• Dari Sahal R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Aku dan orang yang memelihara anak-anak yatim akan berada didalam syurga adalah seumpama dua anak jari ini." Disini Rasulullah S.A.W mengisyaratkan jari telunjuk dan jari tengahnya dimana terdapat hanya sedikit ruang diantara keduanya. (HR Bukhari)
  • Dari Amr bin Malik Al-Qusyairi R.A berkata, bahawa aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara anak yatim, yang mana kedua ibubapanya seorang muslim, dengan memberi makanan dan minuman sehinggalah Allah S.W.T mengkayakannya yakni dia dapat memenuhi keperluannya sendiri, wajib baginya syurga." (HR Musnad Ahmad, Tabrani dan Majma uz Zawaid)
  • Dari Abdullah bin Umar R.Huma meriwayatkan bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W; "Ya Rasulullah, apakah satu amal yang paling baik di dalam Islam?" Baginda S.A.W menjawab "Memberi makan dan memberi salam samada kamu mengenalinya atau tidak." (HR Bukhari)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mukmin yang sempurna dikalangan orang yang beriman ialah orang yang baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kamu ialah orang yang berlaku baik terhadap isterinya." (HR Ahmad)
  • Dari Aishah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Sesungguhnya orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang terbaik akhlaknya dan berlemah lembut terhadap ahli keluarganya." (HR Tirmizi)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Diantara kamu orang yang paling aku cintai dan orang yang paling hampir kepadaku pada hari kiamat ialah orang yang baik akhlaknya." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mahukah daku khabarkan kepadamu siapakah orang yang diharamkan dari api neraka? Dan api neraka tidak akan menyentuhnya. Mereka adalah orang yang menghampiri orang lain dengan lemah lembut, berlebih kurang dan baik hati." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memiliki sebahagian yang kecil sombong di dalam hatinya, maka dia tidak dapat memasuki syurga." (HR Muslim)
  • Dari Abu Qatadah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Jikalau seseorang suka Allah S.W.T menyelamatkannya dari huru hara pada hari kiamat, maka hendaklah dia memberi kelonggaran (dalam membayar kembali pinjaman) kepada seseorang yang berada dalam keadaan terdesak, atau mengurangkan hutangnya (semuanya atau sebahagian)." (HR Muslim)
  • Dari Abu Zar R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Senyuman kepada saudara (muslim) mu adalah sedekah, menyeru kepada ma'ruf dan melarang dari mungkar adalah sedekah, menunjukkan jalan kepada seseoarng yang tersesat jalan adalah sedekah, menolong seorang yang penglihatannya kabur adalah sedekah, menyingkirkan batu-batu, duri dan tulang (dari jalan) adalah sedekah dan menuangkan air dari timbamu kepada timba saudaramu adalah sedekah. " (HR Tirmizi)
  • Dari Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan, dia akan mendapat pahala yang sama sebagaimana orang yang melakukan satu kebaikan, dan Allah menyukai orang yang menolong seorang dalam kesukaran." (HR Bazzar dan Targhib)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Seorang mukmin mencintai dan dicintai. Tidak ada kebaikan dalam diri seseorang yang tidak mencintai atau tidak berkasih sayang. Orang yang terbaik diantara manusia adalah orang yang paling banyak memberi manafaat kepada orang lain." (HR Dar Qutni dan Targhib)
  • Dari Qais bin Said R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Kalaulah aku diperintahkan bersujud kepada seseorang, nescaya aku akan perintahkan wanita-wanita bersujud keatas suami mereka, kerana haknya yang Allah SWT telah berikan kepada suami-suami." (HR Abu Daud)
  • Dari Ummu Salamah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mana-mana wanita yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya redha kepadanya, nescaya dia akan masuk kedalam syurga." (HR Tirmizi)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menjalin silaturrahim yakni berbuat baik kepada saudara-mara dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik ataupun diam." (HR Bukhari)
  • Dari Asma bin Yazid R.Ha berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara kehormatan saudaranya yang muslim ketika dia tidak ada (dimajlis itu, contohnya seseorang telah mengumpatnya, kemudian dia telah mencegah orang itu dari terus mengumpatnya), maka Allah SWT akan menjamin untuknya daripada pembebasan api neraka jahanam." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Perbanyakkan selawat kepadaku pada hari Jumaat, kerana baru sebentar tadi malaikat Jibrail A.S diutus oleh Allah SWT datang kepadaku lalu berkata : 'Barangsiapa dikalangan umat mu berselawat kepadamu (Muhammad) sekali, Aku (Allah) dan para malaikatKu akan berselawat (memohon pengampunan dan rahmat) untuknya sepuluh kali'." (HR Tabrani)
  • Hazrat Bara' R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Tidaklah kedua orang muslim bertemu dan bermusafaha (berjabat tangan) melainkan dosa-dosa kedua belah pihak diampuni sebelum mereka berpisah." (HR Abu Daud)
  • Hazrat Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Orang yang muda hendaklah memberi salam kepada orang yang tua. Orang yang berjalan hendaklah memberi salam kepada orang yang duduk. Orang yang sedikit memberi salam kepada orang yang lebih ramai." (HR Bukhari)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Bantulah saudaramu yang muslim dalam segala keadaan, bahkan apabila dia seorang yang zalim atau yang dizalimi" Seorang bertanya, "Ya Rasulullah, aku akan menolongnya apabila dia dizalimi, tetapi bagaimana aku dapat menolongnya apabila dia seorang penzalim?" Baginda S.A.W menjawab, "Engkau mencegah dia dari melakukan kezaliman kerana mencegahnya dari perbuatan zalimnya, itulah bantuanmu kepadanya." (HR Bukhari)
  • Hazrat Ibnu Abbas R.Huma meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa berjalan untuk menunaikan satu hajat seorang saudara adalah lebih baik daripada sepuluh tahun iktikaf. Barangsiapa yang beriktikaf sehari kerana Allah S.W.T akan dijauhkan daripada api neraka sejauh tiga parit, dan setiap parit luasnya diantara bumi dan langit." (HR Tabrani dan Majma uz Zawaid)

Nikmat Diperoleh Bukan Kerana Nasib Baik

Oleh Nik Salida Suhaila Nik Salleh
salidasuhaila99@yahoo.com

Segala kekuasaan, kekayaan yang dikecapi manusia di dunia bersifat sementara

SETIAP insan ingin kehidupan terbaik. Nikmat kesihatan, masa lapang serta seluruh pancaindera yang berfungsi adalah anugerah tidak ternilai dan terbayar dengan wang ringgit. Tanya sesiapa yang sakit, apa yang mereka mahu selain sihat? Tanya kepada yang sibuk, apa yang mereka mahu selain waktu lapang? Tanya juga pada yang buta, apa yang mereka mahu selain melihat? Tentu setiap keinginan manusia bersebab, begitulah juga dengan pemberian Allah.
Jika Allah belum berkehendakkan kita mengecapi, pasti ada alasan tidak mampu kita fahami melainkan kita harus tetap bersyukur seadanya kerana perancangan-Nya adalah yang terbaik dan hikmahnya kita sedari selepas segalanya Dia suratkan. Waktu itulah kita mengerti Allah menyayangi hamba-Nya yang dipilih merasai dunia, diberi kenikmatan sebegitu rupa hingga kadangkala ada yang lalai dan tamak haloba, lupa mengucap syukur malah mencabar pula kekuasaan-Nya. Dalam surah An-Nahl: 114 Allah berfirman maksudnya: “Dan bersyukurlah akan nikmat Allah, jika benar kamu hanya menyembah-Nya semata-mata”. Syukur adalah tanda berterima kasih kepada Allah atas kurniaan nikmat kepada hamba-Nya. Sebab itu, tiada orang yang bersyukur kepada orang lain melainkan Allah saja. Antara sesama manusia, kita sekadar mengucapkan terima kasih sebagai tanda penghargaan kerana tiada manusia mampu memberi nikmat dan kebaikan kepada manusia lain kecuali sebagai penyampai saja.

Syukur juga adalah sebagai pujian dan ingatan. Ia direalisasikan dengan mengerjakan suruhan dan menjauhi larangan Allah. Melalui hati, kita bersyukur dengan mengakui dan meyakini sepenuhnya bahawa segala nikmat yang diperoleh dan dikecapi adalah daripada Allah semata-mata, bukan kerana nasib baik atau secara kebetulan.

Sungguhpun begitu, jika ditakdirkan satu hari nanti tiada lagi orang yang bersyukur, pasti akan ada balasan terhadap seluruh umat manusia kerana dalam Al-Quran ada peringatan seperti yang pernah berlaku kepada umat terdahulu.

Antaranya ialah kisah Qabilah Saba’, seperti dirakamkan Allah dalam surah Saba’: 19 bermaksud: “Maka kemakmuran dan kemudahan itu menjadikan mereka sombong dan kufur lalu berkata: Wahai Tuhan kami, jauhkanlah jarak perjalanan kami di antara sebuah bandar dengan yang lain, dan mereka berlaku zalim kepada diri mereka sendiri, lalu Kami jadikan mereka buah mulut orang ramai, serta Kami pecah-belahkan mereka berkecai-kecai. Sesungguhnya kisah mereka yang tersebut mengandungi tanda-tanda yang besar pengajarannya bagi tiap-tiap seorang mukmin yang sentiasa bersikap sabar lagi sentiasa bersyukur”.
Bencana diturunkan Allah adalah peringatan terhadap perbuatan sombong dan sikap manusia yang tidak taat kepada perintah-Nya serta lupa akan kebesaran-Nya yang berkuasa atas semua penghuni langit dan bumi. Ia juga adalah sebagai iktibar terhadap orang yang berfikir, bahawa segala kekuasaan dan kekayaan yang dikecapi di dunia ini adalah sementara sifatnya dan bila-bila masa boleh diambil kembali pemiliknya jika nikmat yang diperoleh tidak dipergunakan sebaik-baiknya.

Allah berfirman yang bermaksud: “Dan ingatlah tatkala Tuhan kamu memberitahu, demi sesungguhnya jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmat-Ku kepada kamu dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azab-Ku amatlah keras”. (Surah Ibrahim: 7)

Kita dapat lihat realiti kehidupan umat Islam yang diberi segala kemewahan dan sumber kekayaan oleh Allah untuk dikecapi dengan sebaik-baiknya. Maksiat, pembohongan, menolak hukum agama, kezaliman dan fitnah yang dilempar terhadap umat Islam untuk menghancurkan umatnya adalah antara petaka yang berlaku terhadap umat Muhammad di akhir zaman ini.

Bahkan ia memudahkan urusan ibadat dan muamalat kerana kesenangan hidup memungkinkan umat Islam menjalankan tanggungjawab sebagai hamba dengan lebih baik. Tetapi bukan sedikit nikmat yang pernah dikurniakan diambil kembali sehingga terdapat umat Islam hari ini yang mengemis di tanah air sendiri.

Sesungguhnya segala bala bencana di bumi disebabkan perbuatan manusia sendiri yang tidak tahu diuntung apabila dilimpahi kesenangan. Maksiat, pembohongan, menolak hukum agama, kezaliman dan fitnah yang dilempar terhadap umat Islam untuk menghancurkan umatnya adalah antara petaka yang berlaku terhadap umat Muhammad di akhir zaman ini. Dalam (Surah Ar-Ruum: 41) Allah berfirman bermaksud: “Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia.

Timbulnya yang demikian kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali insaf dan bertaubat."

Penulis Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah dan Undang-Undang Universiti Sains Islam Malaysia, kini melanjutkan pelajaran di United Kingdom.

Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah kerana sudi membaca artikel diatas. Sila lawati ke halaman utama untuk membaca lebih 2003 artikel yang terdapat disini. Jangan lupa berkongsi artikel diatas bersama anggota keluarga, saudara mara dan rakan taulan anda. Jika anda ingin memberi pendapat atau teguran, sila email kami di admin[at]mukmin.com.my, Insyallah kami berlapang dada untuk membacanya. Semoga kita dapat ambil manafaat bersama dengan Portal Mukmin ini. Insyallah.
Kembali Ke Halaman Utama | Papar Semua Tajuk Dibawah Kategori Yang Sama | Berkongsi Artikel Dengan Rakan Lain | Sertai Facebook Mukmin Portal

 
 

 

© Mukmin (Tiada Notis Copyright)

Paparan sesuai 1280 x 800 pixel (IE 7.0 keatas / Firefox 3.0 keatas)