• Dari Sahal R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Aku dan orang yang memelihara anak-anak yatim akan berada didalam syurga adalah seumpama dua anak jari ini." Disini Rasulullah S.A.W mengisyaratkan jari telunjuk dan jari tengahnya dimana terdapat hanya sedikit ruang diantara keduanya. (HR Bukhari)
  • Dari Amr bin Malik Al-Qusyairi R.A berkata, bahawa aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara anak yatim, yang mana kedua ibubapanya seorang muslim, dengan memberi makanan dan minuman sehinggalah Allah S.W.T mengkayakannya yakni dia dapat memenuhi keperluannya sendiri, wajib baginya syurga." (HR Musnad Ahmad, Tabrani dan Majma uz Zawaid)
  • Dari Abdullah bin Umar R.Huma meriwayatkan bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W; "Ya Rasulullah, apakah satu amal yang paling baik di dalam Islam?" Baginda S.A.W menjawab "Memberi makan dan memberi salam samada kamu mengenalinya atau tidak." (HR Bukhari)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mukmin yang sempurna dikalangan orang yang beriman ialah orang yang baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kamu ialah orang yang berlaku baik terhadap isterinya." (HR Ahmad)
  • Dari Aishah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Sesungguhnya orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang terbaik akhlaknya dan berlemah lembut terhadap ahli keluarganya." (HR Tirmizi)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Diantara kamu orang yang paling aku cintai dan orang yang paling hampir kepadaku pada hari kiamat ialah orang yang baik akhlaknya." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mahukah daku khabarkan kepadamu siapakah orang yang diharamkan dari api neraka? Dan api neraka tidak akan menyentuhnya. Mereka adalah orang yang menghampiri orang lain dengan lemah lembut, berlebih kurang dan baik hati." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memiliki sebahagian yang kecil sombong di dalam hatinya, maka dia tidak dapat memasuki syurga." (HR Muslim)
  • Dari Abu Qatadah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Jikalau seseorang suka Allah S.W.T menyelamatkannya dari huru hara pada hari kiamat, maka hendaklah dia memberi kelonggaran (dalam membayar kembali pinjaman) kepada seseorang yang berada dalam keadaan terdesak, atau mengurangkan hutangnya (semuanya atau sebahagian)." (HR Muslim)
  • Dari Abu Zar R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Senyuman kepada saudara (muslim) mu adalah sedekah, menyeru kepada ma'ruf dan melarang dari mungkar adalah sedekah, menunjukkan jalan kepada seseoarng yang tersesat jalan adalah sedekah, menolong seorang yang penglihatannya kabur adalah sedekah, menyingkirkan batu-batu, duri dan tulang (dari jalan) adalah sedekah dan menuangkan air dari timbamu kepada timba saudaramu adalah sedekah. " (HR Tirmizi)
  • Dari Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan, dia akan mendapat pahala yang sama sebagaimana orang yang melakukan satu kebaikan, dan Allah menyukai orang yang menolong seorang dalam kesukaran." (HR Bazzar dan Targhib)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Seorang mukmin mencintai dan dicintai. Tidak ada kebaikan dalam diri seseorang yang tidak mencintai atau tidak berkasih sayang. Orang yang terbaik diantara manusia adalah orang yang paling banyak memberi manafaat kepada orang lain." (HR Dar Qutni dan Targhib)
  • Dari Qais bin Said R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Kalaulah aku diperintahkan bersujud kepada seseorang, nescaya aku akan perintahkan wanita-wanita bersujud keatas suami mereka, kerana haknya yang Allah SWT telah berikan kepada suami-suami." (HR Abu Daud)
  • Dari Ummu Salamah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mana-mana wanita yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya redha kepadanya, nescaya dia akan masuk kedalam syurga." (HR Tirmizi)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menjalin silaturrahim yakni berbuat baik kepada saudara-mara dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik ataupun diam." (HR Bukhari)
  • Dari Asma bin Yazid R.Ha berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara kehormatan saudaranya yang muslim ketika dia tidak ada (dimajlis itu, contohnya seseorang telah mengumpatnya, kemudian dia telah mencegah orang itu dari terus mengumpatnya), maka Allah SWT akan menjamin untuknya daripada pembebasan api neraka jahanam." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Perbanyakkan selawat kepadaku pada hari Jumaat, kerana baru sebentar tadi malaikat Jibrail A.S diutus oleh Allah SWT datang kepadaku lalu berkata : 'Barangsiapa dikalangan umat mu berselawat kepadamu (Muhammad) sekali, Aku (Allah) dan para malaikatKu akan berselawat (memohon pengampunan dan rahmat) untuknya sepuluh kali'." (HR Tabrani)
  • Hazrat Bara' R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Tidaklah kedua orang muslim bertemu dan bermusafaha (berjabat tangan) melainkan dosa-dosa kedua belah pihak diampuni sebelum mereka berpisah." (HR Abu Daud)
  • Hazrat Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Orang yang muda hendaklah memberi salam kepada orang yang tua. Orang yang berjalan hendaklah memberi salam kepada orang yang duduk. Orang yang sedikit memberi salam kepada orang yang lebih ramai." (HR Bukhari)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Bantulah saudaramu yang muslim dalam segala keadaan, bahkan apabila dia seorang yang zalim atau yang dizalimi" Seorang bertanya, "Ya Rasulullah, aku akan menolongnya apabila dia dizalimi, tetapi bagaimana aku dapat menolongnya apabila dia seorang penzalim?" Baginda S.A.W menjawab, "Engkau mencegah dia dari melakukan kezaliman kerana mencegahnya dari perbuatan zalimnya, itulah bantuanmu kepadanya." (HR Bukhari)
  • Hazrat Ibnu Abbas R.Huma meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa berjalan untuk menunaikan satu hajat seorang saudara adalah lebih baik daripada sepuluh tahun iktikaf. Barangsiapa yang beriktikaf sehari kerana Allah S.W.T akan dijauhkan daripada api neraka sejauh tiga parit, dan setiap parit luasnya diantara bumi dan langit." (HR Tabrani dan Majma uz Zawaid)

Nur Ilahi Ann Dalam 'kegelapan'

Susunan ZUARIDA MOHYIN

DILAHIRKAN serta membesar dalam sebuah keluarga beragama Kristian di Virginia Barat, Amerika Syarikat, Ann Spaulding sudah bergelar yatim pada usianya setahun.

Kakak sulungnya menyifatkan perceraian ibu bapa mereka adalah disebabkan sial yang dibawa oleh Ann. Alasannya, bapa tinggalkan keluarga kerana mahukan anak lelaki tetapi sebaliknya, Ann yang lahir.Namun, bagi Ann itu bukannya alasan yang bijaksana.

Hakikatnya, bapa sengaja mahu lepaskan diri daripada memikul tanggungjawab sebagai ketua keluarga. Lantas, meninggalkan ibu dengan status ibu tunggal yang terpaksa membesarkan empat anak perempuan bersendirian. Tidak hairanlah, kehidupan kami pada saat itu begitu daif.

Ayahnya seorang Yahudi meninggal dunia pada Julai 2003, selepas saya bergelar Muslim. Pengislaman tersebut telah mengeruhkan lagi hubungan di antara kami yang sememangnya genting, umpama retak menanti belah.

"Boleh dikatakan kami langsung tidak pernah berbicara seperti seorang ayah dengan anaknya, apatah lagi setelah mengetahui tentang agama pilihan saya iaitu Islam.

"Ibu pula, masih kuat dengan pegangan agama Kristian serta suka terlibat dengan kerja-kerja amal serta membantu mereka yang memerlukan. Malah boleh dikatakan, saya mempunyai keluarga yang taat kepada Tuhan serta berusaha menjadi pengikutnya yang setia.

"Saya membesar di sebuah pekan di mana masyarakatnya langsung tiada pengetahuan tentang komuniti Muslim, apa lagi melihat seorang yang memakai hijab (tudung)," cerita Ann yang memang gemar membaca kisah-kisah pengislaman golongan mualaf semenjak belum memeluk Islam lagi.

Menurut Ann, seawal usianya lima tahun dia sudah menjadi pemain seruling dan pada usianya 12 tahun dia sudah dikategori sebagai pemain profesional. malah bukan itu sahaja, dia juga berkemahiran dengan alat muzik lain seperti obo (oboe), saksofon dan banyak lagi. Dengan kebolehan luar biasa itu juga, Ann mampu mendapat bayaran yang lumayan dengan bermain muzik untuk kumpulan jazz dan simfoni.

"Kehidupan saya memang terbiar kerana selalu ditinggalkan ibu di rumah nenek kerana pekerjaan ibu sebagai pekerja sosial, memerlukannya selalu berada di luar rumah. Kesibukan ibu membantu kanak-kanak cacat, masalah mental dan hidup melarat, menyebabkan dia terlupa tentang keinginan saya yang juga dahagakan kasih sayang dan perhatian seorang ibu

"Manakala di rumah nenek pula, saya ditinggalkan tanpa perhatian kerana nenek lebih menumpukan perhatian menjaga datuk yang sudah uzur. Pun begitu, saya tidak pernah melihat kekurangan ini sebagai satu isu atau alasan untuk mempersiakan kehidupan ini.

"Kakak-kakak yang lain pula sibuk dengan urusan masing-masing, ditambah pula mereka bencikan saya kerana menganggap saya pembawa sial di dalam keluarga. Sikap mereka ini sedikit sebanyak mempengaruhi pembawaan sikap saya yang terlalu pemalu dan penakut. Oleh itu, satu-satunya perkara di dunia ini yang menjadi peneman dan pengubat kekosongan diri saya ialah seruling, muzik dan guru-guru muzik saya," akui Ann yang terlalu kecewa dengan sikap prejudis adik-beradik yang lain kerana meletakkan 100 peratus kesalahan di atas kanak-kanak sekecil itu.

Menurut Ann lagi, dia pernah menyertai pasukan tentera laut AS sewaktu usianya menjangkau 18 tahun. Malah dia juga pernah beberapa kali gagal dalam perkahwinan kerana menjadi mangsa keganasan suami.

Hakikatnya, kehidupan Ann tidak pernah lekang daripada pelbagai masalah sehingga di pernah melalui kehidupan gelap gelita kerana hilang penglihatan. Bukan itu sahaja malah pernah hilang upaya untuk berjalan dan terpaksa bergerak menggunakan kerusi roda. Kegelapan yang dialami selama dua tahun serta kesengsaraan hidup itu bukannya pengalaman yang menyeronokkan, akui Ann.

"Semua itu banyak mengajar saya erti belas kasihan dan makna kesabaran. Allah sentiasa ada ketika itu, cuma saya tidak mencari-Nya sebagaimana selama ini saya cari dan dambakan. Yang pastinya, semua itu adalah pengajaran daripada-Nya demi mengajar hamba-Nya agar sentiasa bersabar dengan musibah yang melanda," akuinya dalam 'kegelapan' itulah dia dapat 'melihat'.

Pada tahun 2000 Ann mula menjejakkan kaki semula ke gereja Baptist. Kelebihan dalam bermain alat muzik seruling, secara tidak langsung disumbang terus sebagai salah seorang pemuzik untuk kumpulan koir gereja.

Pada masa sama, Ann sentiasa mencuri masa bertanya seberapa banyak persoalan terutamanya berkaitan akidah, konsep ketuhanan dan kekeliruan lain kepada paderinya. Malah sebelum memeluk Islam, Ann adalah seorang wanita yang tinggi moralnya walaupun dirinya berstatus ibu tunggal dengan tanggungan seorang anak perempuan.

Dia tidak minum arak, merokok, jauh sekali keluar dengan lelaki. Ann berusaha dan bekerja keras demi menyara kehidupan mereka dua beranak. Demi menjaga status janda, Ann sanggup melupakan keinginannya untuk berkahwin lagi kerana bimbang dilabel wanita tidak bermoral oleh masyarakat sekeliling.

Bagaimanapun, kepercayaannya kepada agama Kristian semakin pudar. Pertama kerana banyak persoalan yang diajukan tidak terjawab dan ada antara yang diberikan tidak ada fakta kukuh menjelaskannya. Kemuncak kepada kekecewaan itu ialah, apabila Ann terdengar beberapa wanita mengata mengenainya yang tidak benar dan menyakitkan di belakangnya.

Hal ini menyebabkan Ann mengambil keputusan untuk menjauhan diri dengan gereja. Bermula dengan berhenti melibatkan bermain seruling. Ditambah pula kadar penglihatannya yang semakin terjejas.

Semenjak itu, Ann mula banyak menghabiskan waktunya di rumah, membuat rujukan tentang agama-agama lain. Kebanyakan bahan rujukan menggunakan bahan audio kerana kekangan akibat daripada masalah penglihatannya.

Wanita Muslim

"Ketika itulah, saya bertemu dengan seorang wanita Muslim yang baru berpindah ke pekan kami. Dia memberi saya beberapa risalah mengenai Islam untuk dibaca. Sungguhpun kami berbeza agama, sikapnya begitu ramah dan jujur. Akhlak Muslim yang ditunjukkan benar-benar menambat hati saya.

"Pada masa yang sama, anak gadis saya berminat mengikuti pengajian peringkat kolejnya di Minnesota kerana selesa dengan suasana kehidupan masyarakat Muslim di situ. Saya juga menyusul kemudian. Di situ, anak saya berkawan dengan teman-teman Muslim dari Sudan, Pakistan dan Arab Saudi dan mula mempelajari Islam.

"Saya tidak pernah memberitahu anak perempuan yang saya juga sedang mempelajari dan mendalami Islam. Sebenarnya, pada saat itu saya sudah mengakui dan menerima kebenaran Islam, cuma masih belum membuat pengakuan secara terbuka," kata Ann.

Pada suatu hari kata Ann, anaknya bersemuka dengannya dan meluahkan hasratnya untuk bergelar Muslim. Daripada raut wajahnya, akui Ann nampak garis ketakutan kerana mengetahui bahawa ibunya seorang wanita yang teguh pegangan Baptist.

Alhamdulillah, pada hari itu anak gadisnya juga menerima berita kejutan bahawa ibunya juga turut berkehendak yang sama. Selang beberapa minggu kemudian, anak gadis Ann memperkenalkan teman-teman Muslimnya dan akhirnya, dua beranak itu mengucap dua kalimah syahadah di hadapan 12 orang jemaah wanita di rumah seorang teman pada Julai 2001.

Kata Ann lagi, bergelar Muslim tidaklah semudah melafazkan syahadah semata-mata. Kalau dahulu dia dianggap sebagai kumpulan majoriti disebabkan berkulit putih tetapi bergama Islam menjadikannya tergolong dalam kelompok minoriti.

Lebih membebankan, tekanan tersebut datangnya daripada segelintir masyarakat Islam itu sendiri. Contohnya dalam soal pemakaian tudung. Bagi Ann, dia mahu apa yang dilakukan itu datang dengan kerelaan dan keikhlasan. Alhamdulillah, sokongan moral pihak masjid menjadikannya Muslim yang tabah.

"Tragedi 11 September turut meninggalkan kenangan bermakna dalam diari saya sebagai Muslim. Apa tidaknya, selang tiga hari selepas serangan itu, saya telah diserang oleh seorang pemuda ketika sedang membeli belah. Serangan anak muda itu menyebabkan saya mengalami luka-luka di seluruh bahagian badan, terutamanya di muka dan kepala dan terpaksa menerima jahitan.

"Saya memberinya pilihan sama ada menjalani hukuman penjara atau mengikuti sesi ceramah. Dia memilih pilihan kedua. Enam bulan kemudian iaitu pada bulan Februari 2002, saya menerima berita gembira menerusi emel yang dikirimkan kepada saya yang ketika itu telah berpindah ke Virginia.

Anak muda sebaya anak gadis saya itu kini melibatkan diri dengan persatuan pelajar Islam di sana dan banyak melakukan kerja-kerja dakwah," terang Ann yang akan terkenang kembali peristiwa bermakna itu acap kali melihat kesan parut di wajahnya.

Akui Ann, hijrah akidahnya tidaklah semudah mana, namun dia sentiasa reda, sabar dan tabah mengharunginya kerana keyakinannya bahawa Allah sentiasa berada di sisinya. Bagi Ann, setiap cabaran yang datang itu, mengajarnya menjadi lebih tabah.

Pesan Ann, sebagai seorang Muslim adalah amat penting untuk melaksanakan segala ibadah dengan bimbingan mereka yang arif bukannya mengikut sesuka hati atau sendirian.

"Hakikatnya kita perlukan di antara satu sama lain untuk meneruskan kelangsungan hidup di dunia yang serba mencabar ini. Namun yang paling penting, kita perlukan Allah SWT untuk jaminan di dunia dan di akhirat," kata Ann.

lPetikan daripada IslamOnline.net

Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah kerana sudi membaca artikel diatas. Sila lawati ke halaman utama untuk membaca lebih 2003 artikel yang terdapat disini. Jangan lupa berkongsi artikel diatas bersama anggota keluarga, saudara mara dan rakan taulan anda. Jika anda ingin memberi pendapat atau teguran, sila email kami di admin[at]mukmin.com.my, Insyallah kami berlapang dada untuk membacanya. Semoga kita dapat ambil manafaat bersama dengan Portal Mukmin ini. Insyallah.
Kembali Ke Halaman Utama | Papar Semua Tajuk Dibawah Kategori Yang Sama | Berkongsi Artikel Dengan Rakan Lain | Sertai Facebook Mukmin Portal

 
 

 

© Mukmin (Tiada Notis Copyright)

Paparan sesuai 1280 x 800 pixel (IE 7.0 keatas / Firefox 3.0 keatas)