• Dari Sahal R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Aku dan orang yang memelihara anak-anak yatim akan berada didalam syurga adalah seumpama dua anak jari ini." Disini Rasulullah S.A.W mengisyaratkan jari telunjuk dan jari tengahnya dimana terdapat hanya sedikit ruang diantara keduanya. (HR Bukhari)
  • Dari Amr bin Malik Al-Qusyairi R.A berkata, bahawa aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara anak yatim, yang mana kedua ibubapanya seorang muslim, dengan memberi makanan dan minuman sehinggalah Allah S.W.T mengkayakannya yakni dia dapat memenuhi keperluannya sendiri, wajib baginya syurga." (HR Musnad Ahmad, Tabrani dan Majma uz Zawaid)
  • Dari Abdullah bin Umar R.Huma meriwayatkan bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W; "Ya Rasulullah, apakah satu amal yang paling baik di dalam Islam?" Baginda S.A.W menjawab "Memberi makan dan memberi salam samada kamu mengenalinya atau tidak." (HR Bukhari)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mukmin yang sempurna dikalangan orang yang beriman ialah orang yang baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kamu ialah orang yang berlaku baik terhadap isterinya." (HR Ahmad)
  • Dari Aishah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Sesungguhnya orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang terbaik akhlaknya dan berlemah lembut terhadap ahli keluarganya." (HR Tirmizi)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Diantara kamu orang yang paling aku cintai dan orang yang paling hampir kepadaku pada hari kiamat ialah orang yang baik akhlaknya." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mahukah daku khabarkan kepadamu siapakah orang yang diharamkan dari api neraka? Dan api neraka tidak akan menyentuhnya. Mereka adalah orang yang menghampiri orang lain dengan lemah lembut, berlebih kurang dan baik hati." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memiliki sebahagian yang kecil sombong di dalam hatinya, maka dia tidak dapat memasuki syurga." (HR Muslim)
  • Dari Abu Qatadah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Jikalau seseorang suka Allah S.W.T menyelamatkannya dari huru hara pada hari kiamat, maka hendaklah dia memberi kelonggaran (dalam membayar kembali pinjaman) kepada seseorang yang berada dalam keadaan terdesak, atau mengurangkan hutangnya (semuanya atau sebahagian)." (HR Muslim)
  • Dari Abu Zar R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Senyuman kepada saudara (muslim) mu adalah sedekah, menyeru kepada ma'ruf dan melarang dari mungkar adalah sedekah, menunjukkan jalan kepada seseoarng yang tersesat jalan adalah sedekah, menolong seorang yang penglihatannya kabur adalah sedekah, menyingkirkan batu-batu, duri dan tulang (dari jalan) adalah sedekah dan menuangkan air dari timbamu kepada timba saudaramu adalah sedekah. " (HR Tirmizi)
  • Dari Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan, dia akan mendapat pahala yang sama sebagaimana orang yang melakukan satu kebaikan, dan Allah menyukai orang yang menolong seorang dalam kesukaran." (HR Bazzar dan Targhib)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Seorang mukmin mencintai dan dicintai. Tidak ada kebaikan dalam diri seseorang yang tidak mencintai atau tidak berkasih sayang. Orang yang terbaik diantara manusia adalah orang yang paling banyak memberi manafaat kepada orang lain." (HR Dar Qutni dan Targhib)
  • Dari Qais bin Said R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Kalaulah aku diperintahkan bersujud kepada seseorang, nescaya aku akan perintahkan wanita-wanita bersujud keatas suami mereka, kerana haknya yang Allah SWT telah berikan kepada suami-suami." (HR Abu Daud)
  • Dari Ummu Salamah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mana-mana wanita yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya redha kepadanya, nescaya dia akan masuk kedalam syurga." (HR Tirmizi)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menjalin silaturrahim yakni berbuat baik kepada saudara-mara dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik ataupun diam." (HR Bukhari)
  • Dari Asma bin Yazid R.Ha berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara kehormatan saudaranya yang muslim ketika dia tidak ada (dimajlis itu, contohnya seseorang telah mengumpatnya, kemudian dia telah mencegah orang itu dari terus mengumpatnya), maka Allah SWT akan menjamin untuknya daripada pembebasan api neraka jahanam." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Perbanyakkan selawat kepadaku pada hari Jumaat, kerana baru sebentar tadi malaikat Jibrail A.S diutus oleh Allah SWT datang kepadaku lalu berkata : 'Barangsiapa dikalangan umat mu berselawat kepadamu (Muhammad) sekali, Aku (Allah) dan para malaikatKu akan berselawat (memohon pengampunan dan rahmat) untuknya sepuluh kali'." (HR Tabrani)
  • Hazrat Bara' R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Tidaklah kedua orang muslim bertemu dan bermusafaha (berjabat tangan) melainkan dosa-dosa kedua belah pihak diampuni sebelum mereka berpisah." (HR Abu Daud)
  • Hazrat Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Orang yang muda hendaklah memberi salam kepada orang yang tua. Orang yang berjalan hendaklah memberi salam kepada orang yang duduk. Orang yang sedikit memberi salam kepada orang yang lebih ramai." (HR Bukhari)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Bantulah saudaramu yang muslim dalam segala keadaan, bahkan apabila dia seorang yang zalim atau yang dizalimi" Seorang bertanya, "Ya Rasulullah, aku akan menolongnya apabila dia dizalimi, tetapi bagaimana aku dapat menolongnya apabila dia seorang penzalim?" Baginda S.A.W menjawab, "Engkau mencegah dia dari melakukan kezaliman kerana mencegahnya dari perbuatan zalimnya, itulah bantuanmu kepadanya." (HR Bukhari)
  • Hazrat Ibnu Abbas R.Huma meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa berjalan untuk menunaikan satu hajat seorang saudara adalah lebih baik daripada sepuluh tahun iktikaf. Barangsiapa yang beriktikaf sehari kerana Allah S.W.T akan dijauhkan daripada api neraka sejauh tiga parit, dan setiap parit luasnya diantara bumi dan langit." (HR Tabrani dan Majma uz Zawaid)

Mengikis 'jahiilah' Terhadap Wanita

Oleh Mohd. Norzi Nasir

Islam tidak mendiskriminasi wanita sebaliknya mereka mempunyai peluang yang sama dengan lelaki termasuk dalam bidang pelajaran.

SEBELUM Islam datang dan disebarkan oleh Rasulullah SAW, kehidupan atau hubungan sosiolisasi manusia tidak seimbang. Sejarah tamadun dunia mencatatkan wujudnya penindasan kaum lelaki terhadap kaum wanita melalui anggapan negatif dan diskriminasi yang menebal dalam kehidupan sosial, budaya dan agama masyarakat ketika itu.

Zaman jahiliah menggambarkan zaman kejatuhan masyarakat Arab, Yahudi, dan penganut agama yang lain sesudahnya. Wanita pernah dianggap sebagai hamba dan harta yang tidak menguntungkan.

Kedudukan wanita tidak terbela dan tidak diberi perlindungan yang sewajarnya. Nilai dan maruah wanita adalah rendah apabila bayi-bayi perempuan yang baru dilahirkan ditanam hidup-hidup demi mengelakkan daripada sebuah keluarga itu mendapat malu dan kepapaan di kemudian hari.

Sejarah ini dinyatakan menerusi firman Allah SWT yang bermaksud: Dan apabila dikhabarkan kepada seseorang dari mereka bahawa ia beroleh anak perempuan, muramlah mukanya sepanjang hari (kerana menanggung dukacita), sedang ia menahan perasaan marahnya dalam hati. Ia bersembunyi dari orang ramai kerana (merasa malu disebabkan) berita buruk yang disampaikan kepadanya (tentang ia beroleh anak perempuan; sambil ia berfikir): Adakah ia akan memelihara anak itu dalam keadaan yang hina, atau ia akan menanamnya hidup-hidup dalam tanah? Ketahuilah! Sungguh jahat apa yang mereka hukumkan itu. (al-Nahl: 58)

Masyarakat Jahiliah Arab pada ketika itu tidak mempunyai batas-batas ketentuan tentang keutamaan budi, moral, atau agama. Tidak ada aturan tentang soal perkahwinan dan penceraian.

Mereka bebas melakukan apa sahaja mengikut kebiasaan yang dilakukan oleh undang-undang dan adat masyarakat. Penceraian adalah salah satu cara untuk menyeksa wanita.

Contohnya, isteri yang kematian suaminya dipaksa tinggal di bilik kurungan dan dilarang menyentuh sesuatu, tidak boleh memakai harum-haruman sebelum satu tahun dan tidak menerima harta warisan.

Kedatangan Islam mengubah fenomena ini dan mengikis sosiobudaya Jahiliah yang jelas menzalimi kaum wanita.

Intipati ajaran Islam dalam soal ini antara lain: penyamaan taraf wanita sebagai manusia, penyamaan taraf dari segi seks dan, sikap menghormati wanita dan larangan keras mengambil sikap prejudis terhadap mereka. (Rahimin Affandi: Persoalan Gender di dalam Perundangan Islam: 2)

Al-Quran telah menentukan kedudukan yang sewajarnya bagi wanita dan menjamin hak-hak mereka supaya tidak disalahertikan oleh kaum lain.

Apa yang membezakan antara sesama manusia ialah ketakwaan kepada Allah SWT. Firman Allah SWT yang bermaksud: Maka Tuhan mereka perkenankan doa mereka (dengan firman-Nya): "Sesungguhnya Aku tidak akan sia-siakan amal orang-orang yang beramal dari kalangan kamu, sama ada lelaki atau perempuan, (kerana) setengah kamu (adalah keturunan) dari setengahnya yang lain".

Bicara Sunnah kali ini akan mengupas dan menolak kepercayaan masyarakat Jahiliah bahawa wanita adalah punca ketidakberuntungan bagi lelaki. Ini kerana tanpa memahami maksud hadis dengan pemahaman yang sebenar akan mengakibatkan sikap berbelah bagi (ambivalen) terhadap maksud sabda baginda SAW.

Sumber Hadis

Al-Imam al-Bukhari mengeluarkan sebuah hadis dalam kitab sahihnya dengan sanad dan matan sebagaimana berikut: Telah berkata Abu al-Yaman telah memberitahu kami, Shuayb memberitahu kami dari al-Zuhri telah berkata: Salim ibn Abdullah memberitahuku bahawa Abdullah ibn Umar berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya sumber ketidakberuntungan itu disebabkan tiga hal iaitu kuda, wanita dan rumah." (al-Bukhari, Sahih al-Bukhari, Kitab al-Jihad wa al-Siyar, Bab Ma Yuzkar Min Shu'm al-Mar'ah, hadis 2703, jil 3 hlm. 1049).

Analisis Sanad

Dari segi riwayat para perawi hadis yang dikemukakan oleh al-Imam al-Bukhari di atas seperti Abu al-Yaman al-Hakam, Shuayb, al-Zuhri, Salim dan Ibn Umar adalah thiqah dan terjamin keaslian mereka dalam meriwayatkan hadis Rasulullah SAW. (Ibn Hajar: Taqrib al-Tahzib).

Justeru sanad hadis di atas dihukum sebagai sahih.

Selain al-Imam al-Bukhari, hadis di atas turut dikeluarkan oleh beberapa pengeluar hadis (mukharrij) seperti al-Imam Muslim, Abu Dawud, al-Tirmidhi, Ibn Majah, al-Nasa'i , Malik, dan Ahmad.

Analisis Teks hadis (Matn al-Hadith) dan Pemahamannya

Matan hadis di atas walaupun datang dengan kepelbagaian bentuk riwayat oleh para perawi dan mukharrij hadis, namun ia tetap menunjukkan atau mempunyai persamaan dengan setiap matn hadis Rasulullah SAW.

Pengertian hadis secara tekstual menunjukkan tidak berlaku pertentangan dengan al-Quran, al-Sunnah dan hujah akal. Sebabnya, hadis ini menerangkan amalan praktik masyarakat jahiliah yang suka bertenung nasib dengan menggunakan kuda, wanita dan rumah. Perbezaan matan hadis tentang al-syu'm tidak merubah maksud dan tujuan hadis.

Dalam riwayat Ibn Umar yang lain Baginda SAW ada bersabda: Jika seandainya wujud ketidakberuntungan maka kebarangkaliannya adalah disebabkan wanita, tunggangan dan rumah. (al-Bukhari, Sahih al-Bukhari)

Justeru tidak ada ruang untuk memahami bahawa ketiga-tiga hal di atas sebagai penyebab utama ketidakberuntungan secara mutlak.

Baginda SAW menikahi para wanita, mendirikan rumah sebagai tempat tinggal dan menunggang tunggangan ketika keluar bermusafir.

Dakwaan bahawa wanita merupakan penyebab mutlak ketidakberuntungan tertolak oleh hadis yang diriwayatkan oleh al-Imam al-Hakim dalam kitab al-Mustadraknya, "...Di antara kebahagiaan seseorang ialah jiran yang soleh, tempat tinggal yang selesa dan tunggangan yang baik". (al-Hakim: al-Mustadrak 4:184)

Ibn Hajar mengatakan Ibn al-Arabi berpendapat, penyebutan tiga hal pada hadis di atas hanyalah adat atau kebiasaan yang berlaku dan bukan penciptaan mereka sebagai pembawa kesialan.

Ibn Qutaybah mengatakan, kaum jahiliah suka membuat ramalan dan bertenung nasib. Hal sedemikian dilarang pada zaman Rasulullah SAW. Namun di kalangan orang jahiliah terdapat mereka yang enggan meninggalkan amalan khurafat tersebut sehingga tiga hal di atas masih wujud dalam kehidupan mereka untuk digunakan dalam amalan menenung nasib. (Ibn Hajar: Fath al-Bari 6: 61)

Tambahan Ibn Hajar, maksud daripada al-shu'm dalam hadis bukan berdasarkan tekstual zahirnya, tetapi maksudnya adalah kebarangkalian ketidaksesuaian ketiga-tiga hal tersebut pada seseorang.

Apabila dikatakan kesialan rumah maka ia bermaksud sempitnya rumah itu atau kejahatan jiran-jirannya. Kesialan perempuan bermaksud kerana ia tidak dapat memiliki anak atau lidahnya yang tajam menyakitkan hati dan keinginannya terhadap perkara-perkara yang meragukan dan tidak berfaedah.

Kesialan kuda bermakna ia tidak dapat digunakan dalam peperangan atau ketidaktaatannya atau berkemungkinan harganya yang mahal. Adapun kesialan pembantu adalah kejelekan akhlaknya dan kecuaiannya terhadap tanggungjawab yang diserahkan kepadanya. (Ibn Hajar: Fath al-Bari 6: 61)

Ketidakberuntungan atau sial kerana tiga hal di atas merupakan hikmah yang diberikan oleh Allah agar manusia melakukan perkara yang lebih baik.

Pendapat yang sama turut diketengahkan oleh Dr. Mohd Baltaji bahawa gambaran yang diceritakan oleh baginda SAW adalah berkenaan dengan perbuatan orang-orang jahiliah.

Justeru perkara-perkara jahiliah terdahulu telah dibatalkan, dan Islam tidak mengenal al-shu'm dan altatayyur. Seorang muslim mestilah bersih daripada perkara-perkara yang boleh merosakkan akidah terhadap Allah SWT. (Mohd Baltaji: Makanah al-mar'ah fi al-qur'an al-karim wa al-sunnah al-sahihah: 373).

Al-Sheikh Muhammad ibn Salih al-Uthaymin dalam fatwanya mengatakan, "…berkemungkinan sejumlah tempat tinggal, kenderaan, atau isteri dianggap mendatangkan sial atau ketidakberuntungan. Tersirat hikmah Allah SWT menjadikan kesialan itu berpunca dari tiga hal tersebut. Mungkin ia berupa bahaya atau tidak ada manfaat yang diperolehi daripadanya.

"Seandainya seseorang mengalami hal sedemikian maka hendaklah ia menyedari bahawa semuanya terjadi kerana takdir Allah SWT. Tambahan beliau, tasha'um adalah perasaan atau keyakinan akan ditimpa suatu musibah disebabkan oleh sesuatu hal yang dilihat, didengar, atau kerana waktu. Orang jahiliah beranggapan jika melangsungkan perkahwinan pada bulan Syawal maka mereka akan mendapat sial.

"Menurut al-Uthaymin, tasha'um tidak dibolehkan kerana ia akan menumbuhkan sikap buruk sangka kepada Allah, akibatnya pelaku enggan melakukan hal-hal yang sebenarnya akan mendatangkan kebaikan baginya. Segala urusannya dibayangi oleh rasa bimbang dan hal ini hanya akan mendatangkan sikap was-was pada akhirnya menimbulkan penyakit jiwa. Justeru, Rasulullah SAW melarangnya". (al-Uthaymin: Majalah Fatwa: 10-11)

Nabi SAW menjelaskan, dalam Islam tiada sebarang perkara yang membawa ketidakberuntungan sama ada dalam bentuk tasha'um ataupun tafa'ul.

Baginda menggalakkan umatnya memberi nama dengan nama yang baik dan indah serta mengandungi makna kegembiraan, kerana ia akan melahirkan perasaan gembira, keredaan bagi yang mendengarnya. Islam sentiasa memberi amaran untuk merubah nama-nama yang tidak baik kepada nama yang baik.

Sebabnya, ia mempunyai kesan dari segi pendidikan yang sangat penting dalam membentuk keperibadian seorang muslim dan masyarakat muslim secara umum.

Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah kerana sudi membaca artikel diatas. Sila lawati ke halaman utama untuk membaca lebih 2003 artikel yang terdapat disini. Jangan lupa berkongsi artikel diatas bersama anggota keluarga, saudara mara dan rakan taulan anda. Jika anda ingin memberi pendapat atau teguran, sila email kami di admin[at]mukmin.com.my, Insyallah kami berlapang dada untuk membacanya. Semoga kita dapat ambil manafaat bersama dengan Portal Mukmin ini. Insyallah.
Kembali Ke Halaman Utama | Papar Semua Tajuk Dibawah Kategori Yang Sama | Berkongsi Artikel Dengan Rakan Lain | Sertai Facebook Mukmin Portal

 
 

 

© Mukmin (Tiada Notis Copyright)

Paparan sesuai 1280 x 800 pixel (IE 7.0 keatas / Firefox 3.0 keatas)