• Dari Sahal R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Aku dan orang yang memelihara anak-anak yatim akan berada didalam syurga adalah seumpama dua anak jari ini." Disini Rasulullah S.A.W mengisyaratkan jari telunjuk dan jari tengahnya dimana terdapat hanya sedikit ruang diantara keduanya. (HR Bukhari)
  • Dari Amr bin Malik Al-Qusyairi R.A berkata, bahawa aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara anak yatim, yang mana kedua ibubapanya seorang muslim, dengan memberi makanan dan minuman sehinggalah Allah S.W.T mengkayakannya yakni dia dapat memenuhi keperluannya sendiri, wajib baginya syurga." (HR Musnad Ahmad, Tabrani dan Majma uz Zawaid)
  • Dari Abdullah bin Umar R.Huma meriwayatkan bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W; "Ya Rasulullah, apakah satu amal yang paling baik di dalam Islam?" Baginda S.A.W menjawab "Memberi makan dan memberi salam samada kamu mengenalinya atau tidak." (HR Bukhari)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mukmin yang sempurna dikalangan orang yang beriman ialah orang yang baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kamu ialah orang yang berlaku baik terhadap isterinya." (HR Ahmad)
  • Dari Aishah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Sesungguhnya orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang terbaik akhlaknya dan berlemah lembut terhadap ahli keluarganya." (HR Tirmizi)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Diantara kamu orang yang paling aku cintai dan orang yang paling hampir kepadaku pada hari kiamat ialah orang yang baik akhlaknya." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mahukah daku khabarkan kepadamu siapakah orang yang diharamkan dari api neraka? Dan api neraka tidak akan menyentuhnya. Mereka adalah orang yang menghampiri orang lain dengan lemah lembut, berlebih kurang dan baik hati." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memiliki sebahagian yang kecil sombong di dalam hatinya, maka dia tidak dapat memasuki syurga." (HR Muslim)
  • Dari Abu Qatadah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Jikalau seseorang suka Allah S.W.T menyelamatkannya dari huru hara pada hari kiamat, maka hendaklah dia memberi kelonggaran (dalam membayar kembali pinjaman) kepada seseorang yang berada dalam keadaan terdesak, atau mengurangkan hutangnya (semuanya atau sebahagian)." (HR Muslim)
  • Dari Abu Zar R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Senyuman kepada saudara (muslim) mu adalah sedekah, menyeru kepada ma'ruf dan melarang dari mungkar adalah sedekah, menunjukkan jalan kepada seseoarng yang tersesat jalan adalah sedekah, menolong seorang yang penglihatannya kabur adalah sedekah, menyingkirkan batu-batu, duri dan tulang (dari jalan) adalah sedekah dan menuangkan air dari timbamu kepada timba saudaramu adalah sedekah. " (HR Tirmizi)
  • Dari Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan, dia akan mendapat pahala yang sama sebagaimana orang yang melakukan satu kebaikan, dan Allah menyukai orang yang menolong seorang dalam kesukaran." (HR Bazzar dan Targhib)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Seorang mukmin mencintai dan dicintai. Tidak ada kebaikan dalam diri seseorang yang tidak mencintai atau tidak berkasih sayang. Orang yang terbaik diantara manusia adalah orang yang paling banyak memberi manafaat kepada orang lain." (HR Dar Qutni dan Targhib)
  • Dari Qais bin Said R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Kalaulah aku diperintahkan bersujud kepada seseorang, nescaya aku akan perintahkan wanita-wanita bersujud keatas suami mereka, kerana haknya yang Allah SWT telah berikan kepada suami-suami." (HR Abu Daud)
  • Dari Ummu Salamah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mana-mana wanita yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya redha kepadanya, nescaya dia akan masuk kedalam syurga." (HR Tirmizi)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menjalin silaturrahim yakni berbuat baik kepada saudara-mara dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik ataupun diam." (HR Bukhari)
  • Dari Asma bin Yazid R.Ha berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara kehormatan saudaranya yang muslim ketika dia tidak ada (dimajlis itu, contohnya seseorang telah mengumpatnya, kemudian dia telah mencegah orang itu dari terus mengumpatnya), maka Allah SWT akan menjamin untuknya daripada pembebasan api neraka jahanam." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Perbanyakkan selawat kepadaku pada hari Jumaat, kerana baru sebentar tadi malaikat Jibrail A.S diutus oleh Allah SWT datang kepadaku lalu berkata : 'Barangsiapa dikalangan umat mu berselawat kepadamu (Muhammad) sekali, Aku (Allah) dan para malaikatKu akan berselawat (memohon pengampunan dan rahmat) untuknya sepuluh kali'." (HR Tabrani)
  • Hazrat Bara' R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Tidaklah kedua orang muslim bertemu dan bermusafaha (berjabat tangan) melainkan dosa-dosa kedua belah pihak diampuni sebelum mereka berpisah." (HR Abu Daud)
  • Hazrat Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Orang yang muda hendaklah memberi salam kepada orang yang tua. Orang yang berjalan hendaklah memberi salam kepada orang yang duduk. Orang yang sedikit memberi salam kepada orang yang lebih ramai." (HR Bukhari)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Bantulah saudaramu yang muslim dalam segala keadaan, bahkan apabila dia seorang yang zalim atau yang dizalimi" Seorang bertanya, "Ya Rasulullah, aku akan menolongnya apabila dia dizalimi, tetapi bagaimana aku dapat menolongnya apabila dia seorang penzalim?" Baginda S.A.W menjawab, "Engkau mencegah dia dari melakukan kezaliman kerana mencegahnya dari perbuatan zalimnya, itulah bantuanmu kepadanya." (HR Bukhari)
  • Hazrat Ibnu Abbas R.Huma meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa berjalan untuk menunaikan satu hajat seorang saudara adalah lebih baik daripada sepuluh tahun iktikaf. Barangsiapa yang beriktikaf sehari kerana Allah S.W.T akan dijauhkan daripada api neraka sejauh tiga parit, dan setiap parit luasnya diantara bumi dan langit." (HR Tabrani dan Majma uz Zawaid)

Pembahagian Harta Secara Adil Dapat Imbangi Kehidupan Manusia

Oleh Ustaz Zaman
bhagama@bharian.com.my

KEMATIAN adalah kepastian yang tidak dapat disangkal sesiapa. Begitu juga mereka yang kembali kepada Allah SWT semestinya meninggalkan sesuatu untuk diwarisi oleh generasi keluarga yang masih hidup. Hanya Nabi dan Rasul saja yang tidak mewarisi apa-apa selain ilmu daripada Allah SWT.

Sebuah hadis daripada Talhah menyebut beliau bertanya kepada seorang sahabat bernama Abdullah Bin Abi Aufa adakah Baginda SAW meninggalkan apa-apa wasiat? Lalu Abdullah menjawab: Tidak. Maka mengapa Baginda memerintahkan kita berwasiat? Jawab Abdullah: “Sebenarnya Baginda meninggalkan al-Quran sebagai wasiat”. (Riwayat Bukhari).

Adalah menjadi tuntutan agar kita dapat meneliti semua harta yang dimiliki dan menulis wasiat tertentu agar menjadi rujukan kepada mereka yang ditinggalkan. Baginda Nabi SAW juga menyarankan umatnya menulis wasiat. Sabda Baginda SAW: "Adalah menjadi hak seseorang Muslim apabila tiba waktu tidur, maka wasiatnya ditulis dan diletakkan di sisinya". (HR Ibnu Majah).

Dalam dunia umat Islam hari ini, kita melihat ibu bapa kurang mengambil perhatian terhadap harta yang peroleh atau yang dikumpul sepanjang hidup mereka. Dengan kata lain mereka tidak pernah memikirkan mengenai harta mereka jika mereka dijemput oleh Allah SWT apabila tiba masanya kelak.

Apakah harta mereka akan dibahagikan kepada pewaris dengan seadil-adilnya atau mengundang mudarat kepada keluarga akibat pertikaian harta ditinggalkan.

Kita melihat fenomena sekarang menyedihkan kerana tercetus perbalahan antara waris ditinggalkan. Malah kadangkala menyebabkan pembunuhan sesama keluarga akibat perselisihan pendapat mengenai harta peninggalan si mati. Apa yang lebih mendukacitakan perselisihan berlaku ketika ibu bapa masih hidup dan terlantar menunggu saat-saat kematian.

Inilah contoh sikap buruk jika berlaku dalam masyarakat Islam menunjukkan akhlak tidak baik seorang anak terhadap ibu bapa. Malah mereka diharamkan terus daripada menerima apa-apa bahagian jika berlaku pembunuhan untuk mendapat warisan dengan cepat.

Namun, berlaku juga perkara sebaliknya yang ibu bapa mewakafkan harta mereka ketika hidup kepada agensi lain sama ada dengan tujuan baik iaitu untuk mengelakkan pergaduhan sesama keluarga atau menghalang mana-mana anak daripada mewarisi harta mereka atas sebab tertentu.

Ini adalah perkara yang tidak digalakkan dalam Islam kerana keluarga si mati atau pewaris yang masih hidup memerlukan harta berkenaan bagi meneruskan kesinambungan kehidupan mereka.

Firman Allah SWT: "Dan hendaklah takut kepada Allah sekiranya mereka meninggalkan keturunan yang daif yang dikhuatiri akan kesejahteraan dan keselesaan mereka." (Surah an-Nisa ayat 9).

Ini menunjukkan seseorang mesti memikirkan mengenai keluarga yang ditinggalkan supaya mereka hidup dalam keadaan baik tanpa meminta-minta kepada orang lain.

Namun demikian, mewakafkan sesuatu atas dasar kemanusiaan atau keperluan seperti mewakafkan kepada anak angkat atau mereka yang memerlukan diharuskan dengan kadar tertentu supaya tidak membebankan keluarga si mati atau pewaris selepas berlaku kematian.

Anak angkat dan orang luar tidak akan mendapat bahagian daripada harta si mati kerana mereka bukanlah pewaris sebenar sedangkan mereka pernah berkhidmat kepada si mati ketika hidupnya. Ini dilakukan kerana membalas jasa atau tanda terima kasih terhadap pengorbanan dicurahkan.

Sebuah hadis daripada Abu Mus’ab menyebut beliau diziarahi oleh Baginda SAW ketika sedang sakit dan berkata beliau akan mewasiatkan semua hartanya pada jalan Allah. Baginda menjawab "Jangan". Separuh? Baginda menjawab: "Jangan". Satu pertiga? Baginda menjawab: "Boleh tetapi itupun dikira sudah banyak." (Riwayat Bukhari)

Ada juga berwasiat, tetapi dengan cara tidak adil sehingga mengetepikan keluarga tidak sebulu dengannya. Inilah antara perkara dilarang Islam. Sabda Baginda SAW: "Takutlah kamu kepada Allah SWT dan berlaku adillah dengan anak-anak kamu". (Al-Hadith).

Syeikh Abdul Rahman As-Sa’di pernah menyebut: "Antara perkara paling keji dan mungkar adalah apabila seseorang ingin membahagikan harta mengikut hawa nafsunya. Ia adalah daripada dosa besar yang diharamkan. Ini adalah antara kezaliman dilakukan sesama manusia."

Ingatlah meninggalkan hukum Allah dalam kehidupan ini adalah satu dosa besar yang dilaknat Allah SWT. Firman Allah SWT: "Apakah mereka meyakini selain dari hukum Allah? Hukum siapakah yang lebih baik dari Allah?". (Surah al-Maidah ayat 50).

Islam meletakkan pembahagian secara adil untuk mengimbangi kehidupan manusia dalam pembahagian harta pusaka. Lahirnya ilmu faraid dalam Islam agar kita tahu siapakah pemilik harta sebenar (Ashabul Furudz) selepas kematian seseorang. Ayat di dalam al-Quran dalam surah an-Nisa sudah cukup untuk menjelaskan bahawa segala-galanya ditetapkan oleh Allah SWT untuk dijadikan panduan.

Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah kerana sudi membaca artikel diatas. Sila lawati ke halaman utama untuk membaca lebih 2003 artikel yang terdapat disini. Jangan lupa berkongsi artikel diatas bersama anggota keluarga, saudara mara dan rakan taulan anda. Jika anda ingin memberi pendapat atau teguran, sila email kami di admin[at]mukmin.com.my, Insyallah kami berlapang dada untuk membacanya. Semoga kita dapat ambil manafaat bersama dengan Portal Mukmin ini. Insyallah.
Kembali Ke Halaman Utama | Papar Semua Tajuk Dibawah Kategori Yang Sama | Berkongsi Artikel Dengan Rakan Lain | Sertai Facebook Mukmin Portal

 
 

 

© Mukmin (Tiada Notis Copyright)

Paparan sesuai 1280 x 800 pixel (IE 7.0 keatas / Firefox 3.0 keatas)