• Dari Sahal R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Aku dan orang yang memelihara anak-anak yatim akan berada didalam syurga adalah seumpama dua anak jari ini." Disini Rasulullah S.A.W mengisyaratkan jari telunjuk dan jari tengahnya dimana terdapat hanya sedikit ruang diantara keduanya. (HR Bukhari)
  • Dari Amr bin Malik Al-Qusyairi R.A berkata, bahawa aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara anak yatim, yang mana kedua ibubapanya seorang muslim, dengan memberi makanan dan minuman sehinggalah Allah S.W.T mengkayakannya yakni dia dapat memenuhi keperluannya sendiri, wajib baginya syurga." (HR Musnad Ahmad, Tabrani dan Majma uz Zawaid)
  • Dari Abdullah bin Umar R.Huma meriwayatkan bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W; "Ya Rasulullah, apakah satu amal yang paling baik di dalam Islam?" Baginda S.A.W menjawab "Memberi makan dan memberi salam samada kamu mengenalinya atau tidak." (HR Bukhari)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mukmin yang sempurna dikalangan orang yang beriman ialah orang yang baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kamu ialah orang yang berlaku baik terhadap isterinya." (HR Ahmad)
  • Dari Aishah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Sesungguhnya orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang terbaik akhlaknya dan berlemah lembut terhadap ahli keluarganya." (HR Tirmizi)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Diantara kamu orang yang paling aku cintai dan orang yang paling hampir kepadaku pada hari kiamat ialah orang yang baik akhlaknya." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mahukah daku khabarkan kepadamu siapakah orang yang diharamkan dari api neraka? Dan api neraka tidak akan menyentuhnya. Mereka adalah orang yang menghampiri orang lain dengan lemah lembut, berlebih kurang dan baik hati." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memiliki sebahagian yang kecil sombong di dalam hatinya, maka dia tidak dapat memasuki syurga." (HR Muslim)
  • Dari Abu Qatadah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Jikalau seseorang suka Allah S.W.T menyelamatkannya dari huru hara pada hari kiamat, maka hendaklah dia memberi kelonggaran (dalam membayar kembali pinjaman) kepada seseorang yang berada dalam keadaan terdesak, atau mengurangkan hutangnya (semuanya atau sebahagian)." (HR Muslim)
  • Dari Abu Zar R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Senyuman kepada saudara (muslim) mu adalah sedekah, menyeru kepada ma'ruf dan melarang dari mungkar adalah sedekah, menunjukkan jalan kepada seseoarng yang tersesat jalan adalah sedekah, menolong seorang yang penglihatannya kabur adalah sedekah, menyingkirkan batu-batu, duri dan tulang (dari jalan) adalah sedekah dan menuangkan air dari timbamu kepada timba saudaramu adalah sedekah. " (HR Tirmizi)
  • Dari Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan, dia akan mendapat pahala yang sama sebagaimana orang yang melakukan satu kebaikan, dan Allah menyukai orang yang menolong seorang dalam kesukaran." (HR Bazzar dan Targhib)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Seorang mukmin mencintai dan dicintai. Tidak ada kebaikan dalam diri seseorang yang tidak mencintai atau tidak berkasih sayang. Orang yang terbaik diantara manusia adalah orang yang paling banyak memberi manafaat kepada orang lain." (HR Dar Qutni dan Targhib)
  • Dari Qais bin Said R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Kalaulah aku diperintahkan bersujud kepada seseorang, nescaya aku akan perintahkan wanita-wanita bersujud keatas suami mereka, kerana haknya yang Allah SWT telah berikan kepada suami-suami." (HR Abu Daud)
  • Dari Ummu Salamah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mana-mana wanita yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya redha kepadanya, nescaya dia akan masuk kedalam syurga." (HR Tirmizi)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menjalin silaturrahim yakni berbuat baik kepada saudara-mara dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik ataupun diam." (HR Bukhari)
  • Dari Asma bin Yazid R.Ha berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara kehormatan saudaranya yang muslim ketika dia tidak ada (dimajlis itu, contohnya seseorang telah mengumpatnya, kemudian dia telah mencegah orang itu dari terus mengumpatnya), maka Allah SWT akan menjamin untuknya daripada pembebasan api neraka jahanam." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Perbanyakkan selawat kepadaku pada hari Jumaat, kerana baru sebentar tadi malaikat Jibrail A.S diutus oleh Allah SWT datang kepadaku lalu berkata : 'Barangsiapa dikalangan umat mu berselawat kepadamu (Muhammad) sekali, Aku (Allah) dan para malaikatKu akan berselawat (memohon pengampunan dan rahmat) untuknya sepuluh kali'." (HR Tabrani)
  • Hazrat Bara' R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Tidaklah kedua orang muslim bertemu dan bermusafaha (berjabat tangan) melainkan dosa-dosa kedua belah pihak diampuni sebelum mereka berpisah." (HR Abu Daud)
  • Hazrat Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Orang yang muda hendaklah memberi salam kepada orang yang tua. Orang yang berjalan hendaklah memberi salam kepada orang yang duduk. Orang yang sedikit memberi salam kepada orang yang lebih ramai." (HR Bukhari)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Bantulah saudaramu yang muslim dalam segala keadaan, bahkan apabila dia seorang yang zalim atau yang dizalimi" Seorang bertanya, "Ya Rasulullah, aku akan menolongnya apabila dia dizalimi, tetapi bagaimana aku dapat menolongnya apabila dia seorang penzalim?" Baginda S.A.W menjawab, "Engkau mencegah dia dari melakukan kezaliman kerana mencegahnya dari perbuatan zalimnya, itulah bantuanmu kepadanya." (HR Bukhari)
  • Hazrat Ibnu Abbas R.Huma meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa berjalan untuk menunaikan satu hajat seorang saudara adalah lebih baik daripada sepuluh tahun iktikaf. Barangsiapa yang beriktikaf sehari kerana Allah S.W.T akan dijauhkan daripada api neraka sejauh tiga parit, dan setiap parit luasnya diantara bumi dan langit." (HR Tabrani dan Majma uz Zawaid)

Muhasabah : Kejayaan dalam kehidupan dunia dan akhirat - Imp

Ustaz Zainudih Hashim

Tidak ada muslim/muslimah yang celik cara berfikirnya yang tidak mahu berjaya dalam kehidupan, sama ada di dunia ini yang bersifat sementara apatah lagi di akhirat yang kekal abadi. Ia juga adalah hasrat setiap insan walaupun tidak menjadi seorang muslim, kerana kejayaan adalah sesuatu yang manis dalam kehidupan manusia.

Namun kejayaan yang ingin dikecapinya itu perlulah mengikut prosuder dan pantang larang agama Islam, iaitu tidak menyalahi konsep matlamat tidak menghalalkan cara, berapa banyak cara yang dilakukan oleh muslim untuk meniti sesuatu kejayaan, tetapi ianya tidak memenuhi kriteria matlamat agama, maka ia tidak dikira sebagai kejayaan kerana mengenepikan nilai-nilai agama Islam yang murni.

Para ulama' yang mewarisi ajaran Nabi Muhammad s.a.w. banyak meninggalkan kaedah, pendekatan serta cara terbaik untuk seseorang muslim/muslimah meniti kejayaan sebenar menurut acuan agama, mereka dianggap sebagai pengamal ajaran-ajaran Islam dan mencontohkannya kepada umum dengan bentuk yang cukup sempurna, jauh dari sebarang penyelewengan, bid'ah, tahayul dan khurafat, kerana ini semua menggagalkan konsep matlamat tidak menghalalkan cara.

Seseorang muslim/muslimah menurut Imam Syahid hasan al-Banna akan sentiasa berada di tangga kejayaan, apabila memiliki faktor-faktor berikut :

* Menganut dengan akidah Islam yang tulen, jauh dari sebarang unsur syirik, kufur dan fasiq.

Iaitu akidah 'Ahlus Sunnah Wal Jamaah' yang menitik-beratkan hujah yang diceduk daripada al-Quran dan hadis-hadis Nabi Muhammad yang sohih, Ijmak dan Kias yang bukan sahaja menjadi rujukan dalam persoalan hukum syariat Islam, malah dalam perkara yang berkaitan dedngan akidah.

* Beribadat dengan konsepnya yang betul berdasarkan elemen ilmu, kerana sesuatu ibadat itu tidak akan diterima tanpanya.

Setiap muslim/muslimah perlu mengetahui matlamat Allah jadikan mereka bukan untuk berfoya-foya tanpa tujuan hidup, malah mereka dicipta hanyalah untuk tunduk beribadat kepada Allah SWT tanpa perlu adanya perantaraan manusia atau objek-objek lain yang boleh disifatkan sebagai syirik kepada Allah.

* Memiliki ketajaman daya berfikir.

Akal fikiran yang dianugerahkan Allah SWT merupakan satu anggota dalam tubuh manusia yang wajib dipelihara, iaitu dipelihara hingga tidak memikirkan pada perkara-perkara yang tidak menguntungkan Islam, kerananya juga manusia akan disumbatkan dalam api neraka jika sekiranya seseorang itu tidak menghidupkan fungsinya yang sebenar untuk berfikir pada memajukan Islam.

* Memiliki tubuh badan yang semaksima sihat untuk diwakafkan kepada Islam.

Islam amat mementingkan kesihatan tubuh badan yang maksimum daripada setiap muslim/muslimah, kesihatan tubuh badan bukan sahaja untuk menggunakannya pada membantu mereka yang mengharapkan bantuan kebajikan dan sebagainya, malah yang paling penting untuk melaksanakan tuntutan amal-amal ibadat yang difardukan oleh Allah SWT.

Ibadat tidak sahaja dalam bentuk melaksanakan solat, haji, puasa dan lain-lain, tetapi juga mengerahkan tenaga untuk menuju ke rumah Allah bagi menunaikan solat berjemaah, bergotong-royong mengurus ibadat korban, mengurus jenazah, membersihkan alam sekitar seperti kawasan-kawasan masjid dan surau dengan tubuh badan yang sihat, ia dikira sebagai mewakafkan tenaga dan tubuh badan pada jalan Islam.

* Memiliki akhlak Islam yang jitu.

Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. ada menegaskan dalam satu hadis yang bermaksud : 'Yang paling sempurna iman di kalangan orang-orang yang beriman adalah yang paling sempurna akhlaknya.'

Akhlak merupakan elemen penting dalam diri setiap muslim/muslimah, tanpanya ia tidak bermakna menjadi seorang muslim yang telah berjanji kepada Allah untuk menjadikan segala agenda hidup dan mati kerana-Nya seperti yang diungkapkan dalam solat lima kali sehari semalam.

Akhlaklah yang membezakan antara sesorang muslim dan bukan Islam dalam meneraju kehidupan berdasarkan ajaran-ajaran Rasulullah s.a.w. yang dicontohkan menerusi Sirah baginda.

Akhlak yang jitu ialah memperlihatkan keluhuran budi pekerti terhadap Allah, Rasulullah, para alim ulama?, kedua-dua ibu bapa, adik beradik, orang-orang yang lebih tua, jiran tetangga, sesama manusia, alam sekitar, terhadap haiwan, pokok-pokok dan sebagainya. Sesungguhnya akhlak tidak boleh dibuat-buat dengan sengaja tanpa rangsangan daripada diri sendiri yang lahir daripada sanubari yang diikat dengan ajaran agama Islam.

* Bijak menjaga/mengurus waktu dengan baik.

Pengurusan waktu yang baik akan menjadikan muslim berkualiti dengan nilai-nilai kehidupan yang positif, iaitu menggunakan masanya pada perkara-perkara dan di tempat-tempat yang baik yang disukai Islam seperti sentiasa menjadikan masjid dan surau sebagai destinasi persinggahan, selain daripada menunaikan solat fardu berjemaah, diikuti pula dengan penglibatan kelas-kelas fardu ain.

* Memanfaatkan segala apa yang dimiliki untuk kepentingan awam.

Islam sering dan sentiasa menganjurkan kepada penganutnya agar mencurahkan segala apa yang ada pada mereka untuk dikongsi sama dengan saudara-saudara seagama seperti ilmu, kepakaran bagi melahirkanb insan muslim yang boleh dicontohi oleh kaum lain.

* Berusaha untuk berdaya saing dalam segenap bidang dan lapangan.

Umat Islam tidak boleh berbangga dengan kejayaan yang dicapai pada tahap tertentu sahaja, malah memperkasa diri dengan meneroka bidang-bidang yang difikirkan perlu bagi memenuhi tuntutan fardu kifayah seperti bidang astronomi, maritim dan lain-lain.

* Mampu untuk berusaha mencapai sesuatu matlamat.

Ia juga satu pendekatan yang memperlihatkan kemampuan umat Islam berusaha mencapai sesuatu matlamat semaksimum mungkin yang belum diterokai oleh mana-mana pihak, seperti matlamat mahu melahirkan usahawan mantap, maka usaha ke arah itu perlu dilakukan walaupun menghadapi cabaran yang sukar.

* Bersistematik dalam segenap urusan harian sebagai seorang muslim/muslimah sejati.

Umat Islam perlu membuktikan bahawa kehidupan mereka terancang dan teratur mengikut jadual, penuh dengan agenda, aktiviti, tugasan yang bersistematik hingga mampu mencairkan golongan bukan Islam yang menyanjung, menghormati sekali gus menjadikan mereka cenderung untuk meniru cara kita yang menampilkan pelaksanaan tugasan dan urusan dengan baik.

Sesungguhnya Islam mampu menawan dan memaut hati manusia-manusia sesuai dengan lafaz 'Islam' yang memberi maksud menyelamat.

Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah kerana sudi membaca artikel diatas. Sila lawati ke halaman utama untuk membaca lebih 2003 artikel yang terdapat disini. Jangan lupa berkongsi artikel diatas bersama anggota keluarga, saudara mara dan rakan taulan anda. Jika anda ingin memberi pendapat atau teguran, sila email kami di admin[at]mukmin.com.my, Insyallah kami berlapang dada untuk membacanya. Semoga kita dapat ambil manafaat bersama dengan Portal Mukmin ini. Insyallah.
Kembali Ke Halaman Utama | Papar Semua Tajuk Dibawah Kategori Yang Sama | Berkongsi Artikel Dengan Rakan Lain | Sertai Facebook Mukmin Portal

 
 

 

© Mukmin (Tiada Notis Copyright)

Paparan sesuai 1280 x 800 pixel (IE 7.0 keatas / Firefox 3.0 keatas)