• Dari Sahal R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Aku dan orang yang memelihara anak-anak yatim akan berada didalam syurga adalah seumpama dua anak jari ini." Disini Rasulullah S.A.W mengisyaratkan jari telunjuk dan jari tengahnya dimana terdapat hanya sedikit ruang diantara keduanya. (HR Bukhari)
  • Dari Amr bin Malik Al-Qusyairi R.A berkata, bahawa aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara anak yatim, yang mana kedua ibubapanya seorang muslim, dengan memberi makanan dan minuman sehinggalah Allah S.W.T mengkayakannya yakni dia dapat memenuhi keperluannya sendiri, wajib baginya syurga." (HR Musnad Ahmad, Tabrani dan Majma uz Zawaid)
  • Dari Abdullah bin Umar R.Huma meriwayatkan bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W; "Ya Rasulullah, apakah satu amal yang paling baik di dalam Islam?" Baginda S.A.W menjawab "Memberi makan dan memberi salam samada kamu mengenalinya atau tidak." (HR Bukhari)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mukmin yang sempurna dikalangan orang yang beriman ialah orang yang baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kamu ialah orang yang berlaku baik terhadap isterinya." (HR Ahmad)
  • Dari Aishah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Sesungguhnya orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang terbaik akhlaknya dan berlemah lembut terhadap ahli keluarganya." (HR Tirmizi)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Diantara kamu orang yang paling aku cintai dan orang yang paling hampir kepadaku pada hari kiamat ialah orang yang baik akhlaknya." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mahukah daku khabarkan kepadamu siapakah orang yang diharamkan dari api neraka? Dan api neraka tidak akan menyentuhnya. Mereka adalah orang yang menghampiri orang lain dengan lemah lembut, berlebih kurang dan baik hati." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memiliki sebahagian yang kecil sombong di dalam hatinya, maka dia tidak dapat memasuki syurga." (HR Muslim)
  • Dari Abu Qatadah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Jikalau seseorang suka Allah S.W.T menyelamatkannya dari huru hara pada hari kiamat, maka hendaklah dia memberi kelonggaran (dalam membayar kembali pinjaman) kepada seseorang yang berada dalam keadaan terdesak, atau mengurangkan hutangnya (semuanya atau sebahagian)." (HR Muslim)
  • Dari Abu Zar R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Senyuman kepada saudara (muslim) mu adalah sedekah, menyeru kepada ma'ruf dan melarang dari mungkar adalah sedekah, menunjukkan jalan kepada seseoarng yang tersesat jalan adalah sedekah, menolong seorang yang penglihatannya kabur adalah sedekah, menyingkirkan batu-batu, duri dan tulang (dari jalan) adalah sedekah dan menuangkan air dari timbamu kepada timba saudaramu adalah sedekah. " (HR Tirmizi)
  • Dari Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan, dia akan mendapat pahala yang sama sebagaimana orang yang melakukan satu kebaikan, dan Allah menyukai orang yang menolong seorang dalam kesukaran." (HR Bazzar dan Targhib)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Seorang mukmin mencintai dan dicintai. Tidak ada kebaikan dalam diri seseorang yang tidak mencintai atau tidak berkasih sayang. Orang yang terbaik diantara manusia adalah orang yang paling banyak memberi manafaat kepada orang lain." (HR Dar Qutni dan Targhib)
  • Dari Qais bin Said R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Kalaulah aku diperintahkan bersujud kepada seseorang, nescaya aku akan perintahkan wanita-wanita bersujud keatas suami mereka, kerana haknya yang Allah SWT telah berikan kepada suami-suami." (HR Abu Daud)
  • Dari Ummu Salamah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mana-mana wanita yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya redha kepadanya, nescaya dia akan masuk kedalam syurga." (HR Tirmizi)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menjalin silaturrahim yakni berbuat baik kepada saudara-mara dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik ataupun diam." (HR Bukhari)
  • Dari Asma bin Yazid R.Ha berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara kehormatan saudaranya yang muslim ketika dia tidak ada (dimajlis itu, contohnya seseorang telah mengumpatnya, kemudian dia telah mencegah orang itu dari terus mengumpatnya), maka Allah SWT akan menjamin untuknya daripada pembebasan api neraka jahanam." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Perbanyakkan selawat kepadaku pada hari Jumaat, kerana baru sebentar tadi malaikat Jibrail A.S diutus oleh Allah SWT datang kepadaku lalu berkata : 'Barangsiapa dikalangan umat mu berselawat kepadamu (Muhammad) sekali, Aku (Allah) dan para malaikatKu akan berselawat (memohon pengampunan dan rahmat) untuknya sepuluh kali'." (HR Tabrani)
  • Hazrat Bara' R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Tidaklah kedua orang muslim bertemu dan bermusafaha (berjabat tangan) melainkan dosa-dosa kedua belah pihak diampuni sebelum mereka berpisah." (HR Abu Daud)
  • Hazrat Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Orang yang muda hendaklah memberi salam kepada orang yang tua. Orang yang berjalan hendaklah memberi salam kepada orang yang duduk. Orang yang sedikit memberi salam kepada orang yang lebih ramai." (HR Bukhari)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Bantulah saudaramu yang muslim dalam segala keadaan, bahkan apabila dia seorang yang zalim atau yang dizalimi" Seorang bertanya, "Ya Rasulullah, aku akan menolongnya apabila dia dizalimi, tetapi bagaimana aku dapat menolongnya apabila dia seorang penzalim?" Baginda S.A.W menjawab, "Engkau mencegah dia dari melakukan kezaliman kerana mencegahnya dari perbuatan zalimnya, itulah bantuanmu kepadanya." (HR Bukhari)
  • Hazrat Ibnu Abbas R.Huma meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa berjalan untuk menunaikan satu hajat seorang saudara adalah lebih baik daripada sepuluh tahun iktikaf. Barangsiapa yang beriktikaf sehari kerana Allah S.W.T akan dijauhkan daripada api neraka sejauh tiga parit, dan setiap parit luasnya diantara bumi dan langit." (HR Tabrani dan Majma uz Zawaid)

Nabi Manusia Pilihan

Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN

DALAM kesempatan ini kita akan membahaskan persoalan tentang hakikat kemanusiaan para nabi. Ini kerana persoalan ini menjadi salah satu sebab tergelincirnya kaki sebahagian daripada kita dalam memahami pokok-pokok pegangan agama.

Kita akan meninjau nas-nas yang jelas menunjukkan bahawa walaupun para nabi a.s adalah manusia tetapi mereka bukanlah manusia biasa yang tiada bezanya langsung dengan manusia biasa seperti kita.

Fahaman yang lebih tepat ialah mereka adalah manusia pilihan Allah yang dikurniakan pelbagai keistimewaan dan kelebihan sesuai dengan kedudukan dan peranan mereka yang begitu mustahak.

Maka adalah salah untuk dikatakan bahawa para nabi adalah manusia biasa ataupun mengatakan golongan itu adalah manusia seperti kita.

Kedua-dua kenyataan itu membawa implikasi meletakkan para nabi pada kedudukan yang lebih rendah daripada martabat mereka yang sebenar.

Sesetengah orang menyangka bahawa para nabi sama dengan manusia yang lain pada semua keadaan dan sifat-sifat mereka. Ini adalah tanggapan yang jelas salah dan kejahilan yang terangan-terangan ditolak oleh dalil-dalil sahih daripada al-Quran dan sunnah.

Meskipun pada hakikat asalnya, kemanusiaan para nabi itu sama sahaja dengan seluruh anak Adam sebagaimana yang dinyatakan dalam firman Allah SWT yang bermaksud: Katakanlah (wahai Muhammad!), sesungguhnya aku hanyalah seorang manusia seperti kamu. (al-Kahfi: 110)

Namun, para nabi itu berbeza daripada manusia biasa dalam kebanyakan sifat dan ciri-ciri kejadian mereka.

Jika tidak, apakah keistimewaan mereka berbanding manusia yang lain? Bagaimanakah pula hendak diperlihatkan hikmah dan faedah terpilihnya mereka menjadi nabi daripada manusia biasa yang lain?

Dalam perbahasan ini, kita akan sebutkan beberapa ciri dan sifat istimewa mereka di dunia dan di alam barzakh yang telah ditetapkan bagi mereka berdasarkan nas al-Quran dan sunnah.

Nabi penghulu manusia

Para Nabi adalah manusia pilihan dari kalangan hamba-hamba Allah SWT dan dimuliakan dengan pangkat kenabian. Mereka dianugerahkan dengan hikmah, diberi kekuatan intelektual dan ketajaman fikiran.

Allah memilih mereka untuk menjadi perantara di antara Dia dengan makhluk-Nya. Menyampaikan kepada manusia segala perintah-Nya, memperingatkan mereka tentang kemurkaan-Nya dan balasan azab-Nya.

Para nabi dipertanggungjawabkan membimbing hamba-hamba-Nya kepada perkara-perkara yang membahagiakan mereka di dunia dan akhirat.

Telah terlaksana hikmah Allah memilih para nabi dari kalangan manusia bagi memboleh dan memudahkan umat manusia berkumpul bersama mereka. Mengambil manfaat daripada mereka dan mengikuti tingkahlaku dan akhlak.

Sifat kemanusiaan merupakan kelebihan para nabi. Memang mereka adalah manusia dari jenis manusia juga. Tetapi golongan nabi berbeza daripada manusia lain dengan keistimewaan yang tidak dapat dicapai oleh seorang manusia biasa pun.

Dengan demikian, memerhatikan para nabi hanya dari aspek kemanusiaannya yang biasa semata-mata tanpa adanya aspek-aspek spesifik yang lain adalah pandangan jahiliah yang sesat. Dalam al-Quran, terdapat banyak dalil yang mengisahkan perkara ini.

Di antaranya, perkataan kaum Nabi Nuh tentang nabi mereka, sebagaimana yang dikisahkan dalam al-Quran. Allah SWT berfirman yang bermaksud: Maka berkatalah pemimpin-pemimpin yang kafir daripada kaumnya (Nabi Nuh), "Kita tidak memandangmu (wahai Nuh!) melainkan sebagai seorang manusia seperti kita." (Hud: 27).

Begitu juga dengan apa yang diperkatakan oleh kaum Nabi Musa dan Harun tentang nabi mereka, sebagaimana yang dikisahkan oleh Allah melalui firman-Nya: Sehingga mereka berkata (dengan angkuhnya), "Patutkah kita beriman kepada dua manusia seperti kita, sedangkan kaum mereka menjadi orang-orang suruhan kita?" (al-Mukminun: 47).

Kaum Thamud juga mengatakan hal yang sama terhadap nabi mereka, Nabi Saleh a.s sebagaimana yang terdapat dalam al-Quran: Engkau hanyalah seorang manusia seperti kita; oleh itu, bawakanlah satu tanda (mukjizat) jika betul engkau daripada orang-orang yang benar. (al-Shu'araa: 154).

Begitu juga dengan apa yang dikatakan oleh kaum Nabi Syuaib (penduduk Madyan), pemilik (penghuni) al-Aikah tentang Nabi mereka, sebagaimana yang dikisahkan oleh Allah SWT di dalam al-Quran: Mereka menjawab, "Sesungguhnya engkau ini (hai Syuaib!) hanyalah salah seorang daripada golongan yang disihir. Dan engkau hanyalah seorang manusia seperti kita; dan sesungguhnya kita fikir engkau ini daripada orang-orang yang dusta". (al-Shu'araa: 185-186).

Bahkan juga, apa yang diperkatakan oleh kaum musyrikin terhadap Saidina Muhammad yang memandang baginda hanya manusia biasa seperti yang dikisahkan oleh Allah melalui firman-Nya: Mereka berkata: "Mengapakah Rasul ini memakan makanan dan berjalan-jalan di pasar-pasar?" (al-Furqaan: 7).

Jika dilihat kepada Mukjizat ataupun Irhas iaitu kelebihan-kelebihan luar biasa yang dikurniakan kepada para nabi a.s sama ada selepas atau sebelum dilantik ke tugas tersebut, nescaya kita perlu mengaku bahawa mereka bukanlah manusia biasa bahkan manusia-manusia pilihan yang diberi pelbagai keistimewaan.

Minggu hadapan, kita akan, insya-Allah, melihat secara khusus beberapa kelebihan yang dikurniakan Allah kepada rasul kita, Muhammad.

Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah kerana sudi membaca artikel diatas. Sila lawati ke halaman utama untuk membaca lebih 2003 artikel yang terdapat disini. Jangan lupa berkongsi artikel diatas bersama anggota keluarga, saudara mara dan rakan taulan anda. Jika anda ingin memberi pendapat atau teguran, sila email kami di admin[at]mukmin.com.my, Insyallah kami berlapang dada untuk membacanya. Semoga kita dapat ambil manafaat bersama dengan Portal Mukmin ini. Insyallah.
Kembali Ke Halaman Utama | Papar Semua Tajuk Dibawah Kategori Yang Sama | Berkongsi Artikel Dengan Rakan Lain | Sertai Facebook Mukmin Portal

 
 

 

© Mukmin (Tiada Notis Copyright)

Paparan sesuai 1280 x 800 pixel (IE 7.0 keatas / Firefox 3.0 keatas)