• Dari Sahal R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Aku dan orang yang memelihara anak-anak yatim akan berada didalam syurga adalah seumpama dua anak jari ini." Disini Rasulullah S.A.W mengisyaratkan jari telunjuk dan jari tengahnya dimana terdapat hanya sedikit ruang diantara keduanya. (HR Bukhari)
  • Dari Amr bin Malik Al-Qusyairi R.A berkata, bahawa aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara anak yatim, yang mana kedua ibubapanya seorang muslim, dengan memberi makanan dan minuman sehinggalah Allah S.W.T mengkayakannya yakni dia dapat memenuhi keperluannya sendiri, wajib baginya syurga." (HR Musnad Ahmad, Tabrani dan Majma uz Zawaid)
  • Dari Abdullah bin Umar R.Huma meriwayatkan bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W; "Ya Rasulullah, apakah satu amal yang paling baik di dalam Islam?" Baginda S.A.W menjawab "Memberi makan dan memberi salam samada kamu mengenalinya atau tidak." (HR Bukhari)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mukmin yang sempurna dikalangan orang yang beriman ialah orang yang baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kamu ialah orang yang berlaku baik terhadap isterinya." (HR Ahmad)
  • Dari Aishah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Sesungguhnya orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang terbaik akhlaknya dan berlemah lembut terhadap ahli keluarganya." (HR Tirmizi)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Diantara kamu orang yang paling aku cintai dan orang yang paling hampir kepadaku pada hari kiamat ialah orang yang baik akhlaknya." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mahukah daku khabarkan kepadamu siapakah orang yang diharamkan dari api neraka? Dan api neraka tidak akan menyentuhnya. Mereka adalah orang yang menghampiri orang lain dengan lemah lembut, berlebih kurang dan baik hati." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memiliki sebahagian yang kecil sombong di dalam hatinya, maka dia tidak dapat memasuki syurga." (HR Muslim)
  • Dari Abu Qatadah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Jikalau seseorang suka Allah S.W.T menyelamatkannya dari huru hara pada hari kiamat, maka hendaklah dia memberi kelonggaran (dalam membayar kembali pinjaman) kepada seseorang yang berada dalam keadaan terdesak, atau mengurangkan hutangnya (semuanya atau sebahagian)." (HR Muslim)
  • Dari Abu Zar R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Senyuman kepada saudara (muslim) mu adalah sedekah, menyeru kepada ma'ruf dan melarang dari mungkar adalah sedekah, menunjukkan jalan kepada seseoarng yang tersesat jalan adalah sedekah, menolong seorang yang penglihatannya kabur adalah sedekah, menyingkirkan batu-batu, duri dan tulang (dari jalan) adalah sedekah dan menuangkan air dari timbamu kepada timba saudaramu adalah sedekah. " (HR Tirmizi)
  • Dari Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan, dia akan mendapat pahala yang sama sebagaimana orang yang melakukan satu kebaikan, dan Allah menyukai orang yang menolong seorang dalam kesukaran." (HR Bazzar dan Targhib)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Seorang mukmin mencintai dan dicintai. Tidak ada kebaikan dalam diri seseorang yang tidak mencintai atau tidak berkasih sayang. Orang yang terbaik diantara manusia adalah orang yang paling banyak memberi manafaat kepada orang lain." (HR Dar Qutni dan Targhib)
  • Dari Qais bin Said R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Kalaulah aku diperintahkan bersujud kepada seseorang, nescaya aku akan perintahkan wanita-wanita bersujud keatas suami mereka, kerana haknya yang Allah SWT telah berikan kepada suami-suami." (HR Abu Daud)
  • Dari Ummu Salamah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mana-mana wanita yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya redha kepadanya, nescaya dia akan masuk kedalam syurga." (HR Tirmizi)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menjalin silaturrahim yakni berbuat baik kepada saudara-mara dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik ataupun diam." (HR Bukhari)
  • Dari Asma bin Yazid R.Ha berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara kehormatan saudaranya yang muslim ketika dia tidak ada (dimajlis itu, contohnya seseorang telah mengumpatnya, kemudian dia telah mencegah orang itu dari terus mengumpatnya), maka Allah SWT akan menjamin untuknya daripada pembebasan api neraka jahanam." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Perbanyakkan selawat kepadaku pada hari Jumaat, kerana baru sebentar tadi malaikat Jibrail A.S diutus oleh Allah SWT datang kepadaku lalu berkata : 'Barangsiapa dikalangan umat mu berselawat kepadamu (Muhammad) sekali, Aku (Allah) dan para malaikatKu akan berselawat (memohon pengampunan dan rahmat) untuknya sepuluh kali'." (HR Tabrani)
  • Hazrat Bara' R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Tidaklah kedua orang muslim bertemu dan bermusafaha (berjabat tangan) melainkan dosa-dosa kedua belah pihak diampuni sebelum mereka berpisah." (HR Abu Daud)
  • Hazrat Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Orang yang muda hendaklah memberi salam kepada orang yang tua. Orang yang berjalan hendaklah memberi salam kepada orang yang duduk. Orang yang sedikit memberi salam kepada orang yang lebih ramai." (HR Bukhari)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Bantulah saudaramu yang muslim dalam segala keadaan, bahkan apabila dia seorang yang zalim atau yang dizalimi" Seorang bertanya, "Ya Rasulullah, aku akan menolongnya apabila dia dizalimi, tetapi bagaimana aku dapat menolongnya apabila dia seorang penzalim?" Baginda S.A.W menjawab, "Engkau mencegah dia dari melakukan kezaliman kerana mencegahnya dari perbuatan zalimnya, itulah bantuanmu kepadanya." (HR Bukhari)
  • Hazrat Ibnu Abbas R.Huma meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa berjalan untuk menunaikan satu hajat seorang saudara adalah lebih baik daripada sepuluh tahun iktikaf. Barangsiapa yang beriktikaf sehari kerana Allah S.W.T akan dijauhkan daripada api neraka sejauh tiga parit, dan setiap parit luasnya diantara bumi dan langit." (HR Tabrani dan Majma uz Zawaid)

Peniaga Sorok Barang Keperluan Dilaknat, Zalim

Oleh Mohd Fikri Che Hussain

SEJAK beberapa tahun kebelakangan ini, krisis kekurangan bahan keperluan seharian sering berlaku terutama menjelang perayaan.

Begitu juga didapati kekurangan bekalan gula semakin menjadi-jadi ketika ini, meskipun kerajaan melaksanakan pelbagai usaha mengatasinya. Terbaru, lesen pemborong akan ditarik bagi peruncit gula yang tinggal di kawasan lingkungan 10 kilometer berhampiran sempadan negara.

Langkah ini bagi menyekat penyeludupan gula ke sempadan negara kerana harga guna di negara jiran lebih tinggi berbanding Malaysia.



Segala kesempatan yang ada untuk mengaut keuntungan dengan cara yang merugikan negara haruslah dijauhi dan dihindari. Hampirnya Ramadan tidak berapa lama lagi antara faktor utama aktiviti menyorok gula di kalangan pemborong tempatan yang jauh dari daerah persempadanan berulang lagi.

Peniaga mengambil kesempatan dengan menyorok gula agar harga keperluan ini melambung tinggi dalam pasaran. Mungkin tidak ramai yang tahu tindakan ini dilarang Rasulullah SAW dalam sabdanya: "Siapa yang menyorok barang keperluan, dia seorang yang berbuat maksiat." (Riwayat Muslim)

Perbuatan menyorok barang dalam bahasa Arab ialah ihtikar iaitu perbuatan memonopoli barangan secara individu bagi meningkatkan harga di pasaran. Menurut Islam, perbuatan ini adalah kezaliman yang dilakukan peniaga kepada pembeli dengan menggandakan harga barangan bagi mengaut keuntungan lebih.

Banyak hadis yang melarang dilakukan perkara seperti ini sama ada oleh golongan peniaga di kalangan orang awam hingga kepada peringkat pemerintah dan kerajaan.

Perbuatan seperti ini akan menyusahkan semua lapisan masyarakat. Sebuah hadis diriwayatkan Ibn Majah dan al-Hakim daripada Ibn Umar bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Usahawan diberi rezeki dan orang yang menyorok barang dilaknat."

Dalam hadis berkenaan jelas menunjukkan usahawan yang mencari pendapatan dengan konsep memudahkan masyarakat pasti akan dipermudahkan rezeki mereka Allah.

Berbanding dengan pihak yang menyimpan barang atau memonopoli suatu perniagaan mencari keuntungan dengan kesusahan orang lain pasti akan dimarahi dan dibenci masyarakat.

Ulama fekah menetapkan syarat mengenai pengharaman barangan keperluan ini seperti berikut:

Barangan yang disorok itu perlu 'lebihan' keperluan peribadinya dalam tempoh setahun. Sekiranya dia menyimpan barangan itu sebagai keperluan dirinya sepanjang tempoh setahun sebagai bekalan peribadi, ia tidak dikira sebagai ihtikar.
Individu berkenaan menunggu masa untuk harga dinaikkan dan ketika itu baru menjualkan kepada umum.
Barangan yang disorok adalah keperluan masyarakat setempat pada setiap masa, misalnya makanan asas seperti beras, tepung, gula dan sebagainya.
Jika perbuatan itu tidak menepati syarat berkenaan, penyimpanan barangan itu tidak dianggap ihtikar atau menyorok barangan untuk memanipulasinya.

Perbuatan buruk seperti ini sebaiknya harus dihindari peniaga kerana menyusahkan masyarakat dan juga diri sendiri apabila perbuatan mereka diambil tindakan dan menerima balasan buruk di akhirat kelak.

Khalifah Umar halang sembunyi makanan

KISAH yang petik daripada kitab Musnad oleh Imam Ahmad Hambal mengenai kisah Farrukh pembantu Utsman. Imam Ahmad mencatatkan mengenai Khalifah Umar al-Khattab ketika menuju ke masjid melihat lambakan makanan. Beliau bertanya: "Makanan apakah ini?" Mereka di situ menjawab: "Makanan yang kami usahakan." Beliau berkata: "Semoga Allah memberkatinya dan mereka yang mengusahakannya."

Namun, sebahagian mereka berkata: "Wahai Amir al-Mukminin, semua makanan ini akan disorok." Beliau bertanya, siapakah yang menyoroknya? Mereka memberitahunya bahawa Farrukh pembantu Utsman dan si fulan pembantu Umar.

Beliau yang mengetahui hal itu terus menghantar orang agar memanggil mereka bertemunya. Beliau bertanya: "Apakah yang membuatkan kamu menyorok makanan kaum Muslimin?" Mereka menjawab: "Wahai Amir al-Mukminin, kami membeli dengan wang kami dan ingin menjualnya." Jawab Umar: "Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda "Sesiapa yang menyorokkan makanan kaum Muslimin, nescaya Allah akan membalas perbuatannya dengan kemuflisan dan penyakit kusta."

Mendengar kenyataan Umar itu, Farrukh segera berkata, aku berjanji demi Allah dan di depan engkau, aku tidak akan menyentuh makanan itu sampai bila-bila. Manakala, pembantu Umar masih menjawab: "Kami membeli dengan wang kami dan ingin menjualnya." Abu Yahya yang meriwayatkan hadis itu menceritakan: "Akhirnya, aku sendiri melihat pembantu Umar itu menghidap penyakit kusta di akhir umurnya."

Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah kerana sudi membaca artikel diatas. Sila lawati ke halaman utama untuk membaca lebih 2003 artikel yang terdapat disini. Jangan lupa berkongsi artikel diatas bersama anggota keluarga, saudara mara dan rakan taulan anda. Jika anda ingin memberi pendapat atau teguran, sila email kami di admin[at]mukmin.com.my, Insyallah kami berlapang dada untuk membacanya. Semoga kita dapat ambil manafaat bersama dengan Portal Mukmin ini. Insyallah.
Kembali Ke Halaman Utama | Papar Semua Tajuk Dibawah Kategori Yang Sama | Berkongsi Artikel Dengan Rakan Lain | Sertai Facebook Mukmin Portal

 
 

 

© Mukmin (Tiada Notis Copyright)

Paparan sesuai 1280 x 800 pixel (IE 7.0 keatas / Firefox 3.0 keatas)