• Dari Sahal R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Aku dan orang yang memelihara anak-anak yatim akan berada didalam syurga adalah seumpama dua anak jari ini." Disini Rasulullah S.A.W mengisyaratkan jari telunjuk dan jari tengahnya dimana terdapat hanya sedikit ruang diantara keduanya. (HR Bukhari)
  • Dari Amr bin Malik Al-Qusyairi R.A berkata, bahawa aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara anak yatim, yang mana kedua ibubapanya seorang muslim, dengan memberi makanan dan minuman sehinggalah Allah S.W.T mengkayakannya yakni dia dapat memenuhi keperluannya sendiri, wajib baginya syurga." (HR Musnad Ahmad, Tabrani dan Majma uz Zawaid)
  • Dari Abdullah bin Umar R.Huma meriwayatkan bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W; "Ya Rasulullah, apakah satu amal yang paling baik di dalam Islam?" Baginda S.A.W menjawab "Memberi makan dan memberi salam samada kamu mengenalinya atau tidak." (HR Bukhari)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mukmin yang sempurna dikalangan orang yang beriman ialah orang yang baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kamu ialah orang yang berlaku baik terhadap isterinya." (HR Ahmad)
  • Dari Aishah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Sesungguhnya orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang terbaik akhlaknya dan berlemah lembut terhadap ahli keluarganya." (HR Tirmizi)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Diantara kamu orang yang paling aku cintai dan orang yang paling hampir kepadaku pada hari kiamat ialah orang yang baik akhlaknya." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mahukah daku khabarkan kepadamu siapakah orang yang diharamkan dari api neraka? Dan api neraka tidak akan menyentuhnya. Mereka adalah orang yang menghampiri orang lain dengan lemah lembut, berlebih kurang dan baik hati." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memiliki sebahagian yang kecil sombong di dalam hatinya, maka dia tidak dapat memasuki syurga." (HR Muslim)
  • Dari Abu Qatadah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Jikalau seseorang suka Allah S.W.T menyelamatkannya dari huru hara pada hari kiamat, maka hendaklah dia memberi kelonggaran (dalam membayar kembali pinjaman) kepada seseorang yang berada dalam keadaan terdesak, atau mengurangkan hutangnya (semuanya atau sebahagian)." (HR Muslim)
  • Dari Abu Zar R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Senyuman kepada saudara (muslim) mu adalah sedekah, menyeru kepada ma'ruf dan melarang dari mungkar adalah sedekah, menunjukkan jalan kepada seseoarng yang tersesat jalan adalah sedekah, menolong seorang yang penglihatannya kabur adalah sedekah, menyingkirkan batu-batu, duri dan tulang (dari jalan) adalah sedekah dan menuangkan air dari timbamu kepada timba saudaramu adalah sedekah. " (HR Tirmizi)
  • Dari Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan, dia akan mendapat pahala yang sama sebagaimana orang yang melakukan satu kebaikan, dan Allah menyukai orang yang menolong seorang dalam kesukaran." (HR Bazzar dan Targhib)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Seorang mukmin mencintai dan dicintai. Tidak ada kebaikan dalam diri seseorang yang tidak mencintai atau tidak berkasih sayang. Orang yang terbaik diantara manusia adalah orang yang paling banyak memberi manafaat kepada orang lain." (HR Dar Qutni dan Targhib)
  • Dari Qais bin Said R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Kalaulah aku diperintahkan bersujud kepada seseorang, nescaya aku akan perintahkan wanita-wanita bersujud keatas suami mereka, kerana haknya yang Allah SWT telah berikan kepada suami-suami." (HR Abu Daud)
  • Dari Ummu Salamah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mana-mana wanita yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya redha kepadanya, nescaya dia akan masuk kedalam syurga." (HR Tirmizi)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menjalin silaturrahim yakni berbuat baik kepada saudara-mara dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik ataupun diam." (HR Bukhari)
  • Dari Asma bin Yazid R.Ha berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara kehormatan saudaranya yang muslim ketika dia tidak ada (dimajlis itu, contohnya seseorang telah mengumpatnya, kemudian dia telah mencegah orang itu dari terus mengumpatnya), maka Allah SWT akan menjamin untuknya daripada pembebasan api neraka jahanam." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Perbanyakkan selawat kepadaku pada hari Jumaat, kerana baru sebentar tadi malaikat Jibrail A.S diutus oleh Allah SWT datang kepadaku lalu berkata : 'Barangsiapa dikalangan umat mu berselawat kepadamu (Muhammad) sekali, Aku (Allah) dan para malaikatKu akan berselawat (memohon pengampunan dan rahmat) untuknya sepuluh kali'." (HR Tabrani)
  • Hazrat Bara' R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Tidaklah kedua orang muslim bertemu dan bermusafaha (berjabat tangan) melainkan dosa-dosa kedua belah pihak diampuni sebelum mereka berpisah." (HR Abu Daud)
  • Hazrat Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Orang yang muda hendaklah memberi salam kepada orang yang tua. Orang yang berjalan hendaklah memberi salam kepada orang yang duduk. Orang yang sedikit memberi salam kepada orang yang lebih ramai." (HR Bukhari)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Bantulah saudaramu yang muslim dalam segala keadaan, bahkan apabila dia seorang yang zalim atau yang dizalimi" Seorang bertanya, "Ya Rasulullah, aku akan menolongnya apabila dia dizalimi, tetapi bagaimana aku dapat menolongnya apabila dia seorang penzalim?" Baginda S.A.W menjawab, "Engkau mencegah dia dari melakukan kezaliman kerana mencegahnya dari perbuatan zalimnya, itulah bantuanmu kepadanya." (HR Bukhari)
  • Hazrat Ibnu Abbas R.Huma meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa berjalan untuk menunaikan satu hajat seorang saudara adalah lebih baik daripada sepuluh tahun iktikaf. Barangsiapa yang beriktikaf sehari kerana Allah S.W.T akan dijauhkan daripada api neraka sejauh tiga parit, dan setiap parit luasnya diantara bumi dan langit." (HR Tabrani dan Majma uz Zawaid)

Pelihara Solat, Jaga Hati Ciri Mukmin Diredai

Oleh Ahmad Sabki Mohd Tahir

Hamba lalai, sombong tak akan dapat rahmat

SEBAGAI seorang Muslim, mengingati Allah SWT tidak semestinya dalam masa kesusahan atau ketika ditimpa bencana saja, tapi Allah perlu diingat sepanjang masa selagi nadi berdenyut kerana sebagai hamba, kita tidak boleh melupakan pencipta.
Hendaklah kita ingat Allah sentiasa bersama dan melihat apa yang kita lakukan sepanjang masa. Dr Aidh Abdullah Al-Qarni dalam tulisannya berkata, orang yang tidak menjaga (ingat) Allah, maka Allah tidak akan menjaganya. Orang yang tidak dijaga-Nya, maka kehidupannya di dunia akan buruk dan tidak mendapat kebahagiaan, Sedangkan di akhirat tempatnya adalah di neraka jahanam, selama langit dan bumi masih ada.

Firman Allah yang bermaksud: "Dan barang siapa berpaling daripada mengingati-Ku, maka sesungguhnya baginya kehidupan yang sempit dan Kami akan menghimpunnya pada hari kiamat dalam keadaan buta." (Surah Taha, ayat 124)
Orang yang mengingati dan menjaga Allah sentiasa terdorong untuk melakukan perintah-Nya serta meninggalkan apa saja yang dilarang atau ditegah. Sembahyang fardu lima kali sehari akan segera dilakukan sebaik saja masuk waktu.

Sembahyang tepat pada waktunya menunjukkan salah satu ciri orang itu menjaga Allah dengan baik. Dan orang demikian akan Allah jaga mereka seperti firman-Nya yang bermaksud: "Sesungguhnya solat itu mencegah daripada (perbuatan) keji dan mungkar." (Surah Al-Ankabut, ayat 45)

Dalam kehidupan manusia hari ini memang ada golongan yang hanya mengingati Allah pada masa tertentu saja seperti apabila sakit atau ketika mendapat musibah. Mereka yang melakukan perkara dilarang boleh dianggap lupa mengingati Allah.
Melupakan Allah boleh berlaku dalam kalangan hamba-Nya yang lalai, terutama mereka yang diberikan kesenangan hidup. Mereka sombong dengan Allah, sedangkan kesenangan dan rezeki yang dinikmati itu semuanya datang daripada Allah. Mereka lupa kebesaran dan kekuasaan Allah.

Sebenarnya Allah boleh mengambil kembali kesenangan harta, kemewahan wang ringgit dan rezeki itu bila-bila saja yang Allah suka tanpa memberi notis amaran terlebih dulu. Mereka diberi kesenangan tetapi tidak mengingati Allah, maka Allah juga pasti tidak akan mengingati mereka.

Qarun adalah contoh terbaik untuk menjadi teladan bagi mereka yang sombong, tidak mengingati dan menjaga Allah. Disebabkan kesombongan dan keangkuhan Qarun, maka Allah binasakan dia dengan menenggelamkan dia, rumah dan seluruh hartanya ke dalam perut bumi.

Itulah padah dan balasan bagi orang yang sombong, tidak mengingati dan menjaga Allah apabila diberi kesenangan serta kemewahan hidup oleh Allah.

Firman Allah yang bermaksud: "Maka Allah adalah sebaik-baik Penjaga dan Dia adalah Maha Penyayang di antara para penyayang." (Surah Yusuf ayat 64)

Untuk mengenali orang yang mengingati dan menjaga Allah tidak sukar. Sesiapa mengerjakan solat sebaik-baik saja masuk waktu dan solat itu dilaksanakannya pula berjemaah di surau atau masjid dengan khusyuk, maka orang itu adalah antara yang mengingati dan menjaga Allah.

Dalam sejarah Islam ada disebutkan ketika menjelang kematian akibat terkena tikaman dengan air mata berlinang Umar bin al-Khathab berkata: "Takutlah kepada Allah, takutlah kepada Allah dalam masalah solat, tidak ada bahagian apa-apa dalam Islam bagi orang yang meninggalkan solat."

Selain memelihara solat (didirikan tepat pada waktunya serta khusyuk), menjaga hati juga salah satu ciri orang yang mengingati Allah. Menjaga hati bermaksud tidak tunduk kepada hawa nafsu yang mendorong ke arah perbuatan maksiat.

Orang yang menjaga hatinya akan memastikan hatinya sentiasa dalam keadaan elok dan bersih (selalu berzikir dan mentaati apa yang diperintahkan oleh Allah). Jika hati rosak dan kotor (melakukan perkara mungkar) maka orang itu tidak menjaga hatinya dengan baik.

Orang yang berani melakukan perkara mungkar tentu tidak mengingati dan menjaga Allah kerana jika mereka ingat dan menjaga Allah, sudah pasti ada rasa takut kepada balasan Allah dalam hati mereka.

Firman Allah yang bermaksud: "Dan barang siapa yang beriman kepada Allah, nescaya Dia akan memberi petunjuk kepada hatinya." (Surah At-Taghabun, ayat 11)
Sesungguhnya dalam apa keadaan dan suasana sekali pun, kita perlu ingat kepada Allah. Jika kita mampu lakukan dengan ikhlas dan jujur, maka Allah akan menjaga serta mengingati kita di dunia dan akhirat. Apabila Allah mengingati dan menjaga kita, hidup akan tenang, bahagia dan selamat.

Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah kerana sudi membaca artikel diatas. Sila lawati ke halaman utama untuk membaca lebih 2003 artikel yang terdapat disini. Jangan lupa berkongsi artikel diatas bersama anggota keluarga, saudara mara dan rakan taulan anda. Jika anda ingin memberi pendapat atau teguran, sila email kami di admin[at]mukmin.com.my, Insyallah kami berlapang dada untuk membacanya. Semoga kita dapat ambil manafaat bersama dengan Portal Mukmin ini. Insyallah.
Kembali Ke Halaman Utama | Papar Semua Tajuk Dibawah Kategori Yang Sama | Berkongsi Artikel Dengan Rakan Lain | Sertai Facebook Mukmin Portal

 
 

 

© Mukmin (Tiada Notis Copyright)

Paparan sesuai 1280 x 800 pixel (IE 7.0 keatas / Firefox 3.0 keatas)