• Dari Sahal R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Aku dan orang yang memelihara anak-anak yatim akan berada didalam syurga adalah seumpama dua anak jari ini." Disini Rasulullah S.A.W mengisyaratkan jari telunjuk dan jari tengahnya dimana terdapat hanya sedikit ruang diantara keduanya. (HR Bukhari)
  • Dari Amr bin Malik Al-Qusyairi R.A berkata, bahawa aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara anak yatim, yang mana kedua ibubapanya seorang muslim, dengan memberi makanan dan minuman sehinggalah Allah S.W.T mengkayakannya yakni dia dapat memenuhi keperluannya sendiri, wajib baginya syurga." (HR Musnad Ahmad, Tabrani dan Majma uz Zawaid)
  • Dari Abdullah bin Umar R.Huma meriwayatkan bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W; "Ya Rasulullah, apakah satu amal yang paling baik di dalam Islam?" Baginda S.A.W menjawab "Memberi makan dan memberi salam samada kamu mengenalinya atau tidak." (HR Bukhari)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mukmin yang sempurna dikalangan orang yang beriman ialah orang yang baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kamu ialah orang yang berlaku baik terhadap isterinya." (HR Ahmad)
  • Dari Aishah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Sesungguhnya orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang terbaik akhlaknya dan berlemah lembut terhadap ahli keluarganya." (HR Tirmizi)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Diantara kamu orang yang paling aku cintai dan orang yang paling hampir kepadaku pada hari kiamat ialah orang yang baik akhlaknya." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mahukah daku khabarkan kepadamu siapakah orang yang diharamkan dari api neraka? Dan api neraka tidak akan menyentuhnya. Mereka adalah orang yang menghampiri orang lain dengan lemah lembut, berlebih kurang dan baik hati." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memiliki sebahagian yang kecil sombong di dalam hatinya, maka dia tidak dapat memasuki syurga." (HR Muslim)
  • Dari Abu Qatadah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Jikalau seseorang suka Allah S.W.T menyelamatkannya dari huru hara pada hari kiamat, maka hendaklah dia memberi kelonggaran (dalam membayar kembali pinjaman) kepada seseorang yang berada dalam keadaan terdesak, atau mengurangkan hutangnya (semuanya atau sebahagian)." (HR Muslim)
  • Dari Abu Zar R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Senyuman kepada saudara (muslim) mu adalah sedekah, menyeru kepada ma'ruf dan melarang dari mungkar adalah sedekah, menunjukkan jalan kepada seseoarng yang tersesat jalan adalah sedekah, menolong seorang yang penglihatannya kabur adalah sedekah, menyingkirkan batu-batu, duri dan tulang (dari jalan) adalah sedekah dan menuangkan air dari timbamu kepada timba saudaramu adalah sedekah. " (HR Tirmizi)
  • Dari Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan, dia akan mendapat pahala yang sama sebagaimana orang yang melakukan satu kebaikan, dan Allah menyukai orang yang menolong seorang dalam kesukaran." (HR Bazzar dan Targhib)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Seorang mukmin mencintai dan dicintai. Tidak ada kebaikan dalam diri seseorang yang tidak mencintai atau tidak berkasih sayang. Orang yang terbaik diantara manusia adalah orang yang paling banyak memberi manafaat kepada orang lain." (HR Dar Qutni dan Targhib)
  • Dari Qais bin Said R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Kalaulah aku diperintahkan bersujud kepada seseorang, nescaya aku akan perintahkan wanita-wanita bersujud keatas suami mereka, kerana haknya yang Allah SWT telah berikan kepada suami-suami." (HR Abu Daud)
  • Dari Ummu Salamah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mana-mana wanita yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya redha kepadanya, nescaya dia akan masuk kedalam syurga." (HR Tirmizi)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menjalin silaturrahim yakni berbuat baik kepada saudara-mara dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik ataupun diam." (HR Bukhari)
  • Dari Asma bin Yazid R.Ha berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara kehormatan saudaranya yang muslim ketika dia tidak ada (dimajlis itu, contohnya seseorang telah mengumpatnya, kemudian dia telah mencegah orang itu dari terus mengumpatnya), maka Allah SWT akan menjamin untuknya daripada pembebasan api neraka jahanam." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Perbanyakkan selawat kepadaku pada hari Jumaat, kerana baru sebentar tadi malaikat Jibrail A.S diutus oleh Allah SWT datang kepadaku lalu berkata : 'Barangsiapa dikalangan umat mu berselawat kepadamu (Muhammad) sekali, Aku (Allah) dan para malaikatKu akan berselawat (memohon pengampunan dan rahmat) untuknya sepuluh kali'." (HR Tabrani)
  • Hazrat Bara' R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Tidaklah kedua orang muslim bertemu dan bermusafaha (berjabat tangan) melainkan dosa-dosa kedua belah pihak diampuni sebelum mereka berpisah." (HR Abu Daud)
  • Hazrat Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Orang yang muda hendaklah memberi salam kepada orang yang tua. Orang yang berjalan hendaklah memberi salam kepada orang yang duduk. Orang yang sedikit memberi salam kepada orang yang lebih ramai." (HR Bukhari)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Bantulah saudaramu yang muslim dalam segala keadaan, bahkan apabila dia seorang yang zalim atau yang dizalimi" Seorang bertanya, "Ya Rasulullah, aku akan menolongnya apabila dia dizalimi, tetapi bagaimana aku dapat menolongnya apabila dia seorang penzalim?" Baginda S.A.W menjawab, "Engkau mencegah dia dari melakukan kezaliman kerana mencegahnya dari perbuatan zalimnya, itulah bantuanmu kepadanya." (HR Bukhari)
  • Hazrat Ibnu Abbas R.Huma meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa berjalan untuk menunaikan satu hajat seorang saudara adalah lebih baik daripada sepuluh tahun iktikaf. Barangsiapa yang beriktikaf sehari kerana Allah S.W.T akan dijauhkan daripada api neraka sejauh tiga parit, dan setiap parit luasnya diantara bumi dan langit." (HR Tabrani dan Majma uz Zawaid)

Peguam Syarie Menulis: Penjenayah Insaf Tidak Terlepas Hukum

Oleh Musa Awang

HUKUMAN bertujuan mendidik manusia supaya tidak mengulangi kesilapan lampau.

Kesalahan dilakukan tetap perlu dihukum, tidak boleh dimaafkan

JIKA anda melakukan kesalahan, dibicarakan, bersediakah anda untuk menerima hukumannya? Jika anda disabitkan bersalah, apakah anda bersedia menerima hukumannya? Apakah yang akan anda lakukan? Merayu hukuman atau dengan rela hati membiarkan diri dihukum kerana sedar dan insaf dengan kesalahan anda?

Syabas kepada pesalah yang melakukan kesalahan dan kemudian bertaubat dan bersedia menerima hukuman dijatuhkan. Tidak semua orang boleh melakukan tindakan seperti itu, melakukan kesalahan, kemudian bertaubat, membuat pengakuan bersalah, dihukum dan bersedia menerima hukumannya, malah meminta hukuman terhadapnya disegerakan.




Hukuman bagi pesalah yang melakukan jenayah tetap perlu dilaksanakan dan tidak boleh dimaafkan, walau sesiapapun pelakunya dan walaupun selepas pesalah mengaku salah dan bertaubat.

Dalam satu riwayat, Fatimah ak-Makhzumiyyah melakukan kesalahan mencuri, dan sepatutnya beliau dihukum potong tangan (hudud).

Ada segelintir sahabat yang berusaha supaya wanita itu dilepaskan daripada hukuman. Usaha sahabat ini sampai ke telinga Rasulullah SAW dan menimbulkan kemarahan Baginda. Dalam suatu Hadis riwayat Muslim, an-Nasai dan Ahmad, Rasulullah SAW menempelak mereka dengan bersabda, "Musnahnya orang yang sebelum dari kamu semua ialah kerana apabila seorang yang mulia dari kalangan mereka mencuri, mereka akan biarkan begitu saja. Tetapi apabila seorang yang lemah daripada mereka mencuri, mereka akan mengenakan hukuman ke atasnya. Demi Allah! Kalau Fatimah Binti Muhammad sekalipun mencuri, aku akan potong tangannya".

Dalam riwayat yang lain, seorang perempuan dari suku al-Ghamidiyyah membuat pengakuan kepada Rasulullah bahawa dia melakukan berzina. Pada hari pertama Rasulullah SAW menolak pengakuan itu. Keesokan harinya wanita itu datang lagi membuat pengakuan sama dan berkata, "Ya Rasulullah, janganlah tuan menolak pengakuan saya ini seperti tuan menolak pengakuan Ma'iz. Demi Allah sesungguhnya saya sudah mengandung".

Rasulullah SAW menerima pengakuan itu tetapi memerintahkan wanita itu balik dan datang semula selepas bersalin. Apabila selesai bersalin, wanita itu datang bersama bayi yang berbalut dengan kain dan berkata:

"Inilah anakku. Sesungguhnya aku sudah bersalin". Tetapi Baginda masih mengarahkan wanita itu balik menyusukan anak itu sehingga tamat tempoh penyusuan. Apabila tempoh penyusuan tamat dan bayi itu mula memakan roti, wanita itu bersama anaknya pergi lagi kepada Rasulullah dan berkata, "Wahai Nabi Allah, sesungguhnya aku sudah menamatkan tempoh susuan dan sekarang dia boleh makan makanan lain".

Nabi SAW mengambil anak itu dan menyerahkan kepada salah seorang sahabatnya. Kemudian Baginda menyuruh sahabatnya menanam wanita tersebut sehingga ke paras dada dan menyuruh mereka merejamnya.

Kisah ini membuktikan bahawa walaupun seseorang itu insaf dan bertaubat, dia masih dikenakan hukuman atas kesalahan hudud yang dilakukan, kerana hudud itu adalah hak Allah. Ketika sahabat melaksanakan hukuman rejam itu, ia turut disertai Khalid al-Walid. Apabila Khalid melempar batu ke arah wanita berkenaan, darahnya terpercik ke muka Khalid, lalu memaki wanita itu. Makian itu didengar Rasulullah lalu Baginda menegur Khalid "Ingat wahai Khalid, demi Tuhan sesungguhnya dia sudah bertaubat". Kemudian Nabi SAW menyuruh supaya dia disembahyangkan dan dikebumikan.

Kisah ini menunjukkan betapa murni dan suci hati seseorang yang melakukan kesalahan kemudian mengakui kesalahan dan bertaubat, serta sanggup menerima apa saja hukuman yang bakal dijatuhkan. Kisah ini juga membuktikan bahawa darah seseorang pesalah yang bertaubat adalah suci bersih daripada kesalahan yang pernah dilakukannya, dan ia perlu dilayan seperti layanan kepada insan lain, yakni disembahyangkan, dikafankan dikebumikan menurut Islam, walaupun pesalah itu pernah melakukan dosa besar.

Ia juga membuktikan kepada kita betapa agungnya keampunan dan kemaafan yang diberikan Allah kepada hamba-Nya yang bertaubat dan insaf di atas kesalahan yang pernah dilakukan hamba-Nya, walaupun hamba-Nya melakukan dosa besar.

Sedangkan begitu besar keampunan Allah, kenapa kita sebagai manusia tidak mengambil peluang sebesar itu untuk memohon keampunan kepada Allah atas kesalahan yang pernah kita lakukan? Kenapa pula sebagai manusia kita memperkecil-kecilkan keikhlasan taubat dan keinsafan rakan kita yang pernah melakukan kesalahan? Siapakah kita untuk menjadi penghukum di atas muka bumi ini, sedangkan hanya Allah adalah sebaik-baik Penghukum.


Penulis ialah Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia

Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah kerana sudi membaca artikel diatas. Sila lawati ke halaman utama untuk membaca lebih 2003 artikel yang terdapat disini. Jangan lupa berkongsi artikel diatas bersama anggota keluarga, saudara mara dan rakan taulan anda. Jika anda ingin memberi pendapat atau teguran, sila email kami di admin[at]mukmin.com.my, Insyallah kami berlapang dada untuk membacanya. Semoga kita dapat ambil manafaat bersama dengan Portal Mukmin ini. Insyallah.
Kembali Ke Halaman Utama | Papar Semua Tajuk Dibawah Kategori Yang Sama | Berkongsi Artikel Dengan Rakan Lain | Sertai Facebook Mukmin Portal

 
 

 

© Mukmin (Tiada Notis Copyright)

Paparan sesuai 1280 x 800 pixel (IE 7.0 keatas / Firefox 3.0 keatas)