• Dari Sahal R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Aku dan orang yang memelihara anak-anak yatim akan berada didalam syurga adalah seumpama dua anak jari ini." Disini Rasulullah S.A.W mengisyaratkan jari telunjuk dan jari tengahnya dimana terdapat hanya sedikit ruang diantara keduanya. (HR Bukhari)
  • Dari Amr bin Malik Al-Qusyairi R.A berkata, bahawa aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara anak yatim, yang mana kedua ibubapanya seorang muslim, dengan memberi makanan dan minuman sehinggalah Allah S.W.T mengkayakannya yakni dia dapat memenuhi keperluannya sendiri, wajib baginya syurga." (HR Musnad Ahmad, Tabrani dan Majma uz Zawaid)
  • Dari Abdullah bin Umar R.Huma meriwayatkan bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W; "Ya Rasulullah, apakah satu amal yang paling baik di dalam Islam?" Baginda S.A.W menjawab "Memberi makan dan memberi salam samada kamu mengenalinya atau tidak." (HR Bukhari)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mukmin yang sempurna dikalangan orang yang beriman ialah orang yang baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kamu ialah orang yang berlaku baik terhadap isterinya." (HR Ahmad)
  • Dari Aishah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Sesungguhnya orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang terbaik akhlaknya dan berlemah lembut terhadap ahli keluarganya." (HR Tirmizi)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Diantara kamu orang yang paling aku cintai dan orang yang paling hampir kepadaku pada hari kiamat ialah orang yang baik akhlaknya." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mahukah daku khabarkan kepadamu siapakah orang yang diharamkan dari api neraka? Dan api neraka tidak akan menyentuhnya. Mereka adalah orang yang menghampiri orang lain dengan lemah lembut, berlebih kurang dan baik hati." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memiliki sebahagian yang kecil sombong di dalam hatinya, maka dia tidak dapat memasuki syurga." (HR Muslim)
  • Dari Abu Qatadah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Jikalau seseorang suka Allah S.W.T menyelamatkannya dari huru hara pada hari kiamat, maka hendaklah dia memberi kelonggaran (dalam membayar kembali pinjaman) kepada seseorang yang berada dalam keadaan terdesak, atau mengurangkan hutangnya (semuanya atau sebahagian)." (HR Muslim)
  • Dari Abu Zar R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Senyuman kepada saudara (muslim) mu adalah sedekah, menyeru kepada ma'ruf dan melarang dari mungkar adalah sedekah, menunjukkan jalan kepada seseoarng yang tersesat jalan adalah sedekah, menolong seorang yang penglihatannya kabur adalah sedekah, menyingkirkan batu-batu, duri dan tulang (dari jalan) adalah sedekah dan menuangkan air dari timbamu kepada timba saudaramu adalah sedekah. " (HR Tirmizi)
  • Dari Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan, dia akan mendapat pahala yang sama sebagaimana orang yang melakukan satu kebaikan, dan Allah menyukai orang yang menolong seorang dalam kesukaran." (HR Bazzar dan Targhib)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Seorang mukmin mencintai dan dicintai. Tidak ada kebaikan dalam diri seseorang yang tidak mencintai atau tidak berkasih sayang. Orang yang terbaik diantara manusia adalah orang yang paling banyak memberi manafaat kepada orang lain." (HR Dar Qutni dan Targhib)
  • Dari Qais bin Said R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Kalaulah aku diperintahkan bersujud kepada seseorang, nescaya aku akan perintahkan wanita-wanita bersujud keatas suami mereka, kerana haknya yang Allah SWT telah berikan kepada suami-suami." (HR Abu Daud)
  • Dari Ummu Salamah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mana-mana wanita yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya redha kepadanya, nescaya dia akan masuk kedalam syurga." (HR Tirmizi)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menjalin silaturrahim yakni berbuat baik kepada saudara-mara dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik ataupun diam." (HR Bukhari)
  • Dari Asma bin Yazid R.Ha berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara kehormatan saudaranya yang muslim ketika dia tidak ada (dimajlis itu, contohnya seseorang telah mengumpatnya, kemudian dia telah mencegah orang itu dari terus mengumpatnya), maka Allah SWT akan menjamin untuknya daripada pembebasan api neraka jahanam." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Perbanyakkan selawat kepadaku pada hari Jumaat, kerana baru sebentar tadi malaikat Jibrail A.S diutus oleh Allah SWT datang kepadaku lalu berkata : 'Barangsiapa dikalangan umat mu berselawat kepadamu (Muhammad) sekali, Aku (Allah) dan para malaikatKu akan berselawat (memohon pengampunan dan rahmat) untuknya sepuluh kali'." (HR Tabrani)
  • Hazrat Bara' R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Tidaklah kedua orang muslim bertemu dan bermusafaha (berjabat tangan) melainkan dosa-dosa kedua belah pihak diampuni sebelum mereka berpisah." (HR Abu Daud)
  • Hazrat Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Orang yang muda hendaklah memberi salam kepada orang yang tua. Orang yang berjalan hendaklah memberi salam kepada orang yang duduk. Orang yang sedikit memberi salam kepada orang yang lebih ramai." (HR Bukhari)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Bantulah saudaramu yang muslim dalam segala keadaan, bahkan apabila dia seorang yang zalim atau yang dizalimi" Seorang bertanya, "Ya Rasulullah, aku akan menolongnya apabila dia dizalimi, tetapi bagaimana aku dapat menolongnya apabila dia seorang penzalim?" Baginda S.A.W menjawab, "Engkau mencegah dia dari melakukan kezaliman kerana mencegahnya dari perbuatan zalimnya, itulah bantuanmu kepadanya." (HR Bukhari)
  • Hazrat Ibnu Abbas R.Huma meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa berjalan untuk menunaikan satu hajat seorang saudara adalah lebih baik daripada sepuluh tahun iktikaf. Barangsiapa yang beriktikaf sehari kerana Allah S.W.T akan dijauhkan daripada api neraka sejauh tiga parit, dan setiap parit luasnya diantara bumi dan langit." (HR Tabrani dan Majma uz Zawaid)

Menjadi Isteri Diredai Allah

Oleh Mohd Fadly Samsudin
fadly@hmetro.com.my

TIADA lebih membahagiakan bagi seorang suami melainkan memanjatkan rasa kesyukuran dan bertuahnya mereka apabila dikurniakan seorang isteri yang bijak, solehah, bersederhana serta mempunyai watak menarik.

Ia dikira 'pakej lengkap' bagi seorang wanita selepas sifat kesempurnaan seorang isteri itu subur dalam diri mereka. Dalam melayari kehidupan rumah tangga pasangan suami isteri perlu memiliki kekuatan mental dan fizikal.

Mereka perlu sentiasa mempertingkatkan kemahiran asas rumah tangga dan meminta pandangan dan nasihat daripada golongan berpengalaman seperti ibu bapa mereka.

Allah s.w.t berfirman yang bermaksud: "Wanita yang solehah ialah yang taat kepada Allah lagi memelihara diri (tidak berlaku curang serta memelihara rahsia dan harta suaminya ) di belakang suaminya, oleh kerana Allah telah memelihara mereka..." (Surah An-Nisa’ ayat 34)

Ketaatan isteri kepada suaminya memudahkan mereka mendapat syurga Allah s.w.t di akhirat kelak kerana ketaatan terhadap suami menjadi ukuran kepada keredaan-Nya.

Diceritakan oleh Nabi Muhammad s.a.w dalam Israk Baginda di mana kebanyakan penghuni neraka adalah kaum wanita iaitu termasuk wanita derhaka kepada perintah Allah s.w.t dan suaminya.

Isteri yang taat dapat dinilai melalui bicaranya yang memperlihatkan kelembutan dan kesopanan, mereka juga tidak sesekali memerintah suaminya, berdiam diri ketika suami sedang berkata-kata, apabila suami masuk atau keluar rumah mereka menyambut suami dengan penuh mesra, sentiasa menghormati keluarga suami, bersyukur dengan apa yang disediakan suami serta tidak keluar rumah kecuali dengan izin suami.

Bagaimanapun, ketaatan isteri terhadap suami tidak berlaku dalam semua perkara. Sekiranya perintah suami itu menjurus kepada dosa dan kemaksiatan isteri dibenarkan membantah.

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: "Jika diizinkan seorang manusia sujud kepada manusia tentu aku akan suruh wanita-wanita sujud kepada suaminya lantaran begitu besar Allah jadikan hak lelaki ke atas wanita."

Berhias untuk suami juga penting dalam mengekalkan keharmonian hidup suami isteri. Namun isteri hanya boleh memperlihatkan perhiasan hanya buat suami mereka saja.

Ia bertujuan untuk menjadikan suami mereka terhibur. Bayangkan jika suami pulang dari tempat kerja dalam keadaan letih namun apabila melihat muka isteri berseri-seri pasti akan menimbulkan suasana tenang kepada suami.

Keletihan mencari rezeki akan menjadi hilang malah membangkitkan lagi perasaan kasih sayang terhadap isterinya. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: "Dari Jabir ra. Dia berkata: 'Kami pernah pergi bersama-sama Rasulullah di dalam satu peperangan. Ketika kami sampai ke Madinah, kami ingin masuk ke rumah masing-masing. Maka Rasulullah s.a.w bersabda: 'Bersabarlah, iaitu masuklah pada waktu malam iaitu selepas Isyak, supaya isteri dapat bersikat rambutnya yang kusut dan supaya ia dapat berhias kerana lama ditinggalkan suaminya.'"

Selain itu, hubungan intim juga antara penyumbang kepada kebahagiaan sebuah rumah tangga. Sebab itu, isteri perlu memberi layanan yang baik kepada suami dan tidak boleh menolak kemahuannya.

Terdapat banyak kes membabitkan pasangan yang tidak berpuas hati dengan layanan yang diberikan sehingga sampai ‘berperang besar.’

Perkara sedemikian perlu dielakkan kerana ia mencetuskan suasana tegang antara pasangan.

Isteri hanya boleh menolak permintaan suami dalam keadaan tertentu seperti dalam keadaan sakit atau dalam keadaan dilarang syarak untuk melakukan persetubuhan seperti dalam keadaan haid.

Kemuliaan dan ketaatan isteri di mata suami akan lebih terserlah apabila mereka mampu menjadi teman berunding apabila suami menghadapi masalah.

Isteri perlu tahu ketaatan mereka kepada suami adalah perintah daripada Allah s.w.t. Isteri yang tidak taat pada suaminya bererti dia tidak menjaga hak suami dan perbuatannya itu boleh membawa kepada nusyuz.

Ulama asy-Syafi’eyah mentakrifkan nusyuz seorang isteri ialah keluar dari melakukan ketaatan yang wajib terhadap suaminya. Antara perkara yang menunjukkan isteri nusyuz terhadap suaminya ialah keluar rumah tanpa keizinan suami.

Fuqaha bersepakat mengatakan haram hukumnya seorang isteri yang nusyuz terhadap suaminya. Mereka dilaknat selagi mana tidak melakukan taubat.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah, beliau berkata Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Apabila suami memanggil isterinya ke tempat tidurnya lalu isteri menolak untuk pergi (kepada suaminya), malaikat melaknatnya (isteri) sehingga (masuk) waktu pagi." (Hadis riwayat al-Bukhari)

Islam meletakkan beberapa tindakan dalam menangani masalah isteri nusyuz antaranya ketika nampak tanda nusyuz pada isteri sama ada dengan perbuatan seperti isteri bermasam muka atau berpaling atau isteri menjawab percakapan suaminya dengan suara kasar maka sunat ke atas suami memberi nasihat.

Allah s.w.t berfirman yang bermaksud: "Dan perempuan-perempuan yang kamu bimbang melakukan derhaka (nusyuz) hendaklah kamu menasihati mereka." (Surah an-Nisa: 34)

Daripada Abu Hurairah r.a beliau berkata bahawa Nabi Muhammad s.a.w bersabda yang bermaksud: “Nasihatilah kaum wanita secara baik kerana wanita itu diciptakan daripada tulang rusuk. Sesungguhnya tulang rusuk yang paling bengkok adalah yang berada di bahagian yang paling atas. Jika engkau meluruskannya bererti engkau mematahkannya; dan jika engkau membiarkannya maka dia akan tetap bengkok. Oleh itu, nasihatilah kaum wanita secara baik.” (Hadis riwayat Al-Bukhari no. 3331 dan Muslim no. 1468)

Justeru buat isteri, rebutlah peluang mudah jalan menuju ke syurga dengan melaksanakan kewajipan terhadap Allah serta mentaati suami.

Perunding motivasi dan penceramah, Human Touch Consultant, Datuk Mohd Zawawi Yusoh, berkata isu yang dikaitkan dengan Kelab Isteri Taat mempunyai misi tersurat dan tersirat.

Matlamat mereka adalah untuk mengajak golongan isteri supaya berpoligami.

Ia sebenarnya tidak perlu diperbesar-besarkan kerana isu yang lebih penting ialah memberi fokus bagaimana untuk menjana pendapatan golongan janda, keruntuhan rumah tangga serta memperbaiki kelemahan diri sendiri,” katanya.

Beliau berkata poligami sebenarnya adalah untuk mereka yang berkemampuan dan boleh memberi keadilan kepada setiap wanita yang dinikahinya.

Hanya lelaki yang benar-benar boleh berlaku adil dan berkemampuan untuk menyara kehidupan anak dan isteri boleh berkahwin lebih daripada satu berdasarkan hukum syarak.

Allah berfirman dalam surah An-Nisaa’ ayat 3 yang bermaksud: "Maka kahwinilah perempuan-perempuan yang baik bagimu, dua, tiga atau empat orang. Tetapi jika kamu takut bahawa tidak akan berlaku adil, maka kahwinilah seorang saja atau hamba sahaya yang demikian itu lebih dekat kepada tidak teraniaya."

"Apa yang kita tidak mahu ialah jika ada yang mengambil kesempatan dengan kekurangan yang dimiliki namun mempunyai impian untuk mempraktikkan poligami. Dalam Islam kita 'takut' isteri kerana bimbang tidak dapat berlaku adil sesama mereka," katanya.

Mohd Zawawi berkata dalam perkahwinan, malah poligami sekalipun matlamatnya bukan nafsu seks semata-mata kerana semua itu bersifat sementara.

Nafsu manusia ini sebenarnya tidak pernah 'kenyang'. Semua orang mesti ingat bahawa sebab utama poligami ialah untuk keadilan, ketaatan dan akidah.

"Ramai yang menyatakan tujuan mereka berpoligami adalah untuk mengamalkan sunnah Rasulullah s.a.w. Tetapi Rasulullah s.a.w sebenarnya berpoligami atas sebab syarak. Pokok pangkalnya, hanya akidah yang mampu menyelesaikan nafsu tidak terbatas," katanya.

Beliau berkata suami boleh guna kaedah poligami atas sebab terdapat masalah kesihatan atau keturunan yang membabitkan pihak isteri.

"Wajib berpoligami jika bimbang suami akan terjerumus ke dalam kancah maksiat. Maka poligami menjadi penyelesai masalah terutama berkaitan kesihatan dan keturunan yang menjadikan kehidupan itu lebih harmonis," katanya.

Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah kerana sudi membaca artikel diatas. Sila lawati ke halaman utama untuk membaca lebih 2003 artikel yang terdapat disini. Jangan lupa berkongsi artikel diatas bersama anggota keluarga, saudara mara dan rakan taulan anda. Jika anda ingin memberi pendapat atau teguran, sila email kami di admin[at]mukmin.com.my, Insyallah kami berlapang dada untuk membacanya. Semoga kita dapat ambil manafaat bersama dengan Portal Mukmin ini. Insyallah.
Kembali Ke Halaman Utama | Papar Semua Tajuk Dibawah Kategori Yang Sama | Berkongsi Artikel Dengan Rakan Lain | Sertai Facebook Mukmin Portal

 
 

 

© Mukmin (Tiada Notis Copyright)

Paparan sesuai 1280 x 800 pixel (IE 7.0 keatas / Firefox 3.0 keatas)