• Dari Sahal R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Aku dan orang yang memelihara anak-anak yatim akan berada didalam syurga adalah seumpama dua anak jari ini." Disini Rasulullah S.A.W mengisyaratkan jari telunjuk dan jari tengahnya dimana terdapat hanya sedikit ruang diantara keduanya. (HR Bukhari)
  • Dari Amr bin Malik Al-Qusyairi R.A berkata, bahawa aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara anak yatim, yang mana kedua ibubapanya seorang muslim, dengan memberi makanan dan minuman sehinggalah Allah S.W.T mengkayakannya yakni dia dapat memenuhi keperluannya sendiri, wajib baginya syurga." (HR Musnad Ahmad, Tabrani dan Majma uz Zawaid)
  • Dari Abdullah bin Umar R.Huma meriwayatkan bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W; "Ya Rasulullah, apakah satu amal yang paling baik di dalam Islam?" Baginda S.A.W menjawab "Memberi makan dan memberi salam samada kamu mengenalinya atau tidak." (HR Bukhari)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mukmin yang sempurna dikalangan orang yang beriman ialah orang yang baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kamu ialah orang yang berlaku baik terhadap isterinya." (HR Ahmad)
  • Dari Aishah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Sesungguhnya orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang terbaik akhlaknya dan berlemah lembut terhadap ahli keluarganya." (HR Tirmizi)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Diantara kamu orang yang paling aku cintai dan orang yang paling hampir kepadaku pada hari kiamat ialah orang yang baik akhlaknya." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mahukah daku khabarkan kepadamu siapakah orang yang diharamkan dari api neraka? Dan api neraka tidak akan menyentuhnya. Mereka adalah orang yang menghampiri orang lain dengan lemah lembut, berlebih kurang dan baik hati." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memiliki sebahagian yang kecil sombong di dalam hatinya, maka dia tidak dapat memasuki syurga." (HR Muslim)
  • Dari Abu Qatadah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Jikalau seseorang suka Allah S.W.T menyelamatkannya dari huru hara pada hari kiamat, maka hendaklah dia memberi kelonggaran (dalam membayar kembali pinjaman) kepada seseorang yang berada dalam keadaan terdesak, atau mengurangkan hutangnya (semuanya atau sebahagian)." (HR Muslim)
  • Dari Abu Zar R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Senyuman kepada saudara (muslim) mu adalah sedekah, menyeru kepada ma'ruf dan melarang dari mungkar adalah sedekah, menunjukkan jalan kepada seseoarng yang tersesat jalan adalah sedekah, menolong seorang yang penglihatannya kabur adalah sedekah, menyingkirkan batu-batu, duri dan tulang (dari jalan) adalah sedekah dan menuangkan air dari timbamu kepada timba saudaramu adalah sedekah. " (HR Tirmizi)
  • Dari Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan, dia akan mendapat pahala yang sama sebagaimana orang yang melakukan satu kebaikan, dan Allah menyukai orang yang menolong seorang dalam kesukaran." (HR Bazzar dan Targhib)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Seorang mukmin mencintai dan dicintai. Tidak ada kebaikan dalam diri seseorang yang tidak mencintai atau tidak berkasih sayang. Orang yang terbaik diantara manusia adalah orang yang paling banyak memberi manafaat kepada orang lain." (HR Dar Qutni dan Targhib)
  • Dari Qais bin Said R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Kalaulah aku diperintahkan bersujud kepada seseorang, nescaya aku akan perintahkan wanita-wanita bersujud keatas suami mereka, kerana haknya yang Allah SWT telah berikan kepada suami-suami." (HR Abu Daud)
  • Dari Ummu Salamah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mana-mana wanita yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya redha kepadanya, nescaya dia akan masuk kedalam syurga." (HR Tirmizi)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menjalin silaturrahim yakni berbuat baik kepada saudara-mara dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik ataupun diam." (HR Bukhari)
  • Dari Asma bin Yazid R.Ha berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara kehormatan saudaranya yang muslim ketika dia tidak ada (dimajlis itu, contohnya seseorang telah mengumpatnya, kemudian dia telah mencegah orang itu dari terus mengumpatnya), maka Allah SWT akan menjamin untuknya daripada pembebasan api neraka jahanam." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Perbanyakkan selawat kepadaku pada hari Jumaat, kerana baru sebentar tadi malaikat Jibrail A.S diutus oleh Allah SWT datang kepadaku lalu berkata : 'Barangsiapa dikalangan umat mu berselawat kepadamu (Muhammad) sekali, Aku (Allah) dan para malaikatKu akan berselawat (memohon pengampunan dan rahmat) untuknya sepuluh kali'." (HR Tabrani)
  • Hazrat Bara' R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Tidaklah kedua orang muslim bertemu dan bermusafaha (berjabat tangan) melainkan dosa-dosa kedua belah pihak diampuni sebelum mereka berpisah." (HR Abu Daud)
  • Hazrat Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Orang yang muda hendaklah memberi salam kepada orang yang tua. Orang yang berjalan hendaklah memberi salam kepada orang yang duduk. Orang yang sedikit memberi salam kepada orang yang lebih ramai." (HR Bukhari)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Bantulah saudaramu yang muslim dalam segala keadaan, bahkan apabila dia seorang yang zalim atau yang dizalimi" Seorang bertanya, "Ya Rasulullah, aku akan menolongnya apabila dia dizalimi, tetapi bagaimana aku dapat menolongnya apabila dia seorang penzalim?" Baginda S.A.W menjawab, "Engkau mencegah dia dari melakukan kezaliman kerana mencegahnya dari perbuatan zalimnya, itulah bantuanmu kepadanya." (HR Bukhari)
  • Hazrat Ibnu Abbas R.Huma meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa berjalan untuk menunaikan satu hajat seorang saudara adalah lebih baik daripada sepuluh tahun iktikaf. Barangsiapa yang beriktikaf sehari kerana Allah S.W.T akan dijauhkan daripada api neraka sejauh tiga parit, dan setiap parit luasnya diantara bumi dan langit." (HR Tabrani dan Majma uz Zawaid)

Nilai Masa Dalam Kehidupan Muslim

Oleh: ZURIDAN MOHD. DAUD

DEMI masa, sesungguhnya manusia itu berada di dalam kerugian, kecuali mereka yang beriman dan beramal soleh dan mereka menyeru kepada kebenaran dan mereka menyeru dengan kesabaran). (al-Asr: 1-3)

TANPA disedari masa berlalu begitu pantas. Hari berganti hari dan tahun berganti tahun. Kini kita berada di ambang tahun baru dan pastinya umur kita semakin bertambah. Meskipun kebiasaannya tahun baru disambut dengan kegembiraan namun tidak sepatutnya kegembiraan itu melenyapkan rasa kerisauan terhadap usia yang semakin meningkat dan panggilan kubur yang semakin jelas kedengaran.

Kerisauan perlu dihadirkan dalam diri dengan seribu macam persoalan tentang masa depan kita apabila bertemu dengan Yang Maha Pencipta. Apakah sudah cukup amalan kita? Apakah sudah tertebus dosa kita? Apakah layak kita menjadi penghuni syurga? Apakah mampu kita menahan malu di padang mahsyar apabila segala rahsia keburukan kita dipamerkan secara terperinci oleh Tuhan dan Apakah sanggup kita menahan seksa api neraka?

Berlalunya masa bermakna semakin tua usia dunia. Tuanya usia dunia bermakna saat kedatangan hari kiamat sudah semakin hampir. Jika lahirnya Nabi Muhammad s.a.w. dianggap sebagai bermulanya zaman pengakhiran dunia kerana Baginda s.a.w. adalah nabi akhir zaman, maka kini Baginda s.a.w. telah meninggalkan kita 1,400 tahun yang lampau. Bermakna usia dunia pastinya benar-benar lanjut. Ini lebih nyata lagi dengan berbagai-bagai siri perkara aneh yang berlaku dan berbagai bencana alam yang tidak terduga berlaku.

Justeru masa yang masih berbaki ini tidak sewajarnya dibiarkan begitu sahaja. Hendaklah kita menjadikannya begitu bernilai dan berharga. Seperti kata pepatah, 'Masa itu emas'. Kerana kepentingan masa itulah Allah Taala bersumpah dengan Wal Asri iaitu Demi masa!. Manusia akan sentiasa berada di dalam kerugian sekiranya tidak memanfaatkan masa dengan panduan iman dan takwa. Jika masa diisi dengan aktiviti harian yang tiada manfaat maka ia umpama menanam lalang, tiada guna dan tiada nilai.

Nabi s.a.w bersabda: Dua nikmat yang selalu diabaikan oleh ramai manusia iaitu kesihatan dan masa lapang. Masa dalam kehidupan seorang Muslim sangat penting. Ia lebih penting daripada wang ringgit.

Oleh itu setiap waktu dalam kehidupan Muslim sentiasa dikaitkan dengan ganjaran jika dilaksanakan amalan tertentu. Waktu fajar umpamanya dikaitkan dengan dua rakaat solat sunat yang lebih baik dari nilai dunia dan isinya. Waktu tengah malam pula ialah saat afdalnya munajat kepada Allah Taala. Bulan Ramadan pula ialah waktu diturunkan barakah dan keampunan Tuhan.

Masa sepatutnya digunakan sebaiknya kerana ia sesuatu yang tidak dapat dikembalikan semula. Masa muda tidak dapat dikembalikan. Begitulah juga masa sihat dan masa lapang tiada siapa yang boleh mengembalikannya. Nabi s.a.w bersabda: Rebutlah lima perkara sebelum datangnya lima perkara. Masa muda sebelum tua, masa sihat sebelum sakit, masa lapang sebelum sempit dan masa senang sebelum susah.

Sebagai contoh masa muda, ia adalah saat tubuh badan masih kuat dan fikiran masih segar, maka gunakanlah ia untuk melaksanakan ibadah dan menuntut ilmu. Bukannya digunakan untuk berseronok atau hanya berhibur seperti mana yang banyak berlaku hari ini. Kerana apabila sudah tua pastinya pergerakan semakin perlahan dan kebolehan menuntut ilmu semakin lemah.

Diriwayatkan bahawa malaikat maut telah datang bertemu Nabi Yaakub. Maka Nabi Yaakub bertanya: Wahai malaikat maut apakah kamu datang kepadaku kerana ingin mencabut nyawa atau menziarahiku? Jawabnya: Untuk menziarahmu sahaja. Berkata Nabi Yaakub: Aku ada satu permintaan darimu. Bertanya malaikat maut: Apa permintaanmu? Jawab Nabi Yaakub: Jika kamu datang untuk mencabut nyawaku maka hantarkanlah dahulu utusan untuk memaklumkanku terlebih dahulu. Kata malaikat maut: Ya!. Kemudian malaikat mautpun pergi. Setelah beberapa tahun malaikat maut datang kembali kepada Nabi Yaakub.

Lalu Nabi Yaakub bertanya: Kamu datang untuk menziarah atau mencabut nyawaku? Kata malaikat maut: Aku datang untuk mencabut nyawamu. Lalu kata Nabi Yaakub: Bukankah aku telah katakan jika kamu ingin mencabut nyawaku hantarkan dahulu seorang utusan supaya dapat aku bersedia menambah ketaatan dan amal kebaikan. Jawab malaikat maut: Aku telah lakukannya. Kata Nabi Yaakub: Tiadapun utusan yang sampai kepadaku. Jawab malaikat maut: Sesungguhnya aku telah mengutuskan dua utusan iaitu uban di kepalamu dan belakangmu yang bongkok).

Masa juga mesti dipelihara ketika melaksanakan kerja dan tugas. Apa yang berlaku dewasa ini ialah penyakit lambat yang menular di tempat kerja. Fenomena lambat menghadiri mesyuarat, lambat memulakan sesuatu majlis dan lambat menyiapkan tugasan. Budaya lambat ini adalah gambaran kemalasan dan kelembapan dan biasanya budaya inilah yang membantutkan kemajuan. Lihat sahaja apa yang berlaku di pejabat-pejabat kerajaan mahupun swasta. Amat susah untuk melihat sesuatu mesyuarat dimulakan tepat pada waktunya. Ada sahaja alasan yang diberikan untuk menghalalkan kelewatan. Dan ia amat malang sekali jika kelewatan itu berpunca daripada sikap ketua yang tidak prihatin. Malah ada sesetengah tempat, masa yang tercatat sengaja diawalkan kerana sudah sedia maklum pasti akan berlaku kelewatan. Sikap inilah yang menyebabkan lahirnya perumpamaan 'janji Melayu' iaitu janji yang sukar untuk ditepati.

Masa dalam masyarakat yang maju sangat bernilai. Bangsa Jepun, Jerman dan Yahudi sudah terkenal dengan sikap ambil berat mereka terhadap masa. Di Jepun kelewatan beberapa saat menyebabkan seseorang tertinggal keretapi. Di Jerman pelajar dan pensyarah universiti masuk ke dewan kuliah lebih awal dari waktunya. Manakala di Israel, bangsa Yahudi diajar mengejar masa agar matlamat mereka menakluki bumi Palestin tercapai.

Biasanya pada setiap penghujung tahun sama ada tahun Hijrah mahupun tahun Masihi orang ramai akan menilai prestasi mereka dan ada juga yang dinilai oleh majikan bagi melayakkan mereka mendapat kenaikan gaji atau bonus tertentu. Namun apakah pernah mereka menilai amal dan ibadah mereka? Pernahkah ditanya, berapa kalikah aku meninggalkan solat pada tahun ini? Apakah puasaku cukup? Apakah aku pernah bangun malam menangisi dosaku di hadapan Allah? Apakah aku membaca al-Quran dan berapa kali aku membacanya dalam seminggu? Apakah aku benar-benar rasa nikmat menjadi Muslim?

Pernahkah juga kita bertanya diri sendiri tentang peningkatan ilmu dan kefahaman kita? Berapa buah buku ilmiah yang telah aku baca? Berapakah tulisan yang pernah aku hasilkan? Berapa kali aku menghadiri majlis ilmu?

Nabi s.a.w bersabda: Barang siapa yang sama dua harinya maka ia adalah orang yang rugi, dan barang siapa yang semalamnya lebih baik dari hari ini maka ia adalah orang yang ternafi dari kebaikan, dan barang siapa yang tiada peningkatan maka ia akan sentiasa berkurang, maka barang siapa sentiasa berkurang maka perut bumi lebih baik baginya daripada permukaannya (lebih baik mati sahaja).

Di saat menghadapi kedatangan tahun baru sepatutnya kita melakukan muhasabah diri tentang sejauhmanakah pencapaian sama ada dari sudut ibadah mahupun dari sudut ilmu pengetahuan. Dan bukannya terjerumus di dalam aktiviti hiburan dan pesta yang seolah-olah sudah menjadi satu budaya di dalam masyarakat kita. Berkata Saidina Umar bin Al-Khattab r.a : Muhasabahlah dirimu sebelum dirimu dihisab.

Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah kerana sudi membaca artikel diatas. Sila lawati ke halaman utama untuk membaca lebih 2003 artikel yang terdapat disini. Jangan lupa berkongsi artikel diatas bersama anggota keluarga, saudara mara dan rakan taulan anda. Jika anda ingin memberi pendapat atau teguran, sila email kami di admin[at]mukmin.com.my, Insyallah kami berlapang dada untuk membacanya. Semoga kita dapat ambil manafaat bersama dengan Portal Mukmin ini. Insyallah.
Kembali Ke Halaman Utama | Papar Semua Tajuk Dibawah Kategori Yang Sama | Berkongsi Artikel Dengan Rakan Lain | Sertai Facebook Mukmin Portal

 
 

 

© Mukmin (Tiada Notis Copyright)

Paparan sesuai 1280 x 800 pixel (IE 7.0 keatas / Firefox 3.0 keatas)