• Dari Sahal R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Aku dan orang yang memelihara anak-anak yatim akan berada didalam syurga adalah seumpama dua anak jari ini." Disini Rasulullah S.A.W mengisyaratkan jari telunjuk dan jari tengahnya dimana terdapat hanya sedikit ruang diantara keduanya. (HR Bukhari)
  • Dari Amr bin Malik Al-Qusyairi R.A berkata, bahawa aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara anak yatim, yang mana kedua ibubapanya seorang muslim, dengan memberi makanan dan minuman sehinggalah Allah S.W.T mengkayakannya yakni dia dapat memenuhi keperluannya sendiri, wajib baginya syurga." (HR Musnad Ahmad, Tabrani dan Majma uz Zawaid)
  • Dari Abdullah bin Umar R.Huma meriwayatkan bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W; "Ya Rasulullah, apakah satu amal yang paling baik di dalam Islam?" Baginda S.A.W menjawab "Memberi makan dan memberi salam samada kamu mengenalinya atau tidak." (HR Bukhari)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mukmin yang sempurna dikalangan orang yang beriman ialah orang yang baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kamu ialah orang yang berlaku baik terhadap isterinya." (HR Ahmad)
  • Dari Aishah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Sesungguhnya orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang terbaik akhlaknya dan berlemah lembut terhadap ahli keluarganya." (HR Tirmizi)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Diantara kamu orang yang paling aku cintai dan orang yang paling hampir kepadaku pada hari kiamat ialah orang yang baik akhlaknya." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mahukah daku khabarkan kepadamu siapakah orang yang diharamkan dari api neraka? Dan api neraka tidak akan menyentuhnya. Mereka adalah orang yang menghampiri orang lain dengan lemah lembut, berlebih kurang dan baik hati." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memiliki sebahagian yang kecil sombong di dalam hatinya, maka dia tidak dapat memasuki syurga." (HR Muslim)
  • Dari Abu Qatadah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Jikalau seseorang suka Allah S.W.T menyelamatkannya dari huru hara pada hari kiamat, maka hendaklah dia memberi kelonggaran (dalam membayar kembali pinjaman) kepada seseorang yang berada dalam keadaan terdesak, atau mengurangkan hutangnya (semuanya atau sebahagian)." (HR Muslim)
  • Dari Abu Zar R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Senyuman kepada saudara (muslim) mu adalah sedekah, menyeru kepada ma'ruf dan melarang dari mungkar adalah sedekah, menunjukkan jalan kepada seseoarng yang tersesat jalan adalah sedekah, menolong seorang yang penglihatannya kabur adalah sedekah, menyingkirkan batu-batu, duri dan tulang (dari jalan) adalah sedekah dan menuangkan air dari timbamu kepada timba saudaramu adalah sedekah. " (HR Tirmizi)
  • Dari Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan, dia akan mendapat pahala yang sama sebagaimana orang yang melakukan satu kebaikan, dan Allah menyukai orang yang menolong seorang dalam kesukaran." (HR Bazzar dan Targhib)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Seorang mukmin mencintai dan dicintai. Tidak ada kebaikan dalam diri seseorang yang tidak mencintai atau tidak berkasih sayang. Orang yang terbaik diantara manusia adalah orang yang paling banyak memberi manafaat kepada orang lain." (HR Dar Qutni dan Targhib)
  • Dari Qais bin Said R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Kalaulah aku diperintahkan bersujud kepada seseorang, nescaya aku akan perintahkan wanita-wanita bersujud keatas suami mereka, kerana haknya yang Allah SWT telah berikan kepada suami-suami." (HR Abu Daud)
  • Dari Ummu Salamah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mana-mana wanita yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya redha kepadanya, nescaya dia akan masuk kedalam syurga." (HR Tirmizi)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menjalin silaturrahim yakni berbuat baik kepada saudara-mara dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik ataupun diam." (HR Bukhari)
  • Dari Asma bin Yazid R.Ha berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara kehormatan saudaranya yang muslim ketika dia tidak ada (dimajlis itu, contohnya seseorang telah mengumpatnya, kemudian dia telah mencegah orang itu dari terus mengumpatnya), maka Allah SWT akan menjamin untuknya daripada pembebasan api neraka jahanam." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Perbanyakkan selawat kepadaku pada hari Jumaat, kerana baru sebentar tadi malaikat Jibrail A.S diutus oleh Allah SWT datang kepadaku lalu berkata : 'Barangsiapa dikalangan umat mu berselawat kepadamu (Muhammad) sekali, Aku (Allah) dan para malaikatKu akan berselawat (memohon pengampunan dan rahmat) untuknya sepuluh kali'." (HR Tabrani)
  • Hazrat Bara' R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Tidaklah kedua orang muslim bertemu dan bermusafaha (berjabat tangan) melainkan dosa-dosa kedua belah pihak diampuni sebelum mereka berpisah." (HR Abu Daud)
  • Hazrat Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Orang yang muda hendaklah memberi salam kepada orang yang tua. Orang yang berjalan hendaklah memberi salam kepada orang yang duduk. Orang yang sedikit memberi salam kepada orang yang lebih ramai." (HR Bukhari)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Bantulah saudaramu yang muslim dalam segala keadaan, bahkan apabila dia seorang yang zalim atau yang dizalimi" Seorang bertanya, "Ya Rasulullah, aku akan menolongnya apabila dia dizalimi, tetapi bagaimana aku dapat menolongnya apabila dia seorang penzalim?" Baginda S.A.W menjawab, "Engkau mencegah dia dari melakukan kezaliman kerana mencegahnya dari perbuatan zalimnya, itulah bantuanmu kepadanya." (HR Bukhari)
  • Hazrat Ibnu Abbas R.Huma meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa berjalan untuk menunaikan satu hajat seorang saudara adalah lebih baik daripada sepuluh tahun iktikaf. Barangsiapa yang beriktikaf sehari kerana Allah S.W.T akan dijauhkan daripada api neraka sejauh tiga parit, dan setiap parit luasnya diantara bumi dan langit." (HR Tabrani dan Majma uz Zawaid)

Penekanan Ibadah Kepada Zuriat

Oleh Mohd Fadly Samsudin dan Zulfa Mohamad
rencana@hmetro.com.my

KELUARGA BAHAGIA...ibu bapa perlu pamerkan akhlak dan budi terpuji kepada anak yang masih dalam proses membesar kerana suasana positif itu akan meresapi ke dalam jiwa dan sanubari. - Gambar hiasan SETIAP pasangan suami isteri pastinya mengharapkan perkahwinan yang dibina segera dikurniakan cahaya mata bagi menjadi pelengkap hubungan kasih sayang antara mereka.

Jika berhasil, panjatkan setinggi kesyukuran kepada Allah kerana Dia ‘memilih’ kita untuk melaksanakan tanggungjawab mendidik anak dalam kandungan itu supaya menjadi insan berguna.

CINTAKAN ILMU....selain berakhlak mulia pendidikan sempurna juga menjadi rahsia kepada pembentukan sahsiah diri anak soleh. - Gambar hiasan

BERI NAMA BAIK...ibu bapa perlu memberikan nama anak mereka dengan makna yang indah, memberikan makna dan mudah disebut kerana nama itu doa buat anak. - Gambar hiasan

Bagi pasangan yang barangkali sudah bertahun menantikan kehadiran cahaya mata namun rezeki belum berpihak kepada mereka percayalah, itu sebahagian ujian Allah dan terimalah ketentuan itu dengan penuh reda.

Gunakan kesempatan yang ada untuk terus berdoa dan berusaha, moga-moga satu hari nanti Allah perkenankan permohonan kita menimang cahaya mata.



Ketika itu, diharapkan kita sudah bersedia menggalas amanah Allah itu dengan sempurna. Setiap ibu bapa mengharapkan anak mereka bukan saja dapat membantu di dunia bahkan diharap membantu ibu bapanya hingga ke akhirat.


Sabda Rasulullah yang bermaksud: “Apabila sudah mati seorang anak Adam, maka putuslah amalnya kecuali tiga perkara, iaitu: Sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak yang soleh yang mendoakan kepadanya.”

Sekiranya mengidamkan zuriat yang terbaik dan soleh, setiap ibu bapa mesti sentiasa berdoa kepada Allah yang menjadi amalan nabi dan rasul.

Allah berfirman yang bermaksud: “Ya Tuhanku, anugerahkanlah kepadaku seorang anak yang baik dari sisi-Mu, sesungguhnya Engkau sentiasa Maha Mendengar doa permohonan.” (Surah Ali-Imran ayat 38).

Dalam ayat itu, nabi dan rasul mengutamakan zuriat yang soleh dalam kehidupan mereka, walaupun zuriat itu belum dilahirkan lagi mereka berdoa kepada Allah s.w.t.

Malah proses melahirkan anak soleh juga perlu mengambil kira adab sebelum melakukan hubungan intim bersama isteri supaya terhindar daripada gangguan syaitan.

Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Sekiranya seseorang di antara kamu ketika hendak mendatangi isterinya, maka hendaklah ia membaca: “Bismillah, Dengan nama Allah. Ya Allah, jauhkanlah syaitan daripada kami dan jauhkanlah syaitan daripada apa yang Engkau rezekikan kepada kami.

Aspek pemberian nama kepada bayi juga perlu diberi perhatian serius. Pastikan
ibu bapa memberikan nama yang indah dan mempunyai makna yang baik selain
sedap di dengar dan mudah disebut.

Daripada Abu Darda’ berkata, Nabi bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya kamu sekalian akan diseru pada hari kiamat dengan nama-nama kamu dan nama-nama bapa kamu. Oleh demikian, elokkanlah nama-nama kamu”. (Riwayat Imam Abu Daud).

Nama yang dipanggil kepada anak itu adalah doa buat mereka dan mewakili diri serta kehidupannya. Jangan salah memberi nama sehingga membawa maksud keji, hina dan buruk maksudnya.

Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Berilah nama dengan nama-nama Nabi. Nama yang paling disukai oleh Allah ialah Abdullah dan Abdurrahman. Nama yang paling tepat (dengan hakikat manusia) ialah Harith dan Hammam, dan nama yang paling buruk ialah Harb dan Murrah”. (Riwayat Abu Daud, an-Nasai dan lain-lain).

Anak juga perlu diberi penekanan terhadap tuntutan ibadah kerana kesempurnaan ibadah melambangkan sifat kepatuhan serta ketaatan kepada Allah.

Ibu bapa juga perlu mempamerkan akhlak dan budi terpuji kepada anak-anak yang masih dalam proses membesar kerana suasana baik dan positif itu akan meresap ke dalam jiwa dan sanubari.

Soal halal haram rezeki amat mempengaruhi tindakan sikap dan tingkah laku anak. Pastikan apa saja bentuk rezeki termasuk wang, makanan atau minuman yang dibawa pulang ke rumah datangnya daripada sumber halal, terbaik lagi suci.

Malah sumber syubhah perlu dijauhi. Rezeki daripada sumber haram pastinya tidak membawa keberkatan malah ia akan menjadi darah daging yang merosakkan.

Allah berfirman yang bermaksud: “Wahai manusia, makanlah apa-apa di bumi yang halal lagi baik dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan, sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagimu.” (Surah Al-Baqarah ayat 168).

Mulakan langkah pertama mendidik anak dengan kembali menghayati ajaran Islam serta menghidupkan persekitaran Islamiah dalam rumah tangga.

Pegawai Bahagian Pendidikan, Jabatan Agama Islam Pulau Pinang (Jaipp), Roslan Che Rus berkata, ciri-ciri anak soleh antaranya taat kepada Allah, taat kepada ibu bapa dan menjadikan Islam sebagai pegangan.

“Jika anak soleh menjadi perhiasan kepada kehidupan di dunia dan menyejukkan mata memandang, anak toleh pula membawa maksud bertentangan.

“Anak toleh ialah anak yang jahat, tidak mentaati Allah serta ibu bapa serta sering menimbulkan masalah kepada masyarakat selain memusnahkan kebahagiaan rumah tangga,” katanya.

Beliau berkata ibu bapa atau bakal bapa perlu sentiasa memainkan peranan mereka terutamanya menyuburkan amalan terbaik yang mampu memberikan kesan langsung kepada jiwa anak-anak untuk menjadi insan soleh dan solehah.

“Melahirkan serta memiliki anak soleh lebih penting daripada menumpukan sepenuh masa mencari dan mengumpul harta kekayaan dunia.

“Tiada gunanya sepasang suami isteri yang sudah memiliki segala-galanya, harta melimpah ruah, tetapi gagal membentuk peribadi anaknya yang diselubungi pelbagai masalah moral.

“Istilah anak toleh atau derhaka ini pastinya menghampakan impian dan harapan kedua ibu bapanya malah tidak membahagiakan kehidupan orang tuanya di dunia dan di akhirat,” katanya.

Beliau menyampaikan ceramahnya dalam program diskusi Addin yang diadakan di Dataran Milenium, Kepala Batas, Pulau Pinang, sempena Karnival Gegaria Harian Metro, baru-baru ini.

Tajuk yang dibincangkan pada malam itu ialah ‘Anak Soleh, Anak Toleh.’ Selain Roslan, perbincangan itu turut disertai Pegawai Agama Daerah Kubang Pasu, Ahmad Fisol Omar dan dipengerusikan Eksekutif Agama The New Straits Times Press (M) Bhd, Zamanuddin Jusoh.

Beliau berkata, anak soleh tidak akan putus-putus mendoakan kesejahteraan
dan kebahagiaan ibu bapa mereka meskipun mereka sudah pergi menghadap Ilahi.

“Itulah yang amat diharapkan setiap ibu bapa apabila mereka sudah tiada lagi di dunia ini. Doa yang sentiasa dipanjatkan anak yang soleh itu pastinya menjadi bekalan berkekalan buat mereka.

“Nabi ada bersabda yang bermaksud: “Apabila mati anak Adam maka terputuslah amalannya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah atau ilmu yang bermanfaat atau anak yang soleh yang berdoa untuknya.”

“Anak soleh bukan dapat dilahirkan secara ‘automatik’ sebaliknya bergantung kepada pendidikan yang bermula sejak daripada pemilihan calon isteri atau suami lagi,” katanya.

Roslan berkata, pendidikan sempurna adalah asas paling utama untuk melahirkan anak yang soleh selain perlu disesuaikan dengan suasana dan zaman mereka.

“Anak-anak perlu diberikan didikan sesuai dengan peringkat umur mereka dan suasana semasa di samping perlu melihat bentuk cabaran yang sedang dihadapi.

“Nabi Muhammad pernah bersabda, didiklah anak kamu mengikut peredaran zaman kerana anak kamu akan membesar pada zaman lain dengan cabaran berbeza dengan cabaran hari ini,” katanya.

Ahmad Faisol berkata, memiliki anak soleh bermula sejak daripada pemilihan calon pasangan lagi iaitu berdasarkan kepada empat perkara agama, kekayaan, kecantikan dan keturunan.

“Rasulullah menyarankan lelaki yang mahu berkahwin memilih wanita atas sebab agama kerana pastinya ia usaha awal untuk memiliki anak soleh.

“Besar kemungkinan, jika seseorang memilih pasangan yang tidak bagus sikap,
akhlak dan peribadinya kemungkinan anak yang mereka miliki mempunyai sikap sama,” katanya.

Beliau berkata, ramai pasangan melakukan kesilapan kerana hanya berdoa meminta dikurniakan anak, tetapi tidak ramai yang meminta dikurniakan anak soleh.

“Setiap pasangan perlu sentiasa berdoa supaya dikurniakan anak yang soleh.
Justeru pendidikan awal daripada ibu bapa kepada anak mereka amat penting dalam menentukan baik buruk hala tuju anak-anak.

“Nabi Muhammad bersabda yang bermaksud, “Setiap anak dilahirkan seperti kain putih, ibu bapanya yang mencorakkannya sama ada menjadi Yahudi, Nasrani atau Majusi”.

“Tidak cukup ibu bapa hanya berbangga anak mereka mampu memperoleh keputusan terbaik dalam peperiksaan kerana yang lebih penting daripada itu ialah mereka turut melakar kecemerlangan kerana menjiwai watak anak soleh,” katanya.

Ahmad Fisol berkata, bukan bermakna ibu bapa yang mempunyai anak derhaka perlu disisihkan mereka begitu saja namun anak itu perlu diberikan peluang serta bimbingan untuk berubah.

“Sebenarnya itu sebahagian ujian Allah kepada hambanya supaya mereka terus gigih memberi galakan serta membantu anak mereka kembali ke pangkal jalan.

“Setiap ibu bapa disarankan tidak mudah putus harapan dan semangat sebaliknya terus melaksanakan tanggungjawab dan peranan sebagai contoh ikutan kepada anak-anak,” katanya.

Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah kerana sudi membaca artikel diatas. Sila lawati ke halaman utama untuk membaca lebih 2003 artikel yang terdapat disini. Jangan lupa berkongsi artikel diatas bersama anggota keluarga, saudara mara dan rakan taulan anda. Jika anda ingin memberi pendapat atau teguran, sila email kami di admin[at]mukmin.com.my, Insyallah kami berlapang dada untuk membacanya. Semoga kita dapat ambil manafaat bersama dengan Portal Mukmin ini. Insyallah.
Kembali Ke Halaman Utama | Papar Semua Tajuk Dibawah Kategori Yang Sama | Berkongsi Artikel Dengan Rakan Lain | Sertai Facebook Mukmin Portal

 
 

 

© Mukmin (Tiada Notis Copyright)

Paparan sesuai 1280 x 800 pixel (IE 7.0 keatas / Firefox 3.0 keatas)