• Dari Sahal R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Aku dan orang yang memelihara anak-anak yatim akan berada didalam syurga adalah seumpama dua anak jari ini." Disini Rasulullah S.A.W mengisyaratkan jari telunjuk dan jari tengahnya dimana terdapat hanya sedikit ruang diantara keduanya. (HR Bukhari)
  • Dari Amr bin Malik Al-Qusyairi R.A berkata, bahawa aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara anak yatim, yang mana kedua ibubapanya seorang muslim, dengan memberi makanan dan minuman sehinggalah Allah S.W.T mengkayakannya yakni dia dapat memenuhi keperluannya sendiri, wajib baginya syurga." (HR Musnad Ahmad, Tabrani dan Majma uz Zawaid)
  • Dari Abdullah bin Umar R.Huma meriwayatkan bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W; "Ya Rasulullah, apakah satu amal yang paling baik di dalam Islam?" Baginda S.A.W menjawab "Memberi makan dan memberi salam samada kamu mengenalinya atau tidak." (HR Bukhari)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mukmin yang sempurna dikalangan orang yang beriman ialah orang yang baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kamu ialah orang yang berlaku baik terhadap isterinya." (HR Ahmad)
  • Dari Aishah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Sesungguhnya orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang terbaik akhlaknya dan berlemah lembut terhadap ahli keluarganya." (HR Tirmizi)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Diantara kamu orang yang paling aku cintai dan orang yang paling hampir kepadaku pada hari kiamat ialah orang yang baik akhlaknya." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mahukah daku khabarkan kepadamu siapakah orang yang diharamkan dari api neraka? Dan api neraka tidak akan menyentuhnya. Mereka adalah orang yang menghampiri orang lain dengan lemah lembut, berlebih kurang dan baik hati." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memiliki sebahagian yang kecil sombong di dalam hatinya, maka dia tidak dapat memasuki syurga." (HR Muslim)
  • Dari Abu Qatadah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Jikalau seseorang suka Allah S.W.T menyelamatkannya dari huru hara pada hari kiamat, maka hendaklah dia memberi kelonggaran (dalam membayar kembali pinjaman) kepada seseorang yang berada dalam keadaan terdesak, atau mengurangkan hutangnya (semuanya atau sebahagian)." (HR Muslim)
  • Dari Abu Zar R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Senyuman kepada saudara (muslim) mu adalah sedekah, menyeru kepada ma'ruf dan melarang dari mungkar adalah sedekah, menunjukkan jalan kepada seseoarng yang tersesat jalan adalah sedekah, menolong seorang yang penglihatannya kabur adalah sedekah, menyingkirkan batu-batu, duri dan tulang (dari jalan) adalah sedekah dan menuangkan air dari timbamu kepada timba saudaramu adalah sedekah. " (HR Tirmizi)
  • Dari Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan, dia akan mendapat pahala yang sama sebagaimana orang yang melakukan satu kebaikan, dan Allah menyukai orang yang menolong seorang dalam kesukaran." (HR Bazzar dan Targhib)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Seorang mukmin mencintai dan dicintai. Tidak ada kebaikan dalam diri seseorang yang tidak mencintai atau tidak berkasih sayang. Orang yang terbaik diantara manusia adalah orang yang paling banyak memberi manafaat kepada orang lain." (HR Dar Qutni dan Targhib)
  • Dari Qais bin Said R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Kalaulah aku diperintahkan bersujud kepada seseorang, nescaya aku akan perintahkan wanita-wanita bersujud keatas suami mereka, kerana haknya yang Allah SWT telah berikan kepada suami-suami." (HR Abu Daud)
  • Dari Ummu Salamah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mana-mana wanita yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya redha kepadanya, nescaya dia akan masuk kedalam syurga." (HR Tirmizi)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menjalin silaturrahim yakni berbuat baik kepada saudara-mara dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik ataupun diam." (HR Bukhari)
  • Dari Asma bin Yazid R.Ha berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara kehormatan saudaranya yang muslim ketika dia tidak ada (dimajlis itu, contohnya seseorang telah mengumpatnya, kemudian dia telah mencegah orang itu dari terus mengumpatnya), maka Allah SWT akan menjamin untuknya daripada pembebasan api neraka jahanam." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Perbanyakkan selawat kepadaku pada hari Jumaat, kerana baru sebentar tadi malaikat Jibrail A.S diutus oleh Allah SWT datang kepadaku lalu berkata : 'Barangsiapa dikalangan umat mu berselawat kepadamu (Muhammad) sekali, Aku (Allah) dan para malaikatKu akan berselawat (memohon pengampunan dan rahmat) untuknya sepuluh kali'." (HR Tabrani)
  • Hazrat Bara' R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Tidaklah kedua orang muslim bertemu dan bermusafaha (berjabat tangan) melainkan dosa-dosa kedua belah pihak diampuni sebelum mereka berpisah." (HR Abu Daud)
  • Hazrat Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Orang yang muda hendaklah memberi salam kepada orang yang tua. Orang yang berjalan hendaklah memberi salam kepada orang yang duduk. Orang yang sedikit memberi salam kepada orang yang lebih ramai." (HR Bukhari)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Bantulah saudaramu yang muslim dalam segala keadaan, bahkan apabila dia seorang yang zalim atau yang dizalimi" Seorang bertanya, "Ya Rasulullah, aku akan menolongnya apabila dia dizalimi, tetapi bagaimana aku dapat menolongnya apabila dia seorang penzalim?" Baginda S.A.W menjawab, "Engkau mencegah dia dari melakukan kezaliman kerana mencegahnya dari perbuatan zalimnya, itulah bantuanmu kepadanya." (HR Bukhari)
  • Hazrat Ibnu Abbas R.Huma meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa berjalan untuk menunaikan satu hajat seorang saudara adalah lebih baik daripada sepuluh tahun iktikaf. Barangsiapa yang beriktikaf sehari kerana Allah S.W.T akan dijauhkan daripada api neraka sejauh tiga parit, dan setiap parit luasnya diantara bumi dan langit." (HR Tabrani dan Majma uz Zawaid)

Pawang Seru Syaitan

Oleh Mohd Fadly Samsudin

MENGUBAH kejadian ciptaan Allah yang sempurna haram hukumnya di dalam Islam. Pemakaian susuk umpamanya bertentangan dengan ajaran Islam kerana cuba mengubah keadaan untuk kelihatan lebih muda, cantik, kebal atau hebat dalam hubungan seksual.

Susuk adalah amalan memasukkan sesuatu benda asing ke dalam badan bagi mendapatkan sesuatu kelebihan sama ada secara nyata mahupun ghaib.

Antara jenis susuk yang nyata seperti susuk emas digunakan untuk ilmu pengasih, susuk geliga buaya bagi tujuan pelacuran, susuk beruang untuk ilmu kebal dan susuk buluh perindu bagi melunakkan suara.

Bagi si pemakai susuk terdapat beberapa pantang larang yang perlu dipatuhi antaranya tidak boleh memakan pisang emas, buah kundur, labu, tidak boleh melihat cermin dalam tempoh tertentu dan dilarang menghadiri majlis pengebumian atau pergi ke tanah perkuburan.

Malah ada yang beralasan mereka memakai susuk tidak hanya untuk tujuan kecantikan dan awet muda saja, tetapi digunakan bagi tujuan ‘kebaikan’ lain seperti mahu kuat beribadat, menjadikan rumah tangga lebih bahagia, memajukan perniagaan serta meningkatkan keyakinan diri.

Hanya golongan yang tidak tahu erti bersyukur saja yang mudah tergoda dengan pujuk rayu syaitan untuk kelihatan hebat di sana sini.

Barangkali ada segelintir pawang atau bomoh mendakwa mereka tidak mengamalkan kaedah yang bertentangan dengan hukum Islam seperti menanam bahan seperti emas atau logam, tetapi hanya menggunakan ayat al-Quran susuk bacaan.

Bahan susuk itu tidak memberi apa-apa kelebihan kepada pemakainya sebaliknya makhluk halus yang mengubah seseorang mengikut tujuan susuk itu dimasukkan ke dalam anggota badan seseorang.

Maka perbuatan seperti itu perlu dijauhi. Susuk itu haram kerana proses memakainya membabitkan unsur syirik.

Hukum mendatangi pengamal atau menggunakan susuk adalah haram berdasarkan hadis Nabi yang bermaksud: "Sesiapa yang mendatangi, menilik nasib dan bertemu pawang atau bomoh maka dihukumkan kafir."

Kaedah pemakaian susuk biasanya mempunyai kaitan dengan amalan sihir yang boleh menjuruskan kepada penyelewengan. Jika ada yang mendakwa menggunakan ayat al-Quran maka mereka sebenarnya sudah menggunakan ayat al-Quran untuk tujuan salah dan berdosa besar.

Susuk biasanya dipakai di kawasan tertentu pada anggota badan seperti muka, badan dan kemaluan. Pemakaian susuk sebenarnya berisiko tinggi kerana akan mempengaruhi seseorang mempercayai kuasa lain selain daripada kekuasaan Allah.

Islam tidak menghalang umatnya tampil cantik, malah menggalakkan umatnya melakukan sedemikian, namun perlu mengikut cara yang dibenarkan.

Kepada golongan wanita Islam, istilah 'berhias' hanya dibenarkan buat suami semata-mata dan bukannya untuk diperagakan atau ditunjukkan kepada orang lain.

Antara tujuan lain susuk digunakan adalah untuk menghasilkan kekuatan luar biasa, menjadi penunduk supaya orang lain hormat atau pun takut kepadanya dan menaikkan ghairah seks.

Susuk yang biasa digunakan adalah berbentuk jarum atau pun bahan tajam yang terdiri daripada unsur besi, perak, tembaga, suasa dan berlian.

Ketika susuk dimasukkan ke dalam tubuh badan, mantera dan ritual penyembahan serta penyeruan jin, syaitan atau iblis dilakukan bomoh susuk.

Apabila sudah berjaya memakainya, empunya badan 'berasa' diri mereka cantik, muda dan kuat. Penggunaan susuk sememangnya ‘mujarab’ kerana mendapat bantuan daripada jin serta syaitan.

Jika dapat dibuang bahan susuk yang dimasukkan ke dalam anggota badan itu adalah lebih baik. Ia mungkin dapat diatasi daripada pengamal perubatan alternatif yang diiktiraf dan berpengalaman.

Susuk ini kalau tidak dikeluarkan daripada tubuh badan boleh memudaratkan diri terutamanya ketika menghadapi saat sakaratulmaut.

Selain itu, akidah pesalah juga perlu dibimbing semula. Di situlah hikmah mengapakah kita perlu mengulangi bacaan surah al-Fatihah yang memohon supaya kita sentiasa terbimbing ke arah jalan yang lurus.

Ingatlah, syaitan dan jin mempunyai pelbagai cara untuk menyesatkan umat Islam daripada mendekati diri kepada Allah serta sedaya upaya memesongkan akidah manusia.

Penceramah bebas, Ustaz Mohamad Rani Awang Besar berkata, walaupun ada segelintir yang mendakwa mereka memakai susuk untuk tujuan kebaikan, tetapi matlamat mereka itu tetap tidak menghalalkan cara.

Pemakaian susuk bertujuan mengubah kejadian asal manusia seperti untuk tampil lebih cantik, kebal, muda, hebat sememangnya nyata bertentangan dengan ajaran Islam.

"Ia ibarat mencabar kekuasaan Allah sebagai Pencipta malah mengancam akidah kerana perbuatan itu ada hubung kaitnya dengan amalan yang boleh menjurus kepada perbuatan syirik," katanya.

Beliau berkata, bagi mereka yang pernah memakai susuk dalam tubuh badan masih berpeluang memohon keampunan dan taubat kepada Allah sebelum terlambat.

Berikhtiarlah untuk membuangnya jika termampu di samping tidak putus-putus melakukan solat sunat taubat atas kejahilan dan keterlanjuran yang pernah dilakukan sebelum ini.

Biasanya individu yang memakai susuk memasukkan bahan seperti jarum atau bahan tajam lain berunsur besi atau perak ke dalam anggota badan.

"Jika dapat dikesan melalui kaedah imbasan maka keluarkanlah ia dengan segera.
Jika gagal dikesan lagi, minta ampun kepada Allah semoga taubat dan penyesalan kita diterima," katanya.

Mohamad Rani berkata, untuk kekal cantik dan wajah berseri-seri amalkan sentiasa dalam keadaan berwuduk serta mandi dengan cara sempurna.

Terbukti setiap perintah daripada Allah untuk kita laksanakan dalam kehidupan ini banyak manfaatnya. Contohnya, jika kita berwuduk dengan betul tertibnya dan tidak meninggalkan perkara sunat, ia mendatangkan banyak faedah kepada kesihatan tubuh badan manusia.

"Mengambil contoh amalan sunat memasukkan air ke dalam hidung dan keluarkannya kembali (istinsyaq), ia terbukti berupaya mencegah penyakit resdung," katanya.

Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah kerana sudi membaca artikel diatas. Sila lawati ke halaman utama untuk membaca lebih 2003 artikel yang terdapat disini. Jangan lupa berkongsi artikel diatas bersama anggota keluarga, saudara mara dan rakan taulan anda. Jika anda ingin memberi pendapat atau teguran, sila email kami di admin[at]mukmin.com.my, Insyallah kami berlapang dada untuk membacanya. Semoga kita dapat ambil manafaat bersama dengan Portal Mukmin ini. Insyallah.
Kembali Ke Halaman Utama | Papar Semua Tajuk Dibawah Kategori Yang Sama | Berkongsi Artikel Dengan Rakan Lain | Sertai Facebook Mukmin Portal

 
 

 

© Mukmin (Tiada Notis Copyright)

Paparan sesuai 1280 x 800 pixel (IE 7.0 keatas / Firefox 3.0 keatas)