• Dari Sahal R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Aku dan orang yang memelihara anak-anak yatim akan berada didalam syurga adalah seumpama dua anak jari ini." Disini Rasulullah S.A.W mengisyaratkan jari telunjuk dan jari tengahnya dimana terdapat hanya sedikit ruang diantara keduanya. (HR Bukhari)
  • Dari Amr bin Malik Al-Qusyairi R.A berkata, bahawa aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara anak yatim, yang mana kedua ibubapanya seorang muslim, dengan memberi makanan dan minuman sehinggalah Allah S.W.T mengkayakannya yakni dia dapat memenuhi keperluannya sendiri, wajib baginya syurga." (HR Musnad Ahmad, Tabrani dan Majma uz Zawaid)
  • Dari Abdullah bin Umar R.Huma meriwayatkan bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W; "Ya Rasulullah, apakah satu amal yang paling baik di dalam Islam?" Baginda S.A.W menjawab "Memberi makan dan memberi salam samada kamu mengenalinya atau tidak." (HR Bukhari)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mukmin yang sempurna dikalangan orang yang beriman ialah orang yang baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kamu ialah orang yang berlaku baik terhadap isterinya." (HR Ahmad)
  • Dari Aishah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Sesungguhnya orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang terbaik akhlaknya dan berlemah lembut terhadap ahli keluarganya." (HR Tirmizi)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Diantara kamu orang yang paling aku cintai dan orang yang paling hampir kepadaku pada hari kiamat ialah orang yang baik akhlaknya." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mahukah daku khabarkan kepadamu siapakah orang yang diharamkan dari api neraka? Dan api neraka tidak akan menyentuhnya. Mereka adalah orang yang menghampiri orang lain dengan lemah lembut, berlebih kurang dan baik hati." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memiliki sebahagian yang kecil sombong di dalam hatinya, maka dia tidak dapat memasuki syurga." (HR Muslim)
  • Dari Abu Qatadah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Jikalau seseorang suka Allah S.W.T menyelamatkannya dari huru hara pada hari kiamat, maka hendaklah dia memberi kelonggaran (dalam membayar kembali pinjaman) kepada seseorang yang berada dalam keadaan terdesak, atau mengurangkan hutangnya (semuanya atau sebahagian)." (HR Muslim)
  • Dari Abu Zar R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Senyuman kepada saudara (muslim) mu adalah sedekah, menyeru kepada ma'ruf dan melarang dari mungkar adalah sedekah, menunjukkan jalan kepada seseoarng yang tersesat jalan adalah sedekah, menolong seorang yang penglihatannya kabur adalah sedekah, menyingkirkan batu-batu, duri dan tulang (dari jalan) adalah sedekah dan menuangkan air dari timbamu kepada timba saudaramu adalah sedekah. " (HR Tirmizi)
  • Dari Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan, dia akan mendapat pahala yang sama sebagaimana orang yang melakukan satu kebaikan, dan Allah menyukai orang yang menolong seorang dalam kesukaran." (HR Bazzar dan Targhib)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Seorang mukmin mencintai dan dicintai. Tidak ada kebaikan dalam diri seseorang yang tidak mencintai atau tidak berkasih sayang. Orang yang terbaik diantara manusia adalah orang yang paling banyak memberi manafaat kepada orang lain." (HR Dar Qutni dan Targhib)
  • Dari Qais bin Said R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Kalaulah aku diperintahkan bersujud kepada seseorang, nescaya aku akan perintahkan wanita-wanita bersujud keatas suami mereka, kerana haknya yang Allah SWT telah berikan kepada suami-suami." (HR Abu Daud)
  • Dari Ummu Salamah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mana-mana wanita yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya redha kepadanya, nescaya dia akan masuk kedalam syurga." (HR Tirmizi)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menjalin silaturrahim yakni berbuat baik kepada saudara-mara dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik ataupun diam." (HR Bukhari)
  • Dari Asma bin Yazid R.Ha berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara kehormatan saudaranya yang muslim ketika dia tidak ada (dimajlis itu, contohnya seseorang telah mengumpatnya, kemudian dia telah mencegah orang itu dari terus mengumpatnya), maka Allah SWT akan menjamin untuknya daripada pembebasan api neraka jahanam." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Perbanyakkan selawat kepadaku pada hari Jumaat, kerana baru sebentar tadi malaikat Jibrail A.S diutus oleh Allah SWT datang kepadaku lalu berkata : 'Barangsiapa dikalangan umat mu berselawat kepadamu (Muhammad) sekali, Aku (Allah) dan para malaikatKu akan berselawat (memohon pengampunan dan rahmat) untuknya sepuluh kali'." (HR Tabrani)
  • Hazrat Bara' R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Tidaklah kedua orang muslim bertemu dan bermusafaha (berjabat tangan) melainkan dosa-dosa kedua belah pihak diampuni sebelum mereka berpisah." (HR Abu Daud)
  • Hazrat Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Orang yang muda hendaklah memberi salam kepada orang yang tua. Orang yang berjalan hendaklah memberi salam kepada orang yang duduk. Orang yang sedikit memberi salam kepada orang yang lebih ramai." (HR Bukhari)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Bantulah saudaramu yang muslim dalam segala keadaan, bahkan apabila dia seorang yang zalim atau yang dizalimi" Seorang bertanya, "Ya Rasulullah, aku akan menolongnya apabila dia dizalimi, tetapi bagaimana aku dapat menolongnya apabila dia seorang penzalim?" Baginda S.A.W menjawab, "Engkau mencegah dia dari melakukan kezaliman kerana mencegahnya dari perbuatan zalimnya, itulah bantuanmu kepadanya." (HR Bukhari)
  • Hazrat Ibnu Abbas R.Huma meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa berjalan untuk menunaikan satu hajat seorang saudara adalah lebih baik daripada sepuluh tahun iktikaf. Barangsiapa yang beriktikaf sehari kerana Allah S.W.T akan dijauhkan daripada api neraka sejauh tiga parit, dan setiap parit luasnya diantara bumi dan langit." (HR Tabrani dan Majma uz Zawaid)

Pemegang sijil halal mesti bertanggungjawab

Oleh Wan Marzuki Wan Ramli

RAMAI kita suka memilih makanan mengikut kemampuan, keinginan dan selera masing-masing tetapi tidak ramai mengutamakan apakah makanan itu halal serta bersih menurut syariat Islam.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Wahai orang beriman, makanlah barang yang bersih daripada apa yang kami kurniakan kepada kamu." (Hadis riwayat Muslim)

Baginda SAW menyebut mengenai seorang lelaki yang berjalan jauh dengan keadaan kusut-masai rambutnya dan berlumuran debu. Sementara kedua-dua tangannya menadah ke langit sambil berdoa, padahal makanannya haram, minumannya haram, pakaiannya haram, maka bolehkah diperkenankan Allah doanya.

Makanan suci dan bersih akan menjamin kesihatan yang baik. Justeru, di samping memilih makanan yang berzat dan berkhasiat, sebaik-baiknya perlu ditekankan akan kebersihan serta kesuciannya dari segi syariat agama.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Setiap daging yang tumbuh daripada makanan haram, maka api nerakalah yang layak baginya." (Hadis riwayat at-Tirmizi)

Seseorang insan mukmin yang prihatin terhadap kebersihan dan kesucian makanan lahir cahaya keimanan dalam dirinya serta terdorong memastikan kebersihan diri secara keseluruhannya termasuk pakaian dan tempat tinggal.

Ibadat solat juga mengajar kepentingan menjaga kebersihan diri. Allah tidak akan menerima solat hambanya yang beribadat dalam keadaan kotor dan hina.

Keadaan ini sesuai maksud hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: "Menjadi bersih kamu, kerana sesungguhnya Islam itu bersih." (Hadis riwayat Ibnu Hibban)

Pemilihan makanan yang bersih dan halal menjurus kepada banyak perkara kerana pemakanan memberi kesan langsung kepada pembinaan sahsiah serta keperibadian.

Namun, itu bukan bermakna kita dihalang menikmati makanan cuma disuruh menjaga apa yang dimakan.

Allah berfirman yang bermaksud: "Makanlah apa yang dikurniakan Allah kepada kamu dari benda yang halal lagi bersih. Bersyukurlah dengan nikmat Allah jika kamu benar-benar menyembah Allah. Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan kepada kamu memakan bangkai, darah, daging babi dan binatang sembelihan bukan kerana Allah. Maka, sesiapa yang di dalam keadaan terpaksa memakannya, sedang dia tidak sengaja dalam mencarinya, sesungguhnya Allah maha pengampun lagi maha penyayang." (Surah al-Nahl ayat 114-115)

Makanan yang haram, sama ada dari bahan dicampur najis dan benda subahat atau daripada punca tidak halal, maka datang tiga bahaya besar kepada si pemakannya.

Pertama, makanan mempengaruhi jiwa seseorang sehingga dia merasa lebih gemar melakukan kejahatan dan maksiat serta bencikan kerja ketaatan.

Kedua, doanya tidak akan dimakbulkan Allah dan ketiga, menyebabkan dia akan mendapat seksaan neraka Allah pada hari akhirat kelak.

Apa juga bentuk makanan yang halal dan bersih perlu diikuti dengan peraturan memakannya. Makanan seimbang umpamanya dapat menghindarkan diri daripada dihidapi penyakit tertentu.

Rasulullah SAW menyarankan perut manusia diisi dengan satu pertiga air, satu pertiga makanan dan satu pertiga lagi adalah udara.

Daripada aspek adab pemilihan makanan, kita perlu menghindarkan diri daripada mengambil makanan yang sudah lama terbuka atau tin berkarat.

Selain adab makan dan memilih makanan, Islam turut melarang umatnya berlebih-lebihan dalam makanan dan minuman. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Tiada bahaya yang lebih dibenci Allah daripada perut yang dipenuhi dan ketat dengan makanan halal."

Banyak jenis penyakit bermula daripada salah pemilihan makanan termasuk makan secara melampaui batasan.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Perut adalah sumber penyakit dan berpantang adalah sebaik-baik ubat. Biasakanlah setiap tubuh dengan apa yang lazimnya."

Allah murka kepada hamba yang suka melampau batasan termasuk dalam soal pemilihan, adab dan cara makan. Balasannya, Allah akan menurunkan pelbagai penyakit, sama ada menyerang manusia secara keseluruhannya atau individu.

Kelalaian serta kealpaan mereka menguruskan nikmat kurniaan Allah seperti makanan yang menjadi sumber tenaga untuk manusia melakukan kegiatan harian termasuk beribadat kepada-Nya.

Pembongkaran media massa mengenai penipuan penggunaan logo halal dan bahan makanan haram dijual sebagai halal di pasaran negara dari semasa ke semasa membuktikan masalah itu belum dapat ditangani dengan berkesan.

Sebenarnya isu halal dan haram ini berkisar kepada tiga perkara asas iaitu sikap pengguna beragama Islam terhadap makanan dibeli, kesedaran penjual dan tindakan penguatkuasaan untuk membendung penipuan sijil halal.

Walaupun di negara ini permohonan sijil halal adalah secara sukarela, pemantauan perlu diadakan sekerap mungkin bagi mengelak peniaga mengambil kesempatan menggunakan sijil halal yang diperoleh demi mengaut keuntungan daripada pengguna Muslim.

Menjadi tanggungjawab pihak berkuasa memastikan tahap kebersihan dan kesucian makanan menepati maksud sebenar dengan melakukan pemeriksaan berkala supaya syarikat pengeluar menjaga mutu kebersihan mengikut syarat ditetapkan.

Jangan hanya sebelum dikeluarkan sijil pemeriksaan teliti dibuat tetapi selepas itu, senyap begitu saja hingga berlaku penipuan penggunaan sijil palsu serta sijil yang sudah tamat tempoh.

Sijil halal membolehkan umat Islam meyakini kebersihan serta kesucian makanan yang dijual di premis berkenaan.

Persoalannya sekarang siapakah yang akan dipertanggungjawab jika umat Islam termakan makanan tidak halal tetapi mempunyai label halal?

Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah kerana sudi membaca artikel diatas. Sila lawati ke halaman utama untuk membaca lebih 2003 artikel yang terdapat disini. Jangan lupa berkongsi artikel diatas bersama anggota keluarga, saudara mara dan rakan taulan anda. Jika anda ingin memberi pendapat atau teguran, sila email kami di admin[at]mukmin.com.my, Insyallah kami berlapang dada untuk membacanya. Semoga kita dapat ambil manafaat bersama dengan Portal Mukmin ini. Insyallah.
Kembali Ke Halaman Utama | Papar Semua Tajuk Dibawah Kategori Yang Sama | Berkongsi Artikel Dengan Rakan Lain | Sertai Facebook Mukmin Portal

 
 

 

© Mukmin (Tiada Notis Copyright)

Paparan sesuai 1280 x 800 pixel (IE 7.0 keatas / Firefox 3.0 keatas)