• Dari Sahal R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Aku dan orang yang memelihara anak-anak yatim akan berada didalam syurga adalah seumpama dua anak jari ini." Disini Rasulullah S.A.W mengisyaratkan jari telunjuk dan jari tengahnya dimana terdapat hanya sedikit ruang diantara keduanya. (HR Bukhari)
  • Dari Amr bin Malik Al-Qusyairi R.A berkata, bahawa aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara anak yatim, yang mana kedua ibubapanya seorang muslim, dengan memberi makanan dan minuman sehinggalah Allah S.W.T mengkayakannya yakni dia dapat memenuhi keperluannya sendiri, wajib baginya syurga." (HR Musnad Ahmad, Tabrani dan Majma uz Zawaid)
  • Dari Abdullah bin Umar R.Huma meriwayatkan bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W; "Ya Rasulullah, apakah satu amal yang paling baik di dalam Islam?" Baginda S.A.W menjawab "Memberi makan dan memberi salam samada kamu mengenalinya atau tidak." (HR Bukhari)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mukmin yang sempurna dikalangan orang yang beriman ialah orang yang baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kamu ialah orang yang berlaku baik terhadap isterinya." (HR Ahmad)
  • Dari Aishah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Sesungguhnya orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang terbaik akhlaknya dan berlemah lembut terhadap ahli keluarganya." (HR Tirmizi)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Diantara kamu orang yang paling aku cintai dan orang yang paling hampir kepadaku pada hari kiamat ialah orang yang baik akhlaknya." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mahukah daku khabarkan kepadamu siapakah orang yang diharamkan dari api neraka? Dan api neraka tidak akan menyentuhnya. Mereka adalah orang yang menghampiri orang lain dengan lemah lembut, berlebih kurang dan baik hati." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memiliki sebahagian yang kecil sombong di dalam hatinya, maka dia tidak dapat memasuki syurga." (HR Muslim)
  • Dari Abu Qatadah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Jikalau seseorang suka Allah S.W.T menyelamatkannya dari huru hara pada hari kiamat, maka hendaklah dia memberi kelonggaran (dalam membayar kembali pinjaman) kepada seseorang yang berada dalam keadaan terdesak, atau mengurangkan hutangnya (semuanya atau sebahagian)." (HR Muslim)
  • Dari Abu Zar R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Senyuman kepada saudara (muslim) mu adalah sedekah, menyeru kepada ma'ruf dan melarang dari mungkar adalah sedekah, menunjukkan jalan kepada seseoarng yang tersesat jalan adalah sedekah, menolong seorang yang penglihatannya kabur adalah sedekah, menyingkirkan batu-batu, duri dan tulang (dari jalan) adalah sedekah dan menuangkan air dari timbamu kepada timba saudaramu adalah sedekah. " (HR Tirmizi)
  • Dari Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan, dia akan mendapat pahala yang sama sebagaimana orang yang melakukan satu kebaikan, dan Allah menyukai orang yang menolong seorang dalam kesukaran." (HR Bazzar dan Targhib)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Seorang mukmin mencintai dan dicintai. Tidak ada kebaikan dalam diri seseorang yang tidak mencintai atau tidak berkasih sayang. Orang yang terbaik diantara manusia adalah orang yang paling banyak memberi manafaat kepada orang lain." (HR Dar Qutni dan Targhib)
  • Dari Qais bin Said R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Kalaulah aku diperintahkan bersujud kepada seseorang, nescaya aku akan perintahkan wanita-wanita bersujud keatas suami mereka, kerana haknya yang Allah SWT telah berikan kepada suami-suami." (HR Abu Daud)
  • Dari Ummu Salamah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mana-mana wanita yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya redha kepadanya, nescaya dia akan masuk kedalam syurga." (HR Tirmizi)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menjalin silaturrahim yakni berbuat baik kepada saudara-mara dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik ataupun diam." (HR Bukhari)
  • Dari Asma bin Yazid R.Ha berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara kehormatan saudaranya yang muslim ketika dia tidak ada (dimajlis itu, contohnya seseorang telah mengumpatnya, kemudian dia telah mencegah orang itu dari terus mengumpatnya), maka Allah SWT akan menjamin untuknya daripada pembebasan api neraka jahanam." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Perbanyakkan selawat kepadaku pada hari Jumaat, kerana baru sebentar tadi malaikat Jibrail A.S diutus oleh Allah SWT datang kepadaku lalu berkata : 'Barangsiapa dikalangan umat mu berselawat kepadamu (Muhammad) sekali, Aku (Allah) dan para malaikatKu akan berselawat (memohon pengampunan dan rahmat) untuknya sepuluh kali'." (HR Tabrani)
  • Hazrat Bara' R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Tidaklah kedua orang muslim bertemu dan bermusafaha (berjabat tangan) melainkan dosa-dosa kedua belah pihak diampuni sebelum mereka berpisah." (HR Abu Daud)
  • Hazrat Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Orang yang muda hendaklah memberi salam kepada orang yang tua. Orang yang berjalan hendaklah memberi salam kepada orang yang duduk. Orang yang sedikit memberi salam kepada orang yang lebih ramai." (HR Bukhari)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Bantulah saudaramu yang muslim dalam segala keadaan, bahkan apabila dia seorang yang zalim atau yang dizalimi" Seorang bertanya, "Ya Rasulullah, aku akan menolongnya apabila dia dizalimi, tetapi bagaimana aku dapat menolongnya apabila dia seorang penzalim?" Baginda S.A.W menjawab, "Engkau mencegah dia dari melakukan kezaliman kerana mencegahnya dari perbuatan zalimnya, itulah bantuanmu kepadanya." (HR Bukhari)
  • Hazrat Ibnu Abbas R.Huma meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa berjalan untuk menunaikan satu hajat seorang saudara adalah lebih baik daripada sepuluh tahun iktikaf. Barangsiapa yang beriktikaf sehari kerana Allah S.W.T akan dijauhkan daripada api neraka sejauh tiga parit, dan setiap parit luasnya diantara bumi dan langit." (HR Tabrani dan Majma uz Zawaid)

Nisfu Syaaban Dan Ramadan

Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA NEGERI SEMBILAN


Membaca yasin adalah antara amalan umat Islam apabila menyambut nisfu Syaaban.

SEKARANG kita sudah semakin hampir ke penghujung Syaaban dan semakin mendekati Ramadan al-Mubarak, alhamdulillah.

Sesudah kita meraikan Rejab dengan kelebihan Israk dan Mikrajnya, kita diberi peluang menghayati bulan Syaaban dengan segala kelebihannya seperti yang telah kita himbau di minggu lepas, terutamanya kelebihan malam nisfu Syaaban yang baru kita lalui.

Tidak beberapa hari lagi, kita akan, insya-Allah memasuki gerbang Ramadan yang penuh keberkatan dan keistimewaan termasuklah malam yang paling mulia, lailatul qadar. Semoga kita menemukannya pada tahun ini. Amin.

Jelas kelihatan bagaimana Rejab dan Syaaban dijadikan sebegitu rupa agar berperanan sebagai kelas persediaan untuk memasuki madrasah Ramadan termasuklah yang baru kita tempuhi iaitu malam nisfu Syaaban yang mana Rasulullah SAW amat menghargainya dan tidak melepaskan peluang menghidupkannya dengan munajat dan qiam.

Ada kalangan para ulama yang berpandangan bahawa malam nisfu Syaaban berkedudukan di tangga kedua sebagai malam yang paling mulia di sisi Tuhan selepas lailatul qadar. Bersungguh-sungguh menghidupkan malam nisfu Syaaban turut bermakna kita mencalonkan nama-nama kita untuk 'meminang' lailatul qadar.

Di antara kebesaran dan kehebatan sesuatu perkara ialah banyaknya nama dan gelaran baginya. Nisfu Syaaban turut memiliki ciri ini. Ia digelar oleh para pemuka ulama dari kalangan salaf dan khalaf dengan pelbagai nama yang mulia termasuklah Lailah al-Barakah (Malam Keberkatan), Lailah al-Ghufran (Malam Pengampunan) dan Lailah al-'Itq min al Nar (Malam Pembebasan Dari Api Neraka) Lailah al Baraah (Malam Pelepasan).

Semua nama ini bukanlah gelaran kosong kerana memang perkara-perkara inilah yang ditawarkan dan diburu pada malam tersebut.

Merayu bantuan

Nisfu Syaaban adalah antara sebaik-baik malam untuk kita bermesra, mengadu hal dan merayu bantuan dan pertolongan Tuhan. Maka sudah menjadi kebiasaan para solehin umat ini mengikut jejak langkah Penghulu mereka yang telah meninggalkan contoh yang agung dalam memuliakan malam yang penuh mustajab dan berkat ini.

Diriwayatkan oleh Abdur Razzaq ibn Humam daripada Ali ibn Abu Talib r.a daripada Nabi SAW bersabda: "Apabila tiba malam nisfu Syaaban, hendaklah kalian bangun pada malamnya (melakukan ibadat) dan berpuasa pada siangnya kerana Allah SWT menurunkan perintah-Nya pada malam tersebut mulai dari terbenamnya matahari. Lalu Allah berfirman, "Adakah terdapat di kalangan hamba-hambaKu yang memohon keampunan, maka akan Aku ampunkannya. Adakah terdapat di kalangan mereka yang memohon rezeki, maka akan Aku turunkan rezeki untuknya. Adakah di kalangan mereka orang yang ditimpa bala, maka akan Aku sejahterakannya. Adakah di kalangan mereka begini dan adakah di kalangan mereka begini sehinggalah menjelangnya fajar". (Dikeluarkan oleh Ibnu Majah di dalam Sunannya)

Dikeluarkan oleh Imam al-Dar al-Qutni dan Imam Ahmad dengan sanadnya daripada Aisyah r.a, beliau berkata: "Pada suatu malam, aku kehilangan Rasulullah maka aku pun keluar mencarinya dan aku menemui Baginda SAW di Baqi' sedang mendongakkan kepalanya ke langit. Maka Baginda SAW bersabda, "Adakah kamu takut Allah dan Rasul-Nya menzalimimu?" Aisyah berkata: Aku berkata, "Bukan begitu, wahai Rasulullah! Aku cuma menyangka kamu mendatangi isteri-isterimu yang lain". Baginda SAW bersabda, "Sesungguhnya Allah SAW turun (menurunkan rahmat atau perintah-Nya) ke langit dunia pada malam nisfu Syaaban, maka Dia mengampunkan dosa-dosa hamba-Nya lebih banyak daripada bilangan bulu kambing Bani Kilab".

Al Dar Qutni telah meriwayatkan juga hadis Bakar ibn Sahl daripada Hisyam ibn 'Urwah daripada bapanya, daripada Aisyah r.a: "Malam Nisfu Syaaban adalah malam giliranku bersama Rasulullah SAW. Pada malam itu, Rasulullah SAW bermalam di sisiku. Tatkala tengah malam, aku kehilangan Baginda SAW dari alas tempat tidurku. Demi Allah! Alas kain tempat tidurku itu bukanlah kain bulu yang ditenun dengan sutera, atau kapas". Aisyah ditanya, "kain apakah itu?" Jawab Aisyah, "Ia adalah kain bulu dan isinya daripada bulu unta. Maka aku mencarinya di bilik-bilik isterinya yang lain tetapi aku tidak menemuinya. Lalu aku kembali semula ke bilikku, dan aku mendapati Baginda SAW seperti sehelai baju yang jatuh ke tanah sedang sujud dan Baginda SAW menyebut di dalam sujudnya: "Telah sujud kepada-Mu jasad dan wajahku, telah beriman denganMu kalbuku. Inilah tanganku dan jenayah ke atas diriku yang telah aku lakukan dengannya. Wahai Tuhan Yang Maha Besar yang diharapkan oleh segala yang besar! Ampunilah dosaku yang besar. Telah sujudlah wajahku kepada Allah yang menciptakannya, membentukkan rupa parasnya, memberikan pendengaran dan penglihatannya".

Kemudian Baginda SAW mengangkat kepalanya dan kembali sujud lalu membaca: "Aku memohon perlindungan dengan keredaan-Mu daripada kemurkaan-Mu, dengan keampunan-Mu daripada balasan-Mu, dengan-Mu daripada azab-Mu. Tidak terhitung pujian ke atas-Mu, Engkau adalah sebagaimana pujian-Mu ke atas Zat-Mu. Aku berkata sebagaimana yang pernah dikatakan oleh saudaraku, Daud a.s: "Aku menyembam mukaku ke tanah bagi Tuanku dan berhaklah baginya sujud kepada-Nya".

Kemudian Baginda SAW mengangkat wajahnya dan berdoa: "Ya Allah! Kurniakanlah kepadaku hati yang bertakwa, suci bersih, tidak kufur dan tidak celaka".

Aku mendengar Baginda SAW membaca dalam sujudnya: "Aku memohon perlindungan dengan keampunan-Mu dari balasan azab-Mu dan aku memohon perlindungan dengan keredaan-Mu daripada kemurkaan-Mu, aku memohon perlindungan dengan-Mu daripada azab-Mu. Sungguh besar Zat-Mu yang tidak terhitung pujiannya ke atas-Mu, Engkau adalah sebagaimana pujian-Mu ke atas Zat-Mu".

Solat tasbih

Itulah suatu gambaran bagaimana Nabi kita SAW begitu menghayati dan memuliakan malam nisfu Syaaban. Sunnah baginda ini telah menyuntik inspirasi kepada para pemuka ulama umat ini untuk turut menghidupkan malam tersebut.

Selain itu, kita juga dianjurkan agar menghidupkan malam nisfu Syaaban dengan solat tasbih. Menerusi hadis yang panjang itu, Rasulullah SAW menyatakan bahawa solat tasbih adalah antara 10 perkara yang jika dilakukan akan mengampunkan dosa yang awal dan yang akhir, yang lama dan yang baru, yang tersalah dan disengajakan, yang kecil mahupun besar malah, yang dilakukan secara sembunyi atau terang-terangan.

Malah baginda SAW turut menyarankan agar kita menunaikan solat tasbih setiap hari, seminggu sekali, sebulan sekali, setahun sekali atau setidak-tidaknya seumur hidup sekali.

Menurut Sheikh Soleh al-Jaafari al-Azhari, mantan Imam Besar dan tenaga pengajar di Masjid al-Azhar, malam tersebut juga boleh dihidupkan dengan pelbagai jenis ibadah lain untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT seperti solat, membaca al-Quran, berzikir dan berselawat ke atas Nabi SAW.

Namun Sheikh Salim al-Sanhuri al-Maliki lebih mengutamakan solat tasbih kerana galakan yang kuat daripada Nabi SAW kepada bapa saudaranya, al-Abbas r.a dan pahalanya yang amat besar.

Adalah amat tidak wajar jika kebiasaan sesetengah umat untuk menghidupkan malam tersebut dengan cara tertentu dijadikan pertikaian termasuk atas alasan cara tersebut tidak pernah dilakukan oleh Rasulullah SAW.

Oleh kerana galakan Nabi SAW itu umum sifatnya maka terserahlah kepada umat untuk memilih cara yang paling baik sesuai dengan kemampuan mereka. Tidak peliklah misalannya jika mereka memilih untuk membaca surah yasin pada malam itu kerana surah tersebut adalah yang paling mudah dibaca oleh kebanyakan orang dan pada masa yang sama adalah antara surah yang teristimewa dalam al-Quran.

Alasan bahawa Rasulullah SAW tidak melakukannya tidak semestinya menunjukkan ke atas pengharaman sesuatu kerana kaedah syariat ada al-Tarku la yuntiju Hukman yang bermaksud bahawa setiap perkara yang ditinggalkan oleh Nabi SAW tidak membawa implikasi hukum.

Oleh itu apa-apa yang tidak pernah dilakukan oleh Baginda SAW yang tidak bercanggah dengan syarak dan tidak disertai larangan daripada Baginda SAW, tidaklah menunjukkan pengharamannya.

Menerusi sekian banyak hadis dan athar yang merakamkan bagaimana Rasulullah SAW, para sahabat dan salafussoleh yang lain memburu peluang menghidupkan malam nisfu Syaaban dengan berdoa dan beribadat kepada Allah SWT, jelas kepada kita tentang keistimewaan dan kelebihan malam yang penuh berkat ini.

Bagi mereka yang telah ditaufiqkan menghidupkannya pada tahun ini, tahniah kita ucapkan dan semoga amalan mereka ditempatkan ditempat yang mulia di sisi Tuhan, rabbul jalil.

Bagi mereka yang ketinggalan atau tertinggal pada kali ini, wajarlah mereka merasa kesal dan menyesal di atas kelalaian mereka itu. Mungkin sahaja jika kekesalan mereka itu benar-benar jujur dan mendalam ia akan turut melayakkan mereka mendapatkan ganjaran seolah-olah mereka telah pun turut memuliakan malam tersebut.

Semoga kedua-dua kelompok ini akan dikira layak untuk memuliakan malam ini di tahun-tahun mendatang serta dipilih untuk menjadi calon-calon terbaik untuk lailatul qadar dan madrasah Ramadan yang bakal tiba. Amin ya rabbal alamin.

Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah kerana sudi membaca artikel diatas. Sila lawati ke halaman utama untuk membaca lebih 2003 artikel yang terdapat disini. Jangan lupa berkongsi artikel diatas bersama anggota keluarga, saudara mara dan rakan taulan anda. Jika anda ingin memberi pendapat atau teguran, sila email kami di admin[at]mukmin.com.my, Insyallah kami berlapang dada untuk membacanya. Semoga kita dapat ambil manafaat bersama dengan Portal Mukmin ini. Insyallah.
Kembali Ke Halaman Utama | Papar Semua Tajuk Dibawah Kategori Yang Sama | Berkongsi Artikel Dengan Rakan Lain | Sertai Facebook Mukmin Portal

 
 

 

© Mukmin (Tiada Notis Copyright)

Paparan sesuai 1280 x 800 pixel (IE 7.0 keatas / Firefox 3.0 keatas)