• Dari Sahal R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Aku dan orang yang memelihara anak-anak yatim akan berada didalam syurga adalah seumpama dua anak jari ini." Disini Rasulullah S.A.W mengisyaratkan jari telunjuk dan jari tengahnya dimana terdapat hanya sedikit ruang diantara keduanya. (HR Bukhari)
  • Dari Amr bin Malik Al-Qusyairi R.A berkata, bahawa aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara anak yatim, yang mana kedua ibubapanya seorang muslim, dengan memberi makanan dan minuman sehinggalah Allah S.W.T mengkayakannya yakni dia dapat memenuhi keperluannya sendiri, wajib baginya syurga." (HR Musnad Ahmad, Tabrani dan Majma uz Zawaid)
  • Dari Abdullah bin Umar R.Huma meriwayatkan bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W; "Ya Rasulullah, apakah satu amal yang paling baik di dalam Islam?" Baginda S.A.W menjawab "Memberi makan dan memberi salam samada kamu mengenalinya atau tidak." (HR Bukhari)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mukmin yang sempurna dikalangan orang yang beriman ialah orang yang baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kamu ialah orang yang berlaku baik terhadap isterinya." (HR Ahmad)
  • Dari Aishah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Sesungguhnya orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang terbaik akhlaknya dan berlemah lembut terhadap ahli keluarganya." (HR Tirmizi)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Diantara kamu orang yang paling aku cintai dan orang yang paling hampir kepadaku pada hari kiamat ialah orang yang baik akhlaknya." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mahukah daku khabarkan kepadamu siapakah orang yang diharamkan dari api neraka? Dan api neraka tidak akan menyentuhnya. Mereka adalah orang yang menghampiri orang lain dengan lemah lembut, berlebih kurang dan baik hati." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memiliki sebahagian yang kecil sombong di dalam hatinya, maka dia tidak dapat memasuki syurga." (HR Muslim)
  • Dari Abu Qatadah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Jikalau seseorang suka Allah S.W.T menyelamatkannya dari huru hara pada hari kiamat, maka hendaklah dia memberi kelonggaran (dalam membayar kembali pinjaman) kepada seseorang yang berada dalam keadaan terdesak, atau mengurangkan hutangnya (semuanya atau sebahagian)." (HR Muslim)
  • Dari Abu Zar R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Senyuman kepada saudara (muslim) mu adalah sedekah, menyeru kepada ma'ruf dan melarang dari mungkar adalah sedekah, menunjukkan jalan kepada seseoarng yang tersesat jalan adalah sedekah, menolong seorang yang penglihatannya kabur adalah sedekah, menyingkirkan batu-batu, duri dan tulang (dari jalan) adalah sedekah dan menuangkan air dari timbamu kepada timba saudaramu adalah sedekah. " (HR Tirmizi)
  • Dari Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan, dia akan mendapat pahala yang sama sebagaimana orang yang melakukan satu kebaikan, dan Allah menyukai orang yang menolong seorang dalam kesukaran." (HR Bazzar dan Targhib)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Seorang mukmin mencintai dan dicintai. Tidak ada kebaikan dalam diri seseorang yang tidak mencintai atau tidak berkasih sayang. Orang yang terbaik diantara manusia adalah orang yang paling banyak memberi manafaat kepada orang lain." (HR Dar Qutni dan Targhib)
  • Dari Qais bin Said R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Kalaulah aku diperintahkan bersujud kepada seseorang, nescaya aku akan perintahkan wanita-wanita bersujud keatas suami mereka, kerana haknya yang Allah SWT telah berikan kepada suami-suami." (HR Abu Daud)
  • Dari Ummu Salamah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mana-mana wanita yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya redha kepadanya, nescaya dia akan masuk kedalam syurga." (HR Tirmizi)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menjalin silaturrahim yakni berbuat baik kepada saudara-mara dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik ataupun diam." (HR Bukhari)
  • Dari Asma bin Yazid R.Ha berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara kehormatan saudaranya yang muslim ketika dia tidak ada (dimajlis itu, contohnya seseorang telah mengumpatnya, kemudian dia telah mencegah orang itu dari terus mengumpatnya), maka Allah SWT akan menjamin untuknya daripada pembebasan api neraka jahanam." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Perbanyakkan selawat kepadaku pada hari Jumaat, kerana baru sebentar tadi malaikat Jibrail A.S diutus oleh Allah SWT datang kepadaku lalu berkata : 'Barangsiapa dikalangan umat mu berselawat kepadamu (Muhammad) sekali, Aku (Allah) dan para malaikatKu akan berselawat (memohon pengampunan dan rahmat) untuknya sepuluh kali'." (HR Tabrani)
  • Hazrat Bara' R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Tidaklah kedua orang muslim bertemu dan bermusafaha (berjabat tangan) melainkan dosa-dosa kedua belah pihak diampuni sebelum mereka berpisah." (HR Abu Daud)
  • Hazrat Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Orang yang muda hendaklah memberi salam kepada orang yang tua. Orang yang berjalan hendaklah memberi salam kepada orang yang duduk. Orang yang sedikit memberi salam kepada orang yang lebih ramai." (HR Bukhari)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Bantulah saudaramu yang muslim dalam segala keadaan, bahkan apabila dia seorang yang zalim atau yang dizalimi" Seorang bertanya, "Ya Rasulullah, aku akan menolongnya apabila dia dizalimi, tetapi bagaimana aku dapat menolongnya apabila dia seorang penzalim?" Baginda S.A.W menjawab, "Engkau mencegah dia dari melakukan kezaliman kerana mencegahnya dari perbuatan zalimnya, itulah bantuanmu kepadanya." (HR Bukhari)
  • Hazrat Ibnu Abbas R.Huma meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa berjalan untuk menunaikan satu hajat seorang saudara adalah lebih baik daripada sepuluh tahun iktikaf. Barangsiapa yang beriktikaf sehari kerana Allah S.W.T akan dijauhkan daripada api neraka sejauh tiga parit, dan setiap parit luasnya diantara bumi dan langit." (HR Tabrani dan Majma uz Zawaid)

Mencari Hikmah Dalam Menyampaikan Risalah

DR. MOHD. ASRI ZAINUL ABIDIN (Mufti Negeri Perlis)

Apabila dakwah yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w. begitu ditindas di Mekah, maka baginda mencadangkan supaya sebahagian para sahabatnya berhijrah ke Habsyah. Ketika itu yang memerintah Habsyah adalah Najasyi, seorang raja yang terkenal bersifat adil.

Kerajaan Habsyah adalah kerajaan Kristian dalam erti kata agama tersebut menjadi teras kerajaan. Apabila para pembesar Quraisy Mekah yang memusuhi Islam mengetahui bahawa sebahagian orang Islam berhijrah ke Habsyah, mereka mengambil langkah menghantar dua tokoh mereka yang hebat; ‘Amr bin al-‘As dan ‘Abd Allah bin Abi Rabi‘ah. Tujuannya agar dapat dipujuk Raja Najasyi supaya ditangkap orang-orang Islam yang berada di sana dan diserahkan kepada pembesar Mekah. Hadiah-hadiah mewah dibawa oleh kedua tokoh tersebut sebagai umpan bagi membuka laluan agar mereka dapat bertemu raja. Orang-orang besar juga menerima habuan mereka. Kata kedua tokoh Quraisy tersebut kepada Raja Najasyi: “Wahai Raja! Telah datang ke negaramu budak-budak yang bodoh. Mereka telah memecahbelahkan agama kaum mereka dan tidak pula memasuki agamamu. Mereka membawa agama yang mereka ada-adakan yang kami dan engkau tidak kenalinya. Pembesar kaum mereka yang terdiri daripada bapa-bapa mereka, paman-paman mereka dan kaum keluarga mereka telah menghantar kepadamu utusan agar engkau mengembalikan mereka kepada kaum mereka. Mereka lebih tahu keburukan mereka itu.” Namun Najasyi mengambil langkah yang berhati-hati. Dia ingin menyoal siasat terlebih dahulu. Lalu dipanggil para sahabat Nabi s.a.w. yang berhijrah ke negaranya dan ditanya mengenai agama mereka.

Sahabat

Di sini saya ingin menonjolkan jawapan yang diberikan kepada Najasyi oleh jurucakap umat Islam di Habsyah ketika itu; Jaafar bin Abu Talib. Jaafar ialah seorang sahabat yang Rasulullah benar-benar memahami hakikat dakwah Islam ini. Dalam situasi yang genting dan sukar beliau memilih jawapan yang terbaik. Kerana, sebarang penerangan yang tidak memuaskan akan mengorbankan sekian ramai yang berhijrah ke sana. Apabila Najasyi berkata kepadanya: “Agama apakah ini yang kerananya kamu telah pecah belahkan kaum kamu dan tidak pula kamu memasuki agamaku?” Lantas Jaafar bin Abu Talib pun memberikan jawapan yang sangat terpilih lagi menyentuh hati nurani Najasyi yang merupakan seorang Kristian ketika itu. Kata Jaafar: “Wahai Raja! Kami dahulunya adalah kaum jahiliah; kami menyembah berhala, memakan bangkai (binatang yang tidak disembelih), mendatangi perkara-perkara yang keji, memutuskan hubungan kekeluargaan, menyakiti hati jiran. Mereka yang kuat di kalangan kami menindas orang yang lemah. Begitulah keadaan kami, sehinggalah Allah menghantarkan kepada kami seorang rasul. Kami kenal akan keturunannya, kami kenal akan benar cakapnya, kami kenal akan amanahnya, kami kenal dia seorang yang memelihara diri dari keburukan. Lalu dia menyeru kami kepada Allah agar kami mentauhidkan-

Nya dan menyembah-Nya; dia juga meminta agar kami tanggalkan apa yang kami dan keturunan kami sembah selain Allah yang terdiri daripada batu-batu dan berhala-berhala. Dia perintahkan kami supaya bercakap benar, tunaikan amanah dan hubungkan silaturahim. Dia melarang kami dari membuat perbuatan keji, perkataan dusta, memakan harta anak yatim, menuduh zina wanita-wanita baik. Dia menyuruh kami agar hanya menyembah Allah yang esa, tidak mensyirikkan-Nya dengan sesuatu, dia menyuruh kami agar bersolat, berzakat dan berpuasa – lalu Jaafar menyebut beberapa ajaran Islam yang lain lagi. Lalu kami membenarkannya dan beriman dengannya, serta kami ikut agama Allah yang dia bawa. Maka kami hanya menyembah Allah, tidak mensyirikkan-Nya, kami haramkan apa yang dia haramkan dan kami halalkan apa yang dia halalkan. Tiba-tiba kaum kami memusuhi kami, mereka menyeksa kami, mengganggu kami dari agama kami. Tujuannya, mereka mahu agar kami kembali menyembah berhala, menghalalkan segala kekejian yang pernah kami halalkan. Apabila mereka memaksa, menzalimi, menekan kami dan menghalang agama kami, lantas kami pun keluar menuju negaramu. Kami memilih engkau, dibandingkan yang lain. Kami ingin mendapatkan perlindungan engkau. Kami harap kami tidak dizalimi di sisi engkau, wahai Raja!” Lalu Najasyi bertanya: “Adakah bersamamu apa-

apa yang datang daripada Allah?” Jawab Jaafar: “Ya!” Kata Najasyi: “Bacakan kepadaku.” Lalu Jaafar membaca surah Maryam yang terkandung kisah Maryam dan Nabi Isa. Bercucuranlah air mata Najasyi, juga para agamawan Kristian yang ada bersamanya. Maka Najasyi enggan menyerah orang-orang Islam kepada Quraisy dan mempertahankan mereka. Bahkan dalam senyap, Najasyi menganut Islam. (lihat:al-Mubarakfuri, al-Rahiq al-Makhtum, 97-99, Riyadh: Uli al-Nuha).

Saya menukilkan kisah ini sebagai satu gambaran betapa Islam yang indah perlu dipasarkan secara yang indah juga. Kejayaan Jaafar bin Abu Talib dalam peristiwa ini adalah kejayaan membentangkan Islam kepada lain yang mempotensi menerima kebenaran. Isu-isu yang disentuh oleh Jaafar memaut hati nurani Raja Habsyah Najasyi yang beragama Kristian. Latar pengetahuan dan anutan Najasyi terhadap Kristian diambil ruang oleh Jaafar untuk menekan persoalan-persoalan yang dia nyatakan. Demikian juga ayat al-Quran yang dipilihnya. Islam dan umatnya yang disalah fahami hari ini memerlukan pendekatan Jaafar bin Abu Talib. Memahami sasaran dan memilih isu yang mampu merubah keadaan. Maka, daripada ancaman salah sangka dan penindasan kepada kejayaan membawa isu dan meraih perasaan dan minda Najasyi. Isu-isu yang dibawa oleh Jaafar benar-benar memukul perwakilan pembesar Quraisy Mekah, menggambarkan keindahan Islam dan keperluan umat manusia kepadanya. Sekali gus menolak isu perpecahan yang dibangkitkan di pihak Quraisy kerana telah terlukis dalam minda Najasyi bahawa keperluan untuk agama ini muncul lebih besar dari segala isu sampingan. Penerangan itu juga berjaya menukar keadaan daripada pihak muslimin yang berada di pihak yang didakwa kepada pihak yang mendakwa. Maka dua perwakilan Quraisy itu seakan secara tidak langsung dimasukkan ke dalam kandang orang salah. Inilah kebijaksanaan atau hikmah memenangi pertarungan pengaruh. Tidak memerlukan maki hamun atau cacian, sebaliknya memerlukan hikmah.

Justeru, penerangan tentang Islam tidak boleh dibuat secara semberono atau ‘cincai’, apatah lagi makian dan hamunan. Sebaliknya hendaklah dengan kekukuhan hujah dan alasan serta memahami latar belakang sasaran dan keadaan. Sebab itu Allah menyebut: (maksudnya) Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah dan mauizah hasanah, dan berbahaslah dengan mereka dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui siapa yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk (al-Nahl: 125).

Kata al-Sa‘di (meninggal 1376H): “Hikmah maksudnya setiap individu diseru berdasarkan keadaan, kefahaman, penerima dan pelaksanaannya. Antara hikmah itu, berdakwah dengan ilmu bukan dengan kejahilan, memulakan dengan yang lebih penting dan apa yang berikutnya, menyampaikan apa yang lebih dekat kepada pemikiran dan kefahamannya, dengan cara yang lebih dapat diterima, dengan lunak dan lembut. Adapun mauizah hasanah (nasihat yang baik) bermaksud dengan ungkapan yang baik yang dapat mengingatkan mereka. Antaranya dengan cara memberi amaran kepada mereka mengenai balasan Allah di akhirat dengan pendekatan yang dapat menginsafkan mereka. Sementara: berdebatlah dengan mereka dengan cara yang terbaik bermaksud cara yang paling memungkin mereka menerimanya secara akal dan nas,” (Al-

Sa‘di, Taisir al-Karim al-Rahman, 452, Beirut: Muassasah al-Risalah).

Ramai orang menganggap bahawa yang dikatakan hikmah dalam seruan dan dakwah itu bermaksud berlunak kata semata. Sebenarnya, hikmah kurang tepat untuk diterjemahkan sebagai lunak kata, atau lembut bicara semata. Hikmah dalam dakwah bermaksud perkataan atau tindakan yang sesuai dengan sasaran dakwah. Maka ia membabitkan persoalan ilmu perkara yang hendak didakwahkan, mengenali sasaran dakwah di sudut latar belakang, suasana dan memilih pendekatan yang terbaik. Boleh jadi pendekatan yang hikmah itu berlunak, mungkin juga bertegas. Mungkin pendekatan dakwah berhikmah seorang ayah kepada anak, tidak sama antara seorang anak kepada ayah, atau rakan kepada rakan. Juga mungkin tidak sama pendekatan dakwah pihak yang berkuasa dengan yang tidak berkuasa. Juga mungkin tidak sama pendekatan dakwah berhikmah kepada seseorang yang kita kenali dan yang belum kita kenali. Pendekatan bahasa dakwah kepada orang biasa, tentu tidak sama dengan kelompok intektual yang mempunyai kemampuan fikir yang tinggi. Sebab itu pendekatan Rasulullah kepada masyarakat badawi tidak sama dengan orang kota.

Dakwah

Masyarakat berubah, bahasa dan pendekatan dakwah juga mesti berubah. Pendekatan zaman dahulu mungkin tidak sesuai untuk suasana yang baru. Maka kita tidak boleh menterjemahkan semua tindakan dakwah yang pernah dilakukan oleh generasi lalu. Ada orang umpamanya, ingin berdakwah secara tegas seperti dilakukan oleh Sayidina ‘Umar, lalu apabila dia membaca Sayidina ‘Umar pernah memukul orang tertentu maka dia pun memukul orang ketika berdakwah. Sedangkan dia tidak mengkaji suasana ‘Umar tidak sama lagi dengan suasana kita hari ini. Tindakan yang dibuat oleh ‘Umar mampu menyebabkan orang ramai insaf. Apatah lagi dia seorang khalifah yang mempunyai kuasa dan umat Islam ketika itu berada pada zaman kegemilangannya. Sementara masyarakat kita tidak lagi seperti masyarakat ‘Umar, kuasa kita juga tidak seperti ‘Umar. Sementara umat Islam kita pula sedang berada pada zaman kelemahannya.

Maka tuntutan dakwah dengan hikmah itu menuntut agar usaha dakwah dalam bentuk ucapan atau tindakan itu adalah yang diyakini paling berkesan terhadap sasaran. Setelah kita berusaha mencari jalan yang terbaik dan berkesan, namun dakwah tetap ditolak, maka kita telah pun menunaikan amanah Allah dalam dakwah ini. Soal memberi hidayah yang sebenar, tidak berada di tangan kita. Kita telah membuat yang terbaik yang kita yakin.

Maka, memahami latar keadaan dan sasaran amat penting. Sebab itu dalam hadis: Daripada Abd Allah bin ‘Amr: Suatu hari kami berada di sisi Nabi s.a.w., lalu datang seorang pemuda dan bertanya: Wahai Rasulullah! Saya mencium (isteri) sedangkan saya berpuasa?” Jawab baginda: “Tidak boleh.” Datang pula seorang tua bertanya Saya mencium (isteri) sedangkan saya berpuasa?” Jawab baginda: “Boleh.” Kami pun memandang antara satu sama lain. Sabda Rasulullah s.a.w: Aku tahu mengapa kamu memandang antara satu sama lain. Sesungguhnya orang tua itu dapat mengawal dirinya (riwayat Ahmad, dinilai sahih oleh al-Albani). Jawapan yang berbeza diberikan oleh Nabi s.a.w. disebabkan oleh latar yang berbeza. Pemuda tersebut jika diberikan keizinan mungkin akan menyebabkan melakukan persetubuhan yang membatalkan puasa. Namun orang tua itu mampu menahan diri. Maka keduanya mendapat jawapan yang berbeza. Ini juga faktor yang menyebabkan sesetengah soalan yang sama yang ditanya oleh para sahabah diberikan jawapan oleh baginda berbeza-beza. Semuanya merujuk kepada persoalan kesan dan keperluan.

Maka pada zaman manusia ramai yang difobiakan dengan Islam atau disalahfahamkan tentang gambaran Islam, maka pendekatan paling berkesan perlu dikaji dan disemak. Penerangan-penerangan Islam secara kuno dan kolot hendaklah dihapuskan. Islam tidak pernah kuno dan kolot, ia sentiasa mengatasi sempadan zaman dan tempat. Namun yang membawa bendera agama itu yang kadangkala menjadikan Islam ini seakan kelihatan ketinggalan zaman. Program-program agama dalam media kita sepatutnya dibuat penilaian semula sejauh manakah mampu menghadapi cabaran kerencaman pemikiran dan tanggapan yang pelbagai terhadap Islam dewasa ini. Siapakah golongan yang menonton program-program tersebut? Sejauh manakah ianya mampu menampilkan kewibawaan Islam untuk generasi baru?

Kadangkala para penyampai mesej atau risalah Islam atau penceramah agama itu lebih parah untuk dibetulkan daripada orang yang hendak disampaikan itu. Sehingga terkadang kita hairan, apakah tujuan atau mesej yang hendak disampai? Lawak jenaka ke? Jual ubat ke? Cerita kartun ke? Balas dendam ke? Atau keagungan risalah atau mesej Islam. Entah berapa banyak ayat al-Quran dan sunah yang begitu indah menjadi hodoh atau tawar disebabkan tafsiran atau gaya penerangan golongan yang kononnya ingin menyampaikan Islam.

Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah kerana sudi membaca artikel diatas. Sila lawati ke halaman utama untuk membaca lebih 2003 artikel yang terdapat disini. Jangan lupa berkongsi artikel diatas bersama anggota keluarga, saudara mara dan rakan taulan anda. Jika anda ingin memberi pendapat atau teguran, sila email kami di admin[at]mukmin.com.my, Insyallah kami berlapang dada untuk membacanya. Semoga kita dapat ambil manafaat bersama dengan Portal Mukmin ini. Insyallah.
Kembali Ke Halaman Utama | Papar Semua Tajuk Dibawah Kategori Yang Sama | Berkongsi Artikel Dengan Rakan Lain | Sertai Facebook Mukmin Portal

 
 

 

© Mukmin (Tiada Notis Copyright)

Paparan sesuai 1280 x 800 pixel (IE 7.0 keatas / Firefox 3.0 keatas)