• Dari Sahal R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Aku dan orang yang memelihara anak-anak yatim akan berada didalam syurga adalah seumpama dua anak jari ini." Disini Rasulullah S.A.W mengisyaratkan jari telunjuk dan jari tengahnya dimana terdapat hanya sedikit ruang diantara keduanya. (HR Bukhari)
  • Dari Amr bin Malik Al-Qusyairi R.A berkata, bahawa aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara anak yatim, yang mana kedua ibubapanya seorang muslim, dengan memberi makanan dan minuman sehinggalah Allah S.W.T mengkayakannya yakni dia dapat memenuhi keperluannya sendiri, wajib baginya syurga." (HR Musnad Ahmad, Tabrani dan Majma uz Zawaid)
  • Dari Abdullah bin Umar R.Huma meriwayatkan bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W; "Ya Rasulullah, apakah satu amal yang paling baik di dalam Islam?" Baginda S.A.W menjawab "Memberi makan dan memberi salam samada kamu mengenalinya atau tidak." (HR Bukhari)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mukmin yang sempurna dikalangan orang yang beriman ialah orang yang baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kamu ialah orang yang berlaku baik terhadap isterinya." (HR Ahmad)
  • Dari Aishah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Sesungguhnya orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang terbaik akhlaknya dan berlemah lembut terhadap ahli keluarganya." (HR Tirmizi)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Diantara kamu orang yang paling aku cintai dan orang yang paling hampir kepadaku pada hari kiamat ialah orang yang baik akhlaknya." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mahukah daku khabarkan kepadamu siapakah orang yang diharamkan dari api neraka? Dan api neraka tidak akan menyentuhnya. Mereka adalah orang yang menghampiri orang lain dengan lemah lembut, berlebih kurang dan baik hati." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memiliki sebahagian yang kecil sombong di dalam hatinya, maka dia tidak dapat memasuki syurga." (HR Muslim)
  • Dari Abu Qatadah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Jikalau seseorang suka Allah S.W.T menyelamatkannya dari huru hara pada hari kiamat, maka hendaklah dia memberi kelonggaran (dalam membayar kembali pinjaman) kepada seseorang yang berada dalam keadaan terdesak, atau mengurangkan hutangnya (semuanya atau sebahagian)." (HR Muslim)
  • Dari Abu Zar R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Senyuman kepada saudara (muslim) mu adalah sedekah, menyeru kepada ma'ruf dan melarang dari mungkar adalah sedekah, menunjukkan jalan kepada seseoarng yang tersesat jalan adalah sedekah, menolong seorang yang penglihatannya kabur adalah sedekah, menyingkirkan batu-batu, duri dan tulang (dari jalan) adalah sedekah dan menuangkan air dari timbamu kepada timba saudaramu adalah sedekah. " (HR Tirmizi)
  • Dari Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan, dia akan mendapat pahala yang sama sebagaimana orang yang melakukan satu kebaikan, dan Allah menyukai orang yang menolong seorang dalam kesukaran." (HR Bazzar dan Targhib)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Seorang mukmin mencintai dan dicintai. Tidak ada kebaikan dalam diri seseorang yang tidak mencintai atau tidak berkasih sayang. Orang yang terbaik diantara manusia adalah orang yang paling banyak memberi manafaat kepada orang lain." (HR Dar Qutni dan Targhib)
  • Dari Qais bin Said R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Kalaulah aku diperintahkan bersujud kepada seseorang, nescaya aku akan perintahkan wanita-wanita bersujud keatas suami mereka, kerana haknya yang Allah SWT telah berikan kepada suami-suami." (HR Abu Daud)
  • Dari Ummu Salamah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mana-mana wanita yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya redha kepadanya, nescaya dia akan masuk kedalam syurga." (HR Tirmizi)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menjalin silaturrahim yakni berbuat baik kepada saudara-mara dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik ataupun diam." (HR Bukhari)
  • Dari Asma bin Yazid R.Ha berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara kehormatan saudaranya yang muslim ketika dia tidak ada (dimajlis itu, contohnya seseorang telah mengumpatnya, kemudian dia telah mencegah orang itu dari terus mengumpatnya), maka Allah SWT akan menjamin untuknya daripada pembebasan api neraka jahanam." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Perbanyakkan selawat kepadaku pada hari Jumaat, kerana baru sebentar tadi malaikat Jibrail A.S diutus oleh Allah SWT datang kepadaku lalu berkata : 'Barangsiapa dikalangan umat mu berselawat kepadamu (Muhammad) sekali, Aku (Allah) dan para malaikatKu akan berselawat (memohon pengampunan dan rahmat) untuknya sepuluh kali'." (HR Tabrani)
  • Hazrat Bara' R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Tidaklah kedua orang muslim bertemu dan bermusafaha (berjabat tangan) melainkan dosa-dosa kedua belah pihak diampuni sebelum mereka berpisah." (HR Abu Daud)
  • Hazrat Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Orang yang muda hendaklah memberi salam kepada orang yang tua. Orang yang berjalan hendaklah memberi salam kepada orang yang duduk. Orang yang sedikit memberi salam kepada orang yang lebih ramai." (HR Bukhari)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Bantulah saudaramu yang muslim dalam segala keadaan, bahkan apabila dia seorang yang zalim atau yang dizalimi" Seorang bertanya, "Ya Rasulullah, aku akan menolongnya apabila dia dizalimi, tetapi bagaimana aku dapat menolongnya apabila dia seorang penzalim?" Baginda S.A.W menjawab, "Engkau mencegah dia dari melakukan kezaliman kerana mencegahnya dari perbuatan zalimnya, itulah bantuanmu kepadanya." (HR Bukhari)
  • Hazrat Ibnu Abbas R.Huma meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa berjalan untuk menunaikan satu hajat seorang saudara adalah lebih baik daripada sepuluh tahun iktikaf. Barangsiapa yang beriktikaf sehari kerana Allah S.W.T akan dijauhkan daripada api neraka sejauh tiga parit, dan setiap parit luasnya diantara bumi dan langit." (HR Tabrani dan Majma uz Zawaid)

Pemimpin Baik Lahir Daripada Masyarakat Salih

Oleh Nawawi Subandi

Setiap orang perlu sentiasa bermuhasabah, berusaha untuk memperbaiki diri

KESTABILAN sesebuah negara (pemerintahan dan pentadbirannya) sebenarnya terbentuk bermula daripada diri setiap individu, diikuti peringkat keluarga dan seterusnya kepada masyarakat yang akhirnya menyumbang dalam pembinaan sesebuah negara.

Oleh itu, perlu untuk kita memahami bahawa pemimpin yang baik itu sebenarnya dilahirkan daripada masyarakat kebanyakan iaitu kalangan kita. Jika setiap individu tidak dibina dengan keimanan dan sifat salih, bagaimana kita mahu melahirkan pemimpin yang baik daripada kelompok masyarakat.

Allah berfirman yang bermaksud: "Dan Allah sudah berjanji kepada orang yang beriman di antara kamu dan mengerjakan amal salih bahawa Dia benar-benar akan menjadikan mereka berkuasa di muka bumi, seperti Dia menjadikan orang sebelum mereka berkuasa, dan sungguh Dia akan meneguhkan bagi mereka agama yang sudah diredai-Nya untuk mereka, dan Dia benar-benar akan menukar (keadaan) mereka, sesudah mereka asalnya dalam ketakutan menjadi aman sentosa. Mereka tetap menyembah-Ku dengan tiada mempersekutukan sesuatu apa pun dengan Aku. Dan sesiapa yang (tetap) kafir sesudah (janji) itu, maka mereka itulah orang yang fasik." (Surah an-Nur, ayat 55)

Imam Ibnu Katsir menjelaskan: "Dari sini kita berupaya mengetahui dan menilai akan kebenaran janji Allah dan Rasul-Nya. Maha Benar Allah dan Rasul-Nya. Kita memohon kepada Allah supaya Dia selalu melimpahkan kepada kita keimanan kepada Allah dan Rasul-Nya serta kekuatan untuk mensyukurinya bersesuaian dengan apa yang diredai-Nya."

Ar-Rabi' bin Anas meriwayatkan hadis yang bersumber daripada Abul 'Aliyah ketika menjelaskan firman Allah itu berkata: "Rasulullah SAW dan sahabatnya tinggal di Makkah sekitar 10 tahun. Mereka berdakwah, menyeru untuk beribadah kepada Allah dan menyembah Sang Khaliq Yang Maha Esa, tidak ada sekutu bagi-Nya.

Dakwah yang dilaksanakan bersifat rahsia dan secara senyap-senyap. Mereka tidak berani bertindak lebih daripada itu, kerana pada ketika itu, masih belum ada perintah untuk berperang. Perintah keluar berperang hanya muncul sekitar selepas mereka berhijrah ke Madinah.

Pada awalnya mereka berasa takut, sama ada pada waktu pagi atau petang. Mereka selalu sentiasa bersiap sedia dengan senjata. Mereka berada dalam keadaan seperti itu sehingga pada waktu yang dikehendaki oleh Allah dan turunlah ayat berkenaan.

Allah menjadikan Nabi-Nya mampu menguasai negara Arab, sehingga mereka berasa aman dan tidak lagi sentiasa dalam keadaan berjaga-jaga (ketakutan). Kemudian sesudah Rasulullah SAW wafat, mereka tetap berasa aman di bawah pemerintahan Abu Bakar, Umar dan Uthman.

Beliau juga menjelaskan: "Adalah sahabat kerana mereka kelompok manusia yang paling mentaati perintah Allah sesudah nabi wafat, maka kejayaan yang mereka peroleh itu adalah bersesuaian dengan keikhlasan menegakkan kalimatullah di penjuru bumi di bahagian timur mahu pun barat.

Oleh itu, Allah memperkuatkan kejayaan mereka sekuat-kuatnya sehingga berupaya menakluki pelbagai negeri lain dan menjadi penguasa penduduk negeri mereka takluki. Namun, ketika umat sudah mula lalai menjalani ketaatan kepada Allah, maka menjadi pudarlah kejayaan umat Islam.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Akan sentiasa ada segolongan daripada umatku yang membela kebenaran. Tidak akan membahayakan mereka orang yang menghina dan yang menyelisihi mereka, sehinggalah datang hari kiamat"." (Hadis Riwayat Muslim)

Terbuktilah bahawa sebuah pemerintahan baik dan pentadbiran berkesan lahir daripada masyarakat yang memiliki keimanan, sifat salih dan ketaatan kepada Allah.

Allah berfirman yang bermaksud: "Sekiranya penduduk negeri itu beriman dan bertakwa, pasti Kami akan melimpahkan kepada mereka berkat dari langit dan bumi." (Surah Al-A'raaf, ayat 96)

Firman Allah lagi yang bermaksud: "Dan demikian kami jadikan sebahagian orang yang zalim itu menguasai sebahagian yang lain disebabkan apa-apa yang mereka (masyarakat) usahakan." (Surah Al-An'am, ayat 129)

Imam Ibnu Katsir menjelaskan maksud ayat itu: "Tiada orang yang zalim pun melainkan dia akan diuji dengan orang yang zalim. Dijadikan daripada kalangan orang yang zalim, mereka dikuasai oleh orang yang zalim lainnya. Sebahagian mereka dihancurkan dengan sebahagian lainnya, dan sebahagian mereka diseksa dengan sebahagian lainnya, sebagai balasan di atas kezaliman mereka."

Al-Walid ath-Tharthusi berkata: "Sehingga sekarang masih terdengar orang berkata, amalan kamu adalah pekerja kamu. Seperti mana kamu sekarang ini; maka seperti itulah kamu akan dipimpin."

Abdul Malik bin Marwan pernah berkata: "Wahai rakyatku! Bersikap adillah kepada kami! (Bagaimana mungkin) kamu mahukan dari diri kami seperti yang dilaksanakan oleh Abu Bakar dan Umar, sedangkan kamu tidak pun melaksanakan apa yang mereka (rakyat Abu Bakar dan Umar) amalkan?"

Dari sini kita dapat mengetahui dan memahami bahawa sifat salih dan adil yang terpancar pada diri pemerintah sebenarnya turut dipengaruhi sifat salih dan keadilan dalam diri masyarakatnya.

Dengan sebab itu, hendaklah kita mula membina sesebuah negara yang baik itu dengan mula mengubah diri kita terlebih dulu. Maka hendaklah kita sentiasa bermuhasabah dan berusahalah untuk memperbaiki diri kita dari semasa ke semasa.

Firman Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka sendiri yang mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri." (Surah ar-Ra'd, ayat 11)

Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah kerana sudi membaca artikel diatas. Sila lawati ke halaman utama untuk membaca lebih 2003 artikel yang terdapat disini. Jangan lupa berkongsi artikel diatas bersama anggota keluarga, saudara mara dan rakan taulan anda. Jika anda ingin memberi pendapat atau teguran, sila email kami di admin[at]mukmin.com.my, Insyallah kami berlapang dada untuk membacanya. Semoga kita dapat ambil manafaat bersama dengan Portal Mukmin ini. Insyallah.
Kembali Ke Halaman Utama | Papar Semua Tajuk Dibawah Kategori Yang Sama | Berkongsi Artikel Dengan Rakan Lain | Sertai Facebook Mukmin Portal

 
 

 

© Mukmin (Tiada Notis Copyright)

Paparan sesuai 1280 x 800 pixel (IE 7.0 keatas / Firefox 3.0 keatas)