• Dari Sahal R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Aku dan orang yang memelihara anak-anak yatim akan berada didalam syurga adalah seumpama dua anak jari ini." Disini Rasulullah S.A.W mengisyaratkan jari telunjuk dan jari tengahnya dimana terdapat hanya sedikit ruang diantara keduanya. (HR Bukhari)
  • Dari Amr bin Malik Al-Qusyairi R.A berkata, bahawa aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara anak yatim, yang mana kedua ibubapanya seorang muslim, dengan memberi makanan dan minuman sehinggalah Allah S.W.T mengkayakannya yakni dia dapat memenuhi keperluannya sendiri, wajib baginya syurga." (HR Musnad Ahmad, Tabrani dan Majma uz Zawaid)
  • Dari Abdullah bin Umar R.Huma meriwayatkan bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W; "Ya Rasulullah, apakah satu amal yang paling baik di dalam Islam?" Baginda S.A.W menjawab "Memberi makan dan memberi salam samada kamu mengenalinya atau tidak." (HR Bukhari)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mukmin yang sempurna dikalangan orang yang beriman ialah orang yang baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kamu ialah orang yang berlaku baik terhadap isterinya." (HR Ahmad)
  • Dari Aishah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Sesungguhnya orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang terbaik akhlaknya dan berlemah lembut terhadap ahli keluarganya." (HR Tirmizi)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Diantara kamu orang yang paling aku cintai dan orang yang paling hampir kepadaku pada hari kiamat ialah orang yang baik akhlaknya." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mahukah daku khabarkan kepadamu siapakah orang yang diharamkan dari api neraka? Dan api neraka tidak akan menyentuhnya. Mereka adalah orang yang menghampiri orang lain dengan lemah lembut, berlebih kurang dan baik hati." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memiliki sebahagian yang kecil sombong di dalam hatinya, maka dia tidak dapat memasuki syurga." (HR Muslim)
  • Dari Abu Qatadah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Jikalau seseorang suka Allah S.W.T menyelamatkannya dari huru hara pada hari kiamat, maka hendaklah dia memberi kelonggaran (dalam membayar kembali pinjaman) kepada seseorang yang berada dalam keadaan terdesak, atau mengurangkan hutangnya (semuanya atau sebahagian)." (HR Muslim)
  • Dari Abu Zar R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Senyuman kepada saudara (muslim) mu adalah sedekah, menyeru kepada ma'ruf dan melarang dari mungkar adalah sedekah, menunjukkan jalan kepada seseoarng yang tersesat jalan adalah sedekah, menolong seorang yang penglihatannya kabur adalah sedekah, menyingkirkan batu-batu, duri dan tulang (dari jalan) adalah sedekah dan menuangkan air dari timbamu kepada timba saudaramu adalah sedekah. " (HR Tirmizi)
  • Dari Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan, dia akan mendapat pahala yang sama sebagaimana orang yang melakukan satu kebaikan, dan Allah menyukai orang yang menolong seorang dalam kesukaran." (HR Bazzar dan Targhib)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Seorang mukmin mencintai dan dicintai. Tidak ada kebaikan dalam diri seseorang yang tidak mencintai atau tidak berkasih sayang. Orang yang terbaik diantara manusia adalah orang yang paling banyak memberi manafaat kepada orang lain." (HR Dar Qutni dan Targhib)
  • Dari Qais bin Said R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Kalaulah aku diperintahkan bersujud kepada seseorang, nescaya aku akan perintahkan wanita-wanita bersujud keatas suami mereka, kerana haknya yang Allah SWT telah berikan kepada suami-suami." (HR Abu Daud)
  • Dari Ummu Salamah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mana-mana wanita yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya redha kepadanya, nescaya dia akan masuk kedalam syurga." (HR Tirmizi)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menjalin silaturrahim yakni berbuat baik kepada saudara-mara dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik ataupun diam." (HR Bukhari)
  • Dari Asma bin Yazid R.Ha berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara kehormatan saudaranya yang muslim ketika dia tidak ada (dimajlis itu, contohnya seseorang telah mengumpatnya, kemudian dia telah mencegah orang itu dari terus mengumpatnya), maka Allah SWT akan menjamin untuknya daripada pembebasan api neraka jahanam." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Perbanyakkan selawat kepadaku pada hari Jumaat, kerana baru sebentar tadi malaikat Jibrail A.S diutus oleh Allah SWT datang kepadaku lalu berkata : 'Barangsiapa dikalangan umat mu berselawat kepadamu (Muhammad) sekali, Aku (Allah) dan para malaikatKu akan berselawat (memohon pengampunan dan rahmat) untuknya sepuluh kali'." (HR Tabrani)
  • Hazrat Bara' R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Tidaklah kedua orang muslim bertemu dan bermusafaha (berjabat tangan) melainkan dosa-dosa kedua belah pihak diampuni sebelum mereka berpisah." (HR Abu Daud)
  • Hazrat Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Orang yang muda hendaklah memberi salam kepada orang yang tua. Orang yang berjalan hendaklah memberi salam kepada orang yang duduk. Orang yang sedikit memberi salam kepada orang yang lebih ramai." (HR Bukhari)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Bantulah saudaramu yang muslim dalam segala keadaan, bahkan apabila dia seorang yang zalim atau yang dizalimi" Seorang bertanya, "Ya Rasulullah, aku akan menolongnya apabila dia dizalimi, tetapi bagaimana aku dapat menolongnya apabila dia seorang penzalim?" Baginda S.A.W menjawab, "Engkau mencegah dia dari melakukan kezaliman kerana mencegahnya dari perbuatan zalimnya, itulah bantuanmu kepadanya." (HR Bukhari)
  • Hazrat Ibnu Abbas R.Huma meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa berjalan untuk menunaikan satu hajat seorang saudara adalah lebih baik daripada sepuluh tahun iktikaf. Barangsiapa yang beriktikaf sehari kerana Allah S.W.T akan dijauhkan daripada api neraka sejauh tiga parit, dan setiap parit luasnya diantara bumi dan langit." (HR Tabrani dan Majma uz Zawaid)

Mencari Khalifah Berjiwa Mu’tashim

Ulul Albab: Mencari khalifah berjiwa Mu’tashim

KEJADIANNYA sangat sederhana dan remeh tetapi hasilnya di luar jangkaan bahkan luar biasa. Ada seorang wanita Muslim dari Bani Hashim yang sedang berbelanja di sebuah pasar di kawasan negeri di bawah kuasa kerajaan Romawi di utara benua Asia, kota Ammuriah, kawasan Turki hari ini. Ketika dia sedang berjalan, seorang lelaki berbangsa Romawi mengganggunya dengan hanya menyentuh hujung jilbab atau tudungnya sehingga dia secara spontan berteriak “Wa Mu’tashamah”. (Tolonglah aku wahai Mu’tashim)

Selepas berita ini sampai ke telinga Khalifah Al-Mu’tashim Billah daripada Khalifah Abbasiyyah, puluhan ribu tentera dikejarkan ke Baghdad untuk menolong wanita berkenaan sekali gus membebaskan kota berkenaan daripada jajahan Barat.

Dikisahkan dalam buku rujukan sejarah Islam termasuk kitab al-Kamil fi al-Tarikh karangan Ibn Al-Athir jilid 3 muka surat 197 perihal kejadian pada tahun 223 Hijrah dalam tajuk Penaklukan Kota Ammuriah. Ketika mendengar berita itu, Khalifah Mu’tashim sedang memegang gelas mahu minum kemudian dibatalkan niatnya itu dan berseru kepada panglima tenteranya untuk bersiap-siap menuju Ammuriah tempat wanita berteriak meminta pertolongannya.

Ribuan tentera Muslim bergerak pada April 838 Masihi dari Baghdad menuju Ammuriyah dan selepas berlaku pertempuran sengit di antara tentera Khalifah dan tentera Romawi yang membawa kepada pengepungan kota oleh tentera Islam selama lima bulan sehingga akhirnya kota itu jatuh kembali ke tangan tentera Islam pada 13 Ogos 838M.

Seorang wanita Muslim yang lemah berteriak kerana diganggu oleh lelaki penjajah orang Romawi yang bukan Islam. Dalam teriaknya dia meminta pertolongan khalifah yang sedang berkuasa pada masa itu iaitu Khalifah al-Mu’tashim Billah yang memerintah Kerajaan Abbasiyah selepas abangnya, Khalifah al-Ma’mun meninggal dunia pada 10 Ogos 833 hingga 5 Januari 842M.

Khalifah tersentuh hati dan terbakar ghairah keIslamannya sehingga dia membuat keputusan untuk melancarkan serangan dan mencetuskan peperangan walaupun dia di dalam negerinya sedang menghadapi dugaan yang berat untuk menumpas kelompok penganut ajaran sesat yang bermaharajalela di kawasan Azeirbaijan di bawah pimpinan Babak al-Kharmi yang berpendapat adanya inkarnasi dan menghalalkan amalan seks bebas.

Mu’tashim Billah termasuk antara khalifah yang meninggalkan kenangan indah pada masa kepemimpinannya. Beliau menggantikan kekhalifahan daripada kedua-dua abangnya Al-Amin dan Al-Ma’mun yang digelar dengan khalifah yang cendekiawan.

Walaupun berbeza dengan kedua-dua abangnya dari segi kepintaran tetapi Al-Mu’tashim membuktikan keperkasaan jasmaninya. Diberitakan bahawa Al-Mu’tashim termasuk orang yang tidak pandai membaca dan menulis tetapi dia menundukkan banyak singa dan mengangkut seribu liter air. Bagaimanapun, kehidupan ilmiah dan sastera pada zamannya tidak jauh berbeza daripada zaman sebelumnya.

Kejadian sama banyak berlaku pada hari ini, bahkan ia lebih parah lagi. Kita dengar umat Islam diganggu, dihina, dicedera, dihalau, dijadikan suspek, dianggap penjenayah, dianggap pengganas bahkan dibunuh seorang-seorang mahupun beramai-ramai tetapi tiada sesiapa tersentuh hatinya dan tercabar ghairah keIslamannya.

Umat Islam ingin melaksanakan ajarannya secara kaffah atau menyeluruh di negeri asing tetapi disulitkan, bahkan dilarang walaupun mereka mendakwa bahawa negara mereka demokrasi di mana kebebasan beragama adalah dilindungi oleh negara. Mereka melarang tudung digunakan oleh wanita Muslim, bagaimanapun umat Islam diam. Mereka melarang azan dikumandangkan, umat Islam tidak bergerak. Mereka melarang restoran hanya menyediakan makanan halal, umat Islam pun tidak berganjak.

Hal yang terakhir disebut ini baru berlaku pertengahan minggu ini di Perancis. Ahli politik Perancis mengkritik keputusan jaringan makanan segera Quick untuk hanya menghidangkan makanan halal di seluruh 350 cawangannya di seluruh negara. Mereka berpendapat bahawa keputusan itu tidak boleh diterima kerana ia amalan memaksa cukai Islam ke atas pelanggannya.

Malah, seorang datuk bandar yang berpendirian sosialis mengancam akan membawa syarikat berkenaan ke mahkamah kerana ada diskriminasi dalam keputusan syarikat terhadap pelanggan yang tidak mahu makanan halal.

Pandangan aneh ahli politik Perancis sebenarnya mencerminkan keresahan dan kekhuatiran Perancis secara am kepada kemaraan Islam di sana. Mereka dibayangi Perancis akan menjadi Muslim. Dalam kes makanan halal ini, dilaporkan bahawa pasar makanan halal di sana semakin meningkat di mana dicatatkan pada tahun lalu pasaran halalnya mencecah AS$7.46 bilion. Salah satu sebabnya adalah belia Muslim di Perancis untuk menggunakan produk halal dalam kehidupan mereka.

Dengan satu kenyataan pada hari ini yang mana umat manusia sedang dijajah oleh satu kelompok berpengaruh dunia yang memiliki kekuatan dan kekuasaan yang luar biasa dan selubung seperti selubungnya iblis daripada pandangan manusia, maka diperlukan satu kelompok lagi yang boleh menangkis balik dakyah mereka dan membawa kembali umat manusia ke jalan yang benar seperti misi kalangan nabi dan rasul terdahulu.

Nabi dan rasul sudah meninggal dunia tetapi musuh mereka, iblis, masih hidup dan sedang dipuja dan disembah oleh kelompok berpengaruh dunia berkenaan.

Menurut Syed Qutb, sebuah masyarakat yang dalamnya manusia berkumpul dan berorganisasi berdasarkan kemerdekaan dan kebebasan kemahuan fitrah kemanusiaan itulah masyarakat yang bertamadun.

Sebuah masyarakat yang di dalamnya manusia berkumpul berdasarkan sesuatu di luar kemerdekaan dan kebebasan fitrah kemanusiaan, maka masyarakat itu adalah sebuah masyarakat yang songsang atau mengikut istilah Islam, masyarakat itu ialah masyarakat Jahiliah.

Sesungguhnya masyarakat Islam sajalah sebuah masyarakat yang anggotanya berkumpul berdasarkan kemerdekaan dan kebebasan. Ia juga sebuah masyarakat yang menganggap akidah sebagai rupa bangsa yang mengumpulkan orang berkulit putih, hitam, merah dan kuning, mengumpulkan orang Arab, Romawi, Parsi, kulit hitam dan seluruh bangsa manusia di muka bumi ini menjadi satu umat yang bertuhankan Allah, yang memuja dan menyembah-Nya saja. Orang yang paling mulia dan dihormati di dalam masyarakat itu ialah orang yang paling bertakwa dan yang selainnya setaraf saja dalam menjunjung hukum dan perintah Allah SWT.

Apabila nilai kemanusiaan atau moral kemanusiaan yang menjadi asas hidup umat manusia, berkuasa di dalam sebuah masyarakat, nescaya masyarakat itu akan menjadi sebuah masyarakat, yang bertamadun, dan nilai moral kemanusiaan itu bukanlah suatu perkara yang sukar, tidak pula menjadi satu perkara yang berubah dan tidak mantap serta tidak punya asas, seperti yang dituduh oleh tafsiran ala benda atas sejarah atau seperti yang dituduh oleh para penganut sosialisme saintifik.

Sesungguhnya nilai yang dimaksudkan itu ialah nilai yang menggalakkan pertumbuhan ciri-ciri yang menjadi milik manusia saja dan tidak dimiliki oleh haiwan, nilai yang menonjolkan sudut yang membezakan manusia dengan haiwan, bukanlah nilai yang menggalakkan pertumbuhan ciri dan sudut yang menyamakan manusia itu dengan haiwan.

Sejarah Islam membuktikan bahawa pemimpinlah yang berjaya membuat umat mencapai kemuncak kedudukannya. Pemimpin itu dalam istilah politik Islam disebut khalifah dan adakah seorang khalifah yang berjiwa al-Mu’tashim pada hari ini? Wallahu alam.

Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah kerana sudi membaca artikel diatas. Sila lawati ke halaman utama untuk membaca lebih 2003 artikel yang terdapat disini. Jangan lupa berkongsi artikel diatas bersama anggota keluarga, saudara mara dan rakan taulan anda. Jika anda ingin memberi pendapat atau teguran, sila email kami di admin[at]mukmin.com.my, Insyallah kami berlapang dada untuk membacanya. Semoga kita dapat ambil manafaat bersama dengan Portal Mukmin ini. Insyallah.
Kembali Ke Halaman Utama | Papar Semua Tajuk Dibawah Kategori Yang Sama | Berkongsi Artikel Dengan Rakan Lain | Sertai Facebook Mukmin Portal

 
 

 

© Mukmin (Tiada Notis Copyright)

Paparan sesuai 1280 x 800 pixel (IE 7.0 keatas / Firefox 3.0 keatas)