• Dari Sahal R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Aku dan orang yang memelihara anak-anak yatim akan berada didalam syurga adalah seumpama dua anak jari ini." Disini Rasulullah S.A.W mengisyaratkan jari telunjuk dan jari tengahnya dimana terdapat hanya sedikit ruang diantara keduanya. (HR Bukhari)
  • Dari Amr bin Malik Al-Qusyairi R.A berkata, bahawa aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara anak yatim, yang mana kedua ibubapanya seorang muslim, dengan memberi makanan dan minuman sehinggalah Allah S.W.T mengkayakannya yakni dia dapat memenuhi keperluannya sendiri, wajib baginya syurga." (HR Musnad Ahmad, Tabrani dan Majma uz Zawaid)
  • Dari Abdullah bin Umar R.Huma meriwayatkan bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W; "Ya Rasulullah, apakah satu amal yang paling baik di dalam Islam?" Baginda S.A.W menjawab "Memberi makan dan memberi salam samada kamu mengenalinya atau tidak." (HR Bukhari)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mukmin yang sempurna dikalangan orang yang beriman ialah orang yang baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kamu ialah orang yang berlaku baik terhadap isterinya." (HR Ahmad)
  • Dari Aishah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Sesungguhnya orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang terbaik akhlaknya dan berlemah lembut terhadap ahli keluarganya." (HR Tirmizi)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Diantara kamu orang yang paling aku cintai dan orang yang paling hampir kepadaku pada hari kiamat ialah orang yang baik akhlaknya." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mahukah daku khabarkan kepadamu siapakah orang yang diharamkan dari api neraka? Dan api neraka tidak akan menyentuhnya. Mereka adalah orang yang menghampiri orang lain dengan lemah lembut, berlebih kurang dan baik hati." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memiliki sebahagian yang kecil sombong di dalam hatinya, maka dia tidak dapat memasuki syurga." (HR Muslim)
  • Dari Abu Qatadah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Jikalau seseorang suka Allah S.W.T menyelamatkannya dari huru hara pada hari kiamat, maka hendaklah dia memberi kelonggaran (dalam membayar kembali pinjaman) kepada seseorang yang berada dalam keadaan terdesak, atau mengurangkan hutangnya (semuanya atau sebahagian)." (HR Muslim)
  • Dari Abu Zar R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Senyuman kepada saudara (muslim) mu adalah sedekah, menyeru kepada ma'ruf dan melarang dari mungkar adalah sedekah, menunjukkan jalan kepada seseoarng yang tersesat jalan adalah sedekah, menolong seorang yang penglihatannya kabur adalah sedekah, menyingkirkan batu-batu, duri dan tulang (dari jalan) adalah sedekah dan menuangkan air dari timbamu kepada timba saudaramu adalah sedekah. " (HR Tirmizi)
  • Dari Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan, dia akan mendapat pahala yang sama sebagaimana orang yang melakukan satu kebaikan, dan Allah menyukai orang yang menolong seorang dalam kesukaran." (HR Bazzar dan Targhib)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Seorang mukmin mencintai dan dicintai. Tidak ada kebaikan dalam diri seseorang yang tidak mencintai atau tidak berkasih sayang. Orang yang terbaik diantara manusia adalah orang yang paling banyak memberi manafaat kepada orang lain." (HR Dar Qutni dan Targhib)
  • Dari Qais bin Said R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Kalaulah aku diperintahkan bersujud kepada seseorang, nescaya aku akan perintahkan wanita-wanita bersujud keatas suami mereka, kerana haknya yang Allah SWT telah berikan kepada suami-suami." (HR Abu Daud)
  • Dari Ummu Salamah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mana-mana wanita yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya redha kepadanya, nescaya dia akan masuk kedalam syurga." (HR Tirmizi)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menjalin silaturrahim yakni berbuat baik kepada saudara-mara dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik ataupun diam." (HR Bukhari)
  • Dari Asma bin Yazid R.Ha berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara kehormatan saudaranya yang muslim ketika dia tidak ada (dimajlis itu, contohnya seseorang telah mengumpatnya, kemudian dia telah mencegah orang itu dari terus mengumpatnya), maka Allah SWT akan menjamin untuknya daripada pembebasan api neraka jahanam." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Perbanyakkan selawat kepadaku pada hari Jumaat, kerana baru sebentar tadi malaikat Jibrail A.S diutus oleh Allah SWT datang kepadaku lalu berkata : 'Barangsiapa dikalangan umat mu berselawat kepadamu (Muhammad) sekali, Aku (Allah) dan para malaikatKu akan berselawat (memohon pengampunan dan rahmat) untuknya sepuluh kali'." (HR Tabrani)
  • Hazrat Bara' R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Tidaklah kedua orang muslim bertemu dan bermusafaha (berjabat tangan) melainkan dosa-dosa kedua belah pihak diampuni sebelum mereka berpisah." (HR Abu Daud)
  • Hazrat Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Orang yang muda hendaklah memberi salam kepada orang yang tua. Orang yang berjalan hendaklah memberi salam kepada orang yang duduk. Orang yang sedikit memberi salam kepada orang yang lebih ramai." (HR Bukhari)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Bantulah saudaramu yang muslim dalam segala keadaan, bahkan apabila dia seorang yang zalim atau yang dizalimi" Seorang bertanya, "Ya Rasulullah, aku akan menolongnya apabila dia dizalimi, tetapi bagaimana aku dapat menolongnya apabila dia seorang penzalim?" Baginda S.A.W menjawab, "Engkau mencegah dia dari melakukan kezaliman kerana mencegahnya dari perbuatan zalimnya, itulah bantuanmu kepadanya." (HR Bukhari)
  • Hazrat Ibnu Abbas R.Huma meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa berjalan untuk menunaikan satu hajat seorang saudara adalah lebih baik daripada sepuluh tahun iktikaf. Barangsiapa yang beriktikaf sehari kerana Allah S.W.T akan dijauhkan daripada api neraka sejauh tiga parit, dan setiap parit luasnya diantara bumi dan langit." (HR Tabrani dan Majma uz Zawaid)

Penghijrahan Bawa Gene Netto Kepada Islam

Oleh SITI AINIZA KAMSARI

AKIBAT kebingungan dengan agamanya sendiri, Gene Netto, 39, memutuskan menjadi seorang yang tidak percaya dengan agama (ateis). Begitupun di sudut hati yang paling dalam, Gene seorang yang percaya kepada kewujudan tuhan kerana percaya alam ini, hamparan bumi, gunung ganang sehinggalah ke bulan bintang, matahari dan planet-planet pasti ada yang mencipta.

Tetapi siapa? Sedari usianya masih kecil, fikirannya sudah jauh menerjah bagi memikirkan akan segala kejadian alam.

"Seringkali saya melihat bintang dan dalam kesunyian larut malam saya merenung langit dan memikirkan mengenai keluasan alam semesta dan bagaimana ia diciptakan.

"Dari umur sembilan tahun saya mulai membaca buku mengenai agama dan topik-topik serius yang lain. Ini kerana saya ingin tahu segala-galanya, baik agama, dunia, budaya, sejarah, alam semesta, semua sekali.

"Seingat saya, hanya saya tertarik pada dinosaur ketika itu. Teman-teman yang lain tidak mahu tahu mengenai haiwan zaman purba kerana saat itu filem Jurassic Park tidak ada lagi. Hanya saya sering membaca mengenai piramid di Giza Mesir, agama Buddha, Hindu, sejarah dunia dan apa juga perkara yang menarik perhatian saya mengenai ala mini," katanya.

Sebagaimana anak kecil yang lain, Gene yang dilahirkan di Nelson, New Zealand pada April tahun 1970 itu turut diajar agama Kristian oleh orang tuanya. Namun sukar bagi Gene memahami agamanya kerana beberapa ajaran utama dalam agama itu bukan sahaja sukar untuk diterima malah menimbulkan pelbagai persoalan yang sukar untuk beliau dapatkan jawapannya.

Sehinggalah melanjutkan pengajian tinggi ke Australia di bidang psikologi di Universiti Queensland pada tahun 1990, Gene tetap dengan pendirian untuk tidak mempercayai apa juga agama.

Tetapi beliau tidak dapat melayakkan diri memasuki pengajian itu dan terpaksa menerima tawaran menyambung belajar di Universiti Griffith dalam Pengajian Asia. Harapannya, selepas beroleh kejayaan cemerlang di tahun pertama pengajian, beliau akan diterima semula menyambung pengajian di Universiti Queensland seperti yang beliau cita-citakan.

Dalam banyak pilihan bahasa termasuk Jepun, Cina, Korea dan Indonesia, Gene akhirnya memilih mengikuti Bahasa Indonesia kerana ia lebih mudah untuk dipelajari berbanding bahasa lain.

Bagi memastikan beliau kembali semula ke Universiti Queensland, dalam tempoh enam bulan sahaja Gene berjaya mencapai markah antara yang paling tinggi dalam Pengajian Asia terutama dalam Bahasa Indonesia.

Daripada situ dia bersama dua lagi pelajar ditawarkan menyambung pengajian di Indonesia selama enam bulan. Namun Gene tidak berminat kerana niatnya mahu kembali ke Universiti Queensland.

Namun pihak universiti berjaya memujuk Gene supaya ke Indonesia berikutan pencapaian baik beliau dan peluang seperti itu tidak wajar dilepaskan.

Di Indonesia Gene bergaul dengan rakyatnya sama ada di kampus universitinya atau pada perjumpaan sosial.

"Ketika sedang enak menikmati hidangan, saya didatangi salah seorang dari mereka yang ingin berkenalan dengan saya dan banyak bertanyakan mengenai diri saya.

"Apabila ditanya mengenai agama, saya memberitahu menganut Katolik tetapi saya mengaku tidak pernah mengamalkan agama itu.

"Apabila ditanya mengenai Islam, saya hanya mampu menggelengkan kepala, tanda saya tidak tahu," kata Gene.

Seolah-olah tahu apa yang selama ini menjadi persoalan dalam pemikirannya, Gene kemudian dikejutkan dengan kenyataan dari warga Indonesia itu: "Apakah kamu juga tahu bahawa dalam Islam hanya Tuhan yang boleh mengampuni dosa? "

Kata Gene, dia terkejut dengan kenyataannya itu dan meminta dijelaskan dengan lebih mendalam kerana itu bukan satu kebetulan malah sebuah jawapan yang telah dicari selama 10 tahun.

"Apakah mungkin didalam Islam ada logik dan ajaran yang boleh saya terima," katanya.

Mulai saat itu, Gene mempelajari dan menganalisis Islam secara mendalam dengan membaca melalui buku-buku dan mencari teman-teman dari Indonesia yang beragama Islam untuk berbincang mengenai agama itu.

Pada tahun 1991, Gene dan dua lagi rakan sekuliah menyambung pengajian mereka di tiga universiti di Indonesia.

Gene sendiri di hantar ke Universiti Atma Jaya di Jakarta, iaitu sebuah universiti aliran Katolik yang dirasakan sesuai buat Gene yang beragama Katolik itu.

Mendalami agama Islam

Namun beliau memilih untuk bergaul dengan para pelajar Islam berbanding yang beragama Katolik. Ini bagi membolehkan beliau mendalami agama Islam dengan lebih dekat.

"Kalau ada teman yang solat, saya akan duduk dan memerhatikan orang itu sambil memikirkan mengenai apa yang dilakukan dan mengenai ibadat solat itu sendiri," kata Gene.

Gene tidak henti-henti mempelajari mengenai Islam. Selama enam bulan dan ditambah setahun lagi beliau menyambung pengajian untuk menjadi guru bahasa, Gene bercadang berada lebih lama di Indonesia semata-mata bagi membolehkan dia terus mempelajari mengenai Islam.

Beliau kemudiannya mendapat biasiswa untuk menyambung pengajian di Universiti Indonesia (UI) Jakarta di Fakulti Sastera. Kesempatan itu diambil sepenuhnya untuk beliau terus mendalami Islam.

"Pada Februari tahun 1995, saya bersendirian menonton siaran langsung solat tarawih dari Masjidil Haram.

"Saya melihat sekitar tiga hingga empat juta penganut Islam melakukan gerakan yang sama, menghadap arah yang sama, mengikuti imam yang sama, berdoa dengan ucapan yang sama, berdoa kepada tuhan yang sama.

"Mana ada perkara yang sama seperti ini di negara Barat? Sekalipun yang menyaksikan pertandingan bola yang paling hebat di dunia, Piala Dunia misalnya, tidak pernah ada manusia seramai ini berkumpul di suatu tempat untuk menonton bola.

"Malah untuk yang datang untuk mendengar pihak ketua gereja di Vatican (Paus) pun tidak seramai ini. Suasana ini benar-benar luar biasa yang tidak ada tandingnya," kata Gene.

Gene terus mempelajari Islam walaupun tidak secara formal. Sebaliknya, sekadar memantau dan menganalisis dengan teliti di samping tidak melepaskan peluang mendengar ceramah oleh tokoh-tokoh agama seperti Kiai Zainuddin MZ atau Kiai Anwar Sanusi dan apa juga sumber lain bagi membolehkannya semakin memahami Islam.

Sehinggalah pada tahun Febuari 1996, Gene merasakan semakin sukar untuknya menolak Islam dan akhirnya memeluk agama itu dengan penuh keikhlasan dan ketulusan hati.

Beliau menyedari kehidupan yang bakal dilalui sukar apatah lagi Gene perlu kembali semula ke Australia. Lalu beliau meminta kebenaran ibu dan keluarganya untuk kembali bertugas di Indonesia sebagai guru bahasa Inggeris.

"Silalah kamu kembali semula ke Indonesia, tetapi jangan masuk Islam ya," pesan si Ibu.

Begitulah dari pandangan Barat mengenai Islam, iaitu sebuah agama yang digambarkan buruk oleh media menyebabkan ramai yang takut untuk menghampiri agama itu.

"Tetapi ibu dan seluruh keluarga akhirnya mendapat tahu saya memeluk Islam. Alhamdulillah mereka masih menerima saya dengan baik walaupun kami sudah berbeza agama.

"Saya tidak diusir, tidak dimusuhi atau tidak dikeluarkan dari keluarga malah mereka juga tidak pernah mengatakan yang buruk-buruk mengenai Islam di hadapan saya. Cuma saya dianggap sebagai orang gila.

"Lagikan Nabi Muhammad juga dianggap gila oleh kaum Quraisy, jadi saya tidak merasa kecil hati dengan gelaran itu. Malah terasa enak kerana saya dikategorikan sama seperti baginda Rasulullah," kata Gene.

Sila layari blog milik Gene di alamat http://genenetto.blogspot.com untuk mengenali beliau secara lebih dekat.

Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah kerana sudi membaca artikel diatas. Sila lawati ke halaman utama untuk membaca lebih 2003 artikel yang terdapat disini. Jangan lupa berkongsi artikel diatas bersama anggota keluarga, saudara mara dan rakan taulan anda. Jika anda ingin memberi pendapat atau teguran, sila email kami di admin[at]mukmin.com.my, Insyallah kami berlapang dada untuk membacanya. Semoga kita dapat ambil manafaat bersama dengan Portal Mukmin ini. Insyallah.
Kembali Ke Halaman Utama | Papar Semua Tajuk Dibawah Kategori Yang Sama | Berkongsi Artikel Dengan Rakan Lain | Sertai Facebook Mukmin Portal

 
 

 

© Mukmin (Tiada Notis Copyright)

Paparan sesuai 1280 x 800 pixel (IE 7.0 keatas / Firefox 3.0 keatas)