• Dari Sahal R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Aku dan orang yang memelihara anak-anak yatim akan berada didalam syurga adalah seumpama dua anak jari ini." Disini Rasulullah S.A.W mengisyaratkan jari telunjuk dan jari tengahnya dimana terdapat hanya sedikit ruang diantara keduanya. (HR Bukhari)
  • Dari Amr bin Malik Al-Qusyairi R.A berkata, bahawa aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara anak yatim, yang mana kedua ibubapanya seorang muslim, dengan memberi makanan dan minuman sehinggalah Allah S.W.T mengkayakannya yakni dia dapat memenuhi keperluannya sendiri, wajib baginya syurga." (HR Musnad Ahmad, Tabrani dan Majma uz Zawaid)
  • Dari Abdullah bin Umar R.Huma meriwayatkan bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W; "Ya Rasulullah, apakah satu amal yang paling baik di dalam Islam?" Baginda S.A.W menjawab "Memberi makan dan memberi salam samada kamu mengenalinya atau tidak." (HR Bukhari)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mukmin yang sempurna dikalangan orang yang beriman ialah orang yang baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kamu ialah orang yang berlaku baik terhadap isterinya." (HR Ahmad)
  • Dari Aishah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Sesungguhnya orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang terbaik akhlaknya dan berlemah lembut terhadap ahli keluarganya." (HR Tirmizi)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Diantara kamu orang yang paling aku cintai dan orang yang paling hampir kepadaku pada hari kiamat ialah orang yang baik akhlaknya." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mahukah daku khabarkan kepadamu siapakah orang yang diharamkan dari api neraka? Dan api neraka tidak akan menyentuhnya. Mereka adalah orang yang menghampiri orang lain dengan lemah lembut, berlebih kurang dan baik hati." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memiliki sebahagian yang kecil sombong di dalam hatinya, maka dia tidak dapat memasuki syurga." (HR Muslim)
  • Dari Abu Qatadah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Jikalau seseorang suka Allah S.W.T menyelamatkannya dari huru hara pada hari kiamat, maka hendaklah dia memberi kelonggaran (dalam membayar kembali pinjaman) kepada seseorang yang berada dalam keadaan terdesak, atau mengurangkan hutangnya (semuanya atau sebahagian)." (HR Muslim)
  • Dari Abu Zar R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Senyuman kepada saudara (muslim) mu adalah sedekah, menyeru kepada ma'ruf dan melarang dari mungkar adalah sedekah, menunjukkan jalan kepada seseoarng yang tersesat jalan adalah sedekah, menolong seorang yang penglihatannya kabur adalah sedekah, menyingkirkan batu-batu, duri dan tulang (dari jalan) adalah sedekah dan menuangkan air dari timbamu kepada timba saudaramu adalah sedekah. " (HR Tirmizi)
  • Dari Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan, dia akan mendapat pahala yang sama sebagaimana orang yang melakukan satu kebaikan, dan Allah menyukai orang yang menolong seorang dalam kesukaran." (HR Bazzar dan Targhib)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Seorang mukmin mencintai dan dicintai. Tidak ada kebaikan dalam diri seseorang yang tidak mencintai atau tidak berkasih sayang. Orang yang terbaik diantara manusia adalah orang yang paling banyak memberi manafaat kepada orang lain." (HR Dar Qutni dan Targhib)
  • Dari Qais bin Said R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Kalaulah aku diperintahkan bersujud kepada seseorang, nescaya aku akan perintahkan wanita-wanita bersujud keatas suami mereka, kerana haknya yang Allah SWT telah berikan kepada suami-suami." (HR Abu Daud)
  • Dari Ummu Salamah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mana-mana wanita yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya redha kepadanya, nescaya dia akan masuk kedalam syurga." (HR Tirmizi)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menjalin silaturrahim yakni berbuat baik kepada saudara-mara dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik ataupun diam." (HR Bukhari)
  • Dari Asma bin Yazid R.Ha berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara kehormatan saudaranya yang muslim ketika dia tidak ada (dimajlis itu, contohnya seseorang telah mengumpatnya, kemudian dia telah mencegah orang itu dari terus mengumpatnya), maka Allah SWT akan menjamin untuknya daripada pembebasan api neraka jahanam." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Perbanyakkan selawat kepadaku pada hari Jumaat, kerana baru sebentar tadi malaikat Jibrail A.S diutus oleh Allah SWT datang kepadaku lalu berkata : 'Barangsiapa dikalangan umat mu berselawat kepadamu (Muhammad) sekali, Aku (Allah) dan para malaikatKu akan berselawat (memohon pengampunan dan rahmat) untuknya sepuluh kali'." (HR Tabrani)
  • Hazrat Bara' R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Tidaklah kedua orang muslim bertemu dan bermusafaha (berjabat tangan) melainkan dosa-dosa kedua belah pihak diampuni sebelum mereka berpisah." (HR Abu Daud)
  • Hazrat Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Orang yang muda hendaklah memberi salam kepada orang yang tua. Orang yang berjalan hendaklah memberi salam kepada orang yang duduk. Orang yang sedikit memberi salam kepada orang yang lebih ramai." (HR Bukhari)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Bantulah saudaramu yang muslim dalam segala keadaan, bahkan apabila dia seorang yang zalim atau yang dizalimi" Seorang bertanya, "Ya Rasulullah, aku akan menolongnya apabila dia dizalimi, tetapi bagaimana aku dapat menolongnya apabila dia seorang penzalim?" Baginda S.A.W menjawab, "Engkau mencegah dia dari melakukan kezaliman kerana mencegahnya dari perbuatan zalimnya, itulah bantuanmu kepadanya." (HR Bukhari)
  • Hazrat Ibnu Abbas R.Huma meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa berjalan untuk menunaikan satu hajat seorang saudara adalah lebih baik daripada sepuluh tahun iktikaf. Barangsiapa yang beriktikaf sehari kerana Allah S.W.T akan dijauhkan daripada api neraka sejauh tiga parit, dan setiap parit luasnya diantara bumi dan langit." (HR Tabrani dan Majma uz Zawaid)

Peliharalah Amanah Agama

Oleh Mohd Fadly Samsudin

JARINGAN komunikasi menerusi Internet menjadikan tugas dakwah dimanfaatkan dengan lebih berkesan, pantas dan mencapai golongan sasaran lebih besar.

Sebab itu ia mampu memartabatkan Islam ke tahap lebih tinggi, sesuai dengan keadaan semasa selain menarik pelbagai golongan lebih dekat dengan Islam.

Apa saja maklumat yang dimuatkan di Internet mempunyai kebaikan dan keburukannya. Paling penting ialah pengguna itu sendiri perlu bijak menggunakannya untuk tujuan kebaikan.

Laman sosial popular seperti Facebook dan Twitter di samping blog peribadi kini menjadi perantara terpenting menyalurkan pelbagai maklumat kepada umum.

Penyebaran hadis, misal–nya boleh dilakukan sesiapa saja di alam maya walaupun mereka bukan golongan arif atau mempelajarinya secara khusus.

Memang mudah! Berkongsi maklumat dan ilmu itu tidak ada salahnya malah satu tugas mulia namun perlu berhati-hati bagi memastikan sumbernya sahih.

Ada beberapa perkara yang cukup penting diteliti bagi menilai sesebuah hadis, antaranya sanad dan memeriksa kewibawaan perawinya sebelum dapat digolongkan hadis sahih, daif atau palsu.

Penyebaran hadis palsu perlu disekat kerana boleh memberi kesan besar kepada umat Islam terutama dari sudut akidah, akhlak, syariat dan ibadah.

Pendakwah, penceramah agama atau penulis perlu menitikberatkan perkara itu supaya mereka tidak mudah menggunakan hadis tanpa memeriksa ketulenan serta kesahihannya.

Masyarakat Islam juga perlu mengambil berat perkara itu demi menjaga kesucian hadis nabi yang menjadi sumber kedua perundangan Islam selepas al-Quran.

Sesiapa yang mencipta, mengguna dan menyebarkan hadis palsu dianggap melakukan pendustaan besar terhadap Nabi Muhammad s.a.w.

Sebelum menyebarkan sesuatu hadis kepada umum, sama ada melalui media baru atau cetak, ia mesti dirujuk kepada golongan yang ahlinya (arif) atau berdasarkan sumber muktabar.

Pendakwah bebas, Ustaz Fathul Bari Mat Jahaya, berkata mutakhir ini manusia tidak lagi menjaga amanah agama yang diwarisi daripada ulama.

Naqalan (pindahan/ambilan maklumat) tidak lagi diteliti kebenarannya. Sikap suka menyandarkan perkataan tanpa penelitian sudah menjadi mainan tukang karut yang kononnya dikenali penceramah terkemuka.

"Mereka menyampaikan apa sahaja yang didengari tanpa mengkaji kedudukan atau kesahihan cerita itu. Bahkan hadis Nabi yang terpelihara juga menjadi mangsa khianat mereka," katanya.

Beliau berkata, walaupun hampir semua hadis diulang cetak dan dibukukan, sifat amanah yang menjadi simbol kebanggaan salafussoleh tiga kurun terawal diabaikan.

Kitab-kitab itu tidak lagi menjadi bahan rujukan sebaliknya 1001 Kisah Teladan’ menjadi rujukan utama. Di manakah nilainya Sahih Al-Bukhari atau Sahih Muslim?” katanya.

Allah berfirman yang bermaksud: "Sesungguhnya beruntunglah orang-orang yang beriman... (antaranya) Dan orang-orang yang memelihara amanat-amanat (yang dipikulnya) dan janjinya". (Surah Al-Mukminun: 1 & 8).

Beliau berkata umat Islam perlu lebih berhati-hati dalam meriwayatkan sesuatu perkara khususnya hadis Nabi.

Katanya, takutilah amaran keras Rasulullah kepada sesiapa yang berbohong terhadap Baginda. Maksudnya: "Sesiapa yang sengaja berdusta kepadaku, maka disediakan tempat tinggalnya di neraka." (Hadis Riwayat Muslim: no. 3).

Fathul Bari berkata, perkataan maudhu' dari sudut istilah bermaksud hadis yang direka atau diada-adakan.

Ia bukan hadis tetapi dinamakan demikian sebagai sindiran terhadap penciptanya yang mengatakannya hadis. Hadis maudhu' adalah seburuk-buruk hadis daif.

"Sesiapa yang mengatakan ia hadis sedangkan mengetahui itu pembohongan terhadap Rasulullah s.a.w, dia bersekongkol dengan pembohongan terhadap Nabi," katanya.

Beliau berkata, beberapa faktor yang menjadi elemen kepada penyebaran hadis maudhu’ antaranya angkara penyeleweng dalam agama.

Kalangan sarjana Islam menggunakan istilah Zindiq merujuk kepada golongan berkenaan. Al-Sakhawi berkata golongan itu yang menzahirkan Islam, tetapi menyembunyikan kekufuran atau tidak berpegang dengan ajaran agama.

Mereka melakukan itu untuk meringan-ringankan agama dan berselindung dengannya daripada orang ramai. Golongan ini menggunakan hadis bagi memporak-perandakan Islam serta memasukkan penyelewengan dalam syariat.

Namun, tindakan jahat mereka dapat dikesan walaupun berjaya membekalkan hadis palsu yang mereka cipta.

"Perkara itu dibuktikan daripada pengakuan Amir Basrah semasa pemerintahan Khalifah Al-Mahdi pada tahun 160 Hijrah bahawa mereka mencipta 4,000 hadis mengharamkan yang halal dan menghalalkan yang haram," katanya.

Menurutnya, Rasulullah s.a.w sentiasa menggalakkan umat Islam bersatu tanpa sebarang sengketa semasa hayat Baginda atau selepas kewafatannya.

Namun, fitnah dan perpecahan di kalangan umat Islam tetap berlaku, malah sampai ke peringkat serius selepas berlakunya peristiwa pembunuhan Khalifah 'Uthman bin Affan yang menyebabkan terjadinya perang saudara iaitu Perang Al-Jamal dan Al-Siffin.

Dari situ lahirnya golongan Syi'ah, Khawarij selain golongan Al-Sunnah.

Golongan Syi'ah contohnya, mempertahankan pegangan mereka dan mencipta hadis bagi menonjolkan kelebihan Ahl Al-Bayt terutama Ali dan keturunannya selain hadis menunjukkan Abu Bakar dan Umar menyakiti Ali sekeluarga.

Contohnya: "Wasiatku, tempat rahsiaku, khalifahku bagi keluarga dan sebaik-baik orang yang ku tinggalkan selepasku adalah Ali. "

Sebelah pihak lagi menjawabnya dengan hadis mengangkat kedudukan Abu Bakar, 'Umar dan 'Uthman yang maksudnya: "Tidak terdapat satu helai pokok pun dalam syurga kecuali tertulis di setiap helai daunnya La'ilaha illallah Muhammad Rasul Allah, Abu Bakar Al-Siddiq, 'Umar Al-Faruq dan 'Uthman Dzhu Al-Nurain".

Golongan yang fanatik dengan Mu'awiyyah dan Umawiyyin pula mencipta hadis mereka sendiri, maksudnya: "Yang paling amanah ada tiga: Aku, Jibrail dan Mu’awiyyah".

Beliau berkata, perselisihan aqidah dan fiqh pula berpunca daripada perbezaan pendapat dalam beberapa permasalahan sifat dan nama Allah, kerasulan, kitab, kebangkitan di hari kiamat serta qada' dan qadar.

Ini melahirkan beberapa Mazhahib Al-Mutakallimin seperti Qadariyyah, Murji'ah, Jahmiyyah, Mu'tazilah, Mushabihat di samping Ahl Al-Sunnah Wa Al-Jama'ah.

Ada hadis palsu yang dicipta bagi memenangi mazhab anutan tertentu seperti, " Sesiapa yang mengangkat tangannya semasa rukuk, maka tiadalah baginya solat " dan "Apabila terdapat pada pakaian, darah sebesar wang satu dirham hendaklah dibasuh dan diulangi solatnya".

"Hadis palsu itu menonjolkan keistimewaan imam ikutan mereka dan untuk merendah-rendahkan imam saingannya," katanya.

Katanya, golongan Zuhhad dan ahli ibadat mendorong orang ramai mendekatkan diri mereka kepada Allah dan beribadat kepada-Nya turut mencipta hadis palsu.

Ini termasuklah hadis mengenai kelebihan dan keistimewaan surah al-Quran, ibadat solat pada sempena hari tertentu seperti malam 'Asyura dan siangnya, malam pertama Rejab, malam Nisfu Sya'ban dan malam 'Aidil Fitri.

Di samping itu terdapat hadis palsu yang dicipta bagi mendorong manusia supaya taat dan zuhud, berakhlak dengan akhlak yang baik dan amalan terpuji.

Ibn 'Adi meriwayatkan katanya: Aku mendengar Abu 'Abdullah Al-Nahawandi berkata: Saya berkata kepada pesuruh Al-Khalil, Inikah hadis-hadis kamu sebut Al-Riqaq? Beliau menjawab: "Aku menciptanya untuk melembutkan dengannya hati-hati orang awam".

Menurutnya, sikap fanatik amat dilarang oleh Islam kerana boleh membawa perpecahan umat.

"Musuh Islam mengambil peluang mewujudkan hadis palsu bagi meretakkan hubungan persaudaraan," katanya.

Beliau berkata kecenderungan serta tamak mendapat keseronokan dunia juga antara pendorong melahirkan hadis palsu.

Mereka mengharapkan ganjaran duniawi daripada orang ramai yang menghadiri majlis mereka. Semakin ramai yang hadir bererti semakin bertambahlah kutipan yang diterima.

"Mereka sanggup berdusta atas nama Rasulullah dengan mencipta hadis palsu dalam pelbagai bentuk bagi menarik perhatian ramai, sama ada berbentuk cerita, hikayat dongeng dan khurafat," katanya.

Beliau berkata ada juga di kalangan golongan berilmu berani mencipta hadis palsu semata-mata untuk mempertahankan pendapatnya.

Contohnya, hadis yang maksudnya: "Iman itu adalah beri’tiqad dengan hati, dan berikrar dengan lisan, serta beramal dengan anggota badan."

"Hadis itu direka sebahagian golongan yang ingin mengukuhkan mazhab Ahli Sunnah dalam masalah akidah. Disebabkan hadis itu palsu, ia tidak boleh disandarkan kepada Nabi walaupun dapat menjadi hujah kukuh mazhab ahli sunnah," katanya.

Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah kerana sudi membaca artikel diatas. Sila lawati ke halaman utama untuk membaca lebih 2003 artikel yang terdapat disini. Jangan lupa berkongsi artikel diatas bersama anggota keluarga, saudara mara dan rakan taulan anda. Jika anda ingin memberi pendapat atau teguran, sila email kami di admin[at]mukmin.com.my, Insyallah kami berlapang dada untuk membacanya. Semoga kita dapat ambil manafaat bersama dengan Portal Mukmin ini. Insyallah.
Kembali Ke Halaman Utama | Papar Semua Tajuk Dibawah Kategori Yang Sama | Berkongsi Artikel Dengan Rakan Lain | Sertai Facebook Mukmin Portal

 
 

 

© Mukmin (Tiada Notis Copyright)

Paparan sesuai 1280 x 800 pixel (IE 7.0 keatas / Firefox 3.0 keatas)