• Dari Sahal R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Aku dan orang yang memelihara anak-anak yatim akan berada didalam syurga adalah seumpama dua anak jari ini." Disini Rasulullah S.A.W mengisyaratkan jari telunjuk dan jari tengahnya dimana terdapat hanya sedikit ruang diantara keduanya. (HR Bukhari)
  • Dari Amr bin Malik Al-Qusyairi R.A berkata, bahawa aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara anak yatim, yang mana kedua ibubapanya seorang muslim, dengan memberi makanan dan minuman sehinggalah Allah S.W.T mengkayakannya yakni dia dapat memenuhi keperluannya sendiri, wajib baginya syurga." (HR Musnad Ahmad, Tabrani dan Majma uz Zawaid)
  • Dari Abdullah bin Umar R.Huma meriwayatkan bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W; "Ya Rasulullah, apakah satu amal yang paling baik di dalam Islam?" Baginda S.A.W menjawab "Memberi makan dan memberi salam samada kamu mengenalinya atau tidak." (HR Bukhari)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mukmin yang sempurna dikalangan orang yang beriman ialah orang yang baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kamu ialah orang yang berlaku baik terhadap isterinya." (HR Ahmad)
  • Dari Aishah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Sesungguhnya orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang terbaik akhlaknya dan berlemah lembut terhadap ahli keluarganya." (HR Tirmizi)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Diantara kamu orang yang paling aku cintai dan orang yang paling hampir kepadaku pada hari kiamat ialah orang yang baik akhlaknya." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mahukah daku khabarkan kepadamu siapakah orang yang diharamkan dari api neraka? Dan api neraka tidak akan menyentuhnya. Mereka adalah orang yang menghampiri orang lain dengan lemah lembut, berlebih kurang dan baik hati." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memiliki sebahagian yang kecil sombong di dalam hatinya, maka dia tidak dapat memasuki syurga." (HR Muslim)
  • Dari Abu Qatadah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Jikalau seseorang suka Allah S.W.T menyelamatkannya dari huru hara pada hari kiamat, maka hendaklah dia memberi kelonggaran (dalam membayar kembali pinjaman) kepada seseorang yang berada dalam keadaan terdesak, atau mengurangkan hutangnya (semuanya atau sebahagian)." (HR Muslim)
  • Dari Abu Zar R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Senyuman kepada saudara (muslim) mu adalah sedekah, menyeru kepada ma'ruf dan melarang dari mungkar adalah sedekah, menunjukkan jalan kepada seseoarng yang tersesat jalan adalah sedekah, menolong seorang yang penglihatannya kabur adalah sedekah, menyingkirkan batu-batu, duri dan tulang (dari jalan) adalah sedekah dan menuangkan air dari timbamu kepada timba saudaramu adalah sedekah. " (HR Tirmizi)
  • Dari Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan, dia akan mendapat pahala yang sama sebagaimana orang yang melakukan satu kebaikan, dan Allah menyukai orang yang menolong seorang dalam kesukaran." (HR Bazzar dan Targhib)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Seorang mukmin mencintai dan dicintai. Tidak ada kebaikan dalam diri seseorang yang tidak mencintai atau tidak berkasih sayang. Orang yang terbaik diantara manusia adalah orang yang paling banyak memberi manafaat kepada orang lain." (HR Dar Qutni dan Targhib)
  • Dari Qais bin Said R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Kalaulah aku diperintahkan bersujud kepada seseorang, nescaya aku akan perintahkan wanita-wanita bersujud keatas suami mereka, kerana haknya yang Allah SWT telah berikan kepada suami-suami." (HR Abu Daud)
  • Dari Ummu Salamah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mana-mana wanita yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya redha kepadanya, nescaya dia akan masuk kedalam syurga." (HR Tirmizi)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menjalin silaturrahim yakni berbuat baik kepada saudara-mara dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik ataupun diam." (HR Bukhari)
  • Dari Asma bin Yazid R.Ha berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara kehormatan saudaranya yang muslim ketika dia tidak ada (dimajlis itu, contohnya seseorang telah mengumpatnya, kemudian dia telah mencegah orang itu dari terus mengumpatnya), maka Allah SWT akan menjamin untuknya daripada pembebasan api neraka jahanam." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Perbanyakkan selawat kepadaku pada hari Jumaat, kerana baru sebentar tadi malaikat Jibrail A.S diutus oleh Allah SWT datang kepadaku lalu berkata : 'Barangsiapa dikalangan umat mu berselawat kepadamu (Muhammad) sekali, Aku (Allah) dan para malaikatKu akan berselawat (memohon pengampunan dan rahmat) untuknya sepuluh kali'." (HR Tabrani)
  • Hazrat Bara' R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Tidaklah kedua orang muslim bertemu dan bermusafaha (berjabat tangan) melainkan dosa-dosa kedua belah pihak diampuni sebelum mereka berpisah." (HR Abu Daud)
  • Hazrat Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Orang yang muda hendaklah memberi salam kepada orang yang tua. Orang yang berjalan hendaklah memberi salam kepada orang yang duduk. Orang yang sedikit memberi salam kepada orang yang lebih ramai." (HR Bukhari)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Bantulah saudaramu yang muslim dalam segala keadaan, bahkan apabila dia seorang yang zalim atau yang dizalimi" Seorang bertanya, "Ya Rasulullah, aku akan menolongnya apabila dia dizalimi, tetapi bagaimana aku dapat menolongnya apabila dia seorang penzalim?" Baginda S.A.W menjawab, "Engkau mencegah dia dari melakukan kezaliman kerana mencegahnya dari perbuatan zalimnya, itulah bantuanmu kepadanya." (HR Bukhari)
  • Hazrat Ibnu Abbas R.Huma meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa berjalan untuk menunaikan satu hajat seorang saudara adalah lebih baik daripada sepuluh tahun iktikaf. Barangsiapa yang beriktikaf sehari kerana Allah S.W.T akan dijauhkan daripada api neraka sejauh tiga parit, dan setiap parit luasnya diantara bumi dan langit." (HR Tabrani dan Majma uz Zawaid)

Nailah Melindungi Khalifah Uthman

NAILAH binti Farafisyah adalah isteri Uthman bin Affan, Khalifah ketiga empayar Islam selepas kematian Nabi Muhammad. Nailah lahir dalam keluarga Kristian di kota Kufah sebelum memeluk Islam di atas pelawaan Aishah binti Abu Bakar.

Nailah berkahwin dengan khalifah Uthman pada tahun 29 Hijrah.Apabila Uthman dilantik sebagai khalifah ketiga, banyak jawatan penting dipegang oleh keturunan Umaiyah. Di antaranya termasuklah Marwan bin al-Hakam sebagai setiausahanya. Beliau selalu mencampuri urusan pemerintahan negara. Ini mengakibatkan mula timbul rasa tidak puas hati pada masyarakat Islam.

Pada suatu hari, Marwan memberitahu ada sekumpulan orang di sebalik pintu rumah Usman. Uthman membenarkan Marwan berkata apa sahaja kepada kumpulan orang itu.

Marwan mengeluarkan kata-kata kesat berbunyi, "Kamu semua datang merebut kerajaan daripada tangan kami. Keluarlah kamu daripada pihak kami. Demi Allah, sekiranya kamu membangkang kami, pasti kamu semua akan menghadapi kesulitan dan tidak suka pada akibatnya".

Perbuatan Marwan mengeluarkan ucapan kasar kepada kumpulan orang yang berkunjung ke rumah Uthman menimbulkan kemarahan Ali.

Ali bergegas ke rumah Uthman dan berjumpa dengannya. Ali berkata kepada Usman dengan nada marah, "Kenapa kamu mengizinkan Marwan berkata apa sahaja kepada kumpulan orang yang datang tadi? Demi Allah, Marwan tidak layak diminta pandangan tentang agama atau dirinya sekalipun".

Nailah yang terkejut mendengar kata-kata Ali terus berlari mendapatkan suaminya yang masih duduk membatu selepas Ali meninggalkan rumah itu.

"Saya dengar kata-kata Ali yang dia tidak akan berjumpa kamu lagi kerana kamu mengikut kata-kata Marwan".

"Apa pendapat kamu tentang hal ini," kata Khalifah Uthman kepada Nailah.

"Takutlah kepada Allah kerana tidak sekutu baginya. Ikutlah sunnah kedua sahabat kamu iaitu Abu Bakar dan Umar. Sekiranya kamu mengikut kata Marwan, nescaya dia akan membunuh kamu," kata Nailah.

"Marwan adalah orang yang tidak memiliki maruah di sisi Allah, apatah lagi rasa takut dan cinta. Hantarlah utusan berjumpa Ali bagi berdamai kerana dia mempunyai hubungan kekeluargaan dengan kamu. Dia tidak layak dimusuhi," Nailah memberikan pendapatnya.

Khalifah Uthman segera menghantar seorang utusan kepada Ali tetapi Ali menolak kedatangannya lalu berkata: "Saya telah memberitahu Khalifah Usman bahawa saya tidak akan kembali lagi".

Pada tahun 35 hijrah, satu rombongan penduduk Mesir sekitar 1,000 orang telah datang ke Madinah untuk berjumpa Khalifah Uthman. Tujuan mereka ialah meminta Khalifah Uthman menggantikan gabenor Mesir. Khalifah Usman bersetuju dengan permintaan mereka lalu melantik Muhammad bin Abu Bakar. Mereka pulang dengan hati yang gembira.

Namun demikian, ketika berada tiga hari perjalanan dari Madinah, mereka terserempak dengan hamba kulit hitam menaiki unta dengan tergesa-gesa melintas di hadapan mereka. Mereka menahan unta tersebut kerana mengesyaki ada sesuatu yang buruk akan berlaku.

"Anda mahu ke mana dengan tergesa-gesa?," soal salah seorang ahli rombongan Mesir itu.

"Saya adalah pembantu Khalifah Uthman yang diutus bagi menemui Gabenor Mesir," jawab hamba itu dengan pantas.

"Kamu utusan siapa?," tanya ahli rombongan itu untuk kepastian.

"Saya pembantu Khalifah Uthman". Jawab hamba itu dengan gagap dan ragu dan kadang kala dia menjawab: "Saya pembantu Marwan".

Mereka mengeluarkan surat dari beg bawaan hamba itu lalu diserahkan kepada Muhammad bin Abu Bakar untuk membacanya.

Semua ahli rombongan terkejut apabila mendengar isi surat yang bercop mohor Khalifah Uthman meminta agar gabenor Mesir sebelum ini mesti terus menjadi gabenor.

Kemudian dia mesti membunuh Muhammad bin Abu Bakar dan rombongan bersamanya dan membatalkan surat pelantikannya sebagai gabenor yang baru. Rombongan itu menjadi marah lalu berpatah ke Madinah untuk menunjukkan surat itu kepada Ali.

Ali bersama beberapa sahabat bertemu dengan Khalifah Uthman untuk melihat kebenaran surat itu. Dia menafikan menulis surat itu dan bersumpah dengan nama Allah.

Kemudian mereka menjalankan penyiasatan dan terbongkarlah rahsia, Marwan yang menulis surat itu. Mereka meminta Khalifah Uthman menyerahkan Marwan kepada mereka namun dia tidak bersedia melakukannya.

Mereka mengepung rumah khalifah dan menghalang bekalan air ke rumahnya. Mereka mengepung rumahnya selama 30 hari dan mula kedengaran berita ada orang ingin membunuhnya.

Ali meminta anaknya, Hasan dan Husain dan beberapa orang sahabat mengawal pintu rumah Khalifah Usman daripada dicerobohi oleh pihak pemberontak Mesir.

Cubaan menyerbu masuk ke rumah Khalifah Uthman digagalkan oleh Hasan dan Husain serta sahabat menyebabkan pihak pemberontak mencari jalan lain untuk masuk ke dalam rumah khalifah untuk membunuhnya.

Akhirnya tiga orang pemberontak berjaya masuk ke dalam rumah Khalifah Uthman melalui atap rumah.

Ghafiqi terus memukul Khalifah Uthman dengan besi dan menyepak al-Quran yang dibaca olehnya.

Khalifah Uthman tidak melepaskan al-Quran dari tangannya dan darah menitis dari mukanya lalu jatuh ke atas muka surat al-Quran yang terbuka itu.

Kemudian Sudan pula menghampiri Khalifah Uthman, lalu dilibas pedangnya ke arah khalifah itu tetapi Nailah menahannya sehingga pedang itu telah memutuskan jarinya.

Sudan yang hilang peri kemanusiaan terus menetak Khalifah Uthman beberapa kali sehingga dia gugur syahid.

Najih, anak Khalifah Uthman terus menerkam ke arah Sudan lalu membunuhnya. Qatirah seorang lagi ahli pemberontak membunuh Najih.

Para pemberontak cuba menganiaya mayat Khalifah Uthman, namun jeritan tangisan Nailah mengejutkan Hasan dan Husain yang mengawal di pintu hadapan.

Mereka meluru masuk untuk melihat apa yang berlaku. Mereka sedih melihat Khalifah Uthman mati terbaring bersama anaknya dan mereka gagal menghalang pembunuhan itu.

Beliau meninggal dunia pada tahun 35 Hijrah.

Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah kerana sudi membaca artikel diatas. Sila lawati ke halaman utama untuk membaca lebih 2003 artikel yang terdapat disini. Jangan lupa berkongsi artikel diatas bersama anggota keluarga, saudara mara dan rakan taulan anda. Jika anda ingin memberi pendapat atau teguran, sila email kami di admin[at]mukmin.com.my, Insyallah kami berlapang dada untuk membacanya. Semoga kita dapat ambil manafaat bersama dengan Portal Mukmin ini. Insyallah.
Kembali Ke Halaman Utama | Papar Semua Tajuk Dibawah Kategori Yang Sama | Berkongsi Artikel Dengan Rakan Lain | Sertai Facebook Mukmin Portal

 
 

 

© Mukmin (Tiada Notis Copyright)

Paparan sesuai 1280 x 800 pixel (IE 7.0 keatas / Firefox 3.0 keatas)