• Dari Sahal R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Aku dan orang yang memelihara anak-anak yatim akan berada didalam syurga adalah seumpama dua anak jari ini." Disini Rasulullah S.A.W mengisyaratkan jari telunjuk dan jari tengahnya dimana terdapat hanya sedikit ruang diantara keduanya. (HR Bukhari)
  • Dari Amr bin Malik Al-Qusyairi R.A berkata, bahawa aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara anak yatim, yang mana kedua ibubapanya seorang muslim, dengan memberi makanan dan minuman sehinggalah Allah S.W.T mengkayakannya yakni dia dapat memenuhi keperluannya sendiri, wajib baginya syurga." (HR Musnad Ahmad, Tabrani dan Majma uz Zawaid)
  • Dari Abdullah bin Umar R.Huma meriwayatkan bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W; "Ya Rasulullah, apakah satu amal yang paling baik di dalam Islam?" Baginda S.A.W menjawab "Memberi makan dan memberi salam samada kamu mengenalinya atau tidak." (HR Bukhari)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mukmin yang sempurna dikalangan orang yang beriman ialah orang yang baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kamu ialah orang yang berlaku baik terhadap isterinya." (HR Ahmad)
  • Dari Aishah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Sesungguhnya orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang terbaik akhlaknya dan berlemah lembut terhadap ahli keluarganya." (HR Tirmizi)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Diantara kamu orang yang paling aku cintai dan orang yang paling hampir kepadaku pada hari kiamat ialah orang yang baik akhlaknya." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mahukah daku khabarkan kepadamu siapakah orang yang diharamkan dari api neraka? Dan api neraka tidak akan menyentuhnya. Mereka adalah orang yang menghampiri orang lain dengan lemah lembut, berlebih kurang dan baik hati." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memiliki sebahagian yang kecil sombong di dalam hatinya, maka dia tidak dapat memasuki syurga." (HR Muslim)
  • Dari Abu Qatadah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Jikalau seseorang suka Allah S.W.T menyelamatkannya dari huru hara pada hari kiamat, maka hendaklah dia memberi kelonggaran (dalam membayar kembali pinjaman) kepada seseorang yang berada dalam keadaan terdesak, atau mengurangkan hutangnya (semuanya atau sebahagian)." (HR Muslim)
  • Dari Abu Zar R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Senyuman kepada saudara (muslim) mu adalah sedekah, menyeru kepada ma'ruf dan melarang dari mungkar adalah sedekah, menunjukkan jalan kepada seseoarng yang tersesat jalan adalah sedekah, menolong seorang yang penglihatannya kabur adalah sedekah, menyingkirkan batu-batu, duri dan tulang (dari jalan) adalah sedekah dan menuangkan air dari timbamu kepada timba saudaramu adalah sedekah. " (HR Tirmizi)
  • Dari Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan, dia akan mendapat pahala yang sama sebagaimana orang yang melakukan satu kebaikan, dan Allah menyukai orang yang menolong seorang dalam kesukaran." (HR Bazzar dan Targhib)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Seorang mukmin mencintai dan dicintai. Tidak ada kebaikan dalam diri seseorang yang tidak mencintai atau tidak berkasih sayang. Orang yang terbaik diantara manusia adalah orang yang paling banyak memberi manafaat kepada orang lain." (HR Dar Qutni dan Targhib)
  • Dari Qais bin Said R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Kalaulah aku diperintahkan bersujud kepada seseorang, nescaya aku akan perintahkan wanita-wanita bersujud keatas suami mereka, kerana haknya yang Allah SWT telah berikan kepada suami-suami." (HR Abu Daud)
  • Dari Ummu Salamah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mana-mana wanita yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya redha kepadanya, nescaya dia akan masuk kedalam syurga." (HR Tirmizi)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menjalin silaturrahim yakni berbuat baik kepada saudara-mara dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik ataupun diam." (HR Bukhari)
  • Dari Asma bin Yazid R.Ha berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara kehormatan saudaranya yang muslim ketika dia tidak ada (dimajlis itu, contohnya seseorang telah mengumpatnya, kemudian dia telah mencegah orang itu dari terus mengumpatnya), maka Allah SWT akan menjamin untuknya daripada pembebasan api neraka jahanam." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Perbanyakkan selawat kepadaku pada hari Jumaat, kerana baru sebentar tadi malaikat Jibrail A.S diutus oleh Allah SWT datang kepadaku lalu berkata : 'Barangsiapa dikalangan umat mu berselawat kepadamu (Muhammad) sekali, Aku (Allah) dan para malaikatKu akan berselawat (memohon pengampunan dan rahmat) untuknya sepuluh kali'." (HR Tabrani)
  • Hazrat Bara' R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Tidaklah kedua orang muslim bertemu dan bermusafaha (berjabat tangan) melainkan dosa-dosa kedua belah pihak diampuni sebelum mereka berpisah." (HR Abu Daud)
  • Hazrat Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Orang yang muda hendaklah memberi salam kepada orang yang tua. Orang yang berjalan hendaklah memberi salam kepada orang yang duduk. Orang yang sedikit memberi salam kepada orang yang lebih ramai." (HR Bukhari)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Bantulah saudaramu yang muslim dalam segala keadaan, bahkan apabila dia seorang yang zalim atau yang dizalimi" Seorang bertanya, "Ya Rasulullah, aku akan menolongnya apabila dia dizalimi, tetapi bagaimana aku dapat menolongnya apabila dia seorang penzalim?" Baginda S.A.W menjawab, "Engkau mencegah dia dari melakukan kezaliman kerana mencegahnya dari perbuatan zalimnya, itulah bantuanmu kepadanya." (HR Bukhari)
  • Hazrat Ibnu Abbas R.Huma meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa berjalan untuk menunaikan satu hajat seorang saudara adalah lebih baik daripada sepuluh tahun iktikaf. Barangsiapa yang beriktikaf sehari kerana Allah S.W.T akan dijauhkan daripada api neraka sejauh tiga parit, dan setiap parit luasnya diantara bumi dan langit." (HR Tabrani dan Majma uz Zawaid)

Penemuan Sains Terkini Mampu Perkukuh Keimanan Umat Islam

Oleh Rohidzir Rais

2010/07/08
KITA boleh beriman dengan apa saja yang kita mahu, namun dunia moden kini berpaksi di atas bukti dan keterangan sains dan teknologi. Bagi mereka, iman tanpa bukti tidak memberi erti kerana kebenaran tidak berlandaskan kepercayaan atau fahaman ramai, jika tidak pasti Christopher Colombus sudah terjatuh dari bumi pada 1420 dulu.

Tidak dinafikan ada kelompok agamawan yang berkarat dengan jumudisme sehingga berasa cuak meletakkan al-Quran di neraca sains, kononnya ia hanya akan melemahkan iman seperti kepercayaan paderi Kristian pada Zaman Kegelapan Eropah (dianggarkan berlangsung selama 1,000 tahun). Ketika itu institusi Gereja Katolik Rom berkuasa penuh ke atas kerajaan. Menurut paderi Charles Chiniquy, (1809-1888) dalam bukunya bertajuk Years in the Church of Rome, semua kerajaan perlu berasas kepada kepercayaan Katolik dan Paus (Pope) saja adalah sumber perundangan yang sah serta maksum daripada sebarang kesalahan. Paus adalah pentafsir tunggal kepada hukum-hakam. Pada masa sama, sebuah mahkamah perundangan dinamakan Inquisition Court ditubuhkan dan mahkamah ini mempunyai kuasa penuh menangkap, memenjarakan, menyeksa dan membunuh sesiapa saja dianggap menentang gereja, tanpa bicara.

Berikutan itu, menurut E Josephson (1986), 100 saudagar dibakar pada abad ke-16 hanya kerana membuat keuntungan dalam perniagaan. Sementara itu, dianggarkan sebahagian penulis Barat sekitar 340,000 orang dibunuh dengan dibakar kerana mempelajari sains dan mengeluarkan teori sains kononnya bertentangan dengan gereja serta mengundang kemurkaan Tuhan.

Mengecewakan bila perkara sama berlaku kepada sebahagian masyarakat Islam di Malaysia menyebabkan timbul pertanyaan, benarkah Islam dan sains itu ibarat air dan minyak tidak mungkin bersatu?

Menyingkap sejarah agama nenek moyang mungkin boleh menjawab persoalan ini. Ketika Islam tiba di Tanah Melayu sebelum kurun ke-15, masyarakat Nusantara ketika itu kebanyakannya beragama Hindu dan animisme, atau langsung tidak beragama.
Kepercayaan Hindu dan animisme yang sarat dengan unsur tahyul serta khayalan menyebabkan penganutnya hilang nilai berfikir yang rasional. Tambahan, kita hanya didedahkan dengan ilmu sains dan teknologi oleh penjajah Barat.

Secara luar sedar, kita seolah-olah ditanamkan untuk menempatkan Islam di satu sudut dan sains di sudut berbeza. Pastinya ramai tertanya sejauh mana kebenaran perbandingan antara al-Quran dan sains memberikan kesan negatif kepada keteguhan iman seseorang?

Analisis perbualan Bapa Sains Dunia, Nabi Ibrahim dengan Tuhannya, memberikan pencerahan. Peristiwa itu dirakamkan dalam surah al-Baqarah, ayat 260 yang bermaksud: Dan (ingatlah) ketika Ibrahim berkata: Ya Tuhanku! Perlihatkanlah kepadaku bagaimana Engkau menghidupkan makhluk yang mati? Allah berfirman: Apakah engkau belum percaya? Ibrahim menjawab: Bahkan aku meyakininya, tetapi supaya tenteram hatiku.

Bagaimana Ibrahim, kekasih Allah yang teruji imannya dengan penyembelihan puteranya, memerlukan bukti zahir yang boleh diperhatikan. Jika iman seorang nabi Allah juga memerlukan bukti pemerhatian untuk mententeramkannya, bagaimana dengan kita?

Cukup kuatkah iman dengan hanya berbekalkan ilmu tauhid yang diajar ketika di sekolah rendah dan menengah? Sempurnakah tauhid kita dengan hafalan dan nyanyian Asma al-husna, sifat 20 dan marhaban atau sebenarnya kita sekadar beriman di mulut, tetapi tidak di hati?

Jelasnya, segala penemuan sains terkini secocok dengan ayat al-Quran dan hadis, tidak menjadi dalil kepada mereka yang tidak beriman. Sebaliknya ia mungkin dapat menggilap kembali mutiara iman yang sedia tersemat pada dada mereka yang jujur mencari kebenaran

Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah kerana sudi membaca artikel diatas. Sila lawati ke halaman utama untuk membaca lebih 2003 artikel yang terdapat disini. Jangan lupa berkongsi artikel diatas bersama anggota keluarga, saudara mara dan rakan taulan anda. Jika anda ingin memberi pendapat atau teguran, sila email kami di admin[at]mukmin.com.my, Insyallah kami berlapang dada untuk membacanya. Semoga kita dapat ambil manafaat bersama dengan Portal Mukmin ini. Insyallah.
Kembali Ke Halaman Utama | Papar Semua Tajuk Dibawah Kategori Yang Sama | Berkongsi Artikel Dengan Rakan Lain | Sertai Facebook Mukmin Portal

 
 

 

© Mukmin (Tiada Notis Copyright)

Paparan sesuai 1280 x 800 pixel (IE 7.0 keatas / Firefox 3.0 keatas)