• Dari Sahal R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Aku dan orang yang memelihara anak-anak yatim akan berada didalam syurga adalah seumpama dua anak jari ini." Disini Rasulullah S.A.W mengisyaratkan jari telunjuk dan jari tengahnya dimana terdapat hanya sedikit ruang diantara keduanya. (HR Bukhari)
  • Dari Amr bin Malik Al-Qusyairi R.A berkata, bahawa aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara anak yatim, yang mana kedua ibubapanya seorang muslim, dengan memberi makanan dan minuman sehinggalah Allah S.W.T mengkayakannya yakni dia dapat memenuhi keperluannya sendiri, wajib baginya syurga." (HR Musnad Ahmad, Tabrani dan Majma uz Zawaid)
  • Dari Abdullah bin Umar R.Huma meriwayatkan bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W; "Ya Rasulullah, apakah satu amal yang paling baik di dalam Islam?" Baginda S.A.W menjawab "Memberi makan dan memberi salam samada kamu mengenalinya atau tidak." (HR Bukhari)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mukmin yang sempurna dikalangan orang yang beriman ialah orang yang baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kamu ialah orang yang berlaku baik terhadap isterinya." (HR Ahmad)
  • Dari Aishah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Sesungguhnya orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang terbaik akhlaknya dan berlemah lembut terhadap ahli keluarganya." (HR Tirmizi)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Diantara kamu orang yang paling aku cintai dan orang yang paling hampir kepadaku pada hari kiamat ialah orang yang baik akhlaknya." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mahukah daku khabarkan kepadamu siapakah orang yang diharamkan dari api neraka? Dan api neraka tidak akan menyentuhnya. Mereka adalah orang yang menghampiri orang lain dengan lemah lembut, berlebih kurang dan baik hati." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memiliki sebahagian yang kecil sombong di dalam hatinya, maka dia tidak dapat memasuki syurga." (HR Muslim)
  • Dari Abu Qatadah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Jikalau seseorang suka Allah S.W.T menyelamatkannya dari huru hara pada hari kiamat, maka hendaklah dia memberi kelonggaran (dalam membayar kembali pinjaman) kepada seseorang yang berada dalam keadaan terdesak, atau mengurangkan hutangnya (semuanya atau sebahagian)." (HR Muslim)
  • Dari Abu Zar R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Senyuman kepada saudara (muslim) mu adalah sedekah, menyeru kepada ma'ruf dan melarang dari mungkar adalah sedekah, menunjukkan jalan kepada seseoarng yang tersesat jalan adalah sedekah, menolong seorang yang penglihatannya kabur adalah sedekah, menyingkirkan batu-batu, duri dan tulang (dari jalan) adalah sedekah dan menuangkan air dari timbamu kepada timba saudaramu adalah sedekah. " (HR Tirmizi)
  • Dari Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan, dia akan mendapat pahala yang sama sebagaimana orang yang melakukan satu kebaikan, dan Allah menyukai orang yang menolong seorang dalam kesukaran." (HR Bazzar dan Targhib)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Seorang mukmin mencintai dan dicintai. Tidak ada kebaikan dalam diri seseorang yang tidak mencintai atau tidak berkasih sayang. Orang yang terbaik diantara manusia adalah orang yang paling banyak memberi manafaat kepada orang lain." (HR Dar Qutni dan Targhib)
  • Dari Qais bin Said R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Kalaulah aku diperintahkan bersujud kepada seseorang, nescaya aku akan perintahkan wanita-wanita bersujud keatas suami mereka, kerana haknya yang Allah SWT telah berikan kepada suami-suami." (HR Abu Daud)
  • Dari Ummu Salamah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mana-mana wanita yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya redha kepadanya, nescaya dia akan masuk kedalam syurga." (HR Tirmizi)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menjalin silaturrahim yakni berbuat baik kepada saudara-mara dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik ataupun diam." (HR Bukhari)
  • Dari Asma bin Yazid R.Ha berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara kehormatan saudaranya yang muslim ketika dia tidak ada (dimajlis itu, contohnya seseorang telah mengumpatnya, kemudian dia telah mencegah orang itu dari terus mengumpatnya), maka Allah SWT akan menjamin untuknya daripada pembebasan api neraka jahanam." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Perbanyakkan selawat kepadaku pada hari Jumaat, kerana baru sebentar tadi malaikat Jibrail A.S diutus oleh Allah SWT datang kepadaku lalu berkata : 'Barangsiapa dikalangan umat mu berselawat kepadamu (Muhammad) sekali, Aku (Allah) dan para malaikatKu akan berselawat (memohon pengampunan dan rahmat) untuknya sepuluh kali'." (HR Tabrani)
  • Hazrat Bara' R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Tidaklah kedua orang muslim bertemu dan bermusafaha (berjabat tangan) melainkan dosa-dosa kedua belah pihak diampuni sebelum mereka berpisah." (HR Abu Daud)
  • Hazrat Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Orang yang muda hendaklah memberi salam kepada orang yang tua. Orang yang berjalan hendaklah memberi salam kepada orang yang duduk. Orang yang sedikit memberi salam kepada orang yang lebih ramai." (HR Bukhari)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Bantulah saudaramu yang muslim dalam segala keadaan, bahkan apabila dia seorang yang zalim atau yang dizalimi" Seorang bertanya, "Ya Rasulullah, aku akan menolongnya apabila dia dizalimi, tetapi bagaimana aku dapat menolongnya apabila dia seorang penzalim?" Baginda S.A.W menjawab, "Engkau mencegah dia dari melakukan kezaliman kerana mencegahnya dari perbuatan zalimnya, itulah bantuanmu kepadanya." (HR Bukhari)
  • Hazrat Ibnu Abbas R.Huma meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa berjalan untuk menunaikan satu hajat seorang saudara adalah lebih baik daripada sepuluh tahun iktikaf. Barangsiapa yang beriktikaf sehari kerana Allah S.W.T akan dijauhkan daripada api neraka sejauh tiga parit, dan setiap parit luasnya diantara bumi dan langit." (HR Tabrani dan Majma uz Zawaid)

Para Sahabat Generasi Terbaik

Kelahiran dan kebangkitan para sahabat Rasulullah SAW merupakan satu kurniaan luar biasa daripada Allah SWT. Sumbangan tidak ternilai mereka berupa penjelasan-penjelasan terhadap kebanyakan peristiwa yang dialami bersama baginda serta ijtihad yang mereka lakukan, terutama setelah kewafatan Nabi dalam mengisi tata ruang kehidupan, menjadi sebuah model ikutan yang terus memberi inspirasi kepada seluruh umat Islam.

Masih terlalu banyak sirah para sahabat Nabi SAW yang belum dijejaki dan masih banyak hikmah yang masih belum diketahui. Sekiranya ia ditemui, pastinya rasa kecintaan umat kepada baginda SAW akan lebih mendalam dan amat berguna sebagai penunjuk umat manusia meniti kehidupan seterusnya mengembalikan kegemilangan Islam seperti yang pernah direntasi oleh Rasulullah dan para sahabat r.a.

Kelahiran mereka merupakan bukti kejayaan penerapan nilai-nilai wahyu dalam kehidupan duniawi.

Kedudukan para sahabat sangat istimewa dan kehidupan mereka diredai olah Allah SWT dan rasul-Nya. Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan orang-orang yang terdahulu - yang mula-mula (berhijrah dan memberi bantuan) dari orang-orang Muhajirin dan Ansar, dan orang-orang yang menurut (jejak langkah) mereka dengan kebaikan (iman dan taat), Allah reda akan mereka dan mereka pula reda akan Dia, serta ia menyediakan untuk mereka syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya; itulah kemenangan yang besar. (al-Taubah: 100)

Firman Allah SWT yang bermaksud: Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, kerana kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman). Dan kalaulah Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang sepatutnya), tentulah iman itu menjadi baik bagi mereka. Tetapi di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka: orang-orang yang fasik. (ali-'Imran: 110)

Sabda Rasulullah SAW: Sebaik-baik kurun adalah generasiku, kemudian generasi berikutnya, kemudian generasi berikutnya. (riwayat Bukhari dan Muslim).

Ibn Umar r.a. mengatakan, "Sesiapa yang mencari teladan, hendaklah meneladani generasi yang terdahulu, iaitu para sahabat Rasulullah SAW. Merekalah generasi terbaik umat ini, hati mereka lebih bersih, ilmu mereka lebih dalam, dan mereka sangat jauh dari sikap berlebihan.

"Merekalah generasi yang dipilih Allah untuk menyertai Rasulullah SAW dan menyampaikan agama-Nya. Maka teladanilah akhlak dan jejak hidup mereka, kerana mereka adalah para sahabat Rasulullah SAW. dan telah mendapat petunjuk yang lurus." (Hilyat al-Auliya' 1: 305)

Berdasarkan huraian di atas, para sahabat r.a tidak hanya memiliki ciri-ciri bertakwa dan menjaga maruah. Malah memiliki sifat atau jati diri yang murni iaitu menjaga serta menyampaikan agama secara benar kepada generasi sesudah mereka dan tidak menyembunyikan apa jua kebenaran serta tidak mendustakan baginda SAW.

Para sahabat turut mencapai tingkat kesolehan dan kualiti amal yang paling tinggi berbanding umat manusia yang lain.

Rasulullah SAW dalam menegaskan sanjungan dan pujian Allah SWT ke atas para sahabat r.a mengecam keras sesiapa yang mengkritik kredibiliti dan sifat adil para sahabat r.a.

Sabda nabi SAW yang bermaksud, Jangan kalian mencaci sahabat-sahabatku kerana seandainya salah seorang di kalangan kalian menginfakkan emas sebesar gunung Uhud, hal sedemikian masih belum menyamai satu cupak mereka atau sebahagian daripadanya. (riwayat Bukhari dan Muslim).

Ibn Kathir dalam menegaskan sabda Baginda SAW mengatakan, "Para sahabat adalah 'adl menurut Ahl al-Sunnah wal-Jamaah kerana Allah memuji perilaku dan akhlak mereka seperti mana yang tercatat dalam al-Quran dan Hadis. Mereka telah mengorbankan jiwa raga dan harta mereka, di hadapan Rasulullah SAW, di jagat raya demi mengharap ganjaran yang baik.

Nur al-Din pula mengatakan, "Mereka (para sahabat) adalah 'adl. Sifat 'adl mereka telah ditetapkan dan ia lebih kuat berbanding penetapan 'adl sesiapapun kerana penetapan ini menurut nas al-Quran, al-Sunnah, ijmak dan logik akal.

Dalam menterjemahkan kecintaan mereka kepada Rasulullah, para sahabat r.a berusaha mempelajari segala pergerakan baginda semata-mata untuk dijadikan contoh teladan dalam rutin kehidupan seharian. Mereka bertekad dan berusaha jiwa dan raga untuk mencontohi baginda bukan sahaja dalam tatacara beribadat solat, puasa, dan corak kehidupan zahir melalui etika berpakaian.

Malah, mereka turut mencontohi Rasulullah SAW dalam berkomunikasi, bertindakbalas, berfikir, berdiplomasi dan berdakwah menyebarkan risalah Islam.

Kehidupan para sahabat penuh dengan kebahagiaan dan kesyukuran, kerana mereka sempat menghabiskan sisa usia menjalani kehidupan di dunia bersama Rasulullah SAW mereka. Kehidupan mereka jauh dari permusuhan di antara satu sama lain.

Setiap individu mengasihi saudara muslimnya dan membantu meningkatkan diri dan keimanan masing-masing. Meskipun pun berbeza keturunan atau warna kulit, mereka tetap mengutamakan persaudaraan Islam.

Setiap tetangga saling mengasihi tetangganya yang lain, tidak pernah mementingkan diri sendiri seiring mematuhi setiap tunjuk ajar baginda SAW. Begitulah kecintaan sahabat kepada Rasulullah SAW, yang mencerminkan kekukuhan iman dalam sanubari mereka.

Abu Bakar al-Siddiq (Khalifah Islam yang pertama) membuktikan rasa cintanya dengan menemani Rasulullah berhijrah ke Yatrib atau Madinah di saat getir baginda menghadapi masa-masa sulit kerana para pemuka Quraisy yang hendak membunuh baginda meskipun ada ketika Abu Bakar r.a berada dalam keadaan ketakutan.

Melihat situasi yang berlaku baginda menenangkannya. Peristiwa ini dirakamkan oleh al-Quran melalui firman Allah SWT yang bermaksud: Jangan engkau bersedih, sesungguhnya Allah bersama kita. (al-Taubah: 40).

Umm al-Mukminin Khadijah binti Khuwailid r.a, srikandi Islam terulung yang sangat mencintai Rasulullah SAW. Beliaulah insan yang selalu membantu Rasulullah SAW, sentiasa memacu semangat baginda untuk tetap meneruskan gerak kerja dakwah. Menyelimuti, mengasihi dan mendukungnya, dek dorongan cinta yang mendalam kepada insan yang paling jujur dan dikasihi Allah SWT.

Ikrimah ibn Abu Jahl r.a, yang selalu setuju dengan Rasulullah SAW dan sentiasa teguh hatinya. Beliau gugur pada Perang Yarmuk.

Sebelum menghembuskan nafas terakhirnya, ia meletakkan kepalanya di atas paha Khalid bin Al-Walid, seraya berkata dengan air mata yang mengalir dari kedua matanya: "Wahai paman, apakah kematian ini membuat Rasulullah reda kepadaku?" Pada saat kritikal seperti itu pun dia teringat Rasulullah SAW, dan keinginannya hanyalah agar Rasulullah SAW reda kepadanya.

Ali ibn Abi Talib pula pernah ditanya bagaimanakah kecintaan mereka kepada Rasulullah SAW. Beliau berkata: "Demi Allah, Kami mencintai Rasulullah SAW lebih daripada harta kami, anak-anak kami ayah-ayah kami dan ibu-ibu kami".

Demikian rasa taat setia dan kasih sayang para sahabat kepada baginda SAW. Apa jua situasi dan keadaan yang menimpa mereka, termasuk perselisihan yang mengakibatkan peperangan, dan sebagainya, ia sama sekali tidak mengeluarkan para sahabat dari landasan keredaan Allah SWT.

Mereka tetap mendapat keredaan Allah dan ganjaran nikmat syurga-Nya di akhirat kelak. Firman Allah yang bermaksud: Dan jika dua puak dari orang-orang yang beriman berperang, maka damaikanlah di antara keduanya; jika salah satunya berlaku zalim terhadap yang lain, maka lawanlah puak yang zalim itu sehingga ia kembali mematuhi perintah Allah; jika ia kembali patuh maka damaikanlah di antara keduanya dengan adil (menurut hukum Allah), serta berlaku adillah kamu (dalam segala perkara); Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. (al-Hujurat: 9)

Sehubungan itu, sebagai umat Islam yang mengecapi nikmat hidayah, kefahaman dan kenikmatan Islam melalui kalam Allah, untaian sabda baginda dan pelestarian sunnah melalui pengorbanan dan jasa para sahabat r.a.

Sewajarnya kita perlu membuka kembali lembaran sejarah dan mengambil 1,001 rahsia dan hikmah tersembunyi berkenaan sikap para sahabat sebagai tindakbalas kepada peristiwa yang berlaku bukan sahaja dalam menyelesaikan permasalahan semasa, tetapi terus menerus menjadi panduan berguna bagi umat Islam setiap masa dan ketika.

Tindakbalas seumpama ini barangkali semakin pudar atau hilang dalam diri setiap muslim masa kini, sehingga menghilangkan kehebatan jati diri muslim sejati.

Melalui pengetahuan yang diperolehi dari usaha menjejaki sirah para sahabat r.a mampu mengembalikan kesedaran umat Islam dalam memahami tuntutan agama, seperti mana kefahaman dan kesefahaman tinggi para sahabat terhadap agama Islam. Wallahu a'lam.

Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah kerana sudi membaca artikel diatas. Sila lawati ke halaman utama untuk membaca lebih 2003 artikel yang terdapat disini. Jangan lupa berkongsi artikel diatas bersama anggota keluarga, saudara mara dan rakan taulan anda. Jika anda ingin memberi pendapat atau teguran, sila email kami di admin[at]mukmin.com.my, Insyallah kami berlapang dada untuk membacanya. Semoga kita dapat ambil manafaat bersama dengan Portal Mukmin ini. Insyallah.
Kembali Ke Halaman Utama | Papar Semua Tajuk Dibawah Kategori Yang Sama | Berkongsi Artikel Dengan Rakan Lain | Sertai Facebook Mukmin Portal

 
 

 

© Mukmin (Tiada Notis Copyright)

Paparan sesuai 1280 x 800 pixel (IE 7.0 keatas / Firefox 3.0 keatas)