• Dari Sahal R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Aku dan orang yang memelihara anak-anak yatim akan berada didalam syurga adalah seumpama dua anak jari ini." Disini Rasulullah S.A.W mengisyaratkan jari telunjuk dan jari tengahnya dimana terdapat hanya sedikit ruang diantara keduanya. (HR Bukhari)
  • Dari Amr bin Malik Al-Qusyairi R.A berkata, bahawa aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara anak yatim, yang mana kedua ibubapanya seorang muslim, dengan memberi makanan dan minuman sehinggalah Allah S.W.T mengkayakannya yakni dia dapat memenuhi keperluannya sendiri, wajib baginya syurga." (HR Musnad Ahmad, Tabrani dan Majma uz Zawaid)
  • Dari Abdullah bin Umar R.Huma meriwayatkan bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W; "Ya Rasulullah, apakah satu amal yang paling baik di dalam Islam?" Baginda S.A.W menjawab "Memberi makan dan memberi salam samada kamu mengenalinya atau tidak." (HR Bukhari)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mukmin yang sempurna dikalangan orang yang beriman ialah orang yang baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kamu ialah orang yang berlaku baik terhadap isterinya." (HR Ahmad)
  • Dari Aishah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Sesungguhnya orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang terbaik akhlaknya dan berlemah lembut terhadap ahli keluarganya." (HR Tirmizi)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Diantara kamu orang yang paling aku cintai dan orang yang paling hampir kepadaku pada hari kiamat ialah orang yang baik akhlaknya." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mahukah daku khabarkan kepadamu siapakah orang yang diharamkan dari api neraka? Dan api neraka tidak akan menyentuhnya. Mereka adalah orang yang menghampiri orang lain dengan lemah lembut, berlebih kurang dan baik hati." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memiliki sebahagian yang kecil sombong di dalam hatinya, maka dia tidak dapat memasuki syurga." (HR Muslim)
  • Dari Abu Qatadah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Jikalau seseorang suka Allah S.W.T menyelamatkannya dari huru hara pada hari kiamat, maka hendaklah dia memberi kelonggaran (dalam membayar kembali pinjaman) kepada seseorang yang berada dalam keadaan terdesak, atau mengurangkan hutangnya (semuanya atau sebahagian)." (HR Muslim)
  • Dari Abu Zar R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Senyuman kepada saudara (muslim) mu adalah sedekah, menyeru kepada ma'ruf dan melarang dari mungkar adalah sedekah, menunjukkan jalan kepada seseoarng yang tersesat jalan adalah sedekah, menolong seorang yang penglihatannya kabur adalah sedekah, menyingkirkan batu-batu, duri dan tulang (dari jalan) adalah sedekah dan menuangkan air dari timbamu kepada timba saudaramu adalah sedekah. " (HR Tirmizi)
  • Dari Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan, dia akan mendapat pahala yang sama sebagaimana orang yang melakukan satu kebaikan, dan Allah menyukai orang yang menolong seorang dalam kesukaran." (HR Bazzar dan Targhib)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Seorang mukmin mencintai dan dicintai. Tidak ada kebaikan dalam diri seseorang yang tidak mencintai atau tidak berkasih sayang. Orang yang terbaik diantara manusia adalah orang yang paling banyak memberi manafaat kepada orang lain." (HR Dar Qutni dan Targhib)
  • Dari Qais bin Said R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Kalaulah aku diperintahkan bersujud kepada seseorang, nescaya aku akan perintahkan wanita-wanita bersujud keatas suami mereka, kerana haknya yang Allah SWT telah berikan kepada suami-suami." (HR Abu Daud)
  • Dari Ummu Salamah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mana-mana wanita yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya redha kepadanya, nescaya dia akan masuk kedalam syurga." (HR Tirmizi)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menjalin silaturrahim yakni berbuat baik kepada saudara-mara dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik ataupun diam." (HR Bukhari)
  • Dari Asma bin Yazid R.Ha berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara kehormatan saudaranya yang muslim ketika dia tidak ada (dimajlis itu, contohnya seseorang telah mengumpatnya, kemudian dia telah mencegah orang itu dari terus mengumpatnya), maka Allah SWT akan menjamin untuknya daripada pembebasan api neraka jahanam." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Perbanyakkan selawat kepadaku pada hari Jumaat, kerana baru sebentar tadi malaikat Jibrail A.S diutus oleh Allah SWT datang kepadaku lalu berkata : 'Barangsiapa dikalangan umat mu berselawat kepadamu (Muhammad) sekali, Aku (Allah) dan para malaikatKu akan berselawat (memohon pengampunan dan rahmat) untuknya sepuluh kali'." (HR Tabrani)
  • Hazrat Bara' R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Tidaklah kedua orang muslim bertemu dan bermusafaha (berjabat tangan) melainkan dosa-dosa kedua belah pihak diampuni sebelum mereka berpisah." (HR Abu Daud)
  • Hazrat Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Orang yang muda hendaklah memberi salam kepada orang yang tua. Orang yang berjalan hendaklah memberi salam kepada orang yang duduk. Orang yang sedikit memberi salam kepada orang yang lebih ramai." (HR Bukhari)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Bantulah saudaramu yang muslim dalam segala keadaan, bahkan apabila dia seorang yang zalim atau yang dizalimi" Seorang bertanya, "Ya Rasulullah, aku akan menolongnya apabila dia dizalimi, tetapi bagaimana aku dapat menolongnya apabila dia seorang penzalim?" Baginda S.A.W menjawab, "Engkau mencegah dia dari melakukan kezaliman kerana mencegahnya dari perbuatan zalimnya, itulah bantuanmu kepadanya." (HR Bukhari)
  • Hazrat Ibnu Abbas R.Huma meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa berjalan untuk menunaikan satu hajat seorang saudara adalah lebih baik daripada sepuluh tahun iktikaf. Barangsiapa yang beriktikaf sehari kerana Allah S.W.T akan dijauhkan daripada api neraka sejauh tiga parit, dan setiap parit luasnya diantara bumi dan langit." (HR Tabrani dan Majma uz Zawaid)

Mengukuh Keyakinan Kepada Allah

Oleh DR. BURHANUDDIN ABDUL JALAL

SETIAP hari kita memohon doa ke hadrat Allah SWT sama ada pada waktu malam atau pun siang. Namun doa yang kita baca, lafaz yang dipohon kepada-Nya itu adakah dilakukan dengan penuh kesungguhan dan keyakinan?

Soalan ini perlu kita tanya pada diri sendiri dan perlu dijawab dengan penuh jujur dan keikhlasan. Ini kerana kita mesti meyakinkan Allah dengan keyakinan yang sekuat-kuatnya tanpa batasan.

Keyakinan dengan penuh tulus dan keikhlasan tanpa kepentingan-kepentingan tertentu. Sebagai seorang Islam kita wajib meyakini di atas segala kekuasaan Allah SWT, Yang Maha Menguasai dan Maha Mengetahui.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan pada masa orang-orang yang beriman melihat tentera Al-Ahzaab, berkatalah mereka: "Inilah yang telah dijanjikan Allah dan Rasul-Nya kepada Kami dan benarlah (Apa yang telah dijanjikan) Allah dan Rasul-Nya" dan (angkatan tentera musuh yang mereka lihat) itu tidak memberi sebarang kesan kepada mereka selain daripada menambahkan iman dan penyerahan diri mereka bulat-bulat kepada Allah. (al-Ahzab: 22)

Pada umumnya kehidupan manusia bergantung kepada suasana keadaan sekeliling. Namun bagi mukmin yang bertakwa kepada Allah SWT perlu meyakini bahawa kehidupan ini adalah ketentuan dan ketetapan Allah di samping usaha yang dilakukan dan tawakal kepada Allah SWT.

Ini diperkukuh lagi dengan doa atau kata-kata yang sentiasa terucap di bibir, "Ya Allah aku sambut panggilan-Mu, aku menerima perintah-Mu dan aku reda atas kehendak-Mu."

Allah SWT juga berkuasa menentukan dan menetapkan segala sesuatu dengan hukum dan peraturan tertentu. Ini seperti ketentuan pergerakan bulan dan matahari dan juga yang lain.

Sesungguhnya Allah SWT melakukan segala sesuatu sesuai dengan kehendak-Nya yang mencipta keselamatan dan kemakmuran.

Dalam al-Quran terdapat kisah Nabi Ibrahim yang ditangkap oleh kaum kafir dan mencampakkan Nabi Ibrahim ke dalam api.

Kisah ini difirmankan oleh Allah SWT yang bermaksud: ...(setelah tidak dapat berhujah lagi, ketua-ketua) mereka berkata: "Bakarlah Dia dan belalah tuhan-tuhan kamu, jika betul kamu mahu bertindak membelanya! (al-Anbiya': 68).

Selanjutnya Allah berfirman yang bermaksud: Kami berfirman: "Hai api, Jadilah Engkau sejuk serta selamat sejahtera kepada Ibrahim. Dan mereka (dengan perbuatan membakarnya itu) hendak melakukan angkara yang menyakitinya, lalu Kami jadikan mereka orang-orang yang amat rugi, (kalah dengan hinanya). (al-Anbiya': 69-70)

Mengapakah Allah, tidak menyelamatkan Nabi Ibrahim terlebih dahulu sebelum dicampak ke dalam api? Tentunya kita meyakini bahawa Allah SWT Maha berkuasa dan Maha Mengetahui.

Siapakah yang dapat berkomunikasi dengan api dan mengubah sifatnya yang membakar dan panas itu selain daripada Allah SWT?

Contoh lain yang dapat meningkatkan lagi keyakinan kita kepada Allah SWT ialah tentang kelahiran Nabi Musa dalam lingkungan orang-orang kafir.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Setelah itu Dia dipungut oleh orang-orang Firaun; kesudahannya Dia akan menjadi musuh dan menyebabkan dukacita bagi mereka; Sesungguhnya Firaun dan Hamman serta orang-orangnya adalah golongan yang bersalah. (al-Qasas: 8)

Begitulah kekuasaan Allah SWT yang boleh melakukan sesuatu di luar pemikiran dan kemampuan manusia. Keyakinan dan kepercayaan kepada Allah SWT perlu dibina sejak dari kecil lagi khususnya mulai zaman kanak-kanak.

Pembinaan ini penting bagi memastikan keimanan dan keyakinan mereka kepada Allah SWT tidak akan pudar walaupun menghadapi pelbagai cabaran dan godaan.

Rasulullah SAW pernah memberi nasihat kepada Ibnu Abbas yang ketika itu masih kecil dengan sabdanya yang bermaksud: "Engkau perlu tahu sekiranya terdapat manusia yang hendak merosakkan kamu, mereka tidak akan dapat melakukan kecuali jika telah tertulis dan ketetapan Allah sebagai takdir engkau." (riwayat Tirmidzi: 2516)

Yakin pada Allah

Berdasarkan kisah tersebut, Rasulullah telah memberikan pendidikan tentang perlunya keyakinan yang tinggi kepada Allah di kalangan kanak-kanak.

Sesungguhnya Allah SWT Maha berkuasa, Allah dapat mengubah hukum alam dengan mudah dan cepat, memberikan keselamatan dalam keadaan bahaya, melahirkan seorang nabi di kalangan orang kafir, mengeluarkan air dari celah-celah batu dan juga mampu menghidupkan manusia atau haiwan yang telah mati.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan (ingatlah), ketika kamu membunuh seorang manusia, kemudian kamu tuduh-menuduh sesama sendiri tentang pembunuhan itu, padahal Allah tetap melahirkan apa yang kamu sembunyikan. Maka Kami (Allah) berfirman: "Pukullah si mati Dengan sebahagian anggota lembu yang kamu sembelih itu" (Mereka pun memukulnya dan ia kembali hidup). Demikianlah Allah menghidupkan orang-orang yang telah mati, dan memperlihatkan kepada kamu tanda-tanda kekuasaan-Nya, supaya kamu memahaminya. (al-Baqarah: 72-73).

Peristiwa di atas menjelaskan tentang satu kejadian bunuh telah berlaku, namun tidak diketahui pembunuhnya "Pukullah mayat itu dengan sebahagian anggota lembu betina yang telah disembelih".

Dengan izin Allah orang itu akan hidup kembali dan memberitahu pembunuhnya. Sesungguhnya Allah Maha Berkuasa atas segala sesuatu.

Bukan itu sahaja, tetapi banyak lagi peristiwa yang menggambarkan dan membuktikan kekuasaan Allah SWT dan amat bermakna bagi orang yang berfikir.

Peristiwa yang berlaku kepada Nabi Allah Ismail a.s, pisau tajam yang sepatutnya menyembelih leher Nabi Ismail tidak boleh menyembelih leher Nabi Allah Ismail, api yang membakar Nabi Ibrahim sepatutnya panas tetapi berubah menjadi sejuk, Allah SWT memerintahkan ikan yu supaya menelan Nabi Yunus a.s, Allah membelah laut yang luas demi menyelamatkan Nabi Musa dan pelbagai peristiwa lain yang menggambarkan kekuasaan dan kebesaran Allah SWT.

Sebagai seorang Muslim, kita wajib meyakini bahawa Allah SWT berkuasa atas segala sesuatu. Sesungguhnya Allah jua yang akan menyelamatkan umat Islam dan Islam daripada musuh-musuh-Nya.

Jika keyakinan kita kepada Allah SWT benar-benar mantap dalam diri dan jiwa, sudah tentu kita akan terus meyakini Allah SWT dalam apa jua keadaan yang mendatang.

Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah kerana sudi membaca artikel diatas. Sila lawati ke halaman utama untuk membaca lebih 2003 artikel yang terdapat disini. Jangan lupa berkongsi artikel diatas bersama anggota keluarga, saudara mara dan rakan taulan anda. Jika anda ingin memberi pendapat atau teguran, sila email kami di admin[at]mukmin.com.my, Insyallah kami berlapang dada untuk membacanya. Semoga kita dapat ambil manafaat bersama dengan Portal Mukmin ini. Insyallah.
Kembali Ke Halaman Utama | Papar Semua Tajuk Dibawah Kategori Yang Sama | Berkongsi Artikel Dengan Rakan Lain | Sertai Facebook Mukmin Portal

 
 

 

© Mukmin (Tiada Notis Copyright)

Paparan sesuai 1280 x 800 pixel (IE 7.0 keatas / Firefox 3.0 keatas)