• Dari Sahal R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Aku dan orang yang memelihara anak-anak yatim akan berada didalam syurga adalah seumpama dua anak jari ini." Disini Rasulullah S.A.W mengisyaratkan jari telunjuk dan jari tengahnya dimana terdapat hanya sedikit ruang diantara keduanya. (HR Bukhari)
  • Dari Amr bin Malik Al-Qusyairi R.A berkata, bahawa aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara anak yatim, yang mana kedua ibubapanya seorang muslim, dengan memberi makanan dan minuman sehinggalah Allah S.W.T mengkayakannya yakni dia dapat memenuhi keperluannya sendiri, wajib baginya syurga." (HR Musnad Ahmad, Tabrani dan Majma uz Zawaid)
  • Dari Abdullah bin Umar R.Huma meriwayatkan bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W; "Ya Rasulullah, apakah satu amal yang paling baik di dalam Islam?" Baginda S.A.W menjawab "Memberi makan dan memberi salam samada kamu mengenalinya atau tidak." (HR Bukhari)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mukmin yang sempurna dikalangan orang yang beriman ialah orang yang baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kamu ialah orang yang berlaku baik terhadap isterinya." (HR Ahmad)
  • Dari Aishah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Sesungguhnya orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang terbaik akhlaknya dan berlemah lembut terhadap ahli keluarganya." (HR Tirmizi)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Diantara kamu orang yang paling aku cintai dan orang yang paling hampir kepadaku pada hari kiamat ialah orang yang baik akhlaknya." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mahukah daku khabarkan kepadamu siapakah orang yang diharamkan dari api neraka? Dan api neraka tidak akan menyentuhnya. Mereka adalah orang yang menghampiri orang lain dengan lemah lembut, berlebih kurang dan baik hati." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memiliki sebahagian yang kecil sombong di dalam hatinya, maka dia tidak dapat memasuki syurga." (HR Muslim)
  • Dari Abu Qatadah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Jikalau seseorang suka Allah S.W.T menyelamatkannya dari huru hara pada hari kiamat, maka hendaklah dia memberi kelonggaran (dalam membayar kembali pinjaman) kepada seseorang yang berada dalam keadaan terdesak, atau mengurangkan hutangnya (semuanya atau sebahagian)." (HR Muslim)
  • Dari Abu Zar R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Senyuman kepada saudara (muslim) mu adalah sedekah, menyeru kepada ma'ruf dan melarang dari mungkar adalah sedekah, menunjukkan jalan kepada seseoarng yang tersesat jalan adalah sedekah, menolong seorang yang penglihatannya kabur adalah sedekah, menyingkirkan batu-batu, duri dan tulang (dari jalan) adalah sedekah dan menuangkan air dari timbamu kepada timba saudaramu adalah sedekah. " (HR Tirmizi)
  • Dari Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan, dia akan mendapat pahala yang sama sebagaimana orang yang melakukan satu kebaikan, dan Allah menyukai orang yang menolong seorang dalam kesukaran." (HR Bazzar dan Targhib)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Seorang mukmin mencintai dan dicintai. Tidak ada kebaikan dalam diri seseorang yang tidak mencintai atau tidak berkasih sayang. Orang yang terbaik diantara manusia adalah orang yang paling banyak memberi manafaat kepada orang lain." (HR Dar Qutni dan Targhib)
  • Dari Qais bin Said R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Kalaulah aku diperintahkan bersujud kepada seseorang, nescaya aku akan perintahkan wanita-wanita bersujud keatas suami mereka, kerana haknya yang Allah SWT telah berikan kepada suami-suami." (HR Abu Daud)
  • Dari Ummu Salamah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mana-mana wanita yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya redha kepadanya, nescaya dia akan masuk kedalam syurga." (HR Tirmizi)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menjalin silaturrahim yakni berbuat baik kepada saudara-mara dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik ataupun diam." (HR Bukhari)
  • Dari Asma bin Yazid R.Ha berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara kehormatan saudaranya yang muslim ketika dia tidak ada (dimajlis itu, contohnya seseorang telah mengumpatnya, kemudian dia telah mencegah orang itu dari terus mengumpatnya), maka Allah SWT akan menjamin untuknya daripada pembebasan api neraka jahanam." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Perbanyakkan selawat kepadaku pada hari Jumaat, kerana baru sebentar tadi malaikat Jibrail A.S diutus oleh Allah SWT datang kepadaku lalu berkata : 'Barangsiapa dikalangan umat mu berselawat kepadamu (Muhammad) sekali, Aku (Allah) dan para malaikatKu akan berselawat (memohon pengampunan dan rahmat) untuknya sepuluh kali'." (HR Tabrani)
  • Hazrat Bara' R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Tidaklah kedua orang muslim bertemu dan bermusafaha (berjabat tangan) melainkan dosa-dosa kedua belah pihak diampuni sebelum mereka berpisah." (HR Abu Daud)
  • Hazrat Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Orang yang muda hendaklah memberi salam kepada orang yang tua. Orang yang berjalan hendaklah memberi salam kepada orang yang duduk. Orang yang sedikit memberi salam kepada orang yang lebih ramai." (HR Bukhari)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Bantulah saudaramu yang muslim dalam segala keadaan, bahkan apabila dia seorang yang zalim atau yang dizalimi" Seorang bertanya, "Ya Rasulullah, aku akan menolongnya apabila dia dizalimi, tetapi bagaimana aku dapat menolongnya apabila dia seorang penzalim?" Baginda S.A.W menjawab, "Engkau mencegah dia dari melakukan kezaliman kerana mencegahnya dari perbuatan zalimnya, itulah bantuanmu kepadanya." (HR Bukhari)
  • Hazrat Ibnu Abbas R.Huma meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa berjalan untuk menunaikan satu hajat seorang saudara adalah lebih baik daripada sepuluh tahun iktikaf. Barangsiapa yang beriktikaf sehari kerana Allah S.W.T akan dijauhkan daripada api neraka sejauh tiga parit, dan setiap parit luasnya diantara bumi dan langit." (HR Tabrani dan Majma uz Zawaid)

Penyakit jiwa binasakan batin, peribadi manusia

MANUSIA yang waras sering berdepan dengan pelbagai persoalan dalam kehidupan, sama ada ringan atau berat. Sesungguhnya keadaan itu sudah menjadi lumrah hidup seorang manusia. Masalah itu mungkin saja kerana banyak melakukan dosa, kezaliman, kehilangan sesuatu yang disayangi, ditimpa kerugian dalam perniagaan dan sebagainya. Akibatnya manusia mengalami gangguan jiwa seperti resah, gelisah, dukacita, putus asa, ketakutan, kemarahan, kebencian, suka termenung dan tidak lena tidur serta menyalahkan takdir Ilahi. Semua itu memberi kesan hidup tidak selesa dan jiwa tidak bahagia atau tenang.

Ada sebilangan besar masyarakat meleraikan kekusutan jiwa tanpa pertimbangan akal sihat dan panduan agama. Contoh bersukaria, menikmati muzik, berkaraoke, menari, mengambil ubat penenang, mengambil dadah, minum arak bahkan ada yang sanggup membunuh diri. Ketenteraman yang diperoleh cara demikian sesungguhnya tak lebih hanyalah bersifat sementara dan sekadar anggapan belaka.

Bagi orang beriman, walau sebesar mana persoalan hidup yang melanda pasti akan dihadapi dengan sabar, tabah dan jiwa yang tenang. Lantaran, dengan memiliki ketenangan jiwa menyebabkan seseorang itu dapat menjalani kehidupan dengan teratur dan sewajarnya mengikut kehendak syariat Islam serta mampu beribadat dengan sempurna, melaksanakan tanggungjawabnya terhadap keluarga atau masyarakat. Kesimpulannya segala tindak-tanduk yang dilakukan mengikut rentak jiwa. Hal ini pernah disentuh Nabi Muhammad SAW dalam hadisnya bermaksud: “Sesungguhnya dalam diri manusia itu ada seketul daging, jika baik daging itu, baiklah manusia. Jika jahat daging itu maka jahatlah manusia. Ketahuilah itulah hati” (HR Bukhari dan Muslim)

Bagi meraih ketenangan hakiki, perlu seseorang itu mengamalkan cara yang ditunjukkan oleh agama. Sesungguhnya berpegang kukuh kepada agama sangat penting lantaran menjadikan seseorang itu selalu berada dalam keadaan tenang.

Kita sangat tertarik dengan ungkapan Ahli Falsafah dan Psikologi Amerika Syarikat, William James, yang berkata “Iman, adalah ubat paling mujarab dalam menyembuhkan tekanan. Antara kita dan Tuhan ada hubungan yang tidak terputus. Jika kita meletakkan diri di bawah naungan kekuasaan Tuhan dan berserah diri kepada-Nya, semua harapan dan angan-angan kita akan wujud. Pada masa sama, gelombang kesulitan hidup dan tekanan kehidupan tidak akan mampu menggoyahkan ketenangan dan kestabilan jiwa manusia yang memiliki iman kepada Tuhan”.

Pendapat beliau selari dengan pandangan Dr Yusof Al-Qardhawi dalam bukunya Al-Iman Walayah yang menyebut, “Ilmu, kesihatan, kepuasan nafsu, kekuatan, harta kekayaan tidak dapat menjana kebahagiaan. Hanya iman kepada Allah, hari akhirat dapat menjana kebahagiaan dan ketenangan”

Begitulah yang diajarkan Islam bahawa seseorang yang berpegang dengan agama secara benar bermakna selalu ingat kepada Allah SWT dalam pelbagai kesempatan atau peluang baik duduk, berdiri mahu pun berbaring, yang akhirnya membuahkan ketenangan jiwa. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingat Allah. Ingatlah, Hanya dengan mengingati Allahlah hati menjadi tenteram” (Surah Ar-Ra’d: 28)

Dalam ayat lain kita menemui penjelasan Allah mengenai orang yang benar-benar beriman tetap memperoleh keamanan dan ketenteraman. “Orang-orang yang beriman dari tidak mencampuradukkan iman mereka dengan kezaliman (syirik), mereka itulah yang mendapat keamanan dan mereka itu adalah orang-orang yang mendapat petunjuk” (Surah al-An’am: 82)

Kita juga perlu yakin dengan pertolongan Allah. Sebab seperti yang kita ketahui bahawa dalam usaha untuk mendapatkan sesuatu yang diimpikan sering kali terpaksa menghadapi masalah dan rintangan. Ini semua boleh menimbulkan rasa putus asa, takut dan kebimbangan. Bila ada keyakinan bahawa Allah akan menolong orang beriman (baik orang-orang terdahulu, sekarang dan akan datang) yang bersungguh-sungguh berusaha dan berjuang, menyebabkan jiwa menjadi lapang dan tenteram. Firman Allah SWT bermaksud:

“Dan Allah tidak menjadikannya (mengirim bala bantuan itu), melainkan sebagai khabar gembira dan agar hatimu menjadi tenteram kerananya dan kemenangan itu hanyalah dari sisi Allah. Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana” (Surah Al-Anfal: 10)

Senada dengan itu di lain ayat Allah menjelaskan: “Dan Allah tidak menjadikan pemberian bala bantuan itu melainkan sebagai khabar gembira bagi (kemenangan) mu, dan agar tenteram hatimu kerana-Nya dan kemenanganmu itu hanyalah daripada Allah yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana. (Surah Ali Imran: 126)

Islam juga mengajar kita agar selalu bersyukur kepada Allah. Nikmat yang Allah anugerah kepada kita amatlah banyak sehingga tidak terhitung jumlahnya. Kendatipun nikmat atau rezeki itu kecil, tetap diterima dengan penuh reda dan kesyukuran menyebabkan jiwa sentiasa lapang. Selanjutnya dia yakin bahawa Allah akan menambah nikmat itu sebagaimana dapat kita fahami daripada kenyataan al-Quran yang bermaksud: “...Demi sesungguhnya jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambah nikmat-Ku kepadamu, demi sesungguhnya jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azab-Ku amatlah keras” (Surah Ibrahim: 71)

Namun jika tidak ingin bersyukur, tatkala mendapat rezeki sedikit pasti akan terus menjadi resah, memberontak, putus asa dan dengki terhadap orang yang mendapat rezeki lebih daripadanya. Hal ini boleh kita lihat ayat suci yang bermaksud: “Dan Allah membuat suatu perumpamaan (dengan) sebuah negeri yang dahulunya aman lagi tenteram, rezekinya datang kepadanya melimpah ruah dari segenap tempat, tetapi penduduknya mengingkari nikmat-nikmat Allah; Kerana itu Allah merasakan kepada mereka pakaian (meliputi tubuh badan mereka), kelaparan dan ketakutan, disebabkan apa yang selalu mereka perbuat” (Surah An-Nahl: 162)

Sesungguhnya apabila jiwa tidak tenang bermakna jiwa sudah dihinggapi penyakit yang pasti akan membinasakan keperibadian seseorang itu. Lantaran penyakit itu mencerminkan hanya keburukan saja sebagaimana dijelaskan Dr Hamzah Ya’qub dalam bukunya Tingkat Ketenangan dan Kebahagiaan Mukmin, bahawa sifat buruk dan merosak dalam batin manusia yang mengganggu kebahagiaan, merintangi peribadi daripada memperoleh keredaan Allah dan sikap mental yang cenderung mendorong peribadi melakukan perbuatan buruk dan merosak”

Seandainya penyakit jiwa menguasai diri mengakibatkan ghairah beramal jadi melemah, semangat untuk maju dalam kebaikan terpadam, malas untuk bekerja, lalai mengingat Allah, sukar menerima kebenaran dan tumpul daya fikir Allah SWT menjelaskan: “Maka apakah mereka tidak berjalan di muka bumi, lalu mereka mempunyai hati yang dengan itu mereka dapat memahami atau mempunyai telinga yang dengan itu mereka dapat mendengar? Kerana sesungguhnya bukanlah mata itu yang buta, tetapi yang buta, ialah hati yang di dalam dada.” ( Surah Al-Hajj: 46)

Oleh yang demikian, sebagai seorang Islam yang mahukan kebahagiaan dan ketenangan sebenarnya dan berpanjangan, hendaklah sepanjang hidupnya membersihkan hati daripada sifat mazmumah dengan cara menghayati ajaran al-Quran dalam kehidupan serta meneladani keperibadian Rasulullah secara istiqamah. Dengan itu, orang Islam akan jadi lebih terpuji, produktif dan cemerlang.

Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah kerana sudi membaca artikel diatas. Sila lawati ke halaman utama untuk membaca lebih 2003 artikel yang terdapat disini. Jangan lupa berkongsi artikel diatas bersama anggota keluarga, saudara mara dan rakan taulan anda. Jika anda ingin memberi pendapat atau teguran, sila email kami di admin[at]mukmin.com.my, Insyallah kami berlapang dada untuk membacanya. Semoga kita dapat ambil manafaat bersama dengan Portal Mukmin ini. Insyallah.
Kembali Ke Halaman Utama | Papar Semua Tajuk Dibawah Kategori Yang Sama | Berkongsi Artikel Dengan Rakan Lain | Sertai Facebook Mukmin Portal

 
 

 

© Mukmin (Tiada Notis Copyright)

Paparan sesuai 1280 x 800 pixel (IE 7.0 keatas / Firefox 3.0 keatas)