• Dari Sahal R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Aku dan orang yang memelihara anak-anak yatim akan berada didalam syurga adalah seumpama dua anak jari ini." Disini Rasulullah S.A.W mengisyaratkan jari telunjuk dan jari tengahnya dimana terdapat hanya sedikit ruang diantara keduanya. (HR Bukhari)
  • Dari Amr bin Malik Al-Qusyairi R.A berkata, bahawa aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara anak yatim, yang mana kedua ibubapanya seorang muslim, dengan memberi makanan dan minuman sehinggalah Allah S.W.T mengkayakannya yakni dia dapat memenuhi keperluannya sendiri, wajib baginya syurga." (HR Musnad Ahmad, Tabrani dan Majma uz Zawaid)
  • Dari Abdullah bin Umar R.Huma meriwayatkan bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W; "Ya Rasulullah, apakah satu amal yang paling baik di dalam Islam?" Baginda S.A.W menjawab "Memberi makan dan memberi salam samada kamu mengenalinya atau tidak." (HR Bukhari)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mukmin yang sempurna dikalangan orang yang beriman ialah orang yang baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kamu ialah orang yang berlaku baik terhadap isterinya." (HR Ahmad)
  • Dari Aishah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Sesungguhnya orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang terbaik akhlaknya dan berlemah lembut terhadap ahli keluarganya." (HR Tirmizi)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Diantara kamu orang yang paling aku cintai dan orang yang paling hampir kepadaku pada hari kiamat ialah orang yang baik akhlaknya." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mahukah daku khabarkan kepadamu siapakah orang yang diharamkan dari api neraka? Dan api neraka tidak akan menyentuhnya. Mereka adalah orang yang menghampiri orang lain dengan lemah lembut, berlebih kurang dan baik hati." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memiliki sebahagian yang kecil sombong di dalam hatinya, maka dia tidak dapat memasuki syurga." (HR Muslim)
  • Dari Abu Qatadah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Jikalau seseorang suka Allah S.W.T menyelamatkannya dari huru hara pada hari kiamat, maka hendaklah dia memberi kelonggaran (dalam membayar kembali pinjaman) kepada seseorang yang berada dalam keadaan terdesak, atau mengurangkan hutangnya (semuanya atau sebahagian)." (HR Muslim)
  • Dari Abu Zar R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Senyuman kepada saudara (muslim) mu adalah sedekah, menyeru kepada ma'ruf dan melarang dari mungkar adalah sedekah, menunjukkan jalan kepada seseoarng yang tersesat jalan adalah sedekah, menolong seorang yang penglihatannya kabur adalah sedekah, menyingkirkan batu-batu, duri dan tulang (dari jalan) adalah sedekah dan menuangkan air dari timbamu kepada timba saudaramu adalah sedekah. " (HR Tirmizi)
  • Dari Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan, dia akan mendapat pahala yang sama sebagaimana orang yang melakukan satu kebaikan, dan Allah menyukai orang yang menolong seorang dalam kesukaran." (HR Bazzar dan Targhib)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Seorang mukmin mencintai dan dicintai. Tidak ada kebaikan dalam diri seseorang yang tidak mencintai atau tidak berkasih sayang. Orang yang terbaik diantara manusia adalah orang yang paling banyak memberi manafaat kepada orang lain." (HR Dar Qutni dan Targhib)
  • Dari Qais bin Said R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Kalaulah aku diperintahkan bersujud kepada seseorang, nescaya aku akan perintahkan wanita-wanita bersujud keatas suami mereka, kerana haknya yang Allah SWT telah berikan kepada suami-suami." (HR Abu Daud)
  • Dari Ummu Salamah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mana-mana wanita yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya redha kepadanya, nescaya dia akan masuk kedalam syurga." (HR Tirmizi)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menjalin silaturrahim yakni berbuat baik kepada saudara-mara dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik ataupun diam." (HR Bukhari)
  • Dari Asma bin Yazid R.Ha berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara kehormatan saudaranya yang muslim ketika dia tidak ada (dimajlis itu, contohnya seseorang telah mengumpatnya, kemudian dia telah mencegah orang itu dari terus mengumpatnya), maka Allah SWT akan menjamin untuknya daripada pembebasan api neraka jahanam." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Perbanyakkan selawat kepadaku pada hari Jumaat, kerana baru sebentar tadi malaikat Jibrail A.S diutus oleh Allah SWT datang kepadaku lalu berkata : 'Barangsiapa dikalangan umat mu berselawat kepadamu (Muhammad) sekali, Aku (Allah) dan para malaikatKu akan berselawat (memohon pengampunan dan rahmat) untuknya sepuluh kali'." (HR Tabrani)
  • Hazrat Bara' R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Tidaklah kedua orang muslim bertemu dan bermusafaha (berjabat tangan) melainkan dosa-dosa kedua belah pihak diampuni sebelum mereka berpisah." (HR Abu Daud)
  • Hazrat Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Orang yang muda hendaklah memberi salam kepada orang yang tua. Orang yang berjalan hendaklah memberi salam kepada orang yang duduk. Orang yang sedikit memberi salam kepada orang yang lebih ramai." (HR Bukhari)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Bantulah saudaramu yang muslim dalam segala keadaan, bahkan apabila dia seorang yang zalim atau yang dizalimi" Seorang bertanya, "Ya Rasulullah, aku akan menolongnya apabila dia dizalimi, tetapi bagaimana aku dapat menolongnya apabila dia seorang penzalim?" Baginda S.A.W menjawab, "Engkau mencegah dia dari melakukan kezaliman kerana mencegahnya dari perbuatan zalimnya, itulah bantuanmu kepadanya." (HR Bukhari)
  • Hazrat Ibnu Abbas R.Huma meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa berjalan untuk menunaikan satu hajat seorang saudara adalah lebih baik daripada sepuluh tahun iktikaf. Barangsiapa yang beriktikaf sehari kerana Allah S.W.T akan dijauhkan daripada api neraka sejauh tiga parit, dan setiap parit luasnya diantara bumi dan langit." (HR Tabrani dan Majma uz Zawaid)

Muhasabah 1,000 Bulan Berkesan Cari Kelebihan Diri

Oleh Sharifah Haayati

Jadi insan memandang ke depan, cinta kecemerlangan

BEGITU pantas masa berlalu. Ramadan cuma tinggal beberapa hari saja lagi. Jika diibaratkan beberapa hari yang tinggal itu seperti kita mengetahui sesuatu yang buruk akan berlaku atau seperti suatu peluang keemasan akan berakhir, sudah tentu kita akan bersiap sedia untuk menghindarkan yang buruk dengan segala persiapan atau berebut-rebut mengambil peluang keemasan seberapa daya.
Begitulah harapnya sikap kita terhadap anugerah keemasan Ramadan yang kita tidak tahu sama ada akan berjumpa dengannya lagi pada tahun depan atau tidak. Oleh itu, marilah kita merebut baki hari yang ada dengan penuh kesungguhan sebagaimana umat Islam diingatkan supaya beribadat kepada Allah SWT seolah-olah akan mati keesokan hari dan bekerja untuk dunia seolah-olah akan hidup selamanya.
Namun, usaha ini tidak akan sempurna jika hati tidak diketuk untuk merenungi dan menilai apa yang telah dilakukan melalui muhasabah. Ia adalah kitaran penilaian yang tiada penghujung. Apatah lagi apabila berada di penghujung Ramadan yang mana Allah memberi rangsangan sangat kuat kepada hamba-Nya dengan janji nikmat yang tidak boleh ditunaikan oleh manusia seperti pengampunan, penghindaran daripada seksa api neraka dan dianugerahkan dengan malam lebih baik daripada 1,000 malam iaitu malam lailatul- qadar.

Allah juga menegaskan berkali-kali dalam surah al-Rahman nikmat manakah yang dikurniakan kepada hamba-Nya yang didustakan. Sesungguhnya rahmat Allah itu Maha Besar dan Dia Maha Pengasih lagi Penyayang melimpahkannya.

Sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah yang bermaksud: “Allah memiliki seratus rahmat. Satu rahmat diturunkan kepada jin, manusia dan binatang. Dengan rahmat itu mereka saling mengasihi, saling menyayangi dan dengannya haiwan melindungi anaknya. Sedangkan sembilan puluh sembilan rahmat yang lain, Allah simpan untuk hamba-Nya pada hari kiamat.” (Riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim).

Inilah antara gambaran kasih sayang Allah terhadap makhluk-Nya dan ditegaskan oleh Rasulullah SAW bahawa umatku adalah umat yang dikasihi.

Antara aspek penting yang perlu dimuhasabahkan adalah muhasabah waktu iaitu bagaimana detik, masa dan hari pada Ramadan telah dimanfaatkan. Muhasabah waktu, Rasulullah SAW mengingatkan dalam sabdanya yang bermaksud: "Bagi orang yang berakal hendaklah ia mempunyai empat waktu: Iaitu pertama, waktu untuk bermunajat kepada Allah. Kedua, waktu untuk muhasabah dirinya, ketiga, waktu untuk berfikir mencari hikmah pada penciptaan Allah SWT, dan keempat waktu untuk memenuhi keperluan kehidupannya di dunia dan mencari rezeki." (Hadis riwayat Imam Bukhari dan Muslim)

Malah, Saidina Umar bin al-Khattab juga mengingatkan yang bermaksud: "Hitunglah (amalan) kamu sebelum nanti (waktu) kamu dihitung, timbanglah (berat amalan) kamu sebelum nanti (waktu) kamu akan ditimbang." (Hadis riwayat Ibn Majah).

Oleh itu, marilah kita memuhasabah diri dan menilai kasih sayang kita kepada-Nya melalui amalan khusus serta kerja seharian sama ada sudah berjaya ditunaikan dengan penuh kesyukuran dan kesungguhan atau sebaliknya. Keperluan muhasabah ini ditambah suasana dan waktu kita yang semakin sibuk dengan pelbagai persiapan menyambut Syawal.

Dalam konteks pengurusan, usaha muhasabah hasil kerja juga adalah satu kaedah utama dalam proses penilaian berterusan dan menjadi kunci kejayaan. Sama ada sesuatu usaha itu dinilai secara berjadual melalui penilaian suku tahun atau penggal, penilaian mingguan, bulanan atau tahunan, ia memberi dua matlamat penghasilan.

Pertama, untuk merancang tindakan masa depan sama ada menambahbaik atau membetulkan sebarang kekurangan dan kekhilafan daripada tindakan lalu. Kedua, untuk mengenal potensi diri.

Begitulah juga apabila muhasabah setiap waktu pada Ramadan ini, sama ada telah dimanfaatkan serta dapat mengukur sejauh mana potensi dan kekuatan diri dengan amal ibadat dan kerja berkualiti dalam keadaan berpuasa. Usaha muhasabah bukan sekadar untuk mencapai kedua-dua penghasilan, tetapi yang utama untuk mensyukuri nikmat dan meraih keredaan Allah.

Mereka yang sering bermuhasabah adalah insan yang memandang ke depan dengan hasrat untuk lebih berjaya dan mereka adalah yang cintakan kecemerlangan. Mereka sanggup berkorban dan bersedia untuk bersusah payah bagi mencapai kejayaan.

Imam Ahmad dalam Musnadnya menyebut: "Dan sesungguhnya kemenangan itu bersama kesabaran, kesenangan itu bersama kesusahan dan sesungguhnya pada kesulitan itu ada kemudahan."

Justeru, marilah kita muhasabah waktu untuk mengenal potensi diri pada Ramadan ini supaya terisi dengan keempat-empat perkara demi persiapan hari esok seperti mana firman Allah yang bermaksud: "Wahai orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan hendaklah setiap diri memperhatikan apa yang akan dilakukan untuk hari esok (akhirat)." (Surah al-Hasyr, ayat 18)

Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah kerana sudi membaca artikel diatas. Sila lawati ke halaman utama untuk membaca lebih 2003 artikel yang terdapat disini. Jangan lupa berkongsi artikel diatas bersama anggota keluarga, saudara mara dan rakan taulan anda. Jika anda ingin memberi pendapat atau teguran, sila email kami di admin[at]mukmin.com.my, Insyallah kami berlapang dada untuk membacanya. Semoga kita dapat ambil manafaat bersama dengan Portal Mukmin ini. Insyallah.
Kembali Ke Halaman Utama | Papar Semua Tajuk Dibawah Kategori Yang Sama | Berkongsi Artikel Dengan Rakan Lain | Sertai Facebook Mukmin Portal

 
 

 

© Mukmin (Tiada Notis Copyright)

Paparan sesuai 1280 x 800 pixel (IE 7.0 keatas / Firefox 3.0 keatas)