• Dari Sahal R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Aku dan orang yang memelihara anak-anak yatim akan berada didalam syurga adalah seumpama dua anak jari ini." Disini Rasulullah S.A.W mengisyaratkan jari telunjuk dan jari tengahnya dimana terdapat hanya sedikit ruang diantara keduanya. (HR Bukhari)
  • Dari Amr bin Malik Al-Qusyairi R.A berkata, bahawa aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara anak yatim, yang mana kedua ibubapanya seorang muslim, dengan memberi makanan dan minuman sehinggalah Allah S.W.T mengkayakannya yakni dia dapat memenuhi keperluannya sendiri, wajib baginya syurga." (HR Musnad Ahmad, Tabrani dan Majma uz Zawaid)
  • Dari Abdullah bin Umar R.Huma meriwayatkan bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W; "Ya Rasulullah, apakah satu amal yang paling baik di dalam Islam?" Baginda S.A.W menjawab "Memberi makan dan memberi salam samada kamu mengenalinya atau tidak." (HR Bukhari)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mukmin yang sempurna dikalangan orang yang beriman ialah orang yang baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kamu ialah orang yang berlaku baik terhadap isterinya." (HR Ahmad)
  • Dari Aishah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Sesungguhnya orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang terbaik akhlaknya dan berlemah lembut terhadap ahli keluarganya." (HR Tirmizi)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Diantara kamu orang yang paling aku cintai dan orang yang paling hampir kepadaku pada hari kiamat ialah orang yang baik akhlaknya." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mahukah daku khabarkan kepadamu siapakah orang yang diharamkan dari api neraka? Dan api neraka tidak akan menyentuhnya. Mereka adalah orang yang menghampiri orang lain dengan lemah lembut, berlebih kurang dan baik hati." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memiliki sebahagian yang kecil sombong di dalam hatinya, maka dia tidak dapat memasuki syurga." (HR Muslim)
  • Dari Abu Qatadah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Jikalau seseorang suka Allah S.W.T menyelamatkannya dari huru hara pada hari kiamat, maka hendaklah dia memberi kelonggaran (dalam membayar kembali pinjaman) kepada seseorang yang berada dalam keadaan terdesak, atau mengurangkan hutangnya (semuanya atau sebahagian)." (HR Muslim)
  • Dari Abu Zar R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Senyuman kepada saudara (muslim) mu adalah sedekah, menyeru kepada ma'ruf dan melarang dari mungkar adalah sedekah, menunjukkan jalan kepada seseoarng yang tersesat jalan adalah sedekah, menolong seorang yang penglihatannya kabur adalah sedekah, menyingkirkan batu-batu, duri dan tulang (dari jalan) adalah sedekah dan menuangkan air dari timbamu kepada timba saudaramu adalah sedekah. " (HR Tirmizi)
  • Dari Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan, dia akan mendapat pahala yang sama sebagaimana orang yang melakukan satu kebaikan, dan Allah menyukai orang yang menolong seorang dalam kesukaran." (HR Bazzar dan Targhib)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Seorang mukmin mencintai dan dicintai. Tidak ada kebaikan dalam diri seseorang yang tidak mencintai atau tidak berkasih sayang. Orang yang terbaik diantara manusia adalah orang yang paling banyak memberi manafaat kepada orang lain." (HR Dar Qutni dan Targhib)
  • Dari Qais bin Said R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Kalaulah aku diperintahkan bersujud kepada seseorang, nescaya aku akan perintahkan wanita-wanita bersujud keatas suami mereka, kerana haknya yang Allah SWT telah berikan kepada suami-suami." (HR Abu Daud)
  • Dari Ummu Salamah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mana-mana wanita yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya redha kepadanya, nescaya dia akan masuk kedalam syurga." (HR Tirmizi)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menjalin silaturrahim yakni berbuat baik kepada saudara-mara dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik ataupun diam." (HR Bukhari)
  • Dari Asma bin Yazid R.Ha berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara kehormatan saudaranya yang muslim ketika dia tidak ada (dimajlis itu, contohnya seseorang telah mengumpatnya, kemudian dia telah mencegah orang itu dari terus mengumpatnya), maka Allah SWT akan menjamin untuknya daripada pembebasan api neraka jahanam." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Perbanyakkan selawat kepadaku pada hari Jumaat, kerana baru sebentar tadi malaikat Jibrail A.S diutus oleh Allah SWT datang kepadaku lalu berkata : 'Barangsiapa dikalangan umat mu berselawat kepadamu (Muhammad) sekali, Aku (Allah) dan para malaikatKu akan berselawat (memohon pengampunan dan rahmat) untuknya sepuluh kali'." (HR Tabrani)
  • Hazrat Bara' R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Tidaklah kedua orang muslim bertemu dan bermusafaha (berjabat tangan) melainkan dosa-dosa kedua belah pihak diampuni sebelum mereka berpisah." (HR Abu Daud)
  • Hazrat Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Orang yang muda hendaklah memberi salam kepada orang yang tua. Orang yang berjalan hendaklah memberi salam kepada orang yang duduk. Orang yang sedikit memberi salam kepada orang yang lebih ramai." (HR Bukhari)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Bantulah saudaramu yang muslim dalam segala keadaan, bahkan apabila dia seorang yang zalim atau yang dizalimi" Seorang bertanya, "Ya Rasulullah, aku akan menolongnya apabila dia dizalimi, tetapi bagaimana aku dapat menolongnya apabila dia seorang penzalim?" Baginda S.A.W menjawab, "Engkau mencegah dia dari melakukan kezaliman kerana mencegahnya dari perbuatan zalimnya, itulah bantuanmu kepadanya." (HR Bukhari)
  • Hazrat Ibnu Abbas R.Huma meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa berjalan untuk menunaikan satu hajat seorang saudara adalah lebih baik daripada sepuluh tahun iktikaf. Barangsiapa yang beriktikaf sehari kerana Allah S.W.T akan dijauhkan daripada api neraka sejauh tiga parit, dan setiap parit luasnya diantara bumi dan langit." (HR Tabrani dan Majma uz Zawaid)

Mengembalikan Semangat Hijrah Dalam Kehidupan

Oleh A. MOHD RAHIMIN SIHAT

SELANG seminggu lagi, kita akan bertemu dengan Muharam iaitu bulan yang ditetapkan sebagai bulan untuk memulakan perkiraan tarikh Islam, iaitu takwim Hijrah. Bulan ini ialah bulan memperingati hijrah Nabi Muhammad s.a.w. dan para sahabat dari Mekah ke Madinah bagi mentaati perintah Allah s.w.t.

Apabila kita imbas kembali peristiwa hijrah Rasullullah s.a.w. dan para sahabat dari Mekah ke Madinah, ia merupakan suatu implementasi daripada tuntutan mewujudkan masyarakat Islam yang bertamadun. Ia juga merupakan suatu ujian terhadap iman seseorang sama ada jujur atau tidak dalam mentaati perintah Allah s.w.t. dan Rasul.

Sempena tahun baru Hijrah 1428 ini, wujudkanlah dan tingkatkan kesedaran dalam diri setiap individu Muslim sama ada dari segi hubungan dengan Allah atau sesama manusia. Islam kini tidak lagi menuntut umatnya supaya berhijrah dari segi geografi, tetapi hijrah dalam maksud yang hakiki iaitu peningkatan amal, perubahan sikap, minda, budaya kerja dan akhlak mulia.

Hingga ke hari ini, peristiwa hijrah tetap dikenang. Namun pernahkah kita umat Islam terfikir apakah sebenarnya sejarah yang berlaku ketika hijrah Baginda dari kota Mekah ke Madinah? Pernahkah kita terfikir untuk mengkaji dan mendalami sejarah Islam itu sendiri?

Tahun baru Hijrah mempunyai ciri yang tersendiri dan istimewa. Ia tidak sahaja menjadi alat untuk menghitung hari dan mencatat sejarah sebagai bermulanya takwim Islam tetapi amat rapat hubungannya dengan sejarah akidah dan perkembangan agama Islam itu sendiri.

Menyingkap peristiwa hijrah Rasulullah s.a.w. kira-kira 14 abad lalu, ia suatu peristiwa yang dipenuhi dengan pelbagai rintangan serta dugaan yang dilalui oleh Baginda dan para sahabat Baginda semata-mata bagi menyahut seruan Allah s.w.t. Peristiwa hijrah juga sebagai usaha untuk menyelamatkan diri Baginda dari ancaman orang-orang Quraisy yang bertekad untuk membunuh Baginda.

Hijrah Nabi s.a.w. merupakan hasil dari kajiannya yang dilakukan oleh Baginda terhadap keadaan negara dan rakyat yang menetap di Semenanjung Tanah Arab. Dan yang lebih penting, peristiwa ini merupakan suatu strategi dan perancangan yang begitu teliti, pelaksanaan yang taktikal dan gerak kerja yang berterusan sehingga Baginda mencapai apa yang dirancangkan untuk mengembangkan dan menegakkan syiar Islam pada ketika itu.

Hijrah Nabi Muhammad s.a.w. yang kita ingati sekarang ini bukan sahaja bermaksud perpindahan Baginda dan umat Islam dari Mekah ke Madinah tetapi membawa maksud ?membuat suatu perubahan?. Penghijrahan yang dipimpin oleh Rasulullah s.a.w. merupakan suatu dimensi baru kepada umat Islam iaitu dari suasana yang lama di Mekah kepada suasana yang baru di Madinah.

Peristiwa hijrah baginda dari Mekah ke Madinah bukan sahaja mencatat sejarah dengan tertubuhnya sebuah pangkalan Dakwah Islamiah tetapi Baginda berjaya membangunkan sebuah Daulah Islamiah dan sekali gus menyumbang kepada perkembangan agama Islam ke seluruh pelosok negara.

Dalam konteks mendirikan sebuah masyarakat Islam, peristiwa hijrah sememangnya amat penting.

Oleh sebab itulah hijrah merupakan kewajipan utama yang mesti dilaksanakan oleh umat Islam ketika itu kerana tanpa hijrah masyarakat Islam tidak dapat dibentuk dan justeru negara Islam tidak dapat ditegakkan.

Oleh kerana itu, kita perlu menghayati erti pengorbanan Baginda dalam peristiwa hijrah supaya kita lebih bersemangat dalam meneruskan setiap usaha dakwah. Kesabaran dan pengorbanan merupakan kunci utama keimanan yang ada pada diri Rasulullah s.a.w. pada ketika itu. Sumbangan seperti itu sama ada pengorbanan dari segi tenaga dan juga harta, perlu dihayati dan dicontohi umat Islam dalam menghadapi kehidupan hari ini.

Sebagai umat Islam, marilah kita sama-sama menanamkan semangat untuk lebih mendalami dan menghayati sejarah Islam itu sendiri serta mencontohi dan meneladani setiap pengajaran yang boleh dijadikan iktibar dan panduan. Selain itu, kita perlu mengorak langkah menuju ke arah melahirkan umat yang cemerlang dan mampu menyumbang ke arah pembangunan negara.

Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah kerana sudi membaca artikel diatas. Sila lawati ke halaman utama untuk membaca lebih 2003 artikel yang terdapat disini. Jangan lupa berkongsi artikel diatas bersama anggota keluarga, saudara mara dan rakan taulan anda. Jika anda ingin memberi pendapat atau teguran, sila email kami di admin[at]mukmin.com.my, Insyallah kami berlapang dada untuk membacanya. Semoga kita dapat ambil manafaat bersama dengan Portal Mukmin ini. Insyallah.
Kembali Ke Halaman Utama | Papar Semua Tajuk Dibawah Kategori Yang Sama | Berkongsi Artikel Dengan Rakan Lain | Sertai Facebook Mukmin Portal

 
 

 

© Mukmin (Tiada Notis Copyright)

Paparan sesuai 1280 x 800 pixel (IE 7.0 keatas / Firefox 3.0 keatas)