• Dari Sahal R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Aku dan orang yang memelihara anak-anak yatim akan berada didalam syurga adalah seumpama dua anak jari ini." Disini Rasulullah S.A.W mengisyaratkan jari telunjuk dan jari tengahnya dimana terdapat hanya sedikit ruang diantara keduanya. (HR Bukhari)
  • Dari Amr bin Malik Al-Qusyairi R.A berkata, bahawa aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara anak yatim, yang mana kedua ibubapanya seorang muslim, dengan memberi makanan dan minuman sehinggalah Allah S.W.T mengkayakannya yakni dia dapat memenuhi keperluannya sendiri, wajib baginya syurga." (HR Musnad Ahmad, Tabrani dan Majma uz Zawaid)
  • Dari Abdullah bin Umar R.Huma meriwayatkan bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W; "Ya Rasulullah, apakah satu amal yang paling baik di dalam Islam?" Baginda S.A.W menjawab "Memberi makan dan memberi salam samada kamu mengenalinya atau tidak." (HR Bukhari)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mukmin yang sempurna dikalangan orang yang beriman ialah orang yang baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kamu ialah orang yang berlaku baik terhadap isterinya." (HR Ahmad)
  • Dari Aishah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Sesungguhnya orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang terbaik akhlaknya dan berlemah lembut terhadap ahli keluarganya." (HR Tirmizi)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Diantara kamu orang yang paling aku cintai dan orang yang paling hampir kepadaku pada hari kiamat ialah orang yang baik akhlaknya." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mahukah daku khabarkan kepadamu siapakah orang yang diharamkan dari api neraka? Dan api neraka tidak akan menyentuhnya. Mereka adalah orang yang menghampiri orang lain dengan lemah lembut, berlebih kurang dan baik hati." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memiliki sebahagian yang kecil sombong di dalam hatinya, maka dia tidak dapat memasuki syurga." (HR Muslim)
  • Dari Abu Qatadah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Jikalau seseorang suka Allah S.W.T menyelamatkannya dari huru hara pada hari kiamat, maka hendaklah dia memberi kelonggaran (dalam membayar kembali pinjaman) kepada seseorang yang berada dalam keadaan terdesak, atau mengurangkan hutangnya (semuanya atau sebahagian)." (HR Muslim)
  • Dari Abu Zar R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Senyuman kepada saudara (muslim) mu adalah sedekah, menyeru kepada ma'ruf dan melarang dari mungkar adalah sedekah, menunjukkan jalan kepada seseoarng yang tersesat jalan adalah sedekah, menolong seorang yang penglihatannya kabur adalah sedekah, menyingkirkan batu-batu, duri dan tulang (dari jalan) adalah sedekah dan menuangkan air dari timbamu kepada timba saudaramu adalah sedekah. " (HR Tirmizi)
  • Dari Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan, dia akan mendapat pahala yang sama sebagaimana orang yang melakukan satu kebaikan, dan Allah menyukai orang yang menolong seorang dalam kesukaran." (HR Bazzar dan Targhib)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Seorang mukmin mencintai dan dicintai. Tidak ada kebaikan dalam diri seseorang yang tidak mencintai atau tidak berkasih sayang. Orang yang terbaik diantara manusia adalah orang yang paling banyak memberi manafaat kepada orang lain." (HR Dar Qutni dan Targhib)
  • Dari Qais bin Said R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Kalaulah aku diperintahkan bersujud kepada seseorang, nescaya aku akan perintahkan wanita-wanita bersujud keatas suami mereka, kerana haknya yang Allah SWT telah berikan kepada suami-suami." (HR Abu Daud)
  • Dari Ummu Salamah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mana-mana wanita yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya redha kepadanya, nescaya dia akan masuk kedalam syurga." (HR Tirmizi)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menjalin silaturrahim yakni berbuat baik kepada saudara-mara dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik ataupun diam." (HR Bukhari)
  • Dari Asma bin Yazid R.Ha berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara kehormatan saudaranya yang muslim ketika dia tidak ada (dimajlis itu, contohnya seseorang telah mengumpatnya, kemudian dia telah mencegah orang itu dari terus mengumpatnya), maka Allah SWT akan menjamin untuknya daripada pembebasan api neraka jahanam." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Perbanyakkan selawat kepadaku pada hari Jumaat, kerana baru sebentar tadi malaikat Jibrail A.S diutus oleh Allah SWT datang kepadaku lalu berkata : 'Barangsiapa dikalangan umat mu berselawat kepadamu (Muhammad) sekali, Aku (Allah) dan para malaikatKu akan berselawat (memohon pengampunan dan rahmat) untuknya sepuluh kali'." (HR Tabrani)
  • Hazrat Bara' R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Tidaklah kedua orang muslim bertemu dan bermusafaha (berjabat tangan) melainkan dosa-dosa kedua belah pihak diampuni sebelum mereka berpisah." (HR Abu Daud)
  • Hazrat Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Orang yang muda hendaklah memberi salam kepada orang yang tua. Orang yang berjalan hendaklah memberi salam kepada orang yang duduk. Orang yang sedikit memberi salam kepada orang yang lebih ramai." (HR Bukhari)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Bantulah saudaramu yang muslim dalam segala keadaan, bahkan apabila dia seorang yang zalim atau yang dizalimi" Seorang bertanya, "Ya Rasulullah, aku akan menolongnya apabila dia dizalimi, tetapi bagaimana aku dapat menolongnya apabila dia seorang penzalim?" Baginda S.A.W menjawab, "Engkau mencegah dia dari melakukan kezaliman kerana mencegahnya dari perbuatan zalimnya, itulah bantuanmu kepadanya." (HR Bukhari)
  • Hazrat Ibnu Abbas R.Huma meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa berjalan untuk menunaikan satu hajat seorang saudara adalah lebih baik daripada sepuluh tahun iktikaf. Barangsiapa yang beriktikaf sehari kerana Allah S.W.T akan dijauhkan daripada api neraka sejauh tiga parit, dan setiap parit luasnya diantara bumi dan langit." (HR Tabrani dan Majma uz Zawaid)

Panduan Bahtera Kasih Nabi

Oleh Tuan Asmawi Tuan Umar

HIDUP berpasangan sebagai suami isteri mudah untuk tercipta dan terbina namun pengendalian dan penyelenggaraannya yang berteraskan paksi keagamaan akan menjadi satu faktor penentu kepada kejayaan dan kebahagiaan.

Pepatah Melayu juga pernah menukilkan "sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula suami isteri".

Sesuatu yang tidak dapat kita sangkal bahawa pada era kini walau pun tidak semua masalah dan konflik yang timbul dalam pelayaran bahtera rumahtangga dianggap sebagai masalah dan konflik kekal yang rata-ratanya berkesudahan dengan perpisahan dan perceraian.

Sepatutnya, setiap permasalahan yang terjadi bukannya dengan cara melarikan diri atau mengelak. Sebaliknya, ia wajar dihadapi dengan penuh hikmah yang akhirnya menatijahkan penyelesaian kukuh (constructive solution) dan bukan sebaliknya iaitu penyelesaian yang meruntuhkan (destructive solution).

Kehidupan berumahtangga sudah pastinya menuntut setiap pasangan sama ada suami atau isteri mempunyai ilmu pengetahuan dalam hal ehwal kehidupan suami isteri.

Ini kerana dengan ilmu pengetahuan yang ditambah saduran pengalaman hidup akan menjadi pedoman dalam melayari bahtera perkahwinan yang saban waktu tidak terlepas daripada ujian dan dugaan.

Ternyata apa yang berlaku kepada kebanyakan pasangan-pasangan yang berkahwin terutama golongan muda meletakkan 'ilmu kamar di tidur' sebagai keutamaan.

Ini secara tidak langsung memaparkan bahawa pernikahan yang terjalin tidak lebih berkisar kepada elemen-elemen tersebut.

Perjalanan hidup dalam menempuhi alam berumahtangga akan menjadi lebih indah sekiranya setiap pasangan tidak 'menjarakkan' diri dengan panduan agama Islam yang meletakkan Nabi Muhammad SAW sebagai ikon atau petunjuk prestasi tinggi dalam segenap aspek.

Mengambil kira keadaan sedemikian , kehidupan berumahtangga pasti akan membuahkan keserasian sekiranya metod pembinaan dan pembangunannya juga bersandarkan kepada teladan yang telah digariskan oleh baginda.

Sebagai contohnya, dalam soal pemilihan pasangan, baginda jelas menyarankan kepada umatnya menerusi hadis yang bermaksud: Seseorang perempuan dikahwini kerana empat perkara, iaitu kerana harta, keturunan, kecantikan atau agamanya. Maka, pilihlah perempuan yang beragama kerana kamu memerlukannya. (riwayat al-Bukhari no. 4802 dan Muslim no. 1466)

Oleh yang demikian, baginda telah menggariskan faktor agama sahaja yang menjadi benteng kukuh dalam pemilihan pasangan berbanding faktor yang lain.

Oleh yang demikian, tidak menjadi masalah jika pihak wanita menjadikan faktor utama iaitu agama - walau pun dalam hadis ini tidak dinyatakan - untuk ia terpakai bagi asas pemilihan bakal suami kepada seseorang wanita.

Dalam riwayat yang lain, baginda bersabda yang bermaksud: "Apabila seseorang yang kamu redai agama dan akhlaknya datang meminang, maka kahwinkanlah dia. Jika kamu tidak mengahwinkannya, nescaya akan berlaku fitnah dan berleluasanya kerosakan di muka bumi." (riwayat al-Tirmizi no. 1084).

Konflik dan pergolakan

Apabila adanya benteng agama dalam diri setiap pasangan suami isteri maka ia akan menjadi satu pasport besar bagi menjamin kelangsungan dan kebahagiaan dalam berumahtangga.

Pada kebiasaannya, Allah SWT Maha Adil dalam 'meregukan' pasangan suami isteri iaitu lelaki yang soleh dengan wanita solehah dan sebaliknya.

Ini kerana isteri yang solehah adalah isteri yang tunduk dan patuh kepada Allah dan kepada suaminya.

Bahkan dalam sebuah hadis ada disebutkan begitu besar tanggungjawab isteri terhadap suami, Rasulullah SAW pernah bersabda jika Allah mengizinkan seseorang menyembah orang lain, maka akan saya suruh seorang isteri menyembah suaminya.

Dalam hadis yang lain juga disebutkan seorang isteri tidak akan dapat mencium bau syurga jika dia meminta cerai kepada suaminya tanpa alasan yang jelas mengikut syarak.

Sememangnya sudah menjadi lumrah kehidupan tetapi ia juga sering terjadi timbulnya konflik dan pergolakan disebabkan oleh onar sebelah pihak iaitu mungkin suami atau isteri atau kedua-duanya iaitu suami dan isteri dengan istilah paling popular main kayu tiga.

Merujuk kepada isu ini sebagai contoh, seringkali cinta pertama setiap pasangan mungkin bukan dengan suami yang diijabkabulkan.

Namun apabila bisikan cinta pertama dengan 'buah hati' lama telah menusuk ke hati sama ada suami atau isteri ia bakal mencetuskan satu 'tsunami cinta' dalam mana-mana rumah tangga sekali pun.

Keadaan sedemikian sering juga membawa kepada tuntutan jelas pihak sebagai contohnya isteri agar diceraikan oleh suaminya dek memburu cinta 'kekasih lama.'

Sesungguhnya hal sedemikian bergegarnya tiang 'arasy bahkan mendapat kutukan Allah SWT dan menjadi lebih sengsara di akhirat nanti jika suaminya tidak memaafkan atas kesalahan yang dilakukannya itu.

Dalam hal ini, kita semua barangkali terlepas pandang betapa banyak harta Saidatina Khadijah isteri Rasulullah SAW digunakan baginda untuk perjuangan dalam Islam, namun walaupun harta tokoh korporat wanita Mekah ini habis digunakan, beliau tetap reda dengan usaha suaminya itu.

Mengapa hanya perkara kecil yang memang pasti dihadapi oleh setiap keluarga, tidak mampu dihadapi malah dipertikaikan? Mengapa terlalu rapuh institusi rumahtangga umat Islam ketika ini?

Jika persoalan atau krisis rumahtangga yang sedikit dan sederhana tidak berupaya diselesaikan dengan hati yang terbuka, maka perkara yang sama akan mudah terjadi dan menimpa anda walaupun setelah mendirikan dan membina perkahwinan yang baru.

Melainkan seseorang itu benar-benar bertaubat, insya-Allah akan diberi jalan kemudahan terhadapnya oleh Allah SWT.

Permohonan cerai seorang isteri terhadap suaminya tanpa alasan yang benar menurut syarak maka ia tergolong dalam kategori isteri yang berdosa.

Bahkan dijelaskan oleh Rasulullah SAW sebagai seorang isteri yang tidak dapat mencium bau syurga (tidak dapat masuk syurga).

Kesimpulannya, pembinaan bahtera kasih berpaksikan panduan nabi SAW adalah sesuatu yang mampu dan berupaya diikuti walau ia tidak setaraf dengan apa yang dilakukan oleh insan pilihan Allah Muhammad ibni Abdullah, sekurang-kurangnya kita sentiasa komited untuk menuju reda Allah SWT.

Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah kerana sudi membaca artikel diatas. Sila lawati ke halaman utama untuk membaca lebih 2003 artikel yang terdapat disini. Jangan lupa berkongsi artikel diatas bersama anggota keluarga, saudara mara dan rakan taulan anda. Jika anda ingin memberi pendapat atau teguran, sila email kami di admin[at]mukmin.com.my, Insyallah kami berlapang dada untuk membacanya. Semoga kita dapat ambil manafaat bersama dengan Portal Mukmin ini. Insyallah.
Kembali Ke Halaman Utama | Papar Semua Tajuk Dibawah Kategori Yang Sama | Berkongsi Artikel Dengan Rakan Lain | Sertai Facebook Mukmin Portal

 
 

 

© Mukmin (Tiada Notis Copyright)

Paparan sesuai 1280 x 800 pixel (IE 7.0 keatas / Firefox 3.0 keatas)