• Dari Sahal R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Aku dan orang yang memelihara anak-anak yatim akan berada didalam syurga adalah seumpama dua anak jari ini." Disini Rasulullah S.A.W mengisyaratkan jari telunjuk dan jari tengahnya dimana terdapat hanya sedikit ruang diantara keduanya. (HR Bukhari)
  • Dari Amr bin Malik Al-Qusyairi R.A berkata, bahawa aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara anak yatim, yang mana kedua ibubapanya seorang muslim, dengan memberi makanan dan minuman sehinggalah Allah S.W.T mengkayakannya yakni dia dapat memenuhi keperluannya sendiri, wajib baginya syurga." (HR Musnad Ahmad, Tabrani dan Majma uz Zawaid)
  • Dari Abdullah bin Umar R.Huma meriwayatkan bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W; "Ya Rasulullah, apakah satu amal yang paling baik di dalam Islam?" Baginda S.A.W menjawab "Memberi makan dan memberi salam samada kamu mengenalinya atau tidak." (HR Bukhari)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mukmin yang sempurna dikalangan orang yang beriman ialah orang yang baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kamu ialah orang yang berlaku baik terhadap isterinya." (HR Ahmad)
  • Dari Aishah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Sesungguhnya orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang terbaik akhlaknya dan berlemah lembut terhadap ahli keluarganya." (HR Tirmizi)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Diantara kamu orang yang paling aku cintai dan orang yang paling hampir kepadaku pada hari kiamat ialah orang yang baik akhlaknya." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mahukah daku khabarkan kepadamu siapakah orang yang diharamkan dari api neraka? Dan api neraka tidak akan menyentuhnya. Mereka adalah orang yang menghampiri orang lain dengan lemah lembut, berlebih kurang dan baik hati." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memiliki sebahagian yang kecil sombong di dalam hatinya, maka dia tidak dapat memasuki syurga." (HR Muslim)
  • Dari Abu Qatadah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Jikalau seseorang suka Allah S.W.T menyelamatkannya dari huru hara pada hari kiamat, maka hendaklah dia memberi kelonggaran (dalam membayar kembali pinjaman) kepada seseorang yang berada dalam keadaan terdesak, atau mengurangkan hutangnya (semuanya atau sebahagian)." (HR Muslim)
  • Dari Abu Zar R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Senyuman kepada saudara (muslim) mu adalah sedekah, menyeru kepada ma'ruf dan melarang dari mungkar adalah sedekah, menunjukkan jalan kepada seseoarng yang tersesat jalan adalah sedekah, menolong seorang yang penglihatannya kabur adalah sedekah, menyingkirkan batu-batu, duri dan tulang (dari jalan) adalah sedekah dan menuangkan air dari timbamu kepada timba saudaramu adalah sedekah. " (HR Tirmizi)
  • Dari Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan, dia akan mendapat pahala yang sama sebagaimana orang yang melakukan satu kebaikan, dan Allah menyukai orang yang menolong seorang dalam kesukaran." (HR Bazzar dan Targhib)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Seorang mukmin mencintai dan dicintai. Tidak ada kebaikan dalam diri seseorang yang tidak mencintai atau tidak berkasih sayang. Orang yang terbaik diantara manusia adalah orang yang paling banyak memberi manafaat kepada orang lain." (HR Dar Qutni dan Targhib)
  • Dari Qais bin Said R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Kalaulah aku diperintahkan bersujud kepada seseorang, nescaya aku akan perintahkan wanita-wanita bersujud keatas suami mereka, kerana haknya yang Allah SWT telah berikan kepada suami-suami." (HR Abu Daud)
  • Dari Ummu Salamah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mana-mana wanita yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya redha kepadanya, nescaya dia akan masuk kedalam syurga." (HR Tirmizi)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menjalin silaturrahim yakni berbuat baik kepada saudara-mara dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik ataupun diam." (HR Bukhari)
  • Dari Asma bin Yazid R.Ha berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara kehormatan saudaranya yang muslim ketika dia tidak ada (dimajlis itu, contohnya seseorang telah mengumpatnya, kemudian dia telah mencegah orang itu dari terus mengumpatnya), maka Allah SWT akan menjamin untuknya daripada pembebasan api neraka jahanam." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Perbanyakkan selawat kepadaku pada hari Jumaat, kerana baru sebentar tadi malaikat Jibrail A.S diutus oleh Allah SWT datang kepadaku lalu berkata : 'Barangsiapa dikalangan umat mu berselawat kepadamu (Muhammad) sekali, Aku (Allah) dan para malaikatKu akan berselawat (memohon pengampunan dan rahmat) untuknya sepuluh kali'." (HR Tabrani)
  • Hazrat Bara' R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Tidaklah kedua orang muslim bertemu dan bermusafaha (berjabat tangan) melainkan dosa-dosa kedua belah pihak diampuni sebelum mereka berpisah." (HR Abu Daud)
  • Hazrat Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Orang yang muda hendaklah memberi salam kepada orang yang tua. Orang yang berjalan hendaklah memberi salam kepada orang yang duduk. Orang yang sedikit memberi salam kepada orang yang lebih ramai." (HR Bukhari)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Bantulah saudaramu yang muslim dalam segala keadaan, bahkan apabila dia seorang yang zalim atau yang dizalimi" Seorang bertanya, "Ya Rasulullah, aku akan menolongnya apabila dia dizalimi, tetapi bagaimana aku dapat menolongnya apabila dia seorang penzalim?" Baginda S.A.W menjawab, "Engkau mencegah dia dari melakukan kezaliman kerana mencegahnya dari perbuatan zalimnya, itulah bantuanmu kepadanya." (HR Bukhari)
  • Hazrat Ibnu Abbas R.Huma meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa berjalan untuk menunaikan satu hajat seorang saudara adalah lebih baik daripada sepuluh tahun iktikaf. Barangsiapa yang beriktikaf sehari kerana Allah S.W.T akan dijauhkan daripada api neraka sejauh tiga parit, dan setiap parit luasnya diantara bumi dan langit." (HR Tabrani dan Majma uz Zawaid)

Mengimarahkan Masjid Sebagai Nadi Masyarakat

Oleh Amran Zakaria
Keindahan reka bentuk binaan semata-mata tak dapat bentuk masyarakat Islam bersahsiah mulia

Masjid adalah rumah Allah SWT yang menjadi tempat manusia sujud, patuh dan mengingatnya. Pengunjung di dalamnya adalah orang yang memakmurnya dan sebaik-baik bidang tanah Allah SWT di muka bumi ini, sebagai menara petunjuk agama untuk majlis zikir, mihrabnya pula adalah ibadat, menaranya pengajaran ilmu dan pengetahuan syariat Islam.

Firman Allah SWT yang bermaksud, "Dan sesungguhnya masjid itu adalah kepunyaan Allah. Maka janganlah kamu menyembah seseorang pun di dalamnya di samping (menyembah) Allah" ( Al-Jin:18)

Rasulullah SAW pula menyebut mengenai kelebihan bagi mereka yang membangunkan masjid seperti mana sabda Baginda, "Barang siapa yang membangun rumah Allah (masjid) di dunia, maka Allah akan membangunkannya rumah di syurga" (Riwayat Muslim).



Kini didapati pembabitan generasi baru dalam menjayakan pelbagai aktiviti masjid tampak muram dan suram sekali. Berbeza dengan aktiviti hiburan yang sentiasa penuh dan kadang kala melimpah ruah. Perkembangan ini dibimbangi akan memberi kesan untuk jangka panjang. Setidak-tidaknya sebelum gambaran yang tidak ceria terpaksa diterima, kita bersedia untuk bertindak lebih awal dari menjangkakan sesuatu yang pasif secara memanjang.

Pendekatan baru memperkasakan aktiviti masjid mesti dimulakan dalam bentuk tindakan dan bukannya teori lagi. Fokus kepada usaha menjadikan masjid sebagai paksi aktiviti ummah sama ada di bandar atau di kampung hendaklah dijadikan agenda negara yang diminitkan untuk dilaksanakan segera.

Selama ini kita banyak memberi fokus lebih kepada aspek reka bentuk dan perancangan bangunannya mestilah berjalan serentak dengan memperkasa aktiviti dan fungsi masjid itu sendiri agar mampu mengharungi arus cabaran semasa.

Jika kita ghairah untuk bercakap mengenai kecantikan dan hiasan masjid semata-mata atau menceritakan kehebatan masjid berdasarkan sejarah keagungan Islam, selama itulah kita terus hanyut dengan memori silam yang amat indah. Justeru, kita akan tetap leka dan alpa. Manakala hasilnya kita akan gagal dan terus gagal dengan teori kecemerlangan silam pastikan berulang. Maknanya, perancangan untuk memperkasa masjid sebagai institusi kental masyarakat tidak akan berjaya. Apalagi dalam membentuk masyarakat Islam semasa yang bersahsiah mulia dan berupaya menghadapi cabaran semasa.

Krisis identiti yang melanda generasi Islam kini memerlukan pembedahan segera untuk mencari puncanya. Gejala sosial yang melanda remaja berkait rapat dengan keadaan mereka yang kehilangan tanggungjawab kepada ibu bapa dan kehidupan bermasyarakat dan kita gagal mencari jawapannya walaupun berhadapan soalan yang sama untuk sepanjang masa. Walhal jawapan yang tepat ialah faktor menjauhi masjid dan membunuh benih-benih agama dalam diri.

Apa yang dimaksudkan dengan krisis identiti ini adalah pembenihan budaya asing yang dulunya dianggap luar biasa dan janggal di dalam budaya hidup masyarakat Muslim. Bayangkan keadaan di mana proses pembesaran seseorang individu tidak lagi diikat dengan amalan kehidupan Muslim yang amat rapat dengan kita sebelum ini seperti upacara berkhatan, marhaban, perkahwinan dan khatam al-Quran.

Adalah wajar aktiviti semasa dan amat popular di kalangan masyarakat pelbagai peringkat pada hari ini dibawa ke masjid bagi menarik generasi muda dan mempertahankan hubungan komuniti setempat.


•Pertama, mewujudkan medan ilmu dan memanfaatkan kemudahan teknologi maklumat (ICT) di masjid. Kita dapati bahawa pengisian akademik mempunyai beberapa matlamat penting dalam pembinaan seseorang Muslim yang berilmu, beribadah, bertanggungjawab dan berkeperibadian tinggi. Seseorang Muslim itu perlu memahami tanggungjawab individu sebagai seorang Muslim dari sudut memahami dan mempraktikkan ibadat khusus dan tanggungjawab terhadap keluarga, tetangga dan komuniti. Minda seseorang Muslim itu dibentuk agar ia lebih kritis mencari, memahami dan menilai ilmu dan bukan bergantung semata-mata daripada satu sumber ilmu saja.


•Kedua, Muslim yang mempunyai hubungan silaturahim yang erat sesama sendiri dan mempunyai tahap toleransi baik dengan bukan Muslim dalam sesebuah komuniti melalui pelbagai aktiviti kemasyarakatan. Aktiviti ini juga dilihat sebagai medan saluran berdakwah kepada masyarakat bukan Muslim. Seseorang Muslim itu perlu mengetahui tanggungjawab serta cabaran yang mungkin diterima daripada orang yang belum menerima penjelasan Islam dengan baik.


•Ketiga, dalam menghasilkan Muslim yang mempunyai tubuh yang sihat dan kuat bagi menggembleng segala aktiviti serta mampu merapatkan hubungan komuniti setempat, aktiviti yang sesuai dan dicadangkan berkait dengan aspek penjagaan kesihatan seperti khidmat ceramah kesihatan, rawatan dan pemeriksaan kesihatan yang berpusat di masjid.


•Keempat, pembabitan golongan remaja seharusnya diberi perhatian khusus sebagai pelapis generasi Islam yang mempunyai tanggungjawab jelas. Mereka ini akan mewarisi budaya hidup Islam. Program-program sesuai seperti sukan, sukaneka, pelajaran seni mempertahankan diri dan senaman dapat menjayakan objektif pembangunan jasmani ummah.


•Kelima, pembangunan ekonomi setempat melalui penjanaannya yang berpusat di masjid. Budaya menerima sumbangan derma mestilah disertakan sama dengan usaha kepelbagaian ekonomi yang berteraskan keusahawanan dan perniagaan. Adalah wajar kalau masjid boleh digarap sebagai medan penjanaan ekonomi ummah.

Kursus motivasi yang dijayakan di masjid akan dapat mempertemukan individu serta keluarga dalam suatu keluarga besar. Hubungan kemasyarakatan menjadi lebih rapat dan tentunya akan memudahkan pengisian program keagamaan dan pendidikan.

Penulis ialah Ketua Pegawai Eksekutif Dewan Amal Islami (DAMAI)

Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah kerana sudi membaca artikel diatas. Sila lawati ke halaman utama untuk membaca lebih 2003 artikel yang terdapat disini. Jangan lupa berkongsi artikel diatas bersama anggota keluarga, saudara mara dan rakan taulan anda. Jika anda ingin memberi pendapat atau teguran, sila email kami di admin[at]mukmin.com.my, Insyallah kami berlapang dada untuk membacanya. Semoga kita dapat ambil manafaat bersama dengan Portal Mukmin ini. Insyallah.
Kembali Ke Halaman Utama | Papar Semua Tajuk Dibawah Kategori Yang Sama | Berkongsi Artikel Dengan Rakan Lain | Sertai Facebook Mukmin Portal

 
 

 

© Mukmin (Tiada Notis Copyright)

Paparan sesuai 1280 x 800 pixel (IE 7.0 keatas / Firefox 3.0 keatas)