• Dari Sahal R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Aku dan orang yang memelihara anak-anak yatim akan berada didalam syurga adalah seumpama dua anak jari ini." Disini Rasulullah S.A.W mengisyaratkan jari telunjuk dan jari tengahnya dimana terdapat hanya sedikit ruang diantara keduanya. (HR Bukhari)
  • Dari Amr bin Malik Al-Qusyairi R.A berkata, bahawa aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara anak yatim, yang mana kedua ibubapanya seorang muslim, dengan memberi makanan dan minuman sehinggalah Allah S.W.T mengkayakannya yakni dia dapat memenuhi keperluannya sendiri, wajib baginya syurga." (HR Musnad Ahmad, Tabrani dan Majma uz Zawaid)
  • Dari Abdullah bin Umar R.Huma meriwayatkan bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W; "Ya Rasulullah, apakah satu amal yang paling baik di dalam Islam?" Baginda S.A.W menjawab "Memberi makan dan memberi salam samada kamu mengenalinya atau tidak." (HR Bukhari)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mukmin yang sempurna dikalangan orang yang beriman ialah orang yang baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kamu ialah orang yang berlaku baik terhadap isterinya." (HR Ahmad)
  • Dari Aishah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Sesungguhnya orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang terbaik akhlaknya dan berlemah lembut terhadap ahli keluarganya." (HR Tirmizi)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Diantara kamu orang yang paling aku cintai dan orang yang paling hampir kepadaku pada hari kiamat ialah orang yang baik akhlaknya." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mahukah daku khabarkan kepadamu siapakah orang yang diharamkan dari api neraka? Dan api neraka tidak akan menyentuhnya. Mereka adalah orang yang menghampiri orang lain dengan lemah lembut, berlebih kurang dan baik hati." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memiliki sebahagian yang kecil sombong di dalam hatinya, maka dia tidak dapat memasuki syurga." (HR Muslim)
  • Dari Abu Qatadah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Jikalau seseorang suka Allah S.W.T menyelamatkannya dari huru hara pada hari kiamat, maka hendaklah dia memberi kelonggaran (dalam membayar kembali pinjaman) kepada seseorang yang berada dalam keadaan terdesak, atau mengurangkan hutangnya (semuanya atau sebahagian)." (HR Muslim)
  • Dari Abu Zar R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Senyuman kepada saudara (muslim) mu adalah sedekah, menyeru kepada ma'ruf dan melarang dari mungkar adalah sedekah, menunjukkan jalan kepada seseoarng yang tersesat jalan adalah sedekah, menolong seorang yang penglihatannya kabur adalah sedekah, menyingkirkan batu-batu, duri dan tulang (dari jalan) adalah sedekah dan menuangkan air dari timbamu kepada timba saudaramu adalah sedekah. " (HR Tirmizi)
  • Dari Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan, dia akan mendapat pahala yang sama sebagaimana orang yang melakukan satu kebaikan, dan Allah menyukai orang yang menolong seorang dalam kesukaran." (HR Bazzar dan Targhib)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Seorang mukmin mencintai dan dicintai. Tidak ada kebaikan dalam diri seseorang yang tidak mencintai atau tidak berkasih sayang. Orang yang terbaik diantara manusia adalah orang yang paling banyak memberi manafaat kepada orang lain." (HR Dar Qutni dan Targhib)
  • Dari Qais bin Said R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Kalaulah aku diperintahkan bersujud kepada seseorang, nescaya aku akan perintahkan wanita-wanita bersujud keatas suami mereka, kerana haknya yang Allah SWT telah berikan kepada suami-suami." (HR Abu Daud)
  • Dari Ummu Salamah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mana-mana wanita yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya redha kepadanya, nescaya dia akan masuk kedalam syurga." (HR Tirmizi)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menjalin silaturrahim yakni berbuat baik kepada saudara-mara dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik ataupun diam." (HR Bukhari)
  • Dari Asma bin Yazid R.Ha berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara kehormatan saudaranya yang muslim ketika dia tidak ada (dimajlis itu, contohnya seseorang telah mengumpatnya, kemudian dia telah mencegah orang itu dari terus mengumpatnya), maka Allah SWT akan menjamin untuknya daripada pembebasan api neraka jahanam." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Perbanyakkan selawat kepadaku pada hari Jumaat, kerana baru sebentar tadi malaikat Jibrail A.S diutus oleh Allah SWT datang kepadaku lalu berkata : 'Barangsiapa dikalangan umat mu berselawat kepadamu (Muhammad) sekali, Aku (Allah) dan para malaikatKu akan berselawat (memohon pengampunan dan rahmat) untuknya sepuluh kali'." (HR Tabrani)
  • Hazrat Bara' R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Tidaklah kedua orang muslim bertemu dan bermusafaha (berjabat tangan) melainkan dosa-dosa kedua belah pihak diampuni sebelum mereka berpisah." (HR Abu Daud)
  • Hazrat Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Orang yang muda hendaklah memberi salam kepada orang yang tua. Orang yang berjalan hendaklah memberi salam kepada orang yang duduk. Orang yang sedikit memberi salam kepada orang yang lebih ramai." (HR Bukhari)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Bantulah saudaramu yang muslim dalam segala keadaan, bahkan apabila dia seorang yang zalim atau yang dizalimi" Seorang bertanya, "Ya Rasulullah, aku akan menolongnya apabila dia dizalimi, tetapi bagaimana aku dapat menolongnya apabila dia seorang penzalim?" Baginda S.A.W menjawab, "Engkau mencegah dia dari melakukan kezaliman kerana mencegahnya dari perbuatan zalimnya, itulah bantuanmu kepadanya." (HR Bukhari)
  • Hazrat Ibnu Abbas R.Huma meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa berjalan untuk menunaikan satu hajat seorang saudara adalah lebih baik daripada sepuluh tahun iktikaf. Barangsiapa yang beriktikaf sehari kerana Allah S.W.T akan dijauhkan daripada api neraka sejauh tiga parit, dan setiap parit luasnya diantara bumi dan langit." (HR Tabrani dan Majma uz Zawaid)

Mengingati Kelahiran, Perjuangan Rasulullah

DEMI sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta dia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang). (al-Ahzab: 21)

Di seluruh dunia, umat Islam meraikan sambutan Maulidur Rasul dengan mengadakan perarakan, ceramah, berselawat, bersyair dan sebagainya bagi mengingati detik kelahiran keputeraan Nabi Muhammad SAW iaitu pada tanggal 12 Rabiulawal tahun Gajah iaitu pada hari Isnin bersamaan dengan 23 April 571 Masihi.

Tidak ketinggalan juga, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Kebangsaan menganjurkan Sambutan Maulidur Rasul SAW dan Hari Perkim bertempat di Surau Perkim, Bangunan Perkim, Jalan Ipoh, Kuala Lumpur pada 7 Februari lalu.

Program itu dihadiri lebih 500 tetamu terdiri daripada Ahli Majlis Kebangsaan Perkim, Saudara Muslim berketurunan Cina, India, Kadazan, Iban, Bidayuh, Orang Asli, Filipina, Indonesia dan mahasiswa Kelab Perkim Pusat Asasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Petaling Jaya (PA UIA PJ).

Turut menjayakan program adalah Pusat Pemulihan Kesihatan Perkim, Asrama Darul Falah Perkim (Asdaf), Foster Home Perkim Damansara Utama dan Sahabat Perkim.

Penyelaras program, Amran Abdullah berkata, program itu bertujuan mengingati hari kelahiran dan perjuangan Nabi Muhammad SAW dalam menyebarkan dakwah Islamiah di seluruh alam sebagai agama rahmatan lil'alamin.

"Melalui program yang diadakan, ia dapat mengetahui kaedah dan cara pendekatan dakwah yang dijalankan oleh para sahabat Nabi dalam menyampaikan Islam kepada masyarakat bukan Islam," kata Amran.

Ia sebagai mana firman Allah SWT yang bermaksud: Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam. (al-Anbiya': 107)

Amran yang juga Penolong Pegawai Dakwah dan Kebajikan Perkim berkata, melalui forum perdana yang diadakan dapat memberi mengenai dakwah kepada saudara Muslim agar mereka memahami pengorbanan dan perjuangan baginda serta para sahabat setelah mereka menerima Islam.

"Pengorbanan Nabi Muhammad dan para sahabatnya mempertahankan Islam bukan sahaja dengan harta benda dan kekayaan malah mereka turut berjihad demi menegakkan syiar Islam.

"Baginda berjaya membina kejayaan yang cemerlang dalam semua aspek. Pencapaian baginda dianggap luar biasa yang tidak mampu dicapai oleh manusia biasa.

"Seluruh ilmuwan dunia bersepakat menobatkan Nabi sebagai pemimpin terulung yang berjaya membentuk masyarakat dengan kesempurnaan Islam yang syumul," jelas Amran.

Majlis bermula dengan bacaan doa disusuli berselawat ke atas Nabi Muhammad secara beramai-ramai yang diketuai oleh Yus Ondre.

Sesungguhnya berselawat itu amat digalakkan kepada umat Islam sebagai mana firman Allah SWT yang beramksud: Sesungguhnya Allah dan malaikat-Nya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad SAW); wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya. (al-Ahzab: 56)

Pengorbanan Saudara Muslim Di Zaman Rasulullah SAW pula menjadi tajuk forum perdana. Ia dipengerusikan oleh bekas peserta akhir Imam Muda, Khairul Azhar Ghazali.

Ahli panel ialah Pembantu Khas Pejabat Pengerusi Eksekutif Puncak Niaga, Haslin Baharin dan Pengarah Akademi Tahfiz al-Quran Wal Hadith, Kota Belud, Sabah, Mohd. Farhan Abdullah al-hafiz.

Ahli panel mengajak umat Islam menghayati kisah pengorbanan dan penderitaan sahabat Nabi yang memeluk Islam demi mempertahankan agama Allah antaranya Bilal bin Rabah, Mus'ab bin Umair dan Sumayyah.

Ada antara sahabat Nabi jatuh cinta kepada Islam kerana melihat akhlak terpuji Baginda iaitu al-Nahdiah, Lubaynah, Umm Ubays, Harithah al-Muammil, Suhayb ar-Rumi, Salman Parisi dan sebagainya.

Para panel juga berkata, rugilah sesiapa yang pernah melihat wajah Rasulullah tetapi tidak beriman kepada Allah dan Rasul serta beruntunglah kepada sesiapa yang tidak pernah melihat Rasulullah tetapi beriman kepada Allah dan Rasul.

Kisah Rasulullah dengan jiran Yahudi juga disebut oleh ahli panel, di mana jirannya itu sering meletakkan kotoran di hadapan pintu rumah Bbginda.

Hinggalah suatu hari baginda mendapati tiada kotoran di depan pintu rumah Baginda.

Mengetahui akan hal jirannya itu sakit, Rasulullah menziarahinya dengan membawa buah tangan dan menunjukkan kasih sayang sehingga jirannya yang selalu menyakiti baginda itu memeluk Islam kerana kemuliaan keperibadian akhlak Rasulullah.

Begitu juga dengan kecekalan Asma' Abu Bakar as-Siddiq hingga digelar Zaatun Nithaqoin iaitu pemilik dua tali pinggang kerana beliau membelah tali pinggangnya menjadi dua bahagian untuk membawa dan menyembunyikan makanan serta minuman untuk dihantar kepada nabi bersama bapanya di tengah malam ke gua Thur sewaktu musyrikin Quraisy ingin membunuh Rasulullah pada hari hijrah ke Madinah.

Pengorbanan kanak-kanak pertama yang memeluk Islam, Ali bin Abi Talib sanggup menggantikan tempat tidur nabi SAW sebagai suatu muslihat untuk mengelirukan musyrikin Quraisy apabila mereka merancang membunuh baginda.

Sahabat Rasulullah memahami makna ikutan baginda dalam ucapan mahu pun perbuatan atau ketentuan yang seharusnya mereka ikuti dan mereka menghafal serta meriwayatkannya hinggalah kepada umat Islam hari ini.

Ahli panel menyeru peserta agar mempelajari ilmu agama di kelas pengajian harian anjuran Perkim, jabatan atau majlis agama untuk menambah dan memperkasakan lagi kefahaman masing-masing.

Ia penting bagi tujuan penyebaran dakwah Islamiah dengan melaksanakan beberapa aspek antaranya ialah kecerdasan, semangat waja, rajin, ketekunan, kewangan, komitmen dan istiqamah.

Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah kerana sudi membaca artikel diatas. Sila lawati ke halaman utama untuk membaca lebih 2003 artikel yang terdapat disini. Jangan lupa berkongsi artikel diatas bersama anggota keluarga, saudara mara dan rakan taulan anda. Jika anda ingin memberi pendapat atau teguran, sila email kami di admin[at]mukmin.com.my, Insyallah kami berlapang dada untuk membacanya. Semoga kita dapat ambil manafaat bersama dengan Portal Mukmin ini. Insyallah.
Kembali Ke Halaman Utama | Papar Semua Tajuk Dibawah Kategori Yang Sama | Berkongsi Artikel Dengan Rakan Lain | Sertai Facebook Mukmin Portal

 
 

 

© Mukmin (Tiada Notis Copyright)

Paparan sesuai 1280 x 800 pixel (IE 7.0 keatas / Firefox 3.0 keatas)