• Dari Sahal R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Aku dan orang yang memelihara anak-anak yatim akan berada didalam syurga adalah seumpama dua anak jari ini." Disini Rasulullah S.A.W mengisyaratkan jari telunjuk dan jari tengahnya dimana terdapat hanya sedikit ruang diantara keduanya. (HR Bukhari)
  • Dari Amr bin Malik Al-Qusyairi R.A berkata, bahawa aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara anak yatim, yang mana kedua ibubapanya seorang muslim, dengan memberi makanan dan minuman sehinggalah Allah S.W.T mengkayakannya yakni dia dapat memenuhi keperluannya sendiri, wajib baginya syurga." (HR Musnad Ahmad, Tabrani dan Majma uz Zawaid)
  • Dari Abdullah bin Umar R.Huma meriwayatkan bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W; "Ya Rasulullah, apakah satu amal yang paling baik di dalam Islam?" Baginda S.A.W menjawab "Memberi makan dan memberi salam samada kamu mengenalinya atau tidak." (HR Bukhari)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mukmin yang sempurna dikalangan orang yang beriman ialah orang yang baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kamu ialah orang yang berlaku baik terhadap isterinya." (HR Ahmad)
  • Dari Aishah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Sesungguhnya orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang terbaik akhlaknya dan berlemah lembut terhadap ahli keluarganya." (HR Tirmizi)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Diantara kamu orang yang paling aku cintai dan orang yang paling hampir kepadaku pada hari kiamat ialah orang yang baik akhlaknya." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mahukah daku khabarkan kepadamu siapakah orang yang diharamkan dari api neraka? Dan api neraka tidak akan menyentuhnya. Mereka adalah orang yang menghampiri orang lain dengan lemah lembut, berlebih kurang dan baik hati." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memiliki sebahagian yang kecil sombong di dalam hatinya, maka dia tidak dapat memasuki syurga." (HR Muslim)
  • Dari Abu Qatadah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Jikalau seseorang suka Allah S.W.T menyelamatkannya dari huru hara pada hari kiamat, maka hendaklah dia memberi kelonggaran (dalam membayar kembali pinjaman) kepada seseorang yang berada dalam keadaan terdesak, atau mengurangkan hutangnya (semuanya atau sebahagian)." (HR Muslim)
  • Dari Abu Zar R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Senyuman kepada saudara (muslim) mu adalah sedekah, menyeru kepada ma'ruf dan melarang dari mungkar adalah sedekah, menunjukkan jalan kepada seseoarng yang tersesat jalan adalah sedekah, menolong seorang yang penglihatannya kabur adalah sedekah, menyingkirkan batu-batu, duri dan tulang (dari jalan) adalah sedekah dan menuangkan air dari timbamu kepada timba saudaramu adalah sedekah. " (HR Tirmizi)
  • Dari Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan, dia akan mendapat pahala yang sama sebagaimana orang yang melakukan satu kebaikan, dan Allah menyukai orang yang menolong seorang dalam kesukaran." (HR Bazzar dan Targhib)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Seorang mukmin mencintai dan dicintai. Tidak ada kebaikan dalam diri seseorang yang tidak mencintai atau tidak berkasih sayang. Orang yang terbaik diantara manusia adalah orang yang paling banyak memberi manafaat kepada orang lain." (HR Dar Qutni dan Targhib)
  • Dari Qais bin Said R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Kalaulah aku diperintahkan bersujud kepada seseorang, nescaya aku akan perintahkan wanita-wanita bersujud keatas suami mereka, kerana haknya yang Allah SWT telah berikan kepada suami-suami." (HR Abu Daud)
  • Dari Ummu Salamah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mana-mana wanita yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya redha kepadanya, nescaya dia akan masuk kedalam syurga." (HR Tirmizi)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menjalin silaturrahim yakni berbuat baik kepada saudara-mara dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik ataupun diam." (HR Bukhari)
  • Dari Asma bin Yazid R.Ha berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara kehormatan saudaranya yang muslim ketika dia tidak ada (dimajlis itu, contohnya seseorang telah mengumpatnya, kemudian dia telah mencegah orang itu dari terus mengumpatnya), maka Allah SWT akan menjamin untuknya daripada pembebasan api neraka jahanam." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Perbanyakkan selawat kepadaku pada hari Jumaat, kerana baru sebentar tadi malaikat Jibrail A.S diutus oleh Allah SWT datang kepadaku lalu berkata : 'Barangsiapa dikalangan umat mu berselawat kepadamu (Muhammad) sekali, Aku (Allah) dan para malaikatKu akan berselawat (memohon pengampunan dan rahmat) untuknya sepuluh kali'." (HR Tabrani)
  • Hazrat Bara' R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Tidaklah kedua orang muslim bertemu dan bermusafaha (berjabat tangan) melainkan dosa-dosa kedua belah pihak diampuni sebelum mereka berpisah." (HR Abu Daud)
  • Hazrat Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Orang yang muda hendaklah memberi salam kepada orang yang tua. Orang yang berjalan hendaklah memberi salam kepada orang yang duduk. Orang yang sedikit memberi salam kepada orang yang lebih ramai." (HR Bukhari)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Bantulah saudaramu yang muslim dalam segala keadaan, bahkan apabila dia seorang yang zalim atau yang dizalimi" Seorang bertanya, "Ya Rasulullah, aku akan menolongnya apabila dia dizalimi, tetapi bagaimana aku dapat menolongnya apabila dia seorang penzalim?" Baginda S.A.W menjawab, "Engkau mencegah dia dari melakukan kezaliman kerana mencegahnya dari perbuatan zalimnya, itulah bantuanmu kepadanya." (HR Bukhari)
  • Hazrat Ibnu Abbas R.Huma meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa berjalan untuk menunaikan satu hajat seorang saudara adalah lebih baik daripada sepuluh tahun iktikaf. Barangsiapa yang beriktikaf sehari kerana Allah S.W.T akan dijauhkan daripada api neraka sejauh tiga parit, dan setiap parit luasnya diantara bumi dan langit." (HR Tabrani dan Majma uz Zawaid)

Menghadap Kiblat Sebagai Kesatuan Umat

SOALAN:

MENGAPA kita solat menghadap kaabah sebagai kiblat sedangkan kita tahu Allah itu tidak bertempat. Soalan ini sering ditanya oleh rakan-rakan beragama lain. Bagaimana saya patut menjawabnya?

Jawapan:

Inilah indahnya Islam, setiap ibadat ada disiplin, rukun dan syaratnya bagi memastikan ibadat itu diterima Allah SWT.

Agama Islam bukan sekadar agama nama tetapi agama yang mengatur dan mendidik umatnya agar sentiasa berada pada landasan yang betul lebih-lebih lagi perkara yang berkaitan dengan ibadat.

Memang betul Allah tidak bertempat, namun ini tidak bermaksud kita boleh menghadap mana kita mahu ketika solat. Bayangkan sahaja kalau manusia tidak menghadap kaabah malahan ikut rasa mana dia nak hadap, hadaplah dengan alasan Allah SWT berada di mana sahaja.

Hasilnya seorang akan mengadap timur, seorang lagi menghadap barat, seorang berikutnya menghadap selatan. Bukankah keadaan ini lebih tidak berperaturan berbanding dengan mereka yang menghadap kiblat sama-sama dalam solat.

Saya yakin tiada suatu agama pun selain Islam yang menekankan konsep berkiblat. Sebab itulah di dalam al-Quran kitab agung umat Islam dan panduan manusia keseluruhannya telah menegaskan melalui firman Allah yang bermaksud: Kerap kali Kami melihat engkau (wahai Muhammad), berulang-ulang menengadah ke langit, maka Kami benarkan engkau berpaling mengadap kiblat yang engkau sukai. Oleh itu palingkanlah mukamu ke arah masjid Al-Haraam (tempat letaknya Kaabah); dan di mana sahaja kamu berada maka hadapkanlah muka kamu ke arahnya. Dan sesungguhnya orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah diberikan Kitab, mereka mengetahui bahawa perkara (berkiblat ke Kaabah) itu adalah perintah yang benar dari Tuhan mereka; dan Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang mereka lakukan. (al-Baqarah: 144)

Ayat ini turun dilatari dengan ejekan kaum Yahudi yang menggangap Nabi Muhammad kehabisan modal dalam beragama terpaksa mengambil Baitul Maqdis sebagai kiblat, sedangkan itu adalah kiblat mereka berzaman.

Hampir setahun lebih umat Islam berkiblatkan Baitul Maqdis sehingga turun ayat dari surah al-Baqarah ayat 144. Maksudnya menghadap wajah ke arah kiblat adalah syariah yang menuntut sifat taabudiy (patuh semata).

Mengikut fahaman ahlu sunnah wal jamaah, Allah SWT tidak bertempat, yang bertempat hanya makhluk.

Apabila orang Islam menghadap kiblat itu bukan bermaksud menghadap Allah dalam solat dalam erti kata mengingati Allah SWT.

Ini jelas dalam dalam penjelasan Nabi SAW terhadap soalan Jibril yang bertanyakan apa itu ehsan lantas baginda menjawab yang bermaksud: Ehsan ialah kamu menyembah Allah seolah-olah kamu melihat dia (Allah), kalaupun kamu tidak dapat melihatnya yakinlah dia melihat kamu…(riwayat al-Bukhari no. hadis: 50, Muslim, no. hadis: 8)

Maksud hadis ini ialah melihat kebesaran Allah SWT serta menghayati keagungan-Nya. Dalam keadaan kita berpeluang mencari arah kiblat kita adalah disuruh untuk mencarinya dan memastikannya terlebih dahulu. Sekiranya kita tidak tahu dan gagal mencari kiblat kita hadapkan wajah ke arah mana pun adalah sah solat tersebut.

Sebab itulah Allah SWT berfirman yang bermaksud: Dan Allah jualah yang memiliki timur dan barat, maka ke mana sahaja kamu arahkan diri (ke kiblat untuk mengadap Allah) maka di situlah arah yang diredai Allah; sesungguhnya Allah Maha Luas (rahmat-Nya dan limpah kurnia-Nya), lagi sentiasa Mengetahui. (al-Baqarah: 115)

Maksudnya dalam keadaan apa sekalipun manusia sama ada menghadap barat mahupun timur.

Di dalam tafsir al-Jalalain ada menjelaskan bahawa: "Kepunyaan Allah jua seluruh jagat ini, sebab di mana-mana ada timur dan di mana-mana pun ada barat. Apabila kita tegak menghadap ketepatan matahari terbit maka yang dibelakang kita adalah barat, yang di kanan kita adalah selatan dan di kiri kita adalah utara".

Manakala Pak Hamka dalam tafsir al-Azhar menjelaskan: "Inilah hikmah yang sebenarnya, ke mana kita menghadapkan muka ketika kita beribadat kepada Allah, ketika solat pun, asalkan hati telah dihadapkan kepada Allah maka diterimalah ibadat itu oleh Allah. Sebab Timur dan Barat, Utara dan Selatan Allah jua yang empunya…" (Prof. Dr. Hamka, Tafsir al-Azhar, jld: 1, hlm: 277).

Di dalam hadis yang lain daripada Abudullah bin Abbas baginda Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud: "Baitullah adalah kiblat bagi mereka yang berada dalam masjid, dan masjid adalah kiblat bagi mereka yang tinggal di tanah haram (sekeliling Mekah), dan tanah haram adalah (Mekah) adalah kiblat bagi seluruh penduduk bumi, timurnya dan baratnya dari umatku". (riwayat al-Baihaqiy, Al-Sunan al-Kubra, jld: 2, hlm: 10, al-Syawkaniy, al-Sail al-Jarar, jld: 1, hlm: 172).

Disiplin dalam solat adalah bermaksud disiplin dalam kehidupan. Sekiranya manusia tidak adalah peraturan seperti mana yang telah ditetapkan oleh syariat Islam maka manusia akan menggunakan akalnya sendiri yang terhad kemampuannya.

Lebih-lebih lagi dalam soal agama tidak boleh dibiarkan tanpa satu peraturan yang boleh mengikat kesatuan dalam ibadat dan kesatuan dalam kehidupan.

Soalan 2:

Apakah hukumnya memakai pendakap gigi (braces) bagi membetulkan kedudukan gigi yang tidak tersusun?

Jawapan:

Hukumnya harus. Kerana membetulkan kedudukan gigi tidak termasuk dalam perbuatan menukar ciptaan Allah SWT.

Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah kerana sudi membaca artikel diatas. Sila lawati ke halaman utama untuk membaca lebih 2003 artikel yang terdapat disini. Jangan lupa berkongsi artikel diatas bersama anggota keluarga, saudara mara dan rakan taulan anda. Jika anda ingin memberi pendapat atau teguran, sila email kami di admin[at]mukmin.com.my, Insyallah kami berlapang dada untuk membacanya. Semoga kita dapat ambil manafaat bersama dengan Portal Mukmin ini. Insyallah.
Kembali Ke Halaman Utama | Papar Semua Tajuk Dibawah Kategori Yang Sama | Berkongsi Artikel Dengan Rakan Lain | Sertai Facebook Mukmin Portal

 
 

 

© Mukmin (Tiada Notis Copyright)

Paparan sesuai 1280 x 800 pixel (IE 7.0 keatas / Firefox 3.0 keatas)