahabatan sejati yang ditandai dengan dasar keimanan.

Firman Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya orang beriman itu bersaudara." (Al-Hujurat: 10)

Nabi SAW pernah bersabda, daripada Anas yang bermaksud bahawa kesempurnaan iman seseorang itu terletak di atas prinsip persaudaraan sejati sehingga dia boleh mengasihi saudaranya seperti dia mengasihi dirinya sendiri.

Sehubungan itu, Nabi SAW pernah mengaitkan bahawa agama itu terdiri atas nasihat seperti sabda Baginda yang bermaksud, "Agama itu nasihat. Sahabat bertanya, " Untuk siapa (wahai Rasulullah)? Baginda menjawab, "Bagi Allah, kitab-Nya, Rasul-Nya, dan pemimpin umat Islam dan seluruh umat Islam."

Nasihat menasihati boleh berlaku dalam institusi keluarga, masyarakat dan negara. Nasihat Lukman al-Hakim kepada anaknya seperti dirakamkan dalam surah Luqman, ayat 13-19, mengandungi mesej pendidikan yang jelas kepada kita.

Nasihat itu memperlihatkan keprihatinan ayah terhadap anaknya dalam kehidupan. Ia meliputi aspek hubungan hamba dengan Pencipta-Nya dan hubungan sesama hamba.

Nabi dan rasul dalam misi dakwah kepada kaum mereka juga menyampaikan nasihat supaya tunduk kepada kekuasaan yang agung dan mentauhidkan Allah. Nabi Nuh umpamanya yang didakwa sebagai sesat dan menyampaikan ajaran sesat memberitahu kaumnya, baginda adalah penyampai risalah dan amanah Allah serta pemberi nasihat dalam misi dakwahnya.

Firman Allah yang bermaksud, "Sesungguhnya Kami telah mengutus Nuh kepada kaumnya lalu dia berkata: Wahai kaumku sembahlah Allah, sekali-kali tiada Tuhan bagimu selain-Nya, sesungguhnya (kalau kaum tidak menyembah Allah, aku takut kamu akan ditimpa azab hari yang besar (kiamat).

Pemuka dari kaumnya berkata: Sesungguhnya kami memandang kamu berada dalam kesesatan yang nyata. Nuh menjawab: Hai kaumku, tidak ada padaku kesesatan sedikitpun tetapi aku adalah utusan dari Tuhan semesta alam. Aku sampaikan kepadamu amanat-amanat Tuhanku dan aku memberi nasihat kepadamu, dan aku mengetahui dari Allah apa yang tidak kamu ketahui..." (Al-A'raf : 59-64).

Begitu juga dengan Nabi Hud yang dituduh sebagai orang bodoh dan pendusta ketika berdakwah kepada kaumnya. Baginda menjawab bahawa baginda adalah utusan Allah yang mempunyai ciri bijak pandai, berperanan sebagai penyampai amanah Tuhan dan pemberi nasihat yang boleh dipercayai.

Ini dirakamkan Allah dalam firman yang bermaksud, "Dan (Kami telah mengutus) kepada kaum `Aad saudara mereka, Hud. Dia berkata: Hai kaumku, sembahlah Allah, sekali-kali tidak ada Tuhan bagimu selain-Nya. Maka mengapa kamu tidak bertakwa kepada-Nya?

Pemuka yang kafir daripada kaumnya berkata, " Sesungguhnya kami benar-benar memandang kau dalam keadaan kurang akal dan sesungguhnya kami menganggap kamu termasuk dalam golongan orang yang berdusta".

Hud berkata, "Hai kaumku, tidak ada padaku kekurangan akal sedikitpun, tetapi aku adalah utusan dari Tuhan semesta alam. Aku menyampaikan amanat Tuhanku kepadamu dan aku hanyalah pemberi nasihat yang dipercayai bagimu..." (Al-A`raf: 65-68)

Sempena Hari Raya Korban ini, marilah kita suburkan budaya nasihat-menasihati supaya kita tidak terlalai daripada ingatan Allah untuk berpesan-pesan dengan kebaikan dan berpesan-pesan dengan kesabaran.

Hari Raya Korban merupakanan antara hari penting umat Islam berasaskan kepada sejarah Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail. Marilah kita bersama-sama mengambil iktibar daripada pengorbanan kedua-dua tokoh ini.

Warga YaPEIM mengucapkan Selamat Aidiladha kepada muslimin-muslimat di seluruh negara, mudah-mudahan kita tidak akan jemu berkorban demi agama, bangsa dan negara.



Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah kerana sudi membaca artikel diatas. Sila lawati ke halaman utama untuk membaca lebih 2003 artikel yang terdapat disini. Jangan lupa berkongsi artikel diatas bersama anggota keluarga, saudara mara dan rakan taulan anda. Jika anda ingin memberi pendapat atau teguran, sila email kami di admin[at]mukmin.com.my, Insyallah kami berlapang dada untuk membacanya. Semoga kita dapat ambil manafaat bersama dengan Portal Mukmin ini. Insyallah.
Kembali Ke Halaman Utama | Papar Semua Tajuk Dibawah Kategori Yang Sama | Berkongsi Artikel Dengan Rakan Lain | Sertai Facebook Mukmin Portal

 
 

 

© Mukmin (Tiada Notis Copyright)

Paparan sesuai 1280 x 800 pixel (IE 7.0 keatas / Firefox 3.0 keatas)